Search This Blog

Loading...
Showing posts with label Pemuda Umno. Show all posts
Showing posts with label Pemuda Umno. Show all posts

Monday, February 14, 2011

Transformasi Politik Pemuda Umno...


Salam,

Sebahagian daripada usaha transformasi politik Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno ialah berjumpa semua Ketua Bahagian Umno dari seluruh negara Sabtu lalu. Pertemuan ini sebagai susulan pertemuan dengan Ahli Parlimen dan ADUN Sarawak baru-baru ini.

Dilaporkan Najib antara lain meminta Ketua Umno Bahagian meleraikan kekusutan di bahagian masing-masing, mengurangkan masalah dalaman parti, termasuk amalan cantas-mencantas. Najib juga meminta supaya parti terus mendekati pengundi muda agar terus menyokong parti.

Malangnya, di peringkat Pemuda Umno Bahagian khususnya di Sipitang, seruan Presiden parti ini bagai tidak diendahkan. Malam Sabtu lalu juga, dillaporkan Ketua Pemuda Sipitang melakukan kejutan yang langsung tidak disangka. Tiga orang pemegang jawatan utama parti: Penolong Setiausaha, Penolong Bendahari dan Ketua Penerangan telah dipecat!

Tanpa penjelasan lanjut, tindakan pemecatan ini dilakukan dalam satu mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian. Tiada sebab diberikan kenapa tindakan drastik ini dilakukan. Bagai satu tradisi - seperti juga 'rejim' Ketua Pemuda yang lalu - Ketua Pemuda Bahagian meneruskan tindakan melakukan pemecatan sesuka hati.

Seakan hilang arah dan mabuk kuasa, Ketua Pemuda Umno Sipitang nampak gayanya sudah 'beraja di mata, bersultan di hati'. Mungkinkah atas dasar sebagai anak pembesar negeri, seorang Ketua Pemuda boleh melakukan apa sahaja? Mengurus parti seperti mengurus syarikat sendiri? Ramai ahli parti tertanya-tanya...

Jika beginilah caranya seorang Ketua mentadbir parti, lagaknya seperti seorang CEO syarikat sdn bhd memecat ahli lembaga pengarah, maka tidak hairanlah jika setahun lalu pengerusi Tetap Pemuda Umno Bahagian bersama Ketua Pemuda Cawangan yang merupakan penyokong kuat beliau, bertindak nekad keluar parti dan menyertai pembangkang. Malah tidaklah pula menghairankan jika pemuda di peringkat bawah, terus bersikap sinis kepada parti keseluruhannya.

Sebelum nanah menjadi barah, kita berharap kepimpinan parti di peringkat bahagian dan negeri bertindak berani, melakukan sesuatu agar imej Umno tidak tercemar, gara-gara tindakan seorang pemimpin yang mengamalkan konsep 'ikut suka aku'. Sudahlah tiada usaha dilakukan menarik pengundi muda yang sepatutnya digerakkan pemuda, imej parti pula hendak dirosakkan.

Agaknya, beginikah caranya apabila seorang ahli bisnes bermain politik?

Friday, March 5, 2010

Belia Terkandas : Syabas Saudara Jamawi Jaafar!


Salam,

Berikutan 'kegemparan' isu belia Sabah terkandas di ibu negara dengan menumpang berteduh di rumah kebajikan rumah ibadat dan ketiadaan pekerjaan, Exco Pemuda Umno Malaysia Saudara Jamawi Jaafar telah mengambil inisiatif menjejaki dan meyelami permasalahan yang berlaku.

Selaku Ketua Pemuda Umno Tenom, usaha gigih Jamawi menangani kemelut ini sangat membanggakan. Dilaporkan selain membantu mencarikan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan dan kemahiran belia ini, Jamawi juga telah membantu sebilangan belia yang kehilangan kad pengenalan untuk mendapatkan pengenalan diri di Jabatan Pendaftaran Negara.

Sebilangan belia yang tidak lagi mahu bekerja di ibu negara telah diusahakan untuk dihantar kembali ke kampung halaman di serata pelusuk Sabah. Menurut Jamawi, kebanyakan kes yang berlaku adalah kerana belia ini tertipu dengan janji manis majikan dan agensi pekerjaan yang membawa mereka bekerja di ibu negara.

Daripada insiden ini, banyak pengajaran yang boleh diambil. Terutama kepada belia yang berhasrat merantau bekerja di ibu negara atau mana-mana negeri di Semenenjung supaya lebih berhati-hati pada masa depan. Tidak salah untuk mencari rezeki dan menimba pengalaman, namun harus dipastikan agensi yang menawarkan pekerjaan adalah agensi yang sah, bukan jenis mengambil kesempatan.

Di pihak kerajaan negeri pula, fungsi Rumah Sabah di Kuala Lumpur wajar dimantapkan sebagai 'Rumah' untuk anak-anak Sabah di Semenenjung membuat rujukan apabila timbul masalah. Mungkin yang biasa dan berpengalaman ke ibu negara tidak timbul sebarang masalah, namun bagi belia dari pedalaman terutamanya yang pertama kali menjejakkan kaki di rantau orang, kewujudan Rumah Sabah pasti dapat membantu.

Apapun syabas diucapkan kepada Saudara Jamawi yang bertindak proaktif membantu belia terkandas ini!

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin