
Salam,
Sebahagian daripada usaha transformasi politik Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno ialah berjumpa semua Ketua Bahagian Umno dari seluruh negara Sabtu lalu. Pertemuan ini sebagai susulan pertemuan dengan Ahli Parlimen dan ADUN Sarawak baru-baru ini.
Dilaporkan Najib antara lain meminta Ketua Umno Bahagian meleraikan kekusutan di bahagian masing-masing, mengurangkan masalah dalaman parti, termasuk amalan cantas-mencantas. Najib juga meminta supaya parti terus mendekati pengundi muda agar terus menyokong parti.
Malangnya, di peringkat Pemuda Umno Bahagian khususnya di Sipitang, seruan Presiden parti ini bagai tidak diendahkan. Malam Sabtu lalu juga, dillaporkan Ketua Pemuda Sipitang melakukan kejutan yang langsung tidak disangka. Tiga orang pemegang jawatan utama parti: Penolong Setiausaha, Penolong Bendahari dan Ketua Penerangan telah dipecat!
Tanpa penjelasan lanjut, tindakan pemecatan ini dilakukan dalam satu mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian. Tiada sebab diberikan kenapa tindakan drastik ini dilakukan. Bagai satu tradisi - seperti juga 'rejim' Ketua Pemuda yang lalu - Ketua Pemuda Bahagian meneruskan tindakan melakukan pemecatan sesuka hati.
Seakan hilang arah dan mabuk kuasa, Ketua Pemuda Umno Sipitang nampak gayanya sudah 'beraja di mata, bersultan di hati'. Mungkinkah atas dasar sebagai anak pembesar negeri, seorang Ketua Pemuda boleh melakukan apa sahaja? Mengurus parti seperti mengurus syarikat sendiri? Ramai ahli parti tertanya-tanya...
Jika beginilah caranya seorang Ketua mentadbir parti, lagaknya seperti seorang CEO syarikat sdn bhd memecat ahli lembaga pengarah, maka tidak hairanlah jika setahun lalu pengerusi Tetap Pemuda Umno Bahagian bersama Ketua Pemuda Cawangan yang merupakan penyokong kuat beliau, bertindak nekad keluar parti dan menyertai pembangkang. Malah tidaklah pula menghairankan jika pemuda di peringkat bawah, terus bersikap sinis kepada parti keseluruhannya.
Sebelum nanah menjadi barah, kita berharap kepimpinan parti di peringkat bahagian dan negeri bertindak berani, melakukan sesuatu agar imej Umno tidak tercemar, gara-gara tindakan seorang pemimpin yang mengamalkan konsep 'ikut suka aku'. Sudahlah tiada usaha dilakukan menarik pengundi muda yang sepatutnya digerakkan pemuda, imej parti pula hendak dirosakkan.
Agaknya, beginikah caranya apabila seorang ahli bisnes bermain politik?
