Search This Blog

Loading...

Saturday, May 30, 2009

Penanti : Benar dan Tepat...


Salam,


Tinggal sehari untuk mengundi, Pengerusi PKR P.Pinang, Zahrain Hashim menempelak calon Bebas Siti Aminah Abdullah. Seharusnya Kak Min menumpukan perhatian kepada kempen pilihanraya, bukannya mengungkit perkara yang tidak berkaitan.


Zahrain 'naik angin' apabila Kak Min dalam kempennya bertindak membuka pekung PKR. Kak Min berkempen 'menelanjangkan' PKR dan memperlihatkan wajah sebenar PKR.


Ya, kita setuju, sewajarnya Kak Min menjelaskan kepada pengundi DUN Penanti apa yang mampu dilakukannya, jika dia dipilih sebagai wakil mereka. Apa agenda dan perubahan yang bakal dibawanya dalam membela nasib rakyat Penanti, berbanding wakil mereka yang terdahulu.


Sememangnya menjadi kewajipan setiap calon dan parti yang bertanding dalam mana-mana pilihanraya untuk mempromosi tawaran yang mereka akan buat apabila diberi peluang. Sebagai wakil rakyat, sewajarnya pengundi diberi tawaran yang memungkinkan suara rakyat itu didengari dan diambil perhatian.


Namun biarlah tawaran itu realistik, munasabah dan memang mampu dilaksanakan. Bukan janji kosong yang penuh dengan retorik, langsung tidak berpijak di bumi nyata.


Benar dan tepat, cuma mungkin Zahrain terlupa satu perkara. Ingatan baiknya ini wajar juga ditujukan kepada tukang kempen PKR, kerana apa yang terlihat di Penanti bertentangan dengan kata-katanya.


Bukankah kempen PKR juga langsung tidak berkaitan dengan pilihanraya, apabila yang banyak dibicarakan ialah keputusan Mahkamah Rayuan. Malah yang lebih buruk lagi, kritikan banyak pula dihalakan kepada BN/Umno, parti yang tidak bertanding!


Nampaknya Zahrain dan PKR lebih kurang sama ja dengan Kak Min!

Friday, May 29, 2009

Senarai Terkaya... Apalagi Yang Kurang?

Salam,

Daripada 10 orang terkaya negara kita, 8 daripadanya adalah rakyat Malaysia berketurunan Tionghua. Cuma seorang berketurunan India dan seorang berketurunan Melayu.

Melihat senarai individu terkaya ini, menafikan terus tanggapan wujud diskriminasi kaum oleh pemerintah kepada kaum tertentu, seperti yang dipercayai segelintir rakyat Malaysia.

Senarai ini juga boleh menutup mulut para pengkritik kononnya pemerintah mengutamakan kaum bumiputera dan mengabaikan kaum bukan bumiputera, sehingga wujud andaian bukan bumi sebagai werga kelas kedua.

Akibatnya muncul gerakan kesamarataan - perjuangan menghapuskan DEB, hak sama rata dan janji itu ini kononnya untuk semua werga.

Sedangkan realiti yang berlaku, semua orang berhak dan berpeluang untuk maju dan boleh menjadi jutawan...jika ada kemahuan, tanpa mengira kaum, agama atau warna kulit. Pokoknya usaha, ikhtiar.

Malangnya, semua ditumpukan kepada pemerintah hatta kerana sikap malas sendiri pun disalahkan juga kerajaan. Kegagalan membantu diri atau kaum sendiri, terjadi atas pelbagai faktor, bukan tanggung jawab pemerintah sahaja!

Janganlah disalahkan Datuk Noh Omar, jika ayam diternak tidak mahu bertelur!

Thursday, May 28, 2009

Paku Dulang Paku Serpih...


Salam,

Apabila Datuk Nasa melompat kembali selepas keluar Umno, dia ditohmah sudah dibeli. Apatah lagi bagi 3 YB Osman, Jamaluddin dan Hee Yit Foong, tentulah tohmahan ini bertambah kuat kerana 3 YB inilah menyebabkan tersungkurnya Kerajaan Pakatan Perak.


Sengsara para YB ini menanggung tohmahan, walaupun sudah dinafikan berkali-kali. YB Hee lebih teruk dihina dengan dilempar wang kertas dan syiling oleh 'bekas' rakan seperjuangannya semasa Sidang DUN Perak 7 Mei lalu.


Tohmahan pembelian YB ini terus dialunkan sehingga seolah dipercayai kerja jahat ini memang berlaku. Soal para YB ini sedar dan insaf dengan kesilapan mereka selama ini tidak lagi berbangkit. Silap memilih wadah perjuangan yang kelihatan bersih tetapi kemudiannya disedari indah khabar dari rupa.


Di Penanti, kutukan terhadap kegiatan membeli ini terkena batang hidung PKR sendiri. Cubaan merundingi calon Bebas, Kak Min bekas orang kuat PKR agar tidak bertanding dan dijanjikan jawatan, membuka tembelang sebenar PKR. Paku dulang paku serpih, mengata orang PKR yang lebih!


Apa pun alasan PKR berikan, jelas dan nyata PKR sebagai parti politik sememangnya memiliki kecenderungan untuk 'bermain' politik. Menang dengan cara mudah, tanpa saingan dan dapat menewaskan lawan tanpa mengeluarkan peluh adalah sebahagian rencah politik, selagi ada peluang dan tidak melanggar undang-undang. Dalam politik Malaysia soal moral bukanlah kriteria utama!


Adakah PKR akan berhenti melakukan tohmahan tidak berasas selepas ini, selepas apa yang kita saksikan di Penanti, PKR terpaksa bergasak dengan cuma seorang calon Bebas?


Rasanya tidak...sebab PKR tidak mungkin bernyawa tanpa tohmahan, tuduhan tanpa bukti, mainan persepsi dan retorik!

Wednesday, May 27, 2009

Mahkamah 'Dibeli'?


Salam,


Ramai orang kata mahkamah kita mudah diatur. Ramai percaya keputusan yang dibuat oleh mahkamah sudah ada skrip, terutama apabila keputusan tidak menyebelahi diri sendiri. Sebab itu, ramai juga yang yang hilang kepercayaan terhadap mahkamah.


Persepsi ini semakin ketara selepas Mahkamah Rayuan memutuskan DS Zambry MB Perak yang sah. Pelbagai tanggapan dilontarkan kepada mahkamah, bukan sahaja oleh rakyat biasa malahan oleh para pemimpin peringkat atas. Seolah-olahnya mahkamah kita langsung tidak boleh dipercayai!


Kata mereka sistem kehakiman sudah dinodai. Mahkamah sudah dibeli oleh pihak pemerintah. Keputusan sudah diatur untuk memenangkan Barisan Nasional. Di Penanti keputusan Mahkamah Rayuan dijadikan modal kempen. Malah di Perak, ada yang sanggup bermogok lapar dek kerana tidak puas hati.


Namun rupanya, dalam ramai percaya wajah buruk mahkamah, wujud juga seramai 80 orang yang percaya kepada mahkamah. Kumpulan ini menyerahkan kepada mahkamah menentukan status mereka, walaupun kerajaan sudah melepaskan jawatan mereka sebagai ketua kampung.


Kita percaya, jika benar mahkamah sudah diatur dan tidak boleh dipercayai, tidak mungkin kumpulan ini pergi mahkamah lagi. Ertinya, masih wujud di kalangan mereka yang percaya kepada kebebasan mahkamah.


Cuma nasihat kita kepada kumpulan ini, jika sudah menyerahkan kes kepada hakim, bersedialah menerima keputusannya. Jangan pula nanti, bersorak-sorai gembira jika menang tetapi mengutuk pula hakim jika kalah. Perbuatan begini amat buruk dan tidak boleh diterima di kalangan manusia bertamadun.


Serahkanlah kepada kebijaksanaan Yang Arif membuat keputusan. Jangan nanti ada pula ‘Ketua Kampung Mahkamah’!


Tuesday, May 26, 2009

Jawapan Untuk PPP, Tendang Keluar!

Salam,

Imej BN jatuh merudum terutama selepas dilanda Tsunami politik pada PRU12 lalu. Terlepas genggaman di 5+1 negeri dan kehilangan majoriti 2/3. Malah ada Presiden parti komponen yang tewas.

Usaha memperkukuhkan BN sedang dipergiatkan oleh pimpinan baru BN, termasuk mewujudkan jawatan Penyelaras BN dan cadangan Puteri BN. Semua dilakukan untuk memastikan keberlangsungan BN menjelang PRU13.

Bagaimanapun, usaha pemulihan ini tidak mungkin akan berjaya tanpa kerjasama daripada semua parti. Komitmen dituntut di setiap peringkat gabungan BN. Tanpa kompromi, semua parti wajib memperkemaskan jentera dan mengelakkan konflik sama ada sesama parti gabungan atau di dalam parti masing-masing.

Namun, situasi pasti akan bertambah parah dan pemulihan akan gagal jika melihat apa yang berlaku dalam PPP. Sebuah parti yang tidak pernah sunyi daripada kontroversi, walaupun prestasi dalam pilihanraya sangat mengecewakan. Dua kerusi diperuntukkan, pada tahun 2004 menang satu dan tahun lalu, kalah kedua-duanya.

Kini PPP ada dua Presiden, Kayveas dan Murugiah. Jika gaya politik zaman purba masih diamalkan, memecat ahli yang bakal mengancam kedudukan, seperti yang dilakukan Kayveas, pasti kemelut PPP sukar untuk berakhir.

Jawapan paling mudah untuk PPP ialah keluar dari BN dan selesaikan kemelut dalaman sehingga selesai. Sememangnya pun Kayveas sebelum ini pernah mengancam untuk keluar BN jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.Biar PPP 'berperang' di luar BN supaya imej BN tidak terus tercalar.

Atau, jika PPP enggan tapi tetap gagal mengatasi kemelut dalaman, jawapnya: Tendang Ja Keluar!

Monday, May 25, 2009

Musuh Dalam Selimut PAS


Salam,


Datuk Dr. Harun Din di Seminar Kepimpinan Ulama, mengingatkan PAS supaya berwaspada dengan ‘musuh dalam selimut’. Katanya, "(Keahlian terbuka PAS) ini akan membuka peluang besar kepada Umno dan musuh luar negara untuk meramaikan ahli PAS bagi tujuan mempengaruhi pemilihan PAS atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam”.


Sebagai pemimpin politik dalam parti PAS, ingatan Harun Din ini wajar dan kena pada tempatnya. PAS sebagai sebuah parti politik wajar berjaga-jaga dengan kehadiran ‘musang berbulu ayam’ yang boleh menggugat survival PAS di persada politik negara.


Cuma sayugia diingatkan bahawa anasir perosak yang wujud, jika ada dalam PAS bukan ditaja Umno atau negara asing. Malahan, ibarat pokok yang berbuah ranum, PAS sebenarnya berdepan dengan pelbagai jenis parasit dan dedalu yang lain.


Tanpa dapat dinafikan, gunting dalam lipatan PAS yang sebenarnya tentulah ahli PAS yang melakukan kerja-kerja bodoh. Golongan ini memberikan gambaran yang salah dan silap dalam melihat musuh sebenar. Bagaimana agaknya pemikiran ‘bodoh’ mereka melihat saudara seagama berlainan wadah, tetapi dilihat musuh?


Ditambah lagi dengan kehadiran ahli PAS yang berbaju PAS tetapi berfikiran PKR atau DAP. Satu perjuangan, satu pakatan tetapi biarlah berpada-pada. Takkan semua pandangan PKR atau DAP benar belaka? Kumpulan ini secara terang mengakui kepimpinan PAS tetapi secara diam berkiblatkan pemimpin lain.


Sebenarnya mereka inilah yang perlu diawasi oleh Harun Din, mereka ini duduk di dalam PAS dan akan cuba menguasai PAS. Ketika ini pun kelihatan kumpulan ini sedang mendahului dalam gerak langkah mencatur PAS, hingga DS Hj Hadi yang menyambut pelawaan berbincang untuk Kerajaan Perpaduan pun terpaksa beralah!


Kalau bukan Umno dan negara asing, agak-agak siapalah menaja kumpulan ini? Rasanya, ramai yang tahu…


Sunday, May 24, 2009

Kita Tunggu PRU 13!

Salam,


Petang Jumaat lalu, Mahkamah Rayuan sudah pun membuat keputusannya. Rumusan tiga hakim yang bersidang adalah seperti berikut :


1) Sultan Perak membuat keputusan betul melantik Dr Zambry sebagai Menteri Besar selepas mendapati Mohammad Nizar kehilangan sokongan majoriti,

2) Keputusan sama ada membenarkan atau tidak permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah dalam bidang kuasa Sultan, Mohammad Nizar mesti meletak jawatan apabila permohonannya untuk pembubaran DUN ditolak dan

3) Tiada peruntukan khusus atau mandatori dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak untuk diadakan undi sokongan majoriti di DUN Perak.


Setelah keputusan mahkamah ini, seorang kawan blogger mencadangkan supaya kita menunggu perhitungan sebenar di PRU 13, yang tempohnya tidak akan melebihi tiga tahun setengah dari sekarang.


Cadangan kawan ini wajar, jika rakyat Perak sayangkan bekas MB Nizar, pasti gabungan DAP-PKR-PAS akan menang cemerlang. Seperti katanya, BN detik itu nanti pasti bungkus dan MB Zambry akan kembali menjadi pembangkang seperti sebelum Februari lalu.


Sementara menunggu PRU 13 nanti, mungkin wajar bagi kita juga untuk mengurangkan seketika suhu politik, khususnya di Perak yang satu ketika panas menggelegak. Rasanya tiada masalah untuk kita, terutama yang memakai baju politik yang berbeza bertenang dan bekerjasama mengatasi kemelut ekonomi yang melanda.


Kita sudah pun menyerahkan keputusannya kepada mahkamah dan keputusan sudah pun dibuat. Mungkin tidak memuaskan hati, tapi masih ada peluang di Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah terakhir. Kita sudah memilih jalan perundangan sebagai penimbang, maka apa perlunya bermogok lapar?


Bila Nga Kor Ming berkata "Sebuah kerajaan yang demokratik mesti mendapat dari rakyat. Rakyat tidak mahu kerajaan mereka ditentukan oleh seorang hakim sahaja, sebaliknya hak asasi rakyat Perak berjumlah 2.4 juta untuk pilih kerajaan sendiri ditolak begitu sahaja”, nampak kenyataannya kurang cerdik!


Kita boleh bertanya, siapakah yang membawa kemelut Perak ini ke tangan seorang ( atau tiga) hakim ? Soalan lagi, di manakah Nga mendapat maklumat 2.4 juta rakyat Perak memerlukan pilihanraya? Seperti yang dikatakan sebelum ini, nampak seperti nama rakyat dipergunakan untuk kepentingan segelintir wakil rakyat!


Ada seorang kawan pula berkata, demokrasi sudah mati di Perak? Wah, dek kerana mahkamah mengesahkan perkenan Sultan Perak melantik Zambry, mudah sahaja demokrasi mati. Bayangkan nanti jika Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, mungkinkah demokrasi akan hidup semula?


Demokrasi sebenar terlihat beberapa siri piliharaya sebelum ini. Malah di beberapa kali PRK selepas Mac 2008 lalu juga kelihatan jelas demokrasi apabila Pakatan Pembangkang berjaya memenanginya.


Dan demokrasi akan terus terlaksana pada PRU13 nanti. Jadi kita tunggu ajalah!


Friday, May 22, 2009

Siapa MB Sah ? Petang Ini!

Salam,

Tinggal beberapa jam lagi, yakni pada jam 3.30 petang, mahkamah akan memutuskan MB Perak yang sebenar di antara DS Zambry atau DS Nizar. Kedua-duanya sudah pun diperkenan oleh YTM Sultan Perak dan sudah pun mengangkat sumpah jawatan.


Seperti yang diketahui umum, di peringkat awal, selepas 'kes' ini dibawa ke mahkamah, keputusannya menyebelahi Nizar. Hanya beberapa jam selepas itu, mahkamah rayuan memutuskan untuk menangguhkan keputusan mahkamah terdahulu, maka kekallah Zambry hingga saat ini sebagai MB.


Zambry digelar MB haram, mahkamah yang awalnya bersifat mulia tiba-tiba menjadi bahan kutukan. Petang ini mahkamah akan sekali lagi berdepan dengan cabaran yang bukan kepalang. Mahkamah bakal berdepan pujian tinggi melangit atau cacian kata nista yang penuh prasangka, selepas petang ini. Agaknya, hakim berkenaan tidak tidur semalaman!


Wujud tanggapan bahawa kes ini tidak wajar diselesaikan oleh mahkamah. Kata mereka,biarlah rakyat menentukan pilihan mereka melalui pembubaran DUN. Ironinya, golongan yang percaya rakyat wajar menjadi hakim inilah yang membawa kes ini ke mahkamah.


Soal pembubaran DUN, seperti yang termaktub adalah kuasa YTM Sultan Perak. Baginda boleh dan tidak boleh bersetuju untuk pilihanraya semula. Cuma ini sahajakah pilihan yang ada? Bukankah wujud pilihan usul undi percaya di DUN sebagai penyelesaian?


Malangnya, perkembangan dan situasi semasa menunjukkan rakyat yang menjadi mangsa, tersepit angkara perebutan kuasa oleh para ahli politik. Dek kerana kuasa, rakyat dijadikan alasan untuk menjadi hakim menentukan sedangkan sebenarnya yang hendak berpilihanraya bukan rakyat, tetapi wakil rakyat.


Apa pun keputusan yang bakal diumumkan petang ini wajar diterima dan dihormati oleh semua pihak. Terlanjur kes ini diserahkan di tangan Yang Arif, hendaknya kita redha dengan keputusannya. Janganlah hendaknya kita menyukai mahkamah bila keputusannya menyukakan kita, sedangkan kita pun tahu bukan semua keputusan dalam kehidupan ini menggembirakan.


Penting sekali...jangan ada pula yang menggelupur di jalanraya bagai dirasuk histeria, bila keputusan tidak memihak kepada kita ! Bolehkan....


Thursday, May 21, 2009

DEPA KATA : CHIN PENG DAN BALIK KAMPUNG

Salam,

Berkaitan dengan tulisan sebelum ini, berkaitan hasrat Gerakan membawa balik Chin Peng balik ke Malaysia, berikut dinukilkan tulisan dari blog DEPA KATA. Rasanya tulisan ini sangat baik untuk dikongsi bersama terutama pimpinan Gerakan dan golongan yang simpati dengan Komunis. Selamat membaca...

Dalam posting sebelum ini, saya sekadar menyentuh mengenai saranan Gerakan dan S.M. Mohamed Idris supaya Chin Peng diberi peluang kembali ke tanah air serta reaksi yang diterima daripada pihak-pihak tertentu.

Saya mengelak daripada memberikan pendapat kerana mahu mengelak pandangan saya mempengaruhi komen sahabat-sahabat yang melayari blog ini.

Dan sekarang saya nak bagi pendapat sikit...

Daripada segi kemanusiaan, memang saya rasa dia patut dibagi peluang balik. Setidak-tidaknya sekejap. Sekadar untuk melepaskan rindu pada kampung halaman.

Tetapi ini bukan soal kemanusiaan individu. Ini soal prinsip dan soal politik yang menjangkaui banyak perkara.

Tiap perbuatan ada harganya dan tidak mendapat hak untuk balik mungkin merupakan harga yang paling sesuai untuk dibayar oleh lelaki yang seorang ini atas apa yang telah dilakukannya.

Silaplah kalau ada orang menganggap Chin Peng pejuang kemerdekaan. Orang itu barangkali harus lebih rajin menggali sejarah.

Kalau dia pejuang kemerdekaan, dia tidak akan terus berada di hutan bersama gerila-gerilanya selepas Tanah Melayu merdeka.

Banyak lagi pejuang-pejuang kiri yang tidak sealiran dengan pemerintah, tetapi mereka tetap menerima kemerdekaan dan tidak pula lari masuk ke hutan untuk mengangkat senjata. Susah senang, mereka berjuang di atas landas dan nilai yang bersesuaian dengan kehendak sejagat.

Chin Peng, setakat yang saya tahu sebenarnya lebih condong pada perjuangan untuk Tanah Besar China - untuk apa yang ada di sana.

Dia, yang diberi nama Ong Boon Hwa dan yang lahir di 36, Jalan Kampung Koh, Setiawan mula terdedah pada bahan-bahan bacaan berkaitan negara China sejak zaman remaja. Mulanya dia sangat tertarik pada Chiang Kai-Shek, tetapi selepas membaca On Protected War, taksubnya beralih pada Moa Zedong.

Memang benar, Chin Peng pernah menentang penjajah. Dia pernah menjadi orang penting MPAJA yang bekerjasama dengan British menentang Jepun. Dia pernah dianugerahkan Order of British Empire (OBE) kerana 'jasanya' itu - tetapi pingat tersebut kemudiannya ditarik balik.
Chin Peng juga pernah menentang British - tetapi untuk apa? Bukan untuk kepentingan rakyat di Tanah Melayu, seperti Boestamam, Burhanuddin Helmy, Pak Sako, Onn Jaafar dan ramai yang lain, tetapi untuk menegakkan panji-panji komunis yang berkiblat ke China.

Bayangkan kalau dia berjaya. Akan jadi apakah kita semua?

Chin Peng, yang menjulang namanya selepas diangkat menjadi Setiausaha Agung PKM bagi menggantikan Lai Teck yang melarikan dana parti, mempunyai banyak peluang untuk berjuang bersama pejuang-pejuang lain dengan jalan yang betul dan dengan matlamat yang betul. Tetapi dia memilih untuk tidak berbuat demikian. Degilnya terbukti dalam rundingan di Baling yang berakhir dengan kegagalan. Dia menolak peluang itu, kembali ke hutan, dan sejak tempoh itu sehingga tarikh PKM meletakkan senjata, berapa banyakkah nyawa - anggota keselamatan dan orang awam - yang terkorban dan dikorbankan oleh perjuangannya? Berapa banyak harta benda musnah dan berapa banyak kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pemerintah?

Bagaimana dengan tahun-tahun sebelum itu?
Berapa banyak nesan yang terpaksa dicacakkan?
Berapa banyak keranda yang terpaksa diusung?
Berapa banyak isteri yang menjadi balu?
Berapa banyak anak yang menjadi yatim?
Berapa banyak ibu bapa yang kehilangan anak?
Berapa banyak pula yang cedera dan cacat?

Dan bayangkanlah kalau komunisme tidak menemui hari-hari gelapnya pada separuh kedua 1980an. Bayangkan regim masih tegak dan garang. Mungkinkah orang-orang ini, atau kalangan yang bersimpati dengan mereka akan bercakap tentang kesilapan dan keinsafan?

Kepada mana-mana juga parti politik, kita berharap tengok-tengoklah ke kiri dan ke kanan sebelum menyarankan sesuatu dalam hal-hal begini. Jangan hanya kerana mahu mengambil hati sekumpulan kecil, anda menyinggung kumpulan-kumpulan lain yang lebih besar. Kalau pengaruh anda selama ini hilang, ia bukanlah kerana anda tidak memperjuangkan nasib orang ini tetapi kerana anda gagal memperjuangkan hak dan kepentingan ramai orang lain.

Kepada yang beria-ia hendak mengherokan lelaki seperti ini, sekali lagi, jenguk-jenguklah sejarah. Jika orang ini diangkat sebagai pejuang, agaknya gelaran apakah pula yang hendak diberi kepada perajurit-perajurit yang bergalang nyawa menentang perjuangannya dahulu?

Pengkhianatkah mereka?

Selamat Kembali Chin Peng!

Salam,

Bagi generasi baru yang tidak merasai keperitan hidup zaman darurat, apalagi generasi yang lahir selepas merdeka, pastilah tidak mengenali siapa Chin Peng. Wajah dan cerita tentangnya hanya dibaca di buku sejarah.

Namun kisah kekejamannya bersama Bintang Tiga terhadap penduduk Persekutuan Tanah Melayu tetap tersimpan rapi di ingatan. Terutama bagi pihak yang terlibat, keluarga askar yang terkorban dan penduduk awam yang menjadi mangsa. Bukan mudah menghilangkan parut luka ‘kejahatan’ komunis pada zaman itu.

Chin Peng mengetuai Parti Komunis Malaya, awalnya menentang penjajahan British. Selepas British keluar, PKM terus berjuang secara kekerasan menentang kerajaan yang sah ketika itu. Catatan sejarah membuktikan, kekejaman PKM menyebabkan kematian 2,461 penduduk awam dan 1,851 anggota keselamatan maut, selain 1,383 penduduk cedera serta 807 orang hilang.

Selepas PKM akhirnya dibubarkan, Chin Peng dan ahli PKM lain dibenarkan menetap di Selatan Thailand. Dia berusaha untuk kembali ke tanahair tetapi sehingga 30hb April lalu, harapannya berkubur apabila mahkamah memutuskan dia dilarang masuk ke Malaysia.

Ramai yang simpati dengan Chin Peng atas dasar kemanusiaan, mengapa tidak dibenarkan saja Chin Peng kembali? Kata mereka, bukankah perjuangan PKM sudah berkubur? Bukankah Chin Peng sudah berusia 85 tahun dan apa lagi ancaman keselamatan yang boleh dilakukannya dalam usia itu?

Termasuk parti Gerakan, yang meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia. Alasan diberi Chin Peng bukan lagi ancaman keselamatan negara.

Malangnya, para simpati Chin Peng ini termasuk pemimpin Gerakan gagal melihat kesan sejarah yang telah dicatatkan dengan tinta merah berdakwat darah, oleh komunis Bintang Tiga. Bagaimana perasaan keluarga mangsa PKM ini melihat wajah sebenar Chin Peng tersenyum di sebuah Kedai Kopi di Sitiawan Perak, umpamanya?

Peliknya, tiada pula kata-kata simpati dilafazkan kepada keluarga mangsa kekejaman Chin Peng ini. Bukankah para pejuang, askar dan polis yang terkorban itu lebih wajar diberikan penghargaan?

Entahlah…dalam banyak perkara yang mahu diperjuangkan, Gerakan memilih Chin Peng sebagai ikon untuk diberikan ‘keistimewaan’!

Wednesday, May 20, 2009

Komitmen Pemuda Satu Malaysia

Salam,


Khabarnya, Pemuda Umno sebuah bahagian di Sabah dalam satu mesyuarat baru-baru ini telah menyatakan komitmen mereka untuk menjelaskan konsep Satu Malaysia kepada ahli pemuda. Dikatakan pimpinan pemuda akan 'turun padang' menemui ahli pemuda sambil menjelaskan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


Wah, komitmen pemuda dari segi ini wajar diberikan kredit. Memang sewajarnya pemuda menjadi barisan hadapan, bukan setakat untuk menjelaskan malahan membuktikan konsep ini difahami dan dihayati. Teladannya mestilah ditunjukkan pimpinan pemuda terlebih dahulu. Mungkin ini termasuk pendekatan baru pemuda dengan generasi baru.


Sebagai tambahan, wajar sasaran komitmen pemuda ini diperluaskan. Bukan setakat ahli pemuda sahaja kerana ia tidak menepati konsep Satu Malaysia. Sasarannya wajar untuk semua pemuda tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik. Baharulah Satu Malaysia!


Sambil tu, konsep setiakawan yang 'diasaskan' oleh Ketua Pemuda Umno, Sdr. KJ hendaknya jangan dilupakan. Konsep ini wajar diterapkan juga di kalangan pemuda. Satu Malaysia + Setiakawan, jika direalisasikan memang akan mengukuhkan institusi pemuda. Mungkin boleh kembali nostalgia pemuda zaman Syed Jaafar Albar atau zaman Harun Idris gitu.


Cuma satu yang menjadi tanda tanya, bikin pemuda di kawasan jadi keliru. Camanalah agaknya Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan hendak direalisasikan, kalau buat program asyik di Bandaraya Kota Kinabalu. Asyik program bola dan futsal ja, itu pun tidak pernah buat di dalam bahagian sendiri?


Camanalah Setiakawan ni hendak direalisasikan kalau asyik buat program syok sendiri, berlawan bola sesama AJK, berlawan dengan bukan pemuda pula. Pemuda di kawasan melopong, menunggu program yang melibatkan durang. Durang cakap, ni bukan setiakawan, ini setia sesama kawan-kawan!


Pemuda yang hanya wujud di suratkhabar, disedari hanya semasa mesyuarat tahunan dan tanpa pengisian program yang membina minda dan intelektual, apalagi pemuda yang sibuk mengejar projek, rasanya bukan pemuda SATU MALAYSIA!


Pemuda apa ya?

Tuesday, May 19, 2009

Menunggu Pemuda Mendekati Generasi Muda

Salam,

Ketua Pemuda Umno, Sdr. Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata Pemuda akan memperkenalkan program dan aktiviti baru yang lebih relevan kepada generasi baru untuk mendekati mereka. Sdr KJ juga berkata pendekatan lama dan konvensional sudah tidak relevan lagi.

Kita di peringkat bawah tentulah mengalu-alukan pendekatan baru yang dicadangkan ini dan berharap pendekatan baru ini bukanlah pendekatan syok sendiri. Pendekatan yang hanya berlegar-legar di kalangan pemuda Umno, sedang generasi muda yang belum berparti tidak terlibat sama. Cuma menjadi penonton sahaja!

Tentulah pendekatan itu nanti bukan sesi penerangan yang panjang berjela atau penerbitan bulletin yang mengandungi puji-pujian. Hanya menyampaikan maklumat yang muluk-muluk sahaja, tetapi langsung tidak relevan dengan dunia generasi muda. Pastilah zaman pemuda terjun di kutub utara tidak termasuk di dalam pendekatan baru ini!

Generasi baru lebih dekat dengan dunia ICT, maka sebab itu pendekatan pemuda juga harus lebih fokus menggunakan medium web, blog, FB, YM dan sebagainya. Soalnya, berapa ramai pula pimpinan pemuda yang ‘mampu’ menggunakan media baru ini? Apa yang nyata, banyak blog pemuda yang tidak diselenggera dengan baik, tidak dikemaskini dan hanya menjadi burung kakatua!

Tugas berat menanti pimpinan pemuda sama ada di peringkat Pusat, Negeri, Bahagian hatta Cawangan, untuk merealisasikan hasrat menarik minat generasi muda, yang berjumlah hampir separuh daripada penduduk negara. Hasrat ini pula pasti tidak akan kesampaian jika tiada komimen jitu dilaksanakan oleh pemuda, apalagi jika ia dibuat asal ada program sahaja.

Pemuda harus keluar daripada kepompong berbaju putih berseluar hitam mereka. Asyik berlegar-legar sesama sendiri, sedang ramai lagi generasi baru yang yang terbiar merempit, berpeleseran, melepak dan terlibat dengan kegiatan anti-sosial yang lain. Malanglah jika pimpinan pemuda gagal melihat reality yang berlaku di kalangan generasi baru.

Apapun, kita tunggu sama-sama bagaimana pendekatan baru ala-KJ ini, sebab pendekatan lama ala-Hisham seperti sudah anti-klimaks!

Monday, May 18, 2009

Umno Terlepas Peluang Di Penanti!

Salam,


Seperti yang diumumkan, BN tidak akan meletakkan calon bertanding di PRK DUN Penanti. Mungkin ini satu lakaran sejarah baru kerana BN tidak pernah ketinggalan menyertai mana-mana pilihanraya. Kecuali atas sebab teknikal, BN dan Umno sentiasa bersedia berdepan risiko menang atau kalah dalam pilihanraya.


Dengan tidak bertanding di Penanti, BN khususnya Umno melepaskan peluang menguji sejauh mana sokongan orang Melayu kepada Umno selepas perubahan pucuk pimpinan negara dan parti. Dikhabarkan, gelombang sokongan orang Melayu sudah mulai kembali di Parlimen Bukit Gantang.


Umno juga terlepas melihat bagaimana sentimen orang Melayu terhadap 'pergolakan' yang berlaku di dalam PKR, sehingga bekas ADUN Fairus Khairuddin terpaksa menyerahkan 'kuasa' yang dipegang selama ini. Masihkah pengundi di Penanti menyokong calon daripada parti yang mahu kelihatan bersih sedang hakikatnya tidak begitu?


Sentimen pengundi Melayu di Penanti terhadap 'ribut' politik di Perak juga mungkin boleh diuji melalui PRK ini. Mungkinkah pengundi Melayu setuju dengan tindak-tanduk ahli politik Melayu di Perak dengan terus mengundi PKR atau pun sudah ada perubahan dan kesedaran di kalangan orang Melayu?


Apapun, keputusan sudah dibuat selepas perbincangan Dewan Tertinggi BN. Keputusan ini wajar dihormati dan biarlah PKR bertanding dengan bayang-bayangnya, sementara BN dalam tempoh ini wajar melakukan usaha mengukuhkan parti.


Agak-agaknya, bagaimanalah senario kempen di Penanti apabila PKR tiada lawan setanding?

Penerangan Yang Kabur!

Salam,

Ketua Penerangan baru Umno, Datuk Ahmad Maslan dilaporkan kesal kerana kekuatan Umno dengan memiliki 60,000 orang Ketua Penerangan di peringkat cawangan gagal digembleng tenaga mereka.

Melihat jumlahnya memang cukup ramai, jika diandaikan ia sebagai perniagaan MLM pasti produk yang dipasarkan meletup di pasaran. Andai Umno sebuah syarikat, keuntungan diterima pasti berlipat kali ganda.

Sayangnya, mengapa penerangan Umno sejak akhir-akhir ini gagal?

Jika dihujahkan, ada banyak faktor kenapa kegagalan penerangan ini berlaku. Ketua Penerangan gagal berfungsi dengan baik adalah salah satu sebabnya. Jika Ketua Penerangan pun sudah ‘kabur’, bagaimana dia boleh menjelaskan kekaburan! Yang buruknya, dia sendiri tidak pun tidak setuju dengan mauduk yang hendak diterangkan, bagaimana mahu diterangkan?

Mungkin bukan salah Ketua Penerangan. Ketua Penerangan adalah jawatan dilantik. Ketua Penerangan tidak pernah memohon dilantik, tapi dia terpilih kerana dia ‘setia’ kepada ketua yang melantik, sebagai membalas kesetiaan maka terisilah jawatan tersebut. Hasilnya, dia memang bukan ‘Penerang’.

Menjadi Ketua Penerangan mesti seorang yang berani, mampu berhujah dan semulajadi bersifat ‘politician’. Sifat malu-malu kucing tidak wajar wujud dalam kamus hidup seorang Ketua Penerangan. Diajak berdebat, pasti dia tidak menolak dan mampu berhujah dengan baik.

Secara peribadi, saya pernah terserempak dengan seorang kawan yang baru dilantik sebagai Ketua Penerangan. Sebagai penghargaan, diucapkan tahniah kepada kawan tersebut. Sayangnya, kawan tersebut bukan pula mengucapkan sama-sama tetapi cuba berdolak-dalih seakan tidak mahu mengaku yang dia sudah dilantik sebagai Ketua Penerangan.

Bagaimana mengharapkan penerangan daripada Ketua Penerangan seperti kawan tersebut, yang mahu mengaku jawatannya pun dia malu-malu? Bukan salahnya, mungkin dia memang tidak mampu tapi kerana dia terpilih oleh sang ketua, maka jadilah dia Ketua Penerangan. Kasihan Datuk Ahmad Maslan dan Umno!

Agak-agak bagaimanalah Ketua Penerangan seperti kawan ini mahu menerangkan dasar dan perjuangan Umno, adakah yang mahu mendengar?

Friday, May 15, 2009

PM Rakyat

Salam,

Hasrat Perdana Menteri sebagai PM Rakyat, sewajarnya disambut oleh segenap peringkat lapisan pentadbiran kerajaan. PM telah mendahulukannya, maka adalah menjadi tanggungjawab bermula daripada Kabinet hinggalah ke lapis bawah pentadbiran untuk mengikutinya.


Hasrat mulia PM menjadikan rakyat keutamaan dalam pentadbirannya sememangnya satu hasrat murni. Jika dapat dipraktiskan, nescaya pelbagai isu yang membelenggu rakyat selama ini akan dapat diatasi.


PM Rakyat sebagai kesinambungan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan adalah satu komitmen jitu kerajaan dalam menjadikan rakyat sebagai pelanggan utama mereka. Komitmen ini memerlukan kepekaan dan keprihatinan semua anggota pentadbiran. Zaman menteri atau pegawai tinggi dikompang atau dibunga manggarkan, mungkin sudah sampai ke penghujungnya!


Namun, jika hasrat murni PM ini tidak dilaksanakan dengan berkesan dan gagal disambut dengan teladan pemimpin lain, ia cuma akan menjadi retorik. Harapan rakyat untuk mendapat perkhidmatan terbaik daripada agensi berkaitan hanya akan menjadi harapan palsu. Proses merakyatkan perkhidmatan awam ini mungkin mengambil masa, tetapi keazaman akan mampu merealisasikannya.


Harapan kita, hasrat PM menjadi PM Rakyat ini akan dapat dijelmakan. Seperti kata DS Najib, biarlah denyut nadi, suara nurani rakyat akan didengar dan diambil perhatian oleh para pemimpin!


Thursday, May 14, 2009

63th Umno - Amalkan Konsep Persahabatan!

Salam,

Tiga hari yang lalu, Umno menyambut ulangtahun ke 63. Istimewanya, kali ini Umno menyambut hari jadinya dengan kepimpinan baru di peringkat atasan.


63th sebagai sebuah parti, Umno terlibat dalam setiap detik perjalanan politik negara. Bermula sebagai penentang Malayan Union dan perjuangan kemerdekaan daripada penjajah, hari ini Umno kekal sebagai teras mengemudi perjuangan mengisi kemerdekaan.


Dalam tempoh itu, Umno telah melalui sejarah hitam putih dalam perjalanannya. Satu ketika Umno diharamkan, menang dengan cemerlang dan tewas dalam pilihanraya datang silih berganti. Terbaru, bersama BN, Umno dikejutkan kekalahan dalam PRU 12 tahun lalu.


Sempena ulang tahun ke 63th dan setahun selepas tsunami pilihanraya, timbul persoalan mampukah Umno bangkit? Dengan segenap asakan dari pelbagai penjuru, berdepan pembangkang dan musuh di kalangan ahli sendiri, kuatkah Umno menongkah cabaran?

Atau, Umno akan menjejaki Golkar di Indonesia dan Kongres di India, pejuang kemerdekaan yang tersungkur dan kehilangan kuasa?


Semua persoalan ini hanya akan terjawab dalam PRU akan datang. Tanggungjawab memastikan Umno kekal relevan di persada politik negara tersandar di bahu setiap ahli Umno. Seorang Presiden hingga ke ahli biasa, tanpa kecuali berperanan atas kapasiti masing-masing.


Mungkin satu cara memastikan Umno kekal relevan ialah dengan mempraktiskan konsep 'persahabatan'. Ahli Umno wajar mengamalkan konsep ini, di semua peringkat sesama ahli. Anggaplah semua ahli adalah sahabat seperjuangan. Pemimpin adalah sahabat pengikut, pihak atasan sahabat kepada ahli di bawah. Maknanya, tindakan yang membuka ruang kepada perbalahan dan merosakkan nilai persahabatan elok dijauhi.


Malahan, konsep persahabatan ini boleh juga dipraktiskan di luar Umno. Umno 'bersahabat' bukan sahaja dengan komponen BN, mungkin dengan parti pembangkang. Mungkin wujud perbezaan dalam perjuangan, tapi itu bukanlah alasan untuk tidak berusaha mencari titik persamaan. Perjuangan membela Islam dan Melayu umpamanya, tentulah persamaan di antara Umno dan PAS.


Jika konsep ini dapat dihayati oleh semua ahli Umno, harapan untuk melihat Umno bangkit dan terus menerajui perjuangan memajukan bukanlah satu khayalan. Tembok yang memisahkan dan menghalang persahabatan sejati di kalangan mesti diruntuhkan. Mungkin sukar, tetapi tiada jalan mudah menggapai kejayaan.


Selepas 63th, rasanya bukanlah sesuatu yang berat untuk setiap ahli berkorban!


Tuesday, May 12, 2009

Berita Baru Masuk...

Salam,

Berita ini berita baru. Memang panas tapi belum hangit. Saya rasa tidak perlu mengulas, mungkin tuan-tuan budiman lebih 'layak' untuk memberikan ulasan. Ada kawan blogger cakap, ini tendangan penalti!

Bagaimana pula kita menerima keputusan mahkamah ini ? Entahlah...

Mahkamah Rayuan tangguh sementara perintah Mahkamah Tinggi isytihar Nizar MB Perak yang sah

12/05/2009 1:44pm

PUTRAJAYA 12 Mei - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir untuk menangguhkan sementara perintah Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Ramli Ali ketika memutuskan demikian turut memerintahkan agar tarikh awal ditetapkan bagi mendengar rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi itu. - Utusan

Rupanya Mahkamah Kita...

Salam,


Selama ini kita dimomokkan dengan tohmahan yang dilemparkan oleh segelintir rakyat bahawa mahkamah kita tidak boleh dipercayai. Malah, wujud persepsi mahkamah kita adalah perkakas BN.


Komen seorang pengunjung ini mungkin di antara segelintir rakyat itu:

Anonymous said: Salam,

Kalau dah mencuri tetap salah. Usah digusar keputusan pada hari Isnin, ia tetap berpihak pada BN, mahkamah dan seluruh jentera kerajaan milik BN!

tAHNIAH BUAT PENCURI

May 10, 2009 6:49 PM

Secara peribadi, saya sendiri pernah berbual dan mendengar kenyataan seorang daripada rakyat Malaysia, yang jelas tidak percaya dengan mahkamah. Apalagi dalam soal politik, hakim ditohmah 'takut' membuat keputusan yang tidak memihak kepada BN.


Khusus untuk kes Perak, seorang rakyat hairan bagaimana mahkamah lebih cepat membuat keputusan apabila ia menyebelahi BN. Lantaran itu, kesimpulan dibuat mahkamah memang tidak menyebelahi pembangkang.


Hari ini, mahkamah membuktikan dengan jelas, terang dan berani - mahkamah memang satu badan bebas. Tidak takut membuat keputusan, tanpa mengira ia memihak sesiapa. Ya, mahkamah sudah 'berdiri' menunjukkan kebebasannya, mengiktiraf Nizar MB Perak yang sah!


Mahkamah sudah memberikan jawapan terhadap persoalan siapa MB yang sah, persoalan yang menjadi polemik berpanjangan selama ini. Cuma mungkin satu sahaja soalan yang belum terjawab oleh keputusan mahkamah hari ini.


Adakah mulut segelintir rakyat Malaysia yang memandang serong keputusan mahkamah selama ini mampu ditutup esok?


Monday, May 11, 2009

Menunggu Langkah Nizar Seterusnya...

Salam,


Mahkamah sudah putuskan DS Nizar Jamaluddin MB yang sah. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa jawatan MB tidak boleh dianggap kosong dan undi tidak percaya hanya boleh dibuat di Dewan Undangan Negeri.


Keputusan ini, walaupun masih boleh dirayu oleh DS Zambry Abd. Kadir di Mahkamah Rayuan, membawa impilkasi yang bukan sedikit. Pastinya, tohmahan bahawa Mahkamah dikuasai oleh BN seperti yang ‘dipercayai’ oleh sebilangan rakyat sebelum ini, jelas tidak benar!


Kerisauan saya jika mahkamah menyebelahi Zambry berakhir. Polemik pasti berpanjangan dan seolah-olah tidak akan berakhir jika bukan Nizar MB Perak. Mungkin kekalutan di Perak yang sengaja dicetuskan akan berakhir?


Persoalan seterusnya tentulah bagaimana seorang MB akan menjalankan tugasnya dalam keadaan kerajaan menguasai minority di DUN? Bagaimana pula keputusan Sultan Perak memberi perkenan perlantikan Zambry sebelum ini ? Adakah sidang DUN yang mencatat sejarah baru 7hb lalu sah?


Ini antara persoalan yang bakal menunggu jawapan. Sementara menunggu keputusan rayuan Zambry, drama di Perak nampaknya akan berterusan. Adakah rakyat Perak akan bergembira dengan situasi ini ? Entahlah….


Bagi Nizar pula, apakah tindakan seterusnya?


Kita mencadangkan - seiring dengan tuntutan Nizar dan PR selama ini selepas Februari lalu – bubarkan DUN. Kembali kepada rakyat dan adakan pilihanraya semula. Rasanya Nizar tidak keberatan untuk melakukannya!


Ada alasan lain ?

Sunday, May 10, 2009

‘Saya tidak akan berterima kasih’

Salam,

Saya sebenarnya berhasrat hendak menjadikan hari Minggu adalah hari rehat, tanpa 'blogging'. Rasanya, sudah banyak kali hari minggu berlalu tanpa tulisan baru. Namun, berita yang saya terbaca ini sangat menarik perhatian. Sayang rasanya untuk dilepaskan.

Tanpa ulasan, saya tinggalkan untuk para pembaca budiman blog ini, mentafsir berita ini. Terima kasih.

‘Saya tidak akan berterima kasih’

TAIPING 9 Mei – ‘‘Minta maaf, saya tidak akan berterima kasih kepada kerajaan,’’ kata pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar (gambar) sebaik dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting di sini, hari ini.

Beliau yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak Disember 2007 mendakwa, penahanannya di bawah akta itu dibuat tidak mengikut undang-undang.

Sehubungan itu, dakwa penasihat undang-undang pertubuhan haram itu, tiada sebab dia perlu berterima kasih kerana tidak melakukan kesalahan.

“Saya berterima kasih kepada penyokong-penyokong dan isteri saya tapi minta maaf, saya tidak akan berterima kasih kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita yang telah menunggunya sejak pukul 11 pagi di Kem Tahanan Kamunting dekat sini hari ini.

Berbeza dengan dua lagi pemimpin Hindraf yang turut dibebaskan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Shah Alam, M. Manoharan, 48 dan K. Vasantha Kumar, 36, keadaan Uthayakumar kelihatan tidak terurus.

Ditanya keadaannya itu, Uthayakumar berkata, beliau sengaja tidak menyikat rambut dan janggut serta dibiarkan panjang sebagai tanda protes terhadap ISA.

Sementara itu, Uthayakumar mendakwa, pihak polis bertindak kasar terhadapnya apabila beliau menolak untuk menandatangani surat yang mengandungi syarat-syarat pembebasan.

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin