Search This Blog

Loading...

Thursday, April 30, 2009

Pak Lah Kenen Siapa Ni?


Salam, Agendadaily melaporkan:

Bagaimana pula dengan sidang Dewan Rakyat yang akan
berlangsung pertengahan Jun nanti? Tidakkah beliau sebagai bekas Perdana Menteri kekok nak duduk sebarang dengan ahli parlimen biasa nanti?

Kepada soalan ini,Pak Lah kata beliau tidak ada masalah kerana pernah jadi backbencer dulu. “Anda harus tahu dimana anda harus berada.Apabila anda enggan terima perubahan anda akan mula bercakap dan buat perkara yang tak betul dan tak kena.Itu masanya anda akan cetuskan masalah,”katanya membayangkan beliau enggan campur urusan pentabiran kerajaan selepas bersara.-25/4/2009


Iyalah Pak Lah, kalau dah bersara tu, buatlah cara bersara. Berehatlah. Sedar-sedarlah hendaknya cara orang pencen!


Kalau pun rasa nak menyumbang juga, buatlah cara yang betul. Aktif dalam Pengakap pun elok juga. Atau nak tanam pokok supaya bumi ni hijau. Atau menonton Astro Ceria dengan cucu!


Orang kata, jangan ada 2 ekor singa di atas bukit yang sama. Atau jangan ada dua kepala dalam One Malaysia.


Inikan 'SATU' Malaysia...baguslah kalau Pak Lah dah faham!


***************************

Tulisan ini mendapat respon yang pelbagai. Sama ada ia tidak difahami atau kerana memahaminya secara lurus bendul!

Adapun maksud tulisan ini ialah satu penghargaan kepada Pak Lah kerana menyedari dia bukan lagi seorang PM. Tulisan ini memetik temubual di Agendadaily.

Sewajarnya Pak Lah dihargai kerana selepas 'turun takhta' , beliau benar-benar berehat dan kembali menjadi rakyat biasa walaupun masih menjadi MP.

Berbeza dengan Tun Mahathir, yang hanya berehat seketika dan kembali mencampuri urusan pentadbiran. Malahan yang parahnya, kini Tun M dianggap PM bersama DS Najib! Sehingga kabinet yang dibentuk oleh DS Najib pun ditohmah sebagai hasil campur tangan Tun M - digelar pula Kabinet MAHAJIB.

Harapnya tulisan ini tidak difahami secara bendul! TK


Wednesday, April 29, 2009

Kejutan Di Penanti!



Salam,

Jika BN/Umno tidak meneruskan hasrat mencipta rekod baru pilihanraya di Malaysia dengan tidak menyertai PRK, pasti Penanti bakal menyaksikan senario 'luar biasa' kempen Umno.


Mungkin tiada lagi gaya kempen seperti ini:


1. Pemasangan poster berwajah PM, calon dan lambang dacing serta bendera BN/Umno di sana sini.

2. Perasmian pelbagai program perasmian 'mengejut' para Menteri @ Tim. Menteri.

3. Penyampaian pelbagai bentuk bantuan.

4. Kempen merayu undi rumah ke rumah oleh Wanita Umno dan Puteri.

5. Konvoi mat motor mengiringi para pembesar @ VIP.

6. Penerangan situasi semasa sambil merayu sokongan oleh media massa.

7. Ceramah kempen, besar atau kecil oleh calon dan para pemimpin.

8. Kesibukan 'orang luar' turut berkempen dgn gaya elitis, berkerte mewah dan pakaian berjenama.

9. Dan pelbagai taktik dan strategi kempen yang biasa kelihatan dalam mana-mana pilihanraya.


Kempen cara biasa ini tidak akan digunakan lagi kerana dilaporkan BN/Umno akan melakukan kempen luar biasa, yang tidak pernah digunakan sebelum ini.


Bagaimana caranya?


Kita tunggulah 23hb Mei nanti, selepas penamaan calon. Ini yang dijanjikan oleh Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Tidak sabar rasanya melihat style baru ini...agak-agak camanalah tu ya?


Umno Wajib Letak Calon

Salam,


SPR sudah menetapkan PRK Dun Penanti akan berlangsung pada 31 Mei. Penamaan calon pula dijalankan pada 23 Mei 2009. Tempoh berkempen selama 9 hari.


BN belum membuat keputusan sama ada menyertai PRK ini atau memboikot sahaja. Dilaporkan DS Najib menunggu mesyuarat Biro Politik untuk memutuskan keputusan muktamad. Sementara menunggu mesyuarat, kita mencadangkan supaya pandangan ini diambil kira.


Umno wajar menyertai PRK ini. Inilah masa yang sesuai untuk menguji sejauhmana sama ada perubahan pucuk pimpinan kerajaan dan Umno dapat menawan hati rakyat atau masih ada ruang untuk diperbaiki.


PRK itu nanti sewajarnya menjadi medan untuk Umno memperlihatkan ia masih relevan berjuang dan menjadi payung kepada orang Melayu di negara ini, khususnya di Pulau Mutiara. PRK ini boleh digunakan untuk mempromosi segala macam pembaharuan yang diwar-warkan.


Lagi pun, kita ingin melihat sejauh mana kepimpinan DS Ahmad Zahid Hamidi sebagai Ketua Perhubungan Umno Pulau Pinang. Di peringkat Umno, beliau sudah membuktikan dengan undi terbanyak Naib Presiden. Adakah rakyat di Penanti juga dapat menerima perlantikan beliau?


Umno tidak perlu khuatir untuk sekali lagi menerima kekalahan di kubu kuat PKR. Adat pertandingan pasti ada yang menang dan tewas. Namun, untuk takut bertanding bukanlah pilihan yang bijak. Siapa yang dapat menentukan Umno akan tewas, PKR pasti menang.


Jika 13 orang calon Bebas di Bukit Selambau begitu berani menyertai PRK, dalam keadaan peluang mereka untuk menang terlalu kabur, masakan Umno dengan pelbagai kisah kejayan, pengalaman dan komitmen ahlinya menyerah kalah!


Inilah masanya, ahli Umno membuktikan segala keinsafan dan kesedaran mereka selama ini bukanlah retorik yang dijadikan bahan ketawa. Inilah peluang bagi Umno Pulau Pinang, khususnya di Permatang Pauh dan Penanti menunjukkan bahawa mereka masih mampu bernafas.


Lainlah kalau Umno sendiri merasa mereka sudah ketandusan idea dan hanya mampu pasrah dengan cabaran yang menimpa...lalu membiarkan saja parti lain mendabik dada!


Sunday, April 26, 2009

1Umno

Salam,

Seorang anak saudara yang merupakan 'anak muda' bertanya: Mengapakah dalam Umno wujud kumpulan tertentu yang menyokong pemimpin tertentu?

Bukan satu rahsia lagi, dalam Umno memang wujud klik tertentu, yang cenderung kepada pemimpin yang disukainya. Sebagai contoh, di Terengganu ada kumpulan cenderung kepada MB Tok Mad Said dan sebahagian lagi menyokong Idris Jusoh. Mungkin selepas ini ada pula yang cenderung kepada DS Hishamuddin Hussein.

Contoh kedua di Perlis, sebahagian pro kepada MB sementara sebahagian pula menyebelahi DS Shahidan Kassim. Hal ini memang pahit untuk diakui tetapi ia berlaku!

Bermula di peringkat Pusat sehingga ke peringkat negeri, bahagian dan turun ke peringkat cawangan. Pasti berlaku klik yang menyokong kumpulan tertentu ini. Sebab itu barangkali wujud Ketua Perhubungan Negeri import di 5 negeri.

Tidak mungkinkah 'amalan' ini dihapuskan?

Nah, inilah cabaran kepada pimpinan baru Umno, Presiden dan kabinet Umno serta Ketua Perhubungan Umno Negeri yang baru dilantik. Menyatukan semula klik-klik yang barangkali tidak perlu ini.

Yang buruknya, klik-klik ini pula bercakaran sesama sendiri, serta berlumba-lumba membuka pekung di dada!

Selepas One Malaysia, barangkali DS Najib boleh mempromosi 1Umno untuk semua ahli Umno menghayati slogan Umno: Bersatu - Bersetia - Berkhidmat. Bersatu dalam Umno dan mengenepikan kepentingan peribadi demi memastikan keberlangsungan Umno!

Itu pun, kalau mahu menjawab soalan anak saudara saya itu!

Saturday, April 25, 2009

Kita Akan Ikut Cakap Siapa?

Salam,

Kabinet memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan. Keputusan ini disampaikan oleh Datuk Nazri Aziz, hasil perbincangan JK Khas yang dipengerusikan oleh TS Koh Tsu Koon.

JAKIM sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan mengurus hal-ehwal Islam dalam negara ini pula menyatakan penentuan status agama anak apabila ibu atau bapanya memeluk agama Islam perlu dilihat daripada aspek syarak dan perundangan. Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),berkata, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Dilaporkan pula, Lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini membantah keputusan Kabinet ini. Menurut mereka, keputusan yang bersifat reaktif terhadap tekanan daripada masyarakat bukan Islam tidak wajar dilaksanakan kerana ia dibuat tanpa melibatkan perbincangan menyeluruh dengan para mufti, pakar perundangan dan NGO Islam.

Sementara itu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mahu jemaah menteri mengkaji semula keputusan berhubung perkara ini. Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang yang terkejut dengan keputusan tersebut berkata, ia seolah-olah menggambarkan adanya usaha campur tangan dalam urusan pentadbiran mahkamah di Malaysia.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, sebarang keputusan membabitkan agama Islam sepatutnya dibincangkan dengan Majlis Mufti-Mufti Malaysia terlebih dahulu. Sambil menyatakan dukacitanya dengan keputusan Kabinet itu, beliau berkata, jika keputusan itu dikekalkan, ia menimbulkan kekeliruan kerana bertentangan dengan ajaran Islam.

YB Zulkifli Nordin MP Kulim pula ada kenyataan akhbar berkaitan isu ini.

Datuk Nazri Aziz
juga dilaporkan berkata walaupun Kabinet telah membuat keputusan, kerajaan tetap bersedia mendengar pandangan rakyat sekiranya mereka berpendapat langkah terbaru itu mempunyai kelemahan.
Sebab itu kita wajar memberi pandangan. Saya berpendapat, kita mesti berlaku adil. Letak satu-satu perkara di tempatnya. Kabinet jangan mengatasi Perlembagaan, jangan mendahului keputusan mahkamah, juga jangan terlalu beralah untuk memuaskan hati sebilangan yang lain - demi undi mereka yang belum pasti!

Dalam memenuhi tuntutan ibu yang belum menerima hidayah dalam penjagaan anak, jangan dinafikan hak bapa yang menemui kebenaran. Jangan sampai dilihat Islam tidak kondusif kepada saudara baru!

Dan harapan kita keputusan ini bukanlah transformasi yang dijanjikan!

Friday, April 24, 2009

'Kabinet' UMNO

Salam,

Senarai Kabinet UMNO:

Presiden : YAB Dato Seri Najib Razak
Tim. Presiden : TS Muhyidin Yasin
SUA : DS Tg Adnan Tg Mansor
Bendahari: Datuk Ahmad Husni Hanadzlah
K. Penerangan : Datuk Ahmad Maslan

Ketua Perhubungan Negeri:

Perlis : DS Dr Isa Sabu
Kedah : DS Shafie Apdal
PP : DS Ahmad Zahid Hamidi
Perak: DS Dr Zambry Abd Kadir
Selangor : DS Najib Razak
WP: TS Muhyiddin Yasin
N9: DS Mohamad Hasan
Johor: DS Abd Ghani Othman
Pahang: DS Adnan Yakop
Terengganu: DS Hishamuddin Hussein
Kelantan : DS Mustapa Mohamed
Sabah : DS Musa Aman

365 Hari!

Salam,


Syukur Alhamdulilah, hari ini blog ini mencecah usia setahun jagung - 365 hari bersama berkongsi denyut nadi perkembangan semasa, khususnya di bidang politik.


Bermula suka-suka, selepas kembali dari satu Program Bengkel di Tg Rhu, Sepang, kini blog ini secara tuntas akan menyatakan kebenaran walaupun pahit!


Sempena ulang tahun 1 blog ini, beberapa perubahan 'fizikal' akan dilakukan. Namun, isi kandungannya tetap akan menegur - tidak kira siapa - secara berhikmah, mengikut tradisi kita.


Nama dan slogan blog ini juga diubah, sesuai dengan perkembangan semasa. Ini juga bersesuian, kerana bermula hari ini, bukan saya sahaja yang akan menulis di blog ini. Terdapat dua orang lagi sahabat akan turut sama menyumbang idea.


Terima kasih kepada para pengunjung, juga para pemberi komen, sama ada yang bernama atau tanpa nama. Terima kasih juga kepada Penggabung Suara, Debat Rakyat, Mandat dan jemaah BPN serta blog-blog lain, kerana membuatkan kehadiran blog ini disedari!


Semoga blog ini mampu terus bersuara, demi negara tercinta bernama MALAYSIA!


Pandangan ustazSAID – Katakan Benar Kepada Kebenaran!


Thursday, April 23, 2009

Penasihat Umno jawab isu MB Perak

Salam,

Dicatatkan tulisan Penasihat Undang-undang Umno berkaitan kes Perak, sebagai jawapan kepada isu yang dibangkitkan oleh Hanipa Maidin, dalam Harakahdaily. Selamat membaca!

Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa penggantungan Menteri Besar BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam exco kerajaan negeri itu oleh Speaker DUN Perak, V Sivakumar batal dan tidak sah, adalah konklusif dan tidak boleh dipertikaikan, kata Penasihat Undang-undang Umno, Datuk Hafarizam Harun.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, ia juga bukan akademik semata-mata tetapi menjawab persoalan kepada tindakan pertama dan lain-lain yang berkaitan dengannya.

Katanya, sejak Mahkamah Persekutuan membuat keputusan pada 16 April lalu, banyak telah diperkatakan di dalam blog dan lamanweb tentang kesan atau impak keputusan tersebut, termasuk Pengerusi Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS pusat, Hanipa Maidin dalam harakahdaily.net pada 20 April lalu.

"Justeru itu, saya selaku petua pasukan undang-undang yang bertanggungjawab dalam kes berkenaan merasakan perlu berikan penjelasan sebaliknya dan menyerahkan kepada pembaca untuk membuat kesimpulan sewajarnya," tegas Hafarizam.


Selanjutnya baca di sini.

Wednesday, April 22, 2009

Semoga Kata Dikota!

Salam,

Dinukilkan cebisan berita dari Utusan, berkaitan banjir di Daerah Beaufort:

RM6.8 juta cegah banjir kilat di Beaufort

KOTA KINABALU 20 April - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri memperuntukkan RM6.8 juta untuk kerja-kerja pencegahan banjir kilat di Beaufort.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, peruntukan tersebut adalah langkah pertama untuk mengatasi masalah berkenaan yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, sebagai permulaan, dua batang sungai berdekatan daerah tersebut akan dikorek dan didalamkan.

"Kerja mendalam dan melebarkan Sungai Ulu Klias yang kini dalam pelaksanaan menelan kos RM5 juta, begitu juga dengan satu lagi projek pencegahan banjir iaitu Skim Saliran Limbawang dengan kos RM1.8 juta," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan lisan Kamarlin Ombi (BN-Lumadan) berkenaan tindakan kerajaan negeri dalam menangani masalah banjir kilat di Beaufort.

Kita tidaklah berniat untuk mengulas lanjut berita ini. Warisan Tamar sudah pun mengemukakan pendapat ahli akedemik idea yang boleh membantu bila berhadapan dengan bencana alam.

Cuma harapan kita, semoga banjir di daerah ini , kalaupun tidak dapat diatasi, dapat dikurangkan kesan kerosakannya pun sudah memadai!

Tuesday, April 21, 2009

Komen Pemikiran Dangkal!

Salam,

Apabila saya bertanya, Adakah Lagi Mahu Mendengar dan memahami titah Sultan Perak dan Raja Nazrin Shah, seorang pengunjung Tanpa Nama meninggalkan komen berikut:

Anonymous said...

Ada....Ustaz said,Lebih baik Tuanku Harus berterus terang bahawa "Hanya umno/bn saja yang beta suka". yang lain boleh pi.......

Daripada tulisannya, dapat difahami orang ini tentulah bukan penyokong BN/Umno. Mungkin dia menyokong lawan kepada BN/Umno. Tidak kisahlah sokongannya, namun apa yang tertulis menunjukkan kedangkalan pemikirannya.

Bukankah dalam titah tersebut tidak disebut pun oleh kedua-duanya sokongan mereka. Mereka cuma mengingatkan, orang Islam khususnya di negara ini, tentang peri pentingnya kedaulatan raja-raja yang didukung oleh Raja Berperlembagaan dipertahankan.

Mungkin ada yang terasa, bila disebut 'parti politik tertentu', yang ditegur seolah-olah tidak pernah membuat salah, seperti sifat para nabi yang terpelihara daripada dosa - maksum. Ditegur juga perbuatan menghentam raja di pentas politik sedang raja tidak 'berupaya' memberikan jawapan.

Siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya. Apa yang digusarkan jika parti politik tertentu itu bukan parti yang penulis komen sokong!

Kalau pun benar, andaian penulis komen yang Tuanku Sultan tidak berkenan dengan parti lain selain BN/Umno...padanlah. Tuanku menyedari kelemahan dan kesilapan BN, namun jasa yang terlihat sepanjang 52 tahun memerintah menjadi bukti keberkesanannya. Berbanding PR yang diberi peluang 11 bulan, bukan jasa yang ditabur...tapi sepanjang masa asyik menyalahkan orang lain!

Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih...sebab tu mungkin Sultan tidak berkenan!

Tanpa sebab munasabah, tiba-tiba ja resign...manalah Sultan suka!

Monday, April 20, 2009

Adakah Yang Mahu Mendengar?

Salam,

Titah Diraja berbentuk nasihat dan peringatan yang disuarakan oleh Raja Dr Nazrin dan Tuanku Sultan Azlan Shah, sangat berguna dijadikan pedoman dalam mengharungi kehidupan sebagai rakyat Malaysia yang mendukung sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Jika apa yang dititahkan difahami dan dihayati, oleh semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan pegangan politik, pasti kehormanian hidup di kalangan rakyat jelata akan terus terpelihara. Suasana tidak stabil dan tidak harmonis seperti yang dilihat di Thailand, tidak mungkin akan berlaku di sini.

Diingatkan antara lain, jangan dipadam 'pelita' yang menyala kerana menyangka hari siang ditemani matahari, sedang hakikatnya matahari pasti akan terbenam. Ketika gelap malam, pelita sangat berguna dan akan diperlukan. Juga diingatkan, jangan membuang air tempayan kerana mengengar guruh di langit, sedang hujan belum pasti turun!

Malangnya, adakah lagi yang mahu mendengar dan memahami titah ini ?

Bila rakyat ( segelintir sahaja ), terpesona keindahan pelangi, mengejar bayang-bayang, tertipu oleh fatamorgana...bentangkan sejuta fakta, huraikan seribu nasihat...pasti tidak akan didengar lagi. Apalagi jika ia tidak menguntungkan!

Harapnya, titah ini akan difahami mereka...negara ini bukan republik!

Sunday, April 19, 2009

Pilihlah Keputusan Terbaik...

Salam,

Gelanggang PRK Penanti sedia menunggu dibuka. Pertarungan antara Umno/BN dan lawannya pasti PKR / PR. Mungkin Bebas akan turut serta untuk memeriahkannya.

Datuk Najib dilaporkan BN menimbang kemungkinan tidak menyertai pesta pilihanraya kali ini. Soalnya kenapa?

Ya kita tidak suka tindakan mengosongkan kerusi untuk kepentingan peribadi. Atas apa alasan pun, memang tidak wajar seorang wakil rakyat mengosongkan kerusi yang diamanahkan pengundi. Apalagi jika ia dilakukan dengan sengaja untuk menguji populariti parti.

Perbuatan sebegini walaupun dibenarkan undang-undang, amat tidak bertanggungjawab. Bayangkan perbelanjaan yang terpaksa digunakan, masa yang terbuang dan 'kesulitan' yang dialami oleh para pengundi untuk memilih wakil baru. Jika memilih wakil rakyat baru kerana wakil lama meninggal dunia, mungkin agak mudah difahami.

Namun, jika BN mengambil keputusan memboikot PRK Penanti, ia juga termasuk perbuatan tidak bertanggungjawab. Soal kalah menang bukan ukuran. Tiada siapa yang berani menjamin kemenangan dalam mana-mana PRK. Semuanya bergantung dengan ketentuan Illahi dan gerakkerja kempen.

Jika BN sudah menyedari kelemahannya, ambillah tindakan segera untuk membaiki dan mengatasi segala permasalahan. Janganlah sampai 2 tahun untuk membetulkan soal remeh. Senarai prioriti perubahan yang hendak dilaksanakan mestilah sudah dibuat. Dahulukan yang utama, dan belakangkan sedikit yang kurang utama. Pokoknya, perubahan yang dijanjikan dikotakan!

Sepatutnya begitulah hendaknya yang wajar dilakukan oleh BN. Buat persediaan rapi dan munasabah. Serahkan kepada rakyat untuk menilai presatasi BN. Jika akhirnya keputusan masih jauh dari kemenangan, terimalah dengan dada lapang. Mungkin untuk maksud PRK Penanti ini, post-mortem 4 PRK yang tewas boleh digunakan?

Rasanya, tidak menyertai PRK Penanti bukanlah keputusan terbaik.

Friday, April 17, 2009

Kita Teruskan Pesta...

Kita Teruskan Pesta...

Salam,

Mohd Fairus Khairuddin ADUN Penanti dari PKR, selepas meletakkan jawatan sebagai TKM dan Exco Pulau Pinang pada 8 April lalu, hari ini nekad meletakkan jawatan sebagai ADUN.

Dalam tempoh 60 hari, pesta pilihanraya pasti akan tiba. Belum pun kebah penat di 2 Bukit 1 Batang, kita akan dihidangkan lagi dengan aksi kempen pilihanraya.

Kecuali PRK Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Batang Ai yang kehilangan wakil rakyat, PRK di Permatang Pauh, Bukit Selambau dan bakal menyusul Penanti, PRK akan diadakan gara-gara untuk memuaskan hati wakil rakyat.

Ironinya, 2 + 1 PRK diadakan apabila wakil rakyat PKR bertindak meletakkan jawatan. Satu untuk memberi laluan kepada suami, satu sebab misteri dan satu ini pula katanya untuk membersihkan nama tercemar.

Kecualikan 3 PRK, nampaknya PRK sudah disalahguna untuk memuaskan nafsu pihak berkepentingan. Atau, adakah PKR memang ditubuhkan untuk berpilihanraya?

Nampak gayanya menuju PRU13, kita akan terus menyaksikan pesta pilihanraya. Mungkin elok juga, supaya para pengundi tidak lupa cara memangkah!

Mengapa Sampai Jadi Begini?

Salam,

Tanpa sebarang tanda, tanpa amaran, tanpa ribut, politik Terengganu tiba-tiba berkocak. Kocakannya kali ini bukan alang-alang. Lagi hebat daripada gelora Laut China Selatan.

Dikhabarkan usul undi tidak percaya hendak dibuat ke atas MB, Tok Mad Said. Benarkah ada YB yang seberani itu? Mungkin juga, sebab dunia politik ni serba berkemungkinan. Hari ni menjadi kawan, tidak mustahil esok menjadi lawan.

Lepas tu, khabarnya ada pula YB yang menerima SMS berbaur ugutan. Meminta YB berkenaan jangan buat usul undi tidak percaya. Di akhir SMS, ugutan nyawa boleh melayang. Wah...nampak gayanya politik Terengganu semakin maju. Ala Sri Lanka gitu...

Laporan polis sudah dibuat. Serahkan saja kepada pihak berkuasa. Rasanya, bukanlah masalah besar bagi polis untuk menyiasat punca SMS tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya.

Setakat ini banyak lagi persoalan yang masih belum dirungkai, kisah di sebalik tabir peristiwa yang berlaku. Tok Mad Said pun sudah berjumpa Presiden. Sementara kita menunggu perkembangan selanjutnya, elok juga kita merenung sejenak.

Mengapakah semua ini berlaku? Bukankah MB dan ADUN lain -kecuali 8 dari PAS dan 1 MCA- kesemuanya dari Umno? Tiadakah lagi ruang perbincangan di kalangan mereka? Belum cukupkah kekalahan di Kuala Terengganu menjadi iktibar berguna kepada mereka? Atau barangkali mereka sudah terlupa bahawa pada 1999 - 2004, Umno tidak memerintah di Terengganu...

Tuesday, April 14, 2009

Biasalah...Politik Umno!

Salam,

Ada 2 'kekecohan' berlaku, berkaitan perebutan jawatan:

# Kecoh 1

Di utara, Dr Isa Sabu kata, elok MB jadi Pengerusi Perhubungan Negeri Perlis. Pengerusi sekarang, Shahidan Kassim pula mengesyorkan jawatan yang disandangnya diserahkan kepada TS Muhyiddin Yasin.

# Kecoh 2

Di Selangor, cerita yang sama. Diberitahu majoriti Ketua Bahagian mahu Datuk Najib mengepalai Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, menggantikan TS Muhammad Muhd Taib yang tewas.

Wah, nampak macam hebat...dua-dua negeri mahu Presiden dan Tim. Presiden mengetuai mereka. Makin bertambahlah beban tugas PM & TPM, mengurus parti, negara dan mengurus 2 negeri. Istimewa sungguh Perlis dan Selangor ni..

Belum pun reda pahat berbunyi selepas pembentukan kabinet, ditambah pula 'pahat' penyusunan senarai Perhubungan Umno Negeri. Makin pening la kepala 2 pemimpin atasan kita.

Tidak bolehkah kalau Shahidan dan Muhammad kekal menerajui Umno negeri masing-masing? Bukankah elok kalau mereka ini yang agak 'lapang' meneruskan kerja-kerja parti, berbanding PM, TPM atau MB? Tidaklah nanti bercampur-aduk...

MB laksanakan tugas pentadbiran, Pengerusi Perhubungan jalankan tugas parti. KJ Ketua Pemuda, tidak jadi Menteri pun, ok apa!

Biasalah Tan Sri dan Datuk Seri ...inilah harga yang terpaksa ditanggung apabila tidak lagi berjawatan Menteri @ MB, apalagi kalau kalah dalam pemilihan. Jasa lama 20 tahun...ada lagikah orang pandang?

Soalan: Tidak bolehkah Umno mengubah 'perangai buruk' ini? Hmmm...entahlah.

Monday, April 13, 2009

2 Tahun? Mengapa Terlalu Lama ?

Salam,

Dilaporkan TS Muhyiddin Yasim berkata bahawa 2 tahun adalah tempoh masa yang diperlukan untuk transformasi Umno seperti yang dijanjikan.

Kita rasa tempoh 2 tahun yang diminta adalah terlalu lama. Tiada unsur kesegeraan dan seperti 'lalai'. Mengapa perlu sampai 2 tahun?

Transformasi yang dibising-bising wajar disegerakan. Lebih cepat lebih baik, dan lebih meyakinkan bukan sahaja ahli serta penyokong parti malah rakyat atas pagar, yang ingin melihat Umno benar-benar berubah.

Dibimbangi semakin lambat perubahan dilaksanakan dan semakin lalai pimpinan parti mengambil tindakan, akan menyebabkan lebih banyak masalah yang timbul. Lebih ramai pula yang mencebik bibir tanda bosan!

Apalagi jika perubahan yang diwar-warkan, hanyalah perubahan luaran sahaja. Hanya perubahan kosmetik, nampak semacam retorik. Tentulah ramai lagi yang akan kecewa dan menjuihkan mulut!

Biarlah transformasi ini diambil sebagai prioriti dan dilakukan secara serius, bukan main-main. Bukan hangat-hangat tahi ayam. Bukan dijaja sebagai modal kempen semasa musim pemilihan.

Biar jelas apa yang mahu dirubah, lakukan sekarang, sesegera mungkin...jangan tunggu lama-lama, takut nanti apabila Umno sudah berubah, ia sudah tidak mendapat sokongan lagi...

Sunday, April 12, 2009

Mungkin Masa Untuk IPF...

Salam,

IPF sebuah parti serpihan MIC, berteraskan kaum India ditubuhkan oleh Mendiang Pandhitan. Parti ini ditubuhkan kerana perasaan tidak puas hati kepada Samy Vellu.

Sudah bertahun-tahun memohon masuk BN tetapi tidak berjaya akibat bantahan BN. Sampai ke mati, Pandhitan merayu masuk BN tetapi gagal akibat dasar BN yang tidak akan menerima masuk komponen baru jika ada bantahan.

Biarpun berada di luar BN, IPF konsisten menyokong dan tidak pula memberi sokongan kepada PR. Hati dan jiwa IPF bersama dengan BN. Berbeza dengan HINDRAF yang main kasar.

Mungkin sudah tiba masanya, bagi BN melihat kepada IPF sebagai alternatif kepada MIC terutama Sany Vellu yang nampak gagal menjalankan tugas mempengaruhi kaum India. Selain kekalahan semasa PRU12 lalu, bukti terbaru kegagalan MIC ialah di Bukit Selambau!

Wajar BN menimbang semula kemasukan IPF ke BN untuk mengimbangi MIC. Apalagi IPF khabarnya dianggotai oleh kaum India peringkat akar umbi dan kurang 'dibenci' oleh kaum India berbanding MIC.

IPF wajar diberi pertimbangan, apatah lagi selepas MIC timbang keluar Kabinet. Dilaporkan MIC tidak berpuashati dengan barisan kabinet yang katanya meminggirkan kaum India, dan mengancam bertindak menarik diri daripada kabinet Najib walaupun terus menyokong BN.

Inilah namanya MIC yang tidak sedar diri...Yang dipinggir bukan kaum India, tapi MIC yang asyik gagal dalam pilhanraya. Samy Vellu pun berharap undi orang Melayu untuk menang. Dapat jawatan menteri pun cukup untung.

Ha, Datuk Najib...panggil Presiden IPF tu, ajar sikit si Samy Vellu yang masih rasa muda ni. MCA, Gerakan, Umno sudah 2-3 kali bertukar Presiden, dia masih duduk di situ. Kalau tidak dibenci kaum sendiri tidak apa juga!

Entah-entah HINDRAF pun lahir kerana kebencian kepada MIC dan Samy yang tidak sedar diri!

Saturday, April 11, 2009

Siren Amaran Untuk BN!

Salam,

Dalam kecoh bertepuk tampar, saling berbalas ucapan tahniah kepada yang dilantik serta bersedih kerana tercicir atau tidak dilantik...hendaknya jangan dilupakan kekalahan di PRK 3 hari lalu.

Kekalahan di 2 Bukit dengan majoriti yang bertambah kepada PKR dan PAS, merupakan satu 'tamparan' buat BN. Sementara kemenangan di Batang Air, bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ia memang kawasan tradisi BN.

Kenapa tamparan? Sebab Bukit Selambau dan Bukit Gantang sebelum Mac 2008, adalah kawasan tradisi BN. Di Bukit Gantang umpamanya, BN diwakili Gerakan pernah memenangi kawasan ini, tetapi malang Umno gagal di sini.

Seperti kata Muhyiddin Yasin, satu post-mortem bebas wajar dilakukan. Melihat punca mengapa selepas PRU12 lalu, kemenangan seperti amat jauh dari BN. Jika trend ini berterusan, dan BN tidak peka dengan perkembangan yang berlaku, kita khuatir 'pukulan maut' akan menjelma nanti.

Post-mortem ini wajib menyatakan kebenaran, dengan jelas, telus dan berani, tanpa berselindung. Agar kelemahan dapat diatasi segera dan diaplikasi pada pilihanraya akan datang. Jika terpaksa mendesak Samy Vellu berhenti jadi Presiden MIC, katakan kepada Samy...cukuplah!

Keahlian 'Suruhanjaya Bebas Post-Mortem' ini biarlah dianggotai oleh ahli yang tidak memihak, berani menyatakan kebenaran dan berani menyampaikan kepada pihak atasan. Malah berani pula memastikan cadangan dilaksanakan.

Biarlah ahli suruhanjaya ini nanti mencari punca penyakit, cara merawat dan cadangan pilihan kepada rawatan penyakit BN ini. Ahli-ahli yang dilantik pula biarlah 'doktor pakar' yang berkebolehan, merangkumi semua bidang, yang bergelar dan rakyat biasa tanpa gelaran.

Mungkin blogger boleh diajak sama...

Friday, April 10, 2009

Berikan Mereka Peluang!

Salam,

Tahniah diucapkan kepada yang dilantik dalam jemaah kabinet kerajaan. Yang gugur dan tidak dilantik, janganlah terlalu bersedih. Dunia belum berakhir untuk kalian...

Melihat senarai kabinet ini, tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah barisan 'terbaik' dan menepati citarasa rakyat. Adakah ia juga mewakili semangat One Malaysia?

Jika dilihat harapan kita sebelum ini, Menunggu Senarai Kabinet Najib, ada yang sudah tertunai dan ada juga yang tidak terpeduli. Logiknya pun, tidak mungkin Najib dapat memuaskan hati semua orang.

Ada 6 senator yang dilantik menteri. Mungkin mereka memiliki kepakaran yang tiada pada orang lain, hatta AP yang menang pilihanraya. Soalan, bagaimana Koh Tsu Koon hendak memantau prestasi para menteri, sedang prestasi dia pun 'kalah' pilihanraya?

Ramai muka baru yang diharap menggalas cabaran, di kalangan 'orang muda' cuma berpuashati sebagai Tim. Menteri. Orang Muda yang diminta menyokong kerajaan tapi ketua orang muda tidak tersenarai. Macamana kita nak harap sokongan orang muda?

Secara keseluruhan, kecuali 6 yang baru, kabinet ini hanyalah kabinet 'pusing-pusing' - orang yang sama bertukar posisi! Muka lama diberi nafas baru.

Walau bagaimanapun, kita beri peluang kepada barisan ini untuk membuktikan bahawa mereka juga boleh bekerja, boleh berkhidmat dan boleh menjadi Menteri atau Tim. Menteri yang 'hebat'.

Khusus untuk TS Muhyiddin Yasin...dalam seronok jadi TPM dan Menteri Pelajaran, jangan lupa post-mortem PRK 1-2 tu. Jangan sampai jadi TPM sepenggal aja...

Thursday, April 9, 2009

Kabinet Baru Najib

Salam,

Muka baru:

1. Jamil Khir Baharum -
2. Anifah Aman
3. Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Muka lama diberi nafas baru :

1. Koh Tsu Koon -
2. Shahrizat Abdul Jalil

Kekal, berpindah kementerian :

1. Tan Sri Muhyiddin Yassin
2. Nor Mohd Yakcop
3. Hishammuddin Hussein
4. Rais Yatim
5. Peter Chin
6. Shafie Apdal
7. Mustapa Musthapa
8. Ng Yen Yen
9. Noh Omar
10. Ahmad Zahid Hamidi
11. Shaziman Mansur
12. Ahmad Shabery Cheek
13. Tan Sri Bernard Dompok

Kekal, tidak berubah :

1. Liow Tiong Lai
2. S Subramaniam
3. Datuk Khaled Nordin
4. Datuk Ong Tee Keat
5. Nazri Abdul Aziz
6. Datuk Dr Maximus Ongkili
7. Datuk Douglas Unggah Embas

Naik pangkat:

1. Kong Cho Ha
2. Datuk Ahmad Husni Hanadzlah

Yang 'tercicir' :

1. Datuk Amirsham Abdul Aziz
2. Datuk Seri Syed Hamid Albar
3. Datuk Ong Ka Chuan
4. Datuk Mohd Zin Mohamad
5. Tan Sri Muhammad Muhd Taib
6. Datuk Azalina Othman
7. Datuk Zulhasnan

Soalan: Ada sesuatu yang baru untuk 'One Malaysia' ?

Menunggu Senarai Kabinet...

Salam,

Petang ini, DS Najib akan mengumumkan senarai kabinet baru kerajaan beliau. Diharapkan kabinet yang akan diumumkan nanti adalah barisan yang akan membantu beliau mengemudi pentadbiran kerajaan. Bukan barisan yang membawa rebah!

Diharapkan senarai kabinet itu adalah seperti berikut :

1. AP yang disenangi rakyat, yang bersih, dilihat bersih dan memang bersih.
2. AP yang tidak dibebani oleh persepsi buruk oleh rakyat.
3. AP yang komited, dedikasi dan terbukti Yang Berkhidmat.
4. AP yang memiliki kepakaran atau kebolehan dalam bidang tugas kementeriannya.
5. AP yang setia, jujur dan tiada kemungkinan menyeleweng atau menyalahgunakan kuasa.
6. Tidak apa kalaupun yang kalah dalam pemilihan parti, tapi boleh bekerja.
7. Pilihlah pemimpin bertakwa dan amanah...Insya Allah selamat!
8. Lebih ramai wakil Sabah & Sarawak sebagai menghargai sokongan selama ini!

Penting, BUKAN AP berikut:

1. Terbukti menjadi liabiliti kepada kerajaan dan imej kerajaan baru ini.
2. Yang sudah terpalit dengan 'kekotoran', apalagi yang berdaki.
3. Kerana kawan rapat dan penyokong setia, dilantik kerana membalas jasa.
4. Yang menang Majlis Tertinggi tapi tiada jawatan. Biarkan mereka bekerja mengukuhkan parti.
5. Yang vokal mengkritik kerajaan sebelum ini. Dikhuatiri mereka menjadi 'lembut & cair' bila di dalam kabinet.
5. Elakkan melantik Senator, ramai lagi yang menang...kecuali yang pakar dalam bidang tertentu.

Siapa agaknya AP ni?

Wednesday, April 8, 2009

1-2...

Salam,

Kempen, projek 'mee segera', rayuan, bantuan, segala macam strategi...sudah diatur. Semua 'pembesar' Umno dan kerajaan BN dari pusat dan seluruh pelusuk negeri sudah turun padang. Malah, Tun Mahathir pun turut berkempen.

Apalagi yang tidak kena...gagal di 2 bukit. Cuma berjaya mempertahankan Batang Air. PKR kekal di Bukit Selambau dan PAS di Bukit Gantang. Adakah mereka memang gagah, seperti gagahnya BN di Batang Air?

Nampaknya hanya Datuk Shafie Apdal ja yang lulus...dua lagi gagal dalam misi kali ini Dalam tempoh sehari dua ini, post-mortem mesti segera dilakukan. PM sudah berubah, barisan pimpinan Umno berwajah baru, 13 ISA sudah dibebaskan, Suara Keadilan & Harakah pun sudah boleh dijual. Tun M pun sudah masuk Umno balik!

Mungkin kali ni, BN tewas di 2 bukit sebab berikut:

1. Samy Vellu masih Presiden, MIC belum berubah.
2. Muhyiddin, Zahid & Hishamuddin serta yg lain belum cukup aura menarik sokongan.
3. Chua Soi Lek nampak belum 'bersih'.
atau
4. Kawan-kawan yg ikut Tun M masih di luar, belum masuk balik. Bahayanya, durang tak nak masuk. Terpaksa Tun M cari balik!
atau
5. Sebab Datuk Najib tak turun bantu.
atau pun...
6. Sebab Pak Lah tak tolong kempen!

Tuesday, April 7, 2009

Akhirnya Tun M Kembali...

Salam,

Seperti yang dilaporkan, akhirnya Tun Mahathir kembali ke pangkuan Umno. Sama ada tindakan Tun 'kembali ke pangkal jalan' ini akan membantu menguatkan Umno belum dapat dipastikan.

Tun telah menunaikan janjinya ketika bertindak keluar hampir setahun lalu, hanya akan kembali bila Pak Lah bukan lagi Presiden. Janji ini tertunai sembilan hari selepas DS Najib menjadi Presiden dan sehari selepas menjadi Perdana Menteri.

Istimewanya kepulangan Tun Mahathir kali ini, buat kali kedua, disambut oleh Presiden Umno sendiri. Sesuatu yang jarang berlaku...seorang yang keluar dan diterima semula dengan terbuka. Mungkin Tun dan Ezam serta beberapa orang bekas ahli PKR sahaja yang mendapat keistimewaan ini.

Kembalinya Tun kali ini diharapkan akan membawa sinar baru kepada perjuangan Umno. Paling dekat, diharapkan kemenangan BN ( dan Umno ) akan menjelma di 3 PRK malam nanti. Tun juga sudah pun menyertai kempen BN kali ini.

Tanpa menafikan jasa dan pengaruh serta populariti Tun, diharapkan juga Tun akan mampu meraih kembali sokongan orang Melayu kepada Umno dan bukan Melayu kepada komponen BN lain. Rasanya, bukan sedikit yang beralih sokongan sebelum ini gara-gara terpengaruh dengan Tun...bantahan, bangkangan, kritikan, sindiran, bidasan dan akhirnya bertindak keluar Umno.

Adakah mereka akan turut sama kembali menyertai Umno atau menyokong BN semula? Hmm entahlah...kita tengok malam nanti!

Monday, April 6, 2009

BN Ketinggalan Di Bukit Gantang ?

Salam,

Sejak sebelum merdeka, ketika itu dikenali Perikatan sehingga kini Barisan Nasional memang terkenal dengan gagasan perkongsian kuasa di kalangan 14 parti komponennya yang mewakili pelbagai kaum dan agama.

Sudah terbukti gagasan BN ini berjaya membawa Malaysia membangun dan maju seperti yang dinikmati hari ini. Memang banyak lagi yang perlu dibaiki, dan ini menjadi cabaran buat BN pada masa akan datang.

Hari ini, gagasan BN dicabar oleh gabungan PKR, PAS & DAP - yang menggelar diri mereka Pakatan Rakyat. Mampukah gagasan PR ini menyaingi BN?

Mungkin tidak pernah dalam sejarah, pemimpin bukan Islam BN, dalam berkempen menyokong calon beragama Islam di hadapan penyokong pelbagai kaum, dalam pilihanraya, menggunakan ayat suci Al-Quran sebagai bahan meraih sokongan.

Di PRK Bukit Gantang, PR membuktikan 'perkongsian' mereka cukup hebat sehingga MP Taiping, Nga Kor Ming cukup lancar membaca ayat suci Al-Quran - dengan sebutan surah yang tiada dalam Al-Quran - siap dengan maksudnya sekali. Tidak pasti, sama ada bacaan ini disambut dengan takbir...

Di Batang Ai pula, PR cukup toleran sehingga Anwar Ibrahim menyalahkan Umno - parti yang pernah didukungnya - kerana tidak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam. Mungkin jika PR dapat memerintah, 4 kalimah yang dilarang akan dibenarkan.

Nampaknya, PR sudah tidak peduli dengan sensiviti umat Islam. Demi kemenangan pilihanraya, PAS juga rela berkorban untuk sama-sama pemimpin DAP membaca Al-Quran dan merelakan Anwar Ibrahim menggunakan kalimah Allah sebagai senjata politik. Ketamakan kepada kuasa nampak gayanya telah mengubah pemikiran manusia menjadi tidak rasional!

Dari segi ini, BN memang ketinggalan. Bukan sahaja di Bkt Gantang, malahan di Bukit Selambau dan Batang Ai...Adakah umat Islam cuma berdiam diri dan membiarkan 'permainan' ini berterusan?

Sunday, April 5, 2009

Warkah Untuk PM Najib...



Salam,

Pada hari-hari awal bertugas sebagai PM keenam Malaysia, hendaknya Datuk Seri berkelapangan membaca warkah ini.

Sama seperti 28 juta rakyat pelbagai kaum, blog ini berharap Datuk akan memimpin negara ini dengan amanah, bijaksana dan penuh tawadhuk.

Laksanakan keadilan sepertimana adilnya Saidina Abu Bakar, tegas sebagaimana Saidina Umar, berkasih-sayang seperti Saidina Uthman dan berhikmah seperti Saidina Ali. Serta penuh mahabbah wa rahmah sebagaimana pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Harapan kami Datuk akan terus memacu kemakmuran negara, demi kesejahteraan rakyat jelata. Jangan ada hendaknya rakyat terpinggir dan tersisih di tengah arus kemajuan. Si kaya dan si miskin terus dekat dengan perhatian Datuk, tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit.

Dalam kesibukan membangunkan negara, janganlah dilupakan pembangunan luar bandar. Orang kampung masih dahagakan kemudahan asas yang belum sempurna, mengharap perhatian istimewa Datuk. Ada banyak lagi perkara yang Datuk boleh laksanakan untuk mengangkat darjat penduduk luar bandar.

Dengan pengalaman yang dimiliki, kami yakin Datuk akan berjaya mengemudi negara tercinta ini menuju kegemilangan, sebagaimana yang telah diasaskan oleh 5 PM terdahulu.

Tahniah diucapkan kepada Datuk...tugas ini bukan untuk kebanggaan tetapi adalah tanggungjawab. Jika Datuk mengemudi dengan baik, blog ini tidak 'mengacau', dan harapnya Datuk dapat menunaikan tanggungjawab ini dengan cemerlang.


Semuanya dengan petunjuk Allah jua...SELAMAT BERTUGAS DATUK SERI!

Saturday, April 4, 2009

Lain Mengidam, Lain Yang Merasa!

Salam,

Ini bukan peribahasa Melayu. Kata-kata ini cuma menggambarkan situasi terkini politik negara.

Tahun lalu, selepas pilihanraya yang dimenangi BN, seorang pemimpin mewar-warkan bahawa akan berlaku perubahan dalam pentdbiran kerajaan. Tanpa segan-silu, orang itu meramal kerajaan BN pimpinan Pak Lah akan jatuh.

16hb September dijadikan dateline penubuhan kerajaan baru, dengan sejumlah MP BN akan melompat parti dan menyertai kerajaan yang bakal ditubuhkan. Dia menjadikan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri kepada kerajaan campuran yang berlainan ideologi dan berlainan mimpi.

Keazamannya semakin kuat apabila dia memenangi kerusi Permatang Pauh. Slogan diberi: Dari Permatang Pauh Ke Putrajaya. Keyakinan tingginya disokong penuh oleh kawan-kawannya sealiran, tidur sebantal mimpi lain-lain.

Anda tentu dapat meneka dengan tepat, siapa dia?

Ya,hari ini apa yang diramalkan menjadi kenyataan. Segala fantasi menjadi realiti. Walaupun cubaan mengagalkan perubahan ini berterusan, sehingga ke saat akhir. Dicanangkan bahawa SPB YDP Agong tidak berkenan kepada perubahan yang dirancang.

Lain mengidam lain yang merasa. Memang Pak Lah turun daripada kerusi empuk PM tapi yang akan duduk di kerusi tersebut ialah Datuk Seri Najib. Bukan pemimpin yang mengidam sebelum ini.

Kecuali berlaku takdir lain, nampaknya selepas ini di Dewan Rakyat, kerusi no.1 akan diduduki oleh MP Pekan bukan Permatang Pauh...

Friday, April 3, 2009

SELAMAT BERSARA PAK LAH!

Gambar Utusanonline
Salam,

Dijadualkan hari ini adalah hari terakhir Pak Lah menyempurnakan tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelima, dengan Pak Jib akan memulakan tugas PM keenam.

Pak Lah akan mengakhiri tugas sebagai PM dengan catatan 'tinta emas' yang panjang. Tanpa ada sesalan, pasti Pak Lah akan 'pergi' dengan meninggalkan kerusi empuk Ketua Eksekutif pemerintahan negara dengan tinggalan yang akan dikenang dalam lipatan sejarah.

Dasr Terbuka, Pelan Integriti, Pencegahan Rasuah, Penambahbaikan Perkhidmatan Awam dan Polis, Pertanian Adalah Perniagaan dan Islam Hadhari, adalah sebahagian legasi tinggalan Pak Lah. Mungkin tidak sesempurna seperti yang diharapkan, namun usaha awal Pak Lah merintis perjuangan tidak dapat dinafikan.

Pasti akan terus diingati, kemenangan besar BN dalam PRU 11 tahun 2004. Pembangkang diberi pukulan mati dalam kejayaan gilang-gemilang tersebut. Kalau pun dikira kegagalan, kekalahan BN dalam PRU 12 tahun 2008 bolehlah dikira Pak Lah gagal mengendalikan asakan berterusan, bukan sahaja oleh pembangkang tetapi oleh 'orang dalam'.

Pak Lah mungkin tidak meninggalkan monumen cantik dan indah untuk kita tatapi, namun usaha Pak Lah mengasas kempen modal insan jauh lebih indah untuk kita ingati. Apa pun cabaran yang telah dihadapi Pak Lah selama 5 tahun pemerintahannya, ketenangan yang ditunjukkan beliau menghasilkan banyak kejayaan, sebahagiannya tidak mungkin kita lihat sekarang.

Melihat kegigihan Pak Lah mendaki anak tangga satu demi satu dalam kerjaya politiknya, pasti wajar dijadikan teladan. Pak Lah bukan setakat berjaya dan menggapai kemuncak kejayaan, malah pernah tewas dan pernah tidak diberikan peluang langsung mencapai apa yang dikecapinya hari ini.

Hakikatnya, Pak Lah adalah contoh pemimpin berjiwa besar - mendahulukan kepentingan parti dan negara mengatasi kepentingan sendiri. Sanggup 'berhenti' dan memaafkan orang lain ketika berada di puncak kuasa!

Selamat Bersara Pak Lah! - Namamu pasti akan terus diingati...

Thursday, April 2, 2009

UNDILAH SIPADAN!

Salam,

Ini bukan kempen pilihanraya kecil. Tiada kaitan dengan Bt Gantang, Bt Selambau atau Batang Ai. Sesekali kita release, jangan cerita pasal PRK...

Pulau Sipadan, sebuah pulau pelancongan terletak di Timur Sabah. Menjadi kegemaran kepada perenang skuba kerana keindahannya, terutama perairannya yang belum tercemar dan sangat indah.

Pulau Sipadan telah dicalonkan sebagai salah satu daripada 7 keajaiban dunia yang baru, dan akan bersaing dengan beberapa lokasi dan monumen lain. . Untuk ke pusingan akhir, Pulau Sipadan mesti menduduki sekurang-kurangnya tempat ke-11.

Supaya pulau cantik ini dapat bersaing dan akhirnya terpilih sebagai satu keajaiban, semua dijemput untuk mengundi. Mungkin ini satu cara kita membantu sebuah pulau di negara kita mencatat nama di persada antarabangsa.

Bagi yang tidak mengundi di PRK 2 Bukit 1 Batang atau tidak dapat mengundi semasa Perhimpunan Agung Umno, undilah di sini.http://www.new7wonders.com/nature .

UNDILAH SIPADAN!!!

Wednesday, April 1, 2009

Apa Beza Fakta & Persepsi?

Salam,

Apabila Datuk Shafie Abdullah, Ragunath Kesavan dan Prof. Shad Saleem al-Faruqi berhujah dengan Prof. Dr. Agus Yusof berkaitan krisis politik dan undang-undang di Perak, banyak perkara tersembunyi sebelum ini 'terdedah'.

Terima kasih TV9 yang proaktif membawa kepada umum banyak fakta berkaitan isu Perak, banyak persepsi yang selama ini berlegar-legar di kalangan masyarakat rasanya sudah terjawab melalui fakta HUJAH.

Adakah kita semua akan bersetuju? Tidak mungkin.

Pasti ada saja alasan yang diberi sama ada hujah panel itu diterima atau ditolak. Namun dari satu segi, fakta yang terselindung selama ini sudah pun mula tersirna. Bahawa ada banyak fakta rupanya selama ini yang tidak diambil peduli - sama ada sengaja atau pun tidak. Kita rupanya lebih banyak dihantui persepsi...

Adakah fakta yang sudah 'terburai' akan mempengaruhi pengundi di Bukit Gantang membuat pilihan? Sukar untuk ditentukan...kena tunggu 7hb April nanti.

Yang nyata, pengundi di Bukit Gantang, juga di Bukit Selambau dan Batang Ai, hendaklah menjauhi persepsi dalam menentukan wakil mereka.

Fikiran yang waras, disertai pertimbangan terhadap perkara yang terpampang di depan mata, termasuk hujah pd malam ini, seharusnya dijadikan asas kukuh dalam menilai calon dan parti yang hendak dipilih!

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin