Salam,
Seorang anak saudara yang merupakan 'anak muda' bertanya: Mengapakah dalam Umno wujud kumpulan tertentu yang menyokong pemimpin tertentu?
Bukan satu rahsia lagi, dalam Umno memang wujud klik tertentu, yang cenderung kepada pemimpin yang disukainya. Sebagai contoh, di Terengganu ada kumpulan cenderung kepada MB Tok Mad Said dan sebahagian lagi menyokong Idris Jusoh. Mungkin selepas ini ada pula yang cenderung kepada DS Hishamuddin Hussein.
Contoh kedua di Perlis, sebahagian pro kepada MB sementara sebahagian pula menyebelahi DS Shahidan Kassim. Hal ini memang pahit untuk diakui tetapi ia berlaku!
Bermula di peringkat Pusat sehingga ke peringkat negeri, bahagian dan turun ke peringkat cawangan. Pasti berlaku klik yang menyokong kumpulan tertentu ini. Sebab itu barangkali wujud Ketua Perhubungan Negeri import di 5 negeri.
Tidak mungkinkah 'amalan' ini dihapuskan?
Nah, inilah cabaran kepada pimpinan baru Umno, Presiden dan kabinet Umno serta Ketua Perhubungan Umno Negeri yang baru dilantik. Menyatukan semula klik-klik yang barangkali tidak perlu ini.
Yang buruknya, klik-klik ini pula bercakaran sesama sendiri, serta berlumba-lumba membuka pekung di dada!
Selepas One Malaysia, barangkali DS Najib boleh mempromosi
1Umno untuk semua ahli Umno menghayati slogan Umno: Bersatu - Bersetia - Berkhidmat. Bersatu dalam Umno dan mengenepikan kepentingan peribadi demi memastikan keberlangsungan Umno!
Itu pun, kalau mahu menjawab soalan anak saudara saya itu!