Search This Blog

Loading...

Thursday, December 31, 2009

SELAMAT TAHUN BARU 2010...


Salam,


Tahun Baru datang lagi. Dengan semangat dan azam baru, melangkah yakin menyambut tahun 2010.


Diharapkan tahun baru 2010 membawa sinar dan harapan baru dalam segenap bidang diceburi. Negara akan terus maju, makmur dan harmoni bagi setiap werga.


Cuma mungkin yang merencatkan sambutan tahun baru kali ini tentulah kenaikan harga gula sebanyak 20 sen. Pasti produk berasaskan gula seperti kuih muih akan mengalami kenaikan harga.


Patut la gula kurang di pasaran kebelakangan ini, menunggu kenaikan harga rupanya...


Update:


Satu perkara lagi yang pasti akan merencatkan sambutan tahun baru kali ini pasti keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang membenarkan kalimah 'Allah' boleh digunakan dalam penerbitan Herald Catholic Weekly.


Selepas ini, dengan keputusan mahkamah siang tadi, pasti nama suci Allah boleh digunakan di mana-mana ruang dan tempat oleh golongan bukan Islam. Ringkas kata, kalimah suci ini bukan lagi milik umat Islam!


Menyedihkan di ambang tahun baru 2010 ini, keputusan mahkamah ini 'disokong' oleh mereka yang bergelar di kalangan pimpinan politik yang beragama Islam.


Entahlah labu....

Tuesday, December 29, 2009

Black 14 : Memadaikah Dengan Amaran?


Baru-baru ini, bersembang dengan beberapa orang rakan. Pelbagai perkara dibualkan, tentu sahaja analisa tragedi malam 14 Disember di Dewan Rakyat, tidak ketinggalan.


Seorang rakan berpendapat kejadian berlaku akibat sikap sambil lewa di kalangan para wakil rakyat. Masih berasa selesa menjadi YB walaupun jumlahnya tidak lagi seramai dulu.


Ada pula berpendapat, kecuali yang benar-benar mempunyai alasan kukuh dan tugasan rasmi, MP yang sengaja ponteng wajar dihukum dan diambil tindakan. Mungkin amaran sahaja tidak memadai kerana bayangkan akibatnya jika pengundian tidak menyebelahi BN.


Sewajarnya sebagai wakil rakyat, komitmen tinggi untuk menghadiri persidangan dewan hingga ke malam sangat ditagih. Apalagi kehadiran ketika pengundian hendak dijalankan, seharusnya menjadi wajib.


Bagi yang tidak larat lagi untuk menghadiri sidang, bolehlah memberi peluang kepada orang lain yang lebih komited, yang lebih mempunyai banyak masa untuk terus menghadiri sidang.


Seharusnya kejadian ini lebih membuka mata kepada pucuk pimpinan untuk melihat siapa yang wajar dikekalkan sebagai wakil rakyat yang tulen dan siapa pula yang wajar 'direhatkan' pada musim depan.


Amaran sahaja kepada mereka mungkin tidak pun menggerunkan...

Monday, December 28, 2009

Kuatkan Penguatkuasaan!


Salam,

Nahas bas ekspres di negara kita bukanlah satu cerita baru. Ia cerita lama, cuma menggemparkan apabila melibatkan ramai mangsa. Biasalah, semua akan bersuara dengan pelbagai cadangan, amaran dan sebagainya sebaik kemalangan berlaku...

Sehingga berlaku kemalangan seterusnya, tidak dapat dipastikan sama ada cadangan sudah terlaksana atau amaran sudah dijalankan. Tindakan tegas yang dijanjikan kadangkala cuma kedengaran di hadapan wartawan!

Segala macam peraturan yang tertulis, yang dibuat oleh pelbagai agensi berkaitan tidak akan berkesan jika tidak dikuatkuasakan. Aspek penguatkuasaan rasanya kena diketatkan, bukan sahaja pada musim perayaan tetapi sepanjang masa. Jika anggota kurang, mengapa tidak ditambah demi memastikan kemalangan dapat dielakkan.

Berkaitan dengan bas ekspres ini, satu perkara yang mungkin pihak berkuasa terlepas pandang ialah 'bas mini' di Kota Kinabalu - layakkah ia dipanggil bas sedangkan ia cuma van. Selain tidak bersesuaian dengan imej Bandaraya Kota Kinabalu yang moden, seharusnya pengangkutan awam juga seiring dengan kepesatan pembangunan bandaraya ini.

Sudahlah tu, para pemandu bas ini berlagak samseng di jalanraya. Menjadi lumrah bagi yang biasa memandu di Kota Kinabalu melihat gelagat bas mini ini memotong barisan ketika kesesakan, menukar arah laluan dan berhenti sesuka hati dan mereka seolah Raja Jalanraya di sini.

Mohon pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan kepada para pemandu yang menjadikan jalanraya awam seperti milik peribadi - terutamanya pengangkutan awam seperti bas!

Wednesday, December 23, 2009

Senarai Hitam Yang Putih!


Salam,

Jaminan YB Datuk Puad Zarkashi, Tim Menteri Pelajaran yang akan 'menghitamkan senarai' kontraktor yang gagal menyiapkan bangunan sekolah baru mengikut jadual serta tidak akan mendapat kontrak baru pada masa hadapan, amat disanjung tinggi. Sewajarnya kontraktor seperti ini 'dihukum' kerana gagal menjalankan amanah yang diberi.

Wajar dihukum kerana semasa menyertai tender dan berjaya atau dianugerahkan projek, bukan main lagi bermanis muka, sambil berjanji itu ini. Akhirnya ramai yang kedapatan telah menjual projek kepada sub-kontraktor lain, dan terbukti gagal.

Kegagalan ini menyebabkan banyak perancangan Kementerian Pelajaran seperti sekolah satu sesi, juga terbengkalai. Seperti kata tokoh akedemik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad: Sistem persekolahan satu sesi yang bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang mesti diberi perhatian serius kerana tempoh menuju status negara maju semakin singkat.

''Kita mahu mencapai status maju dalam tempoh sepuluh tahun akan datang. Tiada satu pun negara maju di dunia ini yang mengamalkan sistem dua sesi seperti diamalkan negara sekarang.

Amalan ali baba projek di kalangan kontraktor harus dipandang serius. Sekian lama amalan ini terus berlaku, sehingga banyak masalah yang timbul.

Perlu juga diberi perhatian oleh YB Datuk, amalan 'penganugerahan' projek kepada hanya beberapa syarikat yang 'dilindungi' oleh orang tertentu. Khabarnya, ada syarikat yang langsung tidak berwibawa dianugerahkan tender kawalan keselamatan dan perbekalan makanan. Malahan ada pula yang kontraktor berjaya, jelas menyokong pihak lawan pada PRU12 lalu. Langsung tidak menyumbang untuk BN pun! Semua berlaku kerana 'kaitan' dengan orang tertentu.

Dibimbangi cuma kelihatan hitam di mata, tetapi tetap putih di kalangan orang tertentu!

Monday, December 21, 2009

Salah Tetap Salah...


Salam,

Jaminan PM DS Najib bahawa kerajaan tidak akan menutup kes kehilangan enjin jet pejuang milik TUDM sangat dialu-alukan. Sewajarnya semua pihak yang terlibat dalam jenayah ini dihadapkan ke muka pengadilan.

Amatlah tidak adil jika kes ini dibiarkan berlalu begitu sahaja hanya kerana menjaga imej TUDM, apalagi jika untuk menyelamatkan Brigedier Jeneral dan pegawai lain, yang sangat berjasa kepada negara. Kecurangan yang telah mereka lakukan sangat besar kesannya kepada negara.

Hari ini cuma enjin sebuah jet yang rosak tersadai. Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan, apakah mustahil suatu hari nanti mereka menjual maklumat keselamatan kepada pihak lain?

Satu perkara penting yang wajar diambil kira daripada insiden ini ialah soal keselamatan dan prosedur pemindahan barang berharga dan bernilai tinggi, apalagi melibatkan agensi penting seperti TUDM. Bagaimana begitu mudahnya enjin yang saiznya tentulah besar boleh terlepas sehingga ke luar negara?

Menjadi tanggungjawab pihak berkaitan memikirkan cara yang lebih praktikal membendung kejadian seumpama ini tidak berulang. Pada masa sama, mereka yang terlibat harus diberikan pengajaran berguna!

Saturday, December 19, 2009

Cerita Gula vs Ketuanan Melayu...


Salam,


Heboh diperkatakan sekarang tentang kisah gula kurang di pasaran. Lebih menyukarkan bagi golongan yang mengadakan kenduri dan majlis perkahwinan pada musim cuti sekolah begini.


Jawapan biasa kedengaran oleh para peniaga apabila ditanya, stok habis kena tunggu stok baru. Diberilah hari tertentu yang dijangka stok baru datang. Malangnya apabila hari dijanjikkan, stok tetap habis. Ada kedai runcit meletakkan label 'Gula Habis' di sepanjang masa.


Akibat kekurangan gula, harganya melambung tinggi di luar bandar. Para peniaga sesuka hati menaikkan harga kerana tahu, orang ramai pasti tetap akan membeli biar berapa pun harganya. Bayangkan minum teh atau kopi tanpa gula!


Selalunya yang menjadi mangsa keadaan kerana krisis gula ini tentulah pengguna yang majoritinya orang Melayu/Bumiputera. Merekalah yang terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan bekalan gula.


Jika benarlah mereka adalah tuan dan kaum lain seperti Cina dan India adalah hamba, , bukankah pengguna Melayu tidak akan mengalami kesukaran mendapatkan bekalan gula?


Jika benarlah Melayu adalah tuan, bukankah pengguna Melayu tidak perlu beratur panjang dengan muka kasihan demi mendapatkan gula yang dihadkan 2kg bagi seorang pembeli?


Sebagai tuan di negara ini, bukankah orang Melayu boleh berbuat apa sahaja untuk memastikan mereka mendapat gula.


Daripada cerita kekurangan gula ini pun sudah terbukti tafsiran pihak tertentu tentang istilah Ketuanan Melayu, yang kononnya Melayu adalah tuan dan menidakkan kaum lain, adalah salah dan menyeleweng!


Thursday, December 17, 2009

Salam Hijrah...Kejayaan Emas Untuk Malaysia!


Salam Hijrah,

Tahniah diucapkan kepada wira-wira muda yang mempamerkan semangat juang tinggi mengungguli perlawanan akhir bolasepak Suka Sea Laos, sekaligus mengakhiri penantian emas bola selama 20 tahun.

Detik kemenangan ini sewajarnya dirayakan, disamping keinsafan bahawa kejayaan ini cumalah permulaan kepada kebangkitan bolasepak kita yang sekian lama diperlekeh oleh lawan. Mengambil sempena semangat Tahun Baru Hijrah yang bermula malam ini, dengan kemenangan emas, diharap kejayaan akan terus mengiringi pasukan kita.

Semoga suatu hari nanti kita akan menyaksikan aksi meraikan kejayaan di jalanraya - seperti yang dilihat di kaca tv tadi - bukan meraikan kejayaan di peringkat Sukan Sea, tetapi meraikan kejayaan ke Piala Dunia umpamanya!

Diharapkan juga nota kemenangan pasukan bolasepak kita tadi juga akan dicontohi semua, dengan limpahan kejayaan sepanjang tahun baru Hijrah ini, di segenap bidang yang diceburi.

Selamat Menyambut Maal Hijrah....

Hari Ni Final...Bung Sibuk Dengan Bini Baru?


Salam,

Petang nanti Final bola Sukan Sea Laos. Peluang pasukan kebangsaan balas dendam ke atas Vietnam kekalahan 1-3 di peringkat kumpulan tempohari. Jangan lepaskan peluang menonton aksi wira-wira muda ini di TV2 atau TV3 jam 6.00 petang nanti.

Didoakan mereka mengakhiri kemarau emas 20 tahun, yang kali terakhir dimenangi di Kuala Lumpur pada tahun 1989. Di tangan para pemain, dengan perancanaan strategi K.Rajagopal, diharap pasukan kebangsaan mampu merealisasikan harapan menggunung tinggi rakyat Malaysia ini. Selamat berjaya...

Sementara itu, jika benar seperti dilaporkan diucapkan Selamat juga kepada Datuk Bung Mokhtar Radin. Moga aman sentosa hendaknya.

Patut la tak datang semasa undian di Dewan Rakyat malam Isnin lalu. Sibuk rupanya YB seorang ni...

Monday, December 14, 2009

Lupakan Nazri...Tahniah Pasukan Malaysia!


Salam,

Wajar penghargaan diberikan kepada barisan pemain muda negara yang berjaya menundukkan Laos 3-1 di laman mereka sendiri. Tahniah kepada semua pemain dan pengurusan yang berjaya menzahirkan impian ke final. Harapnya impian emas pula dapat dizahirkan selepas ini, sambil menebus kembali kekalahan kepada Vietnam tempohari.

Apa yang nyata, ketiadaan pemain 'bermasalah' seperti Zaquan Adha, pemain lain mampu mengibar cabaran. Mungkin di final nanti pemain sepertinya patut tidak diberi tempat. Layan sahaja dengan pemain yang ada.

Mungkin satu elemen perlu ditambah untuk final nanti. Seperti Laos yang cantik dengan bendera negara mereka di dada jersi pemain, Malaysia juga wajar 'menjahit' jalur gemilang di dada jersi kebangsaan. Pelik pula rasanya bila nama pasukan Malaysia tetapi yang tertera logo FAM.

Dengan adanya jalur gemilang, semangat pemain negara akan lebih bersemarak!

Lupakan Nazri...Kita Layan Bola!


Salam,

Kita lupakan sejenak karenah seorang menteri ini, yang semakin hari semakin melalut dan keliru. Ssejak akhir-akhir ini, kelihatan Datuk Nazri seperti tidak keruan gamaknya. Merombak modul BTN, menuduh Tun Mahathir bapa rasis, terbaru memanggil teksi dan kereta sewa sebagai tandas!

Daripada kita melayan keceluparan menteri ini, baik kita layan bola. Tahniah diucapkan kepada pasukan bola sepak kita yang mampu melangkah ke separuh akhir di Sukan Sea. Penghargaan wajar diberikan kepada skuad ini yang berjaya menumbangkan Thailand ketika harapan langsung tidak diberikan kepada mereka.

Diharapkan kesempatan melangkah ke final dengan mengalahkan pasukan Laos kali ini tidak dipersia-siakan. Harapan menggunung rakyat Malaysia melihat kebangkitan pasukan kebangsaan tidak dihampakan kali ini. Doa kita akan mengiringi perjuangan anak-anak muda di padang bola nanti.

Semoga impian sebutir pingat emas dari bola sepak dapat dizahirkan dengan kemenangan. Pada masa sama, harapan kita untuk melihat aksi separuh akhir secara langsung di kaca tv akan dapat dizahirkan oleh kementerian yang berkaitan.

Kalau perlumbaan kereta F1 yang tidak berkaitan dengan negara boleh disiarkan secara live, takkanlah permainan pasukan kebangsaan kita tida dapat ditonton...

Wednesday, December 9, 2009

Tutup Sahaja BTN...


Salam,

Cerita tentang BTN semakin hari semakin panas membara. Institusi yang sudah berakar sekian lama, yang terbukti berjasa dalam meningkatkan semangat patriotisme di kalangan rakyat pelbagai peringkat. Hari ini, BTN menjadi 'taboo' kepada segelintir rakyat termasuk para pemimpin yang dahulunya menjadikan BTN sebagai institusi untuk kepentingan peribadi.

Sama ada kursus atau seminar, tanpa mengira status kedudukan : pelajar, nelayan, petani, kakitangan sektor awam dan swasta, profesional hatta ahli politik, semuanya merasai kempen BTN memertabatkan negara menurut perlembagaan negara.

Ironinya, kini institusi yang sama dengan dasar yang sama semakin ditakuti. Hingga ada menteri terasa hendak merombak semula modul yang telah melahirkan berjuta rakyat Malaysia yang lebih cintakan negara. Hanya kerana tindakan kerajaan Selangor - diikuti P.Pinang - mengharamkan BTN! Bila masanya kerajaan PKR, PAS atau DAP setuju dengan kerajaan Persekutuan?

Malah lebih teruk lagi Tun Mahathir dikata rasis kerana mempertahankan modul BTN yang berjaya.

Elok rasanya dibaca catatan Awang Selamat :

Lagipun tiada apa yang salah dengan kursus BTN yang berorientasikan kenegaraan. Sesiapa yang menghadiri kursus itu tidak pernah keluar menjadi militan atau ektremis kaum sebaliknya meningkatkan lagi kesedaran terhadap cintakan negara. Awang percaya Khalid lebih mahu menguji pemikiran politik pemimpin Barisan Nasional (BN).

Tiba-tiba keluar seruan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd. Nazri Aziz agar kurikulum BTN perlu dirombak bagi disesuaikan dengan gagasan 1Malaysia. Awang adalah peminat Nazri. Beliau seorang menteri yang disegani kerana kewibawaannya. Tetapi dalam isu ini Awang berbeza pandangan dengan beliau. Jika Nazri menyatakan kurikulum BTN perlu melalui sedikit pengubahsuaian, Awang setuju tetapi bukan dirombak. Ini kerana kurikulum BTN sememangnya berteraskan Perlembagaan. Apakah kita tidak yakin dengan semangat perlembagaan yang ada?

atau ingatan Tun. Mahathir supaya jangan terperangkap dengan mainan pembangkang!

Saturday, December 5, 2009

BTN: Apa Kata Datuk Salleh Said Keruak ( SSK )


Salam,

Telah pelbagai macam pandangan diberikan, ekoran tindakan mengharamkan BTN oleh Kerajaan Selangor dan P.Pinang. Ada sahaja alasan diberi untuk mweajarkan tindakan mereka.

Berikut dinukilkan pandangan Datuk Salleh Said Keruak, bekas KM Sabah dan MP Kota Belud berkaitan isu BTN ini.

Di ruangan kali ini, saya ingin mengulas sedikit mengenai isu BTN. Saya tertarik untuk memberi pandangan dalam hal ini kerana saya sendiri secara peribadi pernah menyertai kursus anjuran badan tersebut.

Pada saya, apa yang diperolehi melalui kursus tersebut ialah ilmu yang amat memberi manfaat dan membantu membangkitkan semangat nasionalisma.

Fakta-fakta sejarah yang tepat dan isu-isu semasa yang dijelaskan sesungguhnya boleh membuka minda dan memberi inspirasi, justeru ia sesuai untuk difahami.

Pada saya, pihak-pihak tertentu sengaja mempolitikkan isu BTN ini untuk mengalihkan perhatian masalah dalaman parti mereka. Ia merupakan propaganda pembangkang menanguk di air keruh.

Baca seterusnya di sini.

Mungkin benar, BTN dibenci kerajaan Selangor dan P.Pinang untuk menutup kelemahan masing-masing, selepas berpeluang memerintah. Sebelum ini, menjadi pembangkang memang mudah. Kerja asyik menyalahkan orang lain.

Kini tembelang sebenar semakin hari semakin pecah. Kerana khuatir terus ditelanjangkan, tindakan pengharaman pun dijalankan. Tapi terus berkata soal akauntabiliti dan ketelusan. Alahai....

Berita Yang Melegakan...

Kerajaan tidak berhasrat hapus subsidi gula, harga kekal RM1.45 sekilogram
04/12/2009 3:10pm

PUTRAJAYA, 4 Dis. — Kerajaan tidak berhasrat untuk menarik balik subsidi gula dalam masa terdekat, sekaligus mengekalkan harga barangan tersebut pada RM1.45 sekilogram.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata rakyat tidak perlu panik dan melakukan pembelian pada kadar yang banyak ekoran bimbang harga barangan itu akan dinaikkan.

"Pada ketika ini kementerian belum membuat sebarang cadangan kepada Kabinet (mengenai penarikan balik subsidi gula). Jadi kami beri jaminan yang harga gula kekal sepertimana sekarang.

"Jadi kita harap kerjasama semua pihak termasuk peniaga dan pengguna supaya janganlah beli gula secara berlebihan dan jangan ada yang menyorok untuk dapatkan keuntungan sebab pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan serius terhadap mereka yang melakukan kegiatan ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Berita ini memang melegakan. Namun, penguatkuasaan terhadap kegiatan menyorok dan penyeludupan gula haruslah ditingkatkan.

Terima kasih atas keputusan baik ini.

Thursday, December 3, 2009

Bahasa Orang Penang...

( Gambar Malaysiakini )

Salam,


Istilah '2, 3 kerat' biasanya menggambarkan bilangan yang sedikit. 2,3 kerat pemain bola bermakna 2,3 orang pemain bola. Jika disebut 2,3 kerat pemimpin, biasanya bermaksud seorang dua pemimpin.


Begitulah kebiasaan makna istilah ini dalam perbualan. Sering digunakan sebagai bahasa pasar. Tiada apa yang ganjil dengan istilah ini. Semua orang memahami maknanya.


Tapi awas, istilah ini 2,3 kerat, jangan digunakan di Pulau Pinang. Mungkin di sana, maksud istilah ini berlainan. Tidak seperti yang kita fahami.


Datuk Azhar Ibrahim, ADUN Penaga selaku Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang telah menerima hukuman gara-gara penggunaan istilah ini. Hukumannya, beliau digantung dari menghadiri sidang DUN kerana enggan menarik balik penggunaan istilah ini semasa berbahas.


Pasti bukan semua orang Penang yang tidak faham istilah ini. Jika Tim. Spekaer DUN P.Pinang Tan Hock Leong tidak faham, masih boleh diterima. Cuma yang pelik, bagaimana Tim. Ketua Menteri, seorang ahli akedemik sebelum ini, memegang ijazah Phd masih gagal memahami istilah ini?


Atau dek kerana menjadi ahli Pakatan, pemahaman terhadap Bahasa Melayu pun sudah mula berubah?

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin