Search This Blog

Loading...

Thursday, November 26, 2009

Salam Aidiladha 1430H


Selamat Hari Raya
Aidiladha

Selamat Menjalani Ibadah Korban... Semoga Ibadah Korban Diberkati Allah SWT.

Wednesday, November 25, 2009

Selangor Menuju Dasar Tutup Pintu...


Salam,

Kerajaan Pakatan seringkali mendakwa mengamalkan kebebasan dan ketelusan. Kerajaan BN dikutuk kerana tidak telus, tidak bebas dan sebagainya.

Namun terlihat apa yang diumumkan oleh kerajaan Selangor, yang secara rasmi melarang penyertaan kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya hadir di program anjuran Biro Tatanegara (BTN), merupakan satu pembohongan kepada ketelusan dan kebebasan yang dilaungkan mereka.

Lihat sahaja alasan larangan ini : Program BTN sebagai "indoktrinasi kerajaan (pusat) BN untuk menimbulkan fenomena yang agak racist (perkauman) seolah-olah ingin memecah belah penduduk pelbagai bangsa dan agama."

Kata Exconya lagi, "Rata-rata (peserta BTN) termasuk anak saya sendiri, mereka kadang-kadang dibekalkan dengan buku kecil yang mengandungi pelbagai perkara yang menimbulkan kebencian kepada (pihak) yang dikatakan pembangkang kepada kerajaan Malaysia,”

Alahai Selangor, kerajaan ini nampaknya takut dengan bayang-bayang. Kalau sudah benar perjuangan Pakatan ini memang serasi dan sesuai dengan rakyat Malaysia, yang kononya bebas dan telus seperti dikehendaki Pakatan, apalah sangat yang perlu dirisaukan dengan dakyah BTN, jika benar seperti yang didakwa.

Tindakan kerajaan Selangor ini hanyalah permulaan kepada dasar tutup pintu, menghalang pelajar dan kakitangan Selangor melihat perbandingan maklumat. Soalnya, di zaman ini sesuaikah lagi dasar begini?

Tuesday, November 24, 2009

Semuanya Jadi Kacau...


Salam,


Speaker DUN terpaksa mengadu ke mahkamah. SPR juga terpaksa ke mahkamah. Mahkamah pula terpaksa membuat keputusan.


Selesai membuat keputusan, mahkamah terpaksa lagi bersidang apabila SPR merayu keputusan awal. Akhirnya, mahkamah membuat keputusan juga. Hari ini jam 2.30 petang mahkamah bersidang lagi mendengar rayuan SPR pula.


Jika gagal dalam rayuan, SPR tiada pilihan. Terpaksa menjalankan urusan PRK untuk mengisi kekosongan kerusi DUN. Pengundi tiada pilihan, suka atau tidak akan menjalankan tanggungjawab memilih wakil rakyat baru.


Pekerja parti pula akan berhempas pulas berkempen memenangi hati pengundi. Memastikan pengundi memilih calon yang diketengahkan.


Semuanya jadi kacau, gara-gara seorang YB yang sudah masuk penggal keempat ponteng sidang DUN dua kali berturut-turut. Diulang semula, YB ini sudah empat penggal menjadi wakil rakyat. Bagaimana dia boleh terlupa hadir ke sidang DUN yang memang menjadi sebahagian tanggungjawabnya?


Dicadangkan supaya setiap parti memberi kefahaman yang jelas kepada wakil rakyat masing-masing tentang pentingnya hadir ke sidang DUN. Harapnya, biarlah kes ini menjadi yang pertama dan terakhir dalam sejarah pilihanraya Malaysia.


Pilihanraya terpaksa diadakan hanya kerana YB ponteng…

Monday, November 23, 2009

Bertuahnya Menjadi Husam Musa...

Salam,

Perhatikan petikan kata di bawah:

“Husam ini Allah buat bukan untuk Kelantan sahaja tetapi untuk rakyat Malaysia, dia budak yang cerdik, pengalaman banyak dan pemikiran jauh ke depan.

Kata-kata ini lagi hebat :

“Saya selama ini tidak sebut kerana takut kecil hati Exco lain sebab mereka ada portfolio masing-masing, tetapi portfolio Husam iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri banyak memberi manfaat kepada Kelantan. Banyak fikiran dia selamatkan politik Malaysia,”


Seperti yang dilaporkan, kata-kata ini adalah suara MB Kelantan Datuk Nik Aziz ketika menafikan desas-desus perletakan jawatan exconya, Datuk Husam Musa. Memang sangat bertuah menjadi pemimpin seperti Husam Musa.

Disayangi MB, dipuji melambung tinggi. Bertuah Kelantan memiliki pemimpin 'cerdik' macam Husam. Nampak rugi negara kita kerana pemimpin hebat seperti Husam tidak diketengahkan. Mungkin PM Najib boleh mengusahakan sesuatu seperti melantik Menteri Kewangan III, sekembali dari luar negara nanti. Bukan apa, untuk selamatkan politik Malaysia.

Cuma peliknya, bagaimana pemimpin hebat macam Husam ni kena belasah oleh Ustaz Nasa dalam pemilihan PAS tempohari? Kalau hebat tentulah menang bergaya, senang-senang menang, bukannya kena titik dengan Ustaz Nasa. Agaknya perwakilan PAS 'buta' tak nampak, macam MB Kelantan nampak!

Saturday, November 21, 2009

Dr. Asri Ke Mahkamah...


Salam,


Akhirnya, Dr. Asri seperti yang diketahui, didakwa di Mahkamah Syariah atas kesalahan mengajar tanpa tauliah. Beliau memilih untuk dibicarakan.


Biarlah mahkamah menentukan sama ada Dr. Asri bersalah atau tidak. Jika benar beliau bersalah, terpulanglah kepada mahkamah menentukan hukuman yang wajar untuk beliau.


Cuma yang menjadi soalan kepada kita, perlukah seorang bekas mufti - yang logiknya tidak mungkin menjadi mufti jika tidak layak - mendapatkan sekeping surat tauliah untuk menyampaikan dakwah atau mengajar?


Ketika di sudut lain, begitu ramai orang yang berdakwah dan mengajar agama tanpa tauliah di pentas politik. Malahan segelintirnya pula menyampaikan 'ajaran' yang mengelirukan.


Soalan lain, pernahkah penyampaian dakwah agama lain dipantau 'tauliah' atau sasaran dakwah mereka? Dibimbangi dakwah mereka dihalakan kepada orang kita dan kita terlepas pandang hal ini, ketika begitu sibuk 'bercakaran' dan mencari salah sesama kita.


Apa yang diharapkan, mendakwa ulama' di mahkamah bukanlah satu trend baru dalam masyarakat kita, atas apa jua niat pun...

Friday, November 20, 2009

Apa Pandangan Anda?


Salam,


Encik Fared menuduh Encik Lem menipu apabila menafikan perubahan status tanah pajakan ke status hak milik kekal. Encik Lem dikatakan mempengerusikan mesyuarat bersama kawan-kawannya dalam membuat keputusan tersebut.


Encik Lem didakwa berbohong kepada sekalian rakyat, sebaliknya berdalih. Dikatakan oleh Encik Lem bahawa niatnya suci, ikhlas dan murni. Tujuannya mulia, untuk membantu syarikat perhotelan.


Sayangnya niat suci Encik Lem kantoi. Encik Fared berjaya membuktikan penipuan Encik Lem. Jelas ketara perubahan status tanah memang berlaku, dan ia memang dilakukan semasa Encik Lem mempengerusikan mesyuarat.


Ringkasnya memang sah Encik Lem memang menipu dan berniat untuk memperdayakan rakyat. Ketika sama, Encik Lem mendakwa dialah jelmaan Khalifah Umar Abdul Aziz.


Adakah sejarahnya Khalifah Umar menipu rakyat, seperti Encik Lem? Tidak mungkin seorang khalifah bersikap begitu...

Thursday, November 19, 2009

Kalah Lagi...


Salam,


Selepas tewas di Tashkent minggu lalu, pasukan bolasepak kita kalah lagi kali ini dengan pasukan Uzbekistan. Nampaknya peluang kita untuk melihat pasukan negara beraksi di Piala Asia semakin samar.


Belum lagi dikira bagaimana negara layak menghitung kelayakan ke Piala Dunia, kita pula masih terkial-kial untuk ke Piala Asia. Pada edisi yang lalu, pasukan kita layak atas tiket sebagai tuan rumah bersama.


Telah banyak analisis dibuat dengan pasukan bola kita. Sejarahnya ada, bukan tiada. Generasi pemain terdahulu pernah layak ke Sukan Olimpik dan pernah menjadi pasukan yang digeruni di peringkat Asia. Nama-nama seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Hassan Sani dan banyak lagi, bukanlah nama asing di persada bolasepak Asia.


Soalnya, mengapa generasi pemain terkini tidak mampu mengulangi pencapaian cemerlang pasukan negara seperti sebelum ini?


Mungkin satu tranformasi perlu dijalankan bukan sahaja kepada pasukan ini, tetapi merangkumi keseluruhan pengurusan FAM. Mungkin jika perlu distruktur semula, mengapa tidak sahaja dilakukan rombakan besar-besaran!


Jika dinilai sambutan, bolasepak terus mendapat sokongan pelbagai pihak. Final Piala Malaysia umpamanya, terlihat keghairahan yang bukan kepalang di kalangan penyokong bola. Negeri Sembilan yang muncul juara pula menapat habuan lumayan di atas kejayaan mereka.


Sayangnya, keghairahan dan kejayaan ini tidak seiring dengan pencapaian bola negara. Nampak gayanya, kita cuma menang sorak dengan hiruk-pikuk menang Piala Malaysia...

Tuesday, November 17, 2009

Pengajaran Dari Kota Siputeh...


Salam,

Terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil dari keputusan Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong dan mengarahkan satu PRK diadakan.

1. Sebagai wakil rakyat, kehadiran ke persidangan DUN adalah satu tanggungjawab yang 'wajib' dilaksanakan. Persidangan DUN adalah platform yang sesuai menyampaikan suara nurani rakyat - bukan terpekik terlolong di jalanraya.

2. Amanah rakyat dan pengundi yang telah memilih seorang calon menjadi YB hendaklah dijunjung. Bukti menjunjung amanah ini tentulah dengan hadir dan menyertai perbahasan di sidang DUN atau Dewan Rakyat.

3. Kalau pun tidak dapat hadir atas apa jua alasan, maklumkan kepada pihak yang berkenaan. Dalam konteks ini, Speaker adalah orang yang mesti dimaklumkan. Seorang murid sekolah rendah pun tahu memaklumkan gurunya jika dia tidak hadir ke sekolah.

4. Jika sakit, selepas berjumpa doktor, berehatlah di rumah atau di tempat yang sesuai. Janganlah merayau di tempat lain sehingga kelihatan ponteng di Dewan.

5. Satu kursus untuk para YB wajar dilakukan untuk mendedahkan apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh. Kalau ya pun nak ponteng, janganlah sehingga dua kali berturut-turut.

6. Kesilapan boleh diterima, namun kesilapan yang ini adalah satu kesilapan 'bodoh', yang langsung tidak boleh diterima. Hukuman berat wajar dikenakan kepada pelakunya. Dicadangkan supaya pelaku ini 'diharamkan' untuk menjadi calon dalam mana-mana pilihanraya selepas ini.

7. Speaker pula, janganlah asyik nak tengok kesalahan lawan ja, kesalahan kawan sendiri pun kena ambil tindakan juga. Baru adil namanya...


Monday, November 16, 2009

Kelantan Semakin Panas ( Walaupun Banjir...)


Salam,

Dalam musim tengkujuh dan banjir yang melanda, ironinya suhu politik negeri Kelantan pula semakin panas. Semuanya gara-gara tajaan menunaikan haji kepada MB dan keluarga.

Walaupun akhirnya pemergian ke Mekah ini telah dibatalkan, namun imej MB yang bergelar Tok Guru telah tercalar. Imej PAS juga merosot kesan isu ini.

Sama ada isu ini benar atau fitnah, atau seperti kata Nik Aziz berkaitan kafir Quraisy, hanya akan diketahui apabila siasatan pihak berkuasa selesai. Rakyat pula melihat dengan teliti perkembangan terbaru ini dan rakyat pasti akan menghakimi 'kesilapan' yang berlaku.

Apa yang jelas pengajaran daripada insiden ini ialah PAS sebagai sebuah parti yang berpeluang memerintah, tidak lepas dari melakukan kesilapan. Bukan maksum dan kebal daripada kesalahan yang biasa dilakukan oleh manusia.

Mungkin selama ini mudah untuk PAS menuding jari atas kelemahan Umno dalam pelbagai perkara, dari insiden ini terlihat bahawa PAS juga 'mampu' lemah seperti mana ia menuduh orang lain.

Cuma yang ingin dilihat selepas ini tentulah bagaimana PAS mahu menguruskan isu ini. Bagaimana PAS mengatasi kemelut ini akan dinilai rakyat. Pastinya rakyat tidak mahu melihat PAS terus menyalahkan orang lain atas kelemahan sendiri!

Friday, November 13, 2009

Lagi Pasal Bola...


Salam,


Sah Piala Malaysia kali ini menjadi milik Negeri Sembilan. Kelantan yang diharap dapat bersaing sengit, kena titik 3 gol. Cuma sempat dapat gol ehsan free kick.


Perlawanan NS dan Kelantan yang biasanya panas, berakhir dengan aman di padang. Pemain Kelantan menerima kekalahan secara pro. Halim Napi pun ok, suhu badannya tidak naik mendadak.


Cuma yang memanas di luar padang. Rekod baru tercipta perlawanan akhir dicemari oleh asap mercun, bunga api dan layangan botol ke arah padang. Pemangku Sultan dan Yam Tuan pun tidak dihormati. Apalagi Annuar Musa...


Lagi hangat membara, banner dan kerusi stadium dibakar. Penyokong Kelantan dituduh buat hal tapi mana ada bukti? Mungkin konspirasi nak malukan rakyat Serambi Mekah? Adakah kebakaran di tempat duduk penyokong Kelantan yang pulang awal bermakna mereka yang cuba nak bakar stadium?


Menapa suka sangat buat kecoh? Soalan yang sukar untuk dijawab. Dulu pun Stadium Kota Bharu berlaku rusuhan, hingga Kelantan terpaksa bermain di stadium lain. Nasib baik FAM baik hati. Larangan ditarik balik.


Ini pun FAM masih baik hati. Keroskan 214 ribu, tapi kena denda 50 ribu ja. Masih tidak bersyukur? Masih mahu buat kecoh lagi?


Eloklah jangan tonton bola di stadium, duduk rumah depan tv. Kalau rasa nak membakar juga, ambil rokok...bakarlah. Tak rosak stadium!

Wednesday, November 11, 2009

Dr. Asri Masuk Gelanggang?


Salam,


Jika benar Dr. Asri berhasrat menjadikan gelanggang politik sebagai medan dakwah, jika beliau terus dihalang bersuara, adalah satu langkah yang silap.


Kewibawaan dan ketokohan beliau sebagai ikon yang diterima ramai, tanpa mengira ideologi politik - pasti akan tercalar. Sebagai ahli politik, tentulah suaranya nanti adalah suara parti yang diwakilinya.


Tidak kira, sama ada beliau memilih PAS atau Umno sebagai wadah perjuangan, beliau pasti tidak akan dapat mengelak untuk menyampaikan dakwah dari kaca mata organisasi di mana dia berteduh.


Implikasinya, dakwah yang akan disampaikan nanti sudah tentu tidak akan diterima semua orang. Jika dia bersuara sebagai ahli politik Umno, mahukah ahli PAS atau PKR menerima pandangannya, walaupun mungkin apa yang disuarakannya adalah suara kebenaran.


Setakat ini, begitulah situasinya. Politik pertentangan yang diamalkan selama ini menjadikan apa sahaja yang datang dari pihak lawan mesti ditentang. Kebenaran tidak lagi dijadikan neraca penimbang, sebaliknya kemenangan dijadikan matlamat sehingga menghalalkan segala cara!


Ummah akan kehilangan tokoh yang mampu menegur kesilapan - tidak kira di pihak pemerintah atau pembangkang - kerana selepas menjadi ahli politik tentu Dr. Asri akan menjadi milik parti.


Rasanya, eloklah bersabar dan berlapang dada. Biarlah soal politik diuruskan oleh orang politik, sementara dakwah diteruskan oleh orang seperti Dr. Asri.

Tuesday, November 10, 2009

Sabah Sebagai 'Fixed Deposit'.

( Gambar Jaafar Abdul Wahid )
Salam,

Kedatangan PM DS Najib kali ini ke Sabah, tanpa disedari membawa bersama berita gembira. Di tiga acara berlainan, najib mengumumkan perkara-perkara penting, untuk kebaikan rakyat Sabah keseluruhannya.

Komitmen menyelesaikan isu Pendatang Tanpa Izin ( PATI ) yang berlarutan sekian lama sangat ditunggu-tunggu. Isu ini seakan sudah menjadi barah, apa yang diharapkan jaminan penyelesaian ini dilaksanakan dengan baik. Kerjasama para majikan - yang suka menggunakan buruh, pembantu rumah dsb yang murah - ditagih dalam menyelesaikan isu ini.

Berita penubuhan JK Khas Menangani Masalah Pribumi Sabah dan Sarawak juga harus disambut baik. Dengan adanya JK ini diharapkan permasalahan yang membelenggu anak-anak negeri akan dapat ditangani. Soal perebutan hak tanah umpamanya, jika tidak diurus dengan baik boleh menjadikan pribumi 'setinggan' di tanahair sendiri.

Berita paling menggembirakan tentulah hasrat Kerajaan untuk menangani infrastruktur asas - air dan elektrik - di luar bandar. Seperti kata TS Koh Tsu Koon, pengumuman berkaitan perkara ini bakal dibuat oleh PM Najib dalam masa terdekat. Sebagai 'fixed deposit', rakyat Sabah di luar bandar terutamanya berhak untuk bergembira dengan harapan untuk menikmati air bersih dan elektrik selepas ini.

Di atas kertas semua ini nampak cantik dan indah. Komitmen, hasrat, harapan dan janji ini, kesemuanya diharapakan akan terlaksana - terbukti memang mampu dilaksanakan. Cuma yang menjadi persoalan kemampuan pihak pelaksana merealisasikannya. Di beberapa tempat, nampak pelaksanaannya lembab dan tidak bermaya.

Malah soal ketirisan dan lambat bertindak, mungkin menjadi hambatan komitmen besar PM Najib ini!

Monday, November 9, 2009

Cerita Pendek

Salam,

Suatu masa dahulu, seorang YB didatang oleh beberapa orang penyokong 'setia'. Tujuan mereka datang, selain untuk bertanya khabar dan bertukar fikiran, sambil membawa hajat masing-masing.

Sambil minum teh, mereka berbual...

YB : Ha Ali, Acong, Amai... apa yang saya boleh bantu kamu?

Ali : Begini YB, jambatan kayu di hujung kampung kami tu sudah reput. Kalau dapat kita baiki segera.

Acong : Jeti di kuala sungai kami tu YB sikit lagi mau menyembah bumi. Kalau ada peruntukan boleh juga kami memohon.

Amai diam tidak bersuara. Lantas menarik perhatian YB. YB : kamu Amai tiada masalah?

Amai: Malaslah aku memohon YB, janji YB tahun dulu pun belum kena tunai lagi. YB ni asyik berjanji saja...mana boleh tahan.

Ali pun menyampuk : Iyalah YB ni, permohonan kami yang dulu belum kena buat lagi.

Disokong Acong : YB ni janji saja ada... Janji sana, janji sini, susahlah kalau begini.

Suasana senyap seketika. YB mungkin mencari idea, jawapan terbaik untuk penyokong setia. Sambil melepaskan hembusan asap rokok, YB pun bersuara.

YB : Ok lah tu, aku sudah kasi janji cuma belum kasi tunai. Aku lebih baik dari 'pembangkang', durang jangankan kasi tunai, berjanji pun belum lagi...

Friday, November 6, 2009

Ke Mana Langkah Dr. Jeffrey Seterusnya?

( Gambar Senjaliza )
Salam,

Dr Jeffrey Kitingan, bukanlah nama asing di arena politik Sabah. Memang cukup dikenali, terutama dengan 'aksi' beliau bertukar parti seperti menukar baju.

Satu sifat semulajadi beliau yang cukup dinngati ialah keinginannya untuk menjadi ketua dan tidak mudah berpuashati di tempat kedua. Mungkin bagi beliau, dalam mana-mana organisasi yang disertainya kerusi no. 1 'mesti' diserahkan kepadanya.

Sebab itu barangkali percubaannya mengambi alih kepimpinan parti AKAR sedikit masa lalu gagal dan ditolak oleh ahli AKAR, yang akhirnya membawa kepada pembubaran parti tersebut. Percubaan beliau menyertai Umno di Bahagian Keningau juga telah ditolak.

Maka tidak hairanlah apabila beliau bertindak meletakkan jawatan penting seperti Naib Presiden PKR, gara-gara tidak dipilih menjadi Ketua PKR Sabah. Mungkin Dr. Jeffrey boleh berdalih, namun umum memahami kekecewaan perlantikan orang lain - bukan dia - adalah punca utama krisis PKR Sabah ketika ini.

Walaupun masih menjadi ahli PKR malah masih Ketua PKR Keningau, hampir pasti Dr. Jeffrey akan 'melompat' lagi. Ke arah mana tujunya kali ini masih menjadi tanda tanya. Sama ada parti baru atau kembali rujuk kepada PBS.

Soalnya, masihkah Dr. Jeffrey berbisa seperti dulu atau pun rakyat sudah bosan dengan gelagatnya? Kita tunggu...

Thursday, November 5, 2009

Bertindaklah Dengan Bijak Dr. Asri!


Salam,

Sepanjang minggu ini, Dr Asri menjadi orang paling popular. Setiap hari ada sahaja berita berkaitan beliau. Semuanya gara-gara penahanan JAIS, yang agak kelam kabut.

Kita serahkan kepada mahkamah mengadili beliau, jika benar JAIS akan mendakwa. Kita serahkan kepada umum menjadi saksi jika tindakan JAIS semberono dan melulu.

Apa pun, diharapkan Dr. Asri tidak melatah dan kelihatan menggelabah sehingga boleh menjejaskan reputasi beliau sebagai ulama' dan bekas mufti yang disanjung tinggi oleh semua golongan, tanpa mengira parti dan latar belakang. Jangan hendaknya beliau terperangkap dengan permainan pihak berkepentingan.

Hendaknya pendekatan Dr. Asri dalam menangani permasalahan yang berlaku bukan sebagai seorang selebriti, seperti menyaman orang lain , yang berlawanan dengan pendekatan bil-hikmah yang selalu disarankan kepada para pendakwah. Apalagi title 'Mufti' yang disandang beliau tentulah tindakannya jauh dari sifat konfrantasi.

Diharapkan Dr. Asri mampu bersabar terhadap cabaran menimpa, dengan menjadikan akhlak Rasulullah dan para sahabat serta ulama' terdahulu yang lebih tertekan, sebagai teladan untuk menzahirkan kesabaran.

Inilah masanya Dr. Asri membuktikan kemuliaan sifat mahmudah yang selau dilaungkan dalam setiap ceramah serta menunjukkan bagaimana pengorbanan tokoh ulama' terdahulu yang boleh diteladani, secara praktikal bukan setakat disebut-sebut.

Semoga Dr. Asri lebih kuat menongkah ujian, pada masa sama lebih matang mendepani isu dan bertindak dengan bijak!

Wednesday, November 4, 2009

MCA Bakal Berkubur?

Salam,

Kemelut yang melanda MCA, parti terbesar mewakili masyarakat Cina, semakin kusut. EGM yang diadakan bulan lalu, yang sepatutnya membantu mencari penyelesaian, tetap gagal merungkaikan masalah MCA.


Selepas EGM, perkembangan dalaman MCA semakin untuk diikuti. Nasib badan, Liow Tiong Lai hanya mampu duduk di kerusi Timbalan Presiden selama 19 hari apabila jawatan tersebut kembali ke tangan Chua Soi Lek. Pelan perdamaian yang dibuat Presiden, Ong Tee Keat pula menyaksikan 4 orang Jawatankuasa Pusat 'digantikan' orang lain!


Akhirnya apa yang kelihatan selepas ini ialah kedudukan Ong Tee Keat semakin kukuh. Bayangkan jika 'musuh' yang 'ganas' dan paling 'dibenci' sehingga EGM terpaksa diadakan mampu dijinakkan melelui Pelan Perdamaian, siapa lagi yang mampu menewaskan beliau?


Namun persoalan yang timbul, apakah kedudukan Ong Tee Keat dan kumpulannya yang pasti akan terus dikuatkan mampu pula mengukuhkan kedudukan MCA dan seterusnya mampu pula meraih kembali sokongan masyarakat Cina yang jelas beralih arah sejak Mac 2008?


Persoalan ini harus dilontarkan kepada para pemimpin MCA supaya mereka faham, menang dan glamour dengan jawatan parti tidak berguna jika kalah dalam pilihanraya. Rakyat akan menghakimi tindak-tanduk para pemimpin dalam pilihanraya, walaupun disukai oleh ahli parti.


MCA wajar peka dengan pandangan persekitaran, terutama rakyat di peringkat bawah yang akan menjadi penentu. Kemelut ini mesti ditangani segera, mana yang perlu turun wajar turun. Ini penting kerana MCA yang lemah hanya akan menjadi liabiliti kepada BN!

Monday, November 2, 2009

Teruskan Berjuang!

Salam,

Hanya doa yang mampu dititipkan semoga Dr. Asri dikuatkan semangat dan tekad untuk terus berjuang. Semoga dibulatkan tekad menghadapi cabaran yang bukan sedikit. Berjaya menempuh ujian yang ditimpakan kepada beliau.

Semoga jua apa yang berlaku ini bukanlah satu trend baru. Menjadikan perundangan sebagai senjata untuk menutup mulut para ulama' yang berani menegur kepincangan dalam masyarakat.

Diharapkan kes ini adalah satu insiden terpencil, tiada niat dendam yang didorong oleh fitnah. Bukan kerana prasangka apalagi kerana kepentingan diri atau kumpulan tertentu.

Hendaknya mehnah ini tidak mengendurkan usaha Dr. Asri merubah stigma pemikiran masyarakat, berfikir cara lama menuju cara berfikir dan bertindak yang kontemporari. Mungkin sukar tapi yakinlah ramai pengikut yang menyokong usaha Dr. Asri ini.

Semoga Allah melindungi Dr. Asri...

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin