Salam,
Statik tidak berubah tidak baik juga, tiada perkembangan. Terlalu banyak perubahan pun susah juga, buat pening kepala. Kalau perubahan itu membawa impak yang baik, bolehlah diterima. Bagaimana kalau perubahan itu tidak menambah kebaikan, malah membawa penurunan jumlah penonton?
Situasi inilah yang berlaku kepada TV RTM, saluran nasional, warta kerajaan. Dahulu dikenali RTM 1 dan RTM 2, kemudian diubah TV 1 dan TV 2. Belum pun fasih lidah menyebut, sudah pun berubah kembali kepada sebutan lama, RTM 1 dan RTM 2. Ini zaman DS Zainuddin Maidin.
Begitu juga, waktu siaran berita RTM. Selepas sekian lama berita perdana berbahasa kebangsaan diingati pada jam 8 malam, tiba-tiba diubah ke jam 9. Jam 8 berita tamil dan 8.30 malam pula berita mandarin. Ini zaman DS Ahmad Shabery Cheek.
Datang DS Rais Yatim, baru beberapa hari dilantik Menteri Penerangan, perubahan pertama dilakukan waktu siaran berita. Baguslah, berita perdana kembali ke jam 8 malam di RTM 1. Berita Tamil dan Mandarin pula di RTM 2.
Ingatkan inilah kemuncak segala perubahan, rupanya tidak!
Diumumkan waktu siaran berita Tamil dan Mandarin berubah lagi di RTM 2. Berita Inggeris jam 7, Tamil 7.30 dan Mandarin 8 malam. Ertinya, semasa berita perdana disiarkan jam 8 malam di RTM 1, ada berita Mandarin di RTM 2. Penonton RTM masih dipisahkan mengikut kaum.
Padanlah kalau ada segelintir rakyat Malaysia tidak fasih berbahasa kebangsaan!
Peliknya, siaran Buletin Utama sejak dulu jam 8 dan Nightline jam 12.00, tetap mendapat rating tertinggi, walaupun hari ini sudah ada pelbagai saluran lain yang bersaing. RTM ?...masih lagi mencari identiti!