Search This Blog

Loading...

Saturday, January 21, 2012

Kes Liwat : Pro dan Kontra Rayuan...

Salam,

Akhirnya Pejabat Peguan Negara, di saat-saat akhir mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ketua Pembangkang DSAI daripada tuduhan meliwat Saiful Bukhari.

Dari satu segi, rayuan ini tidak menyalahi proses perundangan. Peguam Negara yang menjadi pendakwa dalam kes tersebut mempunyai hak untuk merayu. Seperti yang dilaporkan, keputusan Pejabat Peguam Negara memfailkan notis rayuan itu bagi membolehkan mereka memperolehi penghakiman bertulis Yang Arif Hakim dan rekod prosiding perbicaraan daripada Mahkamah Tinggi dan seterusnya mengetahui dengan jelas alasan-alasan penuh keputusan hakim tempohari.

Bagi pengadu, notis rayuan ini sudah tentu melegakan. Selain untuk memenuhi proses perundangan, tentu sahaja rayuan ini akan memberi peluang kepada tertegaknya keadilan kepada Saiful Bukhari. Di peringkat rayuan, keputusan lima hakim sepertimana diumumkan oleh Ketua Hakim Negara baru-baru ini, pasti lebih dapat diterima umum - walau apa pun keputusannya nanti. Hak Saiful untuk mendapatkan kebenaran seperti yang didakwanya akan tertunai dengan keputusan di mahkamah yang lebih tinggi.

Harus diingat, sebarang keputusan di peringkat rayuan ini belum lagi muktamad. Sama ada peguam negara atau Anwar mempunyai ruang mendapatkan keadilan di Mahkamah Persekutuan pula - sehinggalah proses perundangan tamat. Sementara menunggu peringkat demi peringkat proses ini, sewajarnya rakyat tidak dibawa sama untuk menyelesaikannya. Serahkan kepada kebijaksanaan para hakim untuk membuat keputusan.

Tuesday, January 10, 2012

Anwar Menang, Mahkamah Pun Menang!

Salam,

Selepas berbulan-bulan diselubungi cerita kes liwat Anwar Ibrahim, akhirnya mahkamah membebaskan beliau daripada dakwaan tersebut. Maka bersorak-sorailah penyokong Anwar. Sewajarnya mereka meraikan 'kemenangan' tersebut, memandangkan sejak sekian lama mahkamah dan hakim Malaysia digambarkan tidak bebas, bersekongkol dengan Umno dan dikawal penguasa - istilah yang selalu digunakan Anwar Ibrahim.

Ya, sekian lama mahkamah dan hakim 'terhukum' oleh pandangan negatif segelintir rakyat yang melihat kebebasan kehakiman telah dihakis oleh pemerintah. Mahkamah dituduh membuat keputusan mengikut telunjuk para pemimpin. Tohmahan jahat ini semakin berkembang terutamanya apabila sesuatu kes tidak menyebelahi, maka hakim akan ditohmah tidak adil dan memihak.

Dakwaan mahkamah tidak bebas ini bukan sahaja dicanang di seluruh negara malah dijaja ke seluruh dunia. Berapa ramai pemimpin dunia yang sudah termakan dengan cerita ini?

Sebab itu, apabila Anwar dan penyokongnya bersorak gembira dengan keputusan mahkamah yang membebaskannya, maka sewajarnya mahkamah dan hakim pun bergembira meraikan kemenangan mereka. Mahkamah menang kerana kebebasan mereka diiktiraf oleh segelintir rakyat yang selama ini menafikannya. Jika mereka mahukan bukti tentang kebebasan mahkamah, mungkin inilah bukti tertinggi yang harus membuka mata dan mata hati mereka.

Apa yang diharapkan, selepas ini mereka yang selama ini memfitnah kebebasan mahkamah dan para hakim, tersedar dan berhenti daripada terus melakukan tohmahan liar. Mahu mereka memohon maaf? Rasanya tidak perlu...sebab mereka tidak akan memohon maaf!

Saturday, January 7, 2012

UMNO Lakukan Transformasi Untuk Raih Keyakinan Generasi Pasca Merdeka...Najib

Salam,

Seakan penat dan berbuih mulut PM selaku Presiden UMNO mengingatkan ahli UMNO tentang perubahan dan transformasi, terutamanya untuk berdepan dengan generasi muda pasca merdeka yang kritikal terhadap UMNO. Jika apa yang diingatkan oleh PM Najib didengar dan diambil perhatian oleh anggota UMNO di setiap peringkat, kelangsungan UMNO sebagai parti peneraju Insya Allah akan berkekalan. UMNO akan kekal relevan di kalangan generasi muda andai semua menunjukkan komitmen melakukan perubahan.

Jika anggota UMNO kekal dalam kepompong lama dan terus bangga dengan sejarah gemilang UMNO sebagai modal mendekati anak-anak muda, alamat semakin jauhlah UMNO dengan genetasi muda. Maka sebab itu, di samping berpaut dengan sejarah sebagai panduan, ahli UMNO di setiap peringkat mesti melakukan transformasi sepertimana diminta PM Najib...

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Anggota UMNO perlu berubah seiring keadaan semasa yang menyaksikan parti itu lebih demokratik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata mereka perlu berubah bagi meraih keyakinan generasi pasca merdeka.

“Mereka yang lahir pasca merdeka tidak merasai pengalaman lalu… mereka cuma nak tahu apa yang UMNO hendak buat hari ini dan akan datang, dan mereka tidak suka diingatkan bahawa budi yang lepas perlu dibalas,” katanya ketika berucap pada majlis perhargaan untuk media yang membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini Jumaat malam.

Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata parti itu tidak lagi boleh bersandar kepada sejarah semata-mata walaupun ia banyak berjasa kepada negara kerana generasi hari ini tidak dapat menyelami perkara tersebut.

“Walaupun ia (UMNO) begitu cemerlang dan tidak tertanding, tetapi kita kena bersikap realistik dan melihat ke hadapan kerana ada perubahan dalam landskap politik tanah air dan dunia,” katanya.

Beliau menegaskan UMNO mempunyai iltizam politik untuk menjadi parti terbaik dan pemimpin negara selepas memperoleh kepercayaan rakyat.

Sehubungan itu, Najib meminta anggota UMNO berusaha lebih gigih bagi membuktikan ia layak menjadi parti tunggak di negara ini.

“Saya akui kita masih ada ruang untuk membuat penambahbaikan selain membaiki kelemahan yang ada. Kita boleh lakukan perubahan daripada segi perlembagaan (parti) yang membawa kepada perubahan struktur dan membuat keputusan serta kepimpinan.

“Tetapi akhirnya, perubahan itu perlu dibuat oleh orang UMNO itu sendiri,” katanya pada majlis yang dihadiri 1,000 orang termasuk wakil media.

Thursday, January 5, 2012

Jangan Putus Sahabat, Saudara Kerana Politik!

Salam,

Semenjak penghujung tahun 2011 hingga ke hari ini, suhu politik negara, negeri dan kawasan semakin 'panas'. Dijangka suhu panas ini akan berterusan menuju ke detik pilihanraya yang akan datang. Semakin lambat parlimen atau DUN dibubarkan, maka semakin bertambahlah kepanasan suhu politik ini.

Isu NFC dan 901 adalah isu panas di peringkat nasional. Di kawsan dan di peringkat negeri Sabah, isu pemimpin keluar parti dan menubuhkan parti baru ( siap ada nama SPF ) mengambil tempat dan menjadi bualan hangat. Sejauh mana kebenaran isu-isu ini, kita serahkan kepada empunya diri dan pihak berkuasa mengambil tindakan wajar. Tentu saja ada pertimbangan terbaik di pihak yang berkenaan untuk meredakan keadaan.

Sementara Itu, wajar kita mengambil iktibar tulisan seorang blogger Faizuleffende sebagai renungan. Menurut beliau...Sesungguhnya kekerasan tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Malah katanya.... Bayangkanlah alangkah bahagianya jika kita semua orang Islam dapat bersama-sama bergandingan dan memajukan Malaysia ! Kerana pangkat dan kuasa kita sanggup membenci, memfitnah, mencerca dan menjatuhkan sesama bangsa.

Kerana kemabukan kepada kuasa politik ada yang sanggup berkerat rotan berpatah arang, putus saudara putus sahabat. Malah ada yang
tergamak berpeluk cium dengan orang lain yang belum terbukti kejujurannya. Bukankah politik cuma alat untuk menjayakan tugas sebagai
khalifah di muka bumi. Kekuasaan politik yang didambakan bukanlah matlamat akhir yang mahu dikejar. Berbaloikah Jika menang dan berkuasa di atas gelimpangan tubuh saudara dan sahabat yang dicedera dan dibunuh oleh fitnah dan maki hamun, daripada permainan
politik ganas dan kotor?

Para pelaku politik dari aliran mana pun wajar melakonkan watak politik secara profesional, bijak dan gentleman. Bentangkan menifesto kepada rakyat jelata, serahkan kepada kebijaksanaan mereka membuat pilihan. Rakyat hari ini sudah cukup cerdik untuk memilih parti dan calon terbaik yang akan berkhidmat untuk mereka. Generasi muda umpamanya sudah tahu kriteria parti dan calon yang bertanggungjawab dan mampu memenuhi aspirasi muda. Sama sekali jangan perbodohkan mereka dengan desakan yang tidak perlu.

Dalam menunggu detik untuk kita membuat pilihan, hubungan baik dan harmoni antara sahabat, antara saudara dan sesama kaum yang
dibina sekian lama, hendaknya janganlah diruntuhkan. Jangan dilayan provokasi, jangan jua diturut rasa nanti binasa, jangan terlalu diikut kata hati nanti mati. Buatlah pertimbangan yang paling rasional dan objektif dan banyakkan bersabar. Yang penting dan utama, jangan diputuskan tali silaturrahim yang terikat kukuh...hanya kerana mabuk kuasa!

Sunday, January 1, 2012

Selamat Tahun Baru 2012....

Salam,

Ramai meramalkan tahun 2012 adalah tahun penentuan. Mementukan sama ada BN masih terus berkuasa atau Pakatan Rakyat akan melangkah ke Putrajaya selepas PRU13 nanti. Diramalkan pilihanraya akan diadakan tidak akan melebihi bulan Jun tahun ini.

Melihat kepada senario politik sepanjang tahun 2011, BN dan PR mempunyai peluang yang seimbang untuk memenangi pilihanraya. Ketika kelebihan silih berganti di antara kedua parti, cerita negatif juga tidak terlepas di antara keduanya. Parti manakah yang berjaya mengawal 'kerosakan' dalaman seharusnya muncul sebagai pilihan dalam kalangan pengundi atas pagar - yang memerhati dengan teliti perkembangan semasa.

Sementara pilihanraya belum tiba, eloklah BN dan PR melakukan gerak kerja parti masing-masing dengan berhemah. Gelanggang politik tidak memerlukan permainan kasar, hanya untuk memenangi kuasa. Rakyat pun sudah muak melihat tindak-tanduk penggiat politik yang melampaui batas, seolah-olah rakyat terlalu bodoh untuk membuat penilaian objektif. Berkempenlah dengan cara yang adil untuk mencanang kelebihan memilih parti masing-masing.

Namun seperkara yang dilihat kelebihan BN setakat ini berbanding PR, tentu sahaja pendekatan mesra rakyat yang ditunjukkan oleh PM Najib. Pendekatan berjumpa dengan seramai mungkin rakyat di peringkat bawah - dari pemandu teksi ke peniaga restoran, golongan belia sehingga ke peminat bola - nampaknya memang menarik. Rakyat berharap pendekatan ini diteruskan bukan setakat untuk menghadapi pilihanraya, malah diteruskan pada masa depan.

Kesungguhan PM Najib dalam melaksanakan tranformasi ekonomi, sosial dan politik seperti yang dijanjikannya juga cukup mengujakan. Pelbagai bantuan yang disalurkan demi kebajikan rakyat terbanyak amat disokong. Realitinya, slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan benar-benar diterjemahkan. Diakui memang banyak lagi yang perlu dilaksanakan, namun berdasarkan pendekatan yang dijalankan memang tidak dapat disangkal bahawa akan ada banyak lagi usaha memajukan rakyat dan negara selepas ini.

Diharapkan pada tahun 2012 ini negara akan terus makmur dan maju, dalam keadaan rakyat terus bertoleransi dan hidup aman harmoni...

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin