Search This Blog

Loading...

Tuesday, November 29, 2011

Selamat Bersidang Perwakilan Umno....

Salam,

Bermula hari ini, maka Perhimpunan Agung Umno membuka tirainya dengan perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh YAB Tim. Presiden Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Perhimpunan Agung Umno kali ini bukan sekadar perhimpunan tahunan atau memenuhi keperluan undang-undang asas sesebuah pertubuhan, malah jauh daripada itu perhimpunan kali ini mempunyai signifikan tersendiri.

Dikatakan perhimpunan ini adalah yang terakhir sebelum Umno dan Barisan Nasional berdepan pakatan pembangkang yang mempunyai keyakinan tinggi dalam PRU13. Perhimpunan ini akan menjadi kayu ukur kesediaan Umno dalam 'perang' memenangi hati rakyat.

Maka sebab itu, perwakilan dan pemerhati Umno dari seluruh pelosok negara sewajarnya menjadikan inspirasi perhimpunan ini untuk terus merencanakan perancangan, menyiapkan diri dalam usaha melaksanakan gerak kerja dan bangkit daripada pengalaman pahit dilambung ombak tsunami 2008.

Bukan sahaja ahli Umno, malah rakyat keseluruhannya akan mengikuti perkembangan daripada perhimpunan ini. Rakyat akan memerhati dan mendengar bagaimana nanti ucapan dasar Presiden, ucapan Tim. Presiden, ucapan Ketua Sayap dan perbahasan perwakilan. Sudah tentu ahli Umno dan rakyat akan menolak retorik dan puji-memuji serta perbahasan yang hanya penuh dengan agenda bodek-membodek.

Adalah diharapkan perhimpunan kali ini akan menghasilkan natijah yang baik bukannya medan menampilkan gaya mewah, berbaju linen dan berselendang sutera. Bukannya medan menampilkan jam tangan berjenama mahal, perhiasan terkini buatan luar negeri atau medan menghimpit pemimpin besar parti menghambat projek.

Kita jadikan perhimpunan ini sebagai medan memperkemaskan kesiap-siagaan menghadapi asakan pakatan pembangkang yang bercita-cita menguasai Putrajaya. Justeru, pemimpin yang menjadikan perhimpunan ini sebagai medan mempersiapkan diri untuk kepentingan peribadi atas apa jua alasan wajib kita tolak. 

Khabarnya, ada pemimpin menjadikan perhimpunan kali ini sebagai langkah mempersiapkan diri bukan berdepan pakatan pembangkang tetapi mempersiapkan diri menjelang pemilihan parti yang pasti akan berlangsung selepas pilihanraya akan datang. Ada pemimpin pemuda 'menerbangkan' sebilangan besar ketua pemuda cawangan ke perhimpunan kali ini, mungkin untuk melatih mereka berdepan pembangkang!

Akhirnya diucapkan selamat bersidang!

Tuesday, November 22, 2011

Kita belum ke London lagi...

Salam,

Syukurlah skuad Harimau ( Malaysia ) Muda akhirnya berjaya mengekalkan ' Ibu Segala Pingat Emas ' acara bola sepak Sukan SEA malam tadi. Tahniah diucapkan kepada semua pemain, jurulatih dan pegawai pasukan yang memastikan kemenangan dan membenam ego Indonesia di kandang mereka sendiri. Ternyata Malaysia berada di kelas tersendiri di peringkat Asia Tenggara.

Namun dalam kegembiraan menuai pingat emas ini, seharusnya pasukan Malaysia tidak hilang fokus dalam laluan melayakkan diri ke Sukan Olimpik London 2012. Agenda London harus menjadi keutamaan jurulatih dan pemain. Persiapan rapi ke arah itu wajar diperkemaskan.

Berdasarkan prestasi di Jakarta, nyata jentera serangan masih tumpul. Kecuali kemenangan 4-1 ke atas Kemboja, kelompok penyerang mesti dilatih lagi untuk menghasilkan gol. Ketika benteng dan penjaga gol teguh bertahan, ketara penyerang kita masih lemah menjelmakan gol yang dikehendaki.

Mungkin kita kekurangan pemain serangan yang menglami kecederaan, namun itu bukan alasan. Jurulatih wajar menyediakan pemain gantian yang kualitinya tidak jauh berbeza dengan kelompok pemain utama. Peluang yang terhidang di depan gawang mesti disempurnakan sebab peluang keemasan menjaringkan gol tidak akan datang berulang kali.

Harapan kita pemain tidak terleka dengan kejayaan emas ini. Misi London 2012 mesti disempurnakan. Kalau pun kalah biarlah secara terhormat dengan semangat melawan yang kental.

Selamat berjuang...

Sunday, November 13, 2011

Tapis Sedalam-dalamnya...

Salam,

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal menyatakan bahawa usaha UMNO untuk mengemukakan calon winnable candidate yang diwar-warkan, harus mengambil kira perubahan lanskap politik semasa. Pandangan sudah dikemukakan dan seharusnya sebagai seorang Naib Presiden, Shafie wajar mempertahankan pandangannya. Selamat membaca...

Pemilihan Calon Pilihan Raya Umum Ke-13 Perlu Ambil Kira Perubahan Lanskap Politik

SEMPORNA, 12 Nov – Pemilihan calon untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 perlu mengambil kira perubahan lanskap politik semasa, kata naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata pendekatan seperti itu mesti dilakukan bagi memastikan semua calon yang diketengahkan BN membawa kemenangan.

“Kita harus berpijak di bumi nyata kerana senario politik sekarang sudah berubah. Kita tidak boleh menggunakan kaedah atau cara yang sudah berada ditakuk lama. Calon yang ada mesti ditapis sedalam-dalamnya.

“Penapisan itu mesti membabitkan dan menyelami suara rakyat yang ada. Tidak ada ertinya kita menetapkan calon tetapi rakyat tidak terima,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Gerakan Membaja peringkat negeri Sabah di Kampung Sungai Baron, Lihak-Lihak di sini hari ini.

Dua hari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN mengumumkan bahawa BN tidak meletakkan had umur dan juga tanpa mengira berapa kali menjadi wakil rakyat untuk calonnya pada pilihan raya umum Ke-13 asalkan calon berkenaan boleh menang.

Shafie berkata cabaran yang bakal dihadapi BN pada pilihan raya umum akan datang cukup berbeza berbanding pilihan raya lepas dan ia memerlukan pendekatan tersendiri bagi memastikan BN terus berkuasa.

Beliau berkata tidak ada ertinya anggota parti mendesak pucuk pimpinan supaya meletakkan calon tertentu dari parti tertentu tetapi calon berkenaan tidak diterima rakyat dan tidak boleh menang.

Mengenai pembinaan jambatan bernilai RM7 juta merentangi Sungai Lihak-Lihak untuk kegunaan penduduk di Pulau Lihak-Lihak, Shafie berkata jambatan yang dalam pembinaan itu boleh siap dalam tempoh enam hingga tujuh bulan dari sekarang.

Beliau berkata apabila jambatan itu siap kelak, ia bukan sahaja memudahkan pelajar berulang alik ke sekolah tetapi juga memudahkan penduduk untuk ke hospital atau keluar ke pekan Semporna.

Friday, November 4, 2011

Menyokong Tindakan Menghalang Seksualiti Merdeka...

Salam,

Blog ini menyertai majoriti rakyat Malaysia menyokong penuh tindakan pihak polis dalam menghalang Program Seksualiti Merdeka yang bakal dianjurkan pada 9/11 ini. Kita tidak bersetuju dan menentang program yang sebegini disuburkan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Penganjuran program yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam di sebuah negara yang umat Islam menjadi majoriti penduduk dan menjadikan Islam sebagai agama persekutuan, adalah satu perkara yang mendukacitakan.

Walau apa pun alasan digunakan untuk menghalalkan program sebegini tidak akan dapat diterima, kerana objektif program ini jelas bertentangan bukan sahaja dengan ajaran agama Islam dan apa jua agama, malahan bertentangan juga dengan budaya dan norma masyarakat.

Untuk itu, kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan wajar terhadap penganjur program ini. Sebarang percubaan mempromosi budaya hidup songsang yang bertentangan dengan akidah Islam dan melawan tabii manusia mesti dihalang dan digempur ke peringkat akar umbi.

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin