Search This Blog
Monday, April 16, 2012
Kerajaan BN Mempunyai Rekod Terbaik Bela Nasib Rakyat Sabah...KM Sabah
Beliau berkata kerajaan BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak prihatin dengan masalah rakyat di negara ini dan banyak peruntukan telah disalurkan kepada negeri untuk membangunkan negeri ini.
Menurut Musa, projek pembangunan seperti jalan raya dan jambatan juga diberi keutamaan untuk keselesaan rakyat di kawasan luar bandar, dan ini adalah jelas bahawa kerajaan BN adalah sensitif kepada keperluan rakyat. BN mendengar kepada rakyat dan memberi keutamaan untuk menjaga kebajikan rakyat di negara ini, katanya.
Beliau berkata usaha-usaha murni kerajaan, termasuk keamanan dan keharmonian, telah dirancang oleh pemimpin-pemimpin untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat di kawasan ini termasuk kawasan pedalaman. "Saya juga berbangga dengan wakil-wakil rakyat BN untuk menjadi warganegara yang prihatin dan bertanggungjawab. Walau bagaimanapun, saya ingin mengingatkan wakil rakyat tidak melupakan tugas dan peranan mereka sebagai wakil rakyat. Saya mahu mereka untuk berkhidmat kepada rakyat, "katanya.
Beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan propaganda dari parti pembangkang yang hanya datang untuk melihat orang ramai pada malam sebelum pilihan raya.
Beliau percaya rakyat Sabah, termasuk Tenom, pintar dan sedar pembangkang yang hanya datang ke kampung-kampung ketika pilihan raya untuk membuat janji-janji kosong bulan dan bintang.
Musa berkata kerajaan BN diiktiraf oleh pemimpin-pemimpin dunia bagi pemimpin yang cemerlang yang mentadbir negara.
Sumber: Borneo Post
Tuesday, March 13, 2012
Alfatihah 'Dirang'.....
Siapakah manusia yang begitu kejam membunuh, membakar rentung Nurul Nadirah? Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun, belum mengerti apa-apa diperlakukan sedemikian rupa, menggambarkan beratnya masalah akal fikiran segelintir manusia di negara kita. Mengapakah Dirang harus menjadi mangsa kekejaman manusia?
Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang paling wajar dan setimpal dengan 'binatang' yang bertopeng manusia ini. Sementara itu, kita berharap keluarga Dirang terutama ibunya, dapat bersabar dengan ketentuan takdir yang tertulis sedemikian. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul...
Semoga Dirang aman di sana...
Thursday, January 5, 2012
Jangan Putus Sahabat, Saudara Kerana Politik!
Semenjak penghujung tahun 2011 hingga ke hari ini, suhu politik negara, negeri dan kawasan semakin 'panas'. Dijangka suhu panas ini akan berterusan menuju ke detik pilihanraya yang akan datang. Semakin lambat parlimen atau DUN dibubarkan, maka semakin bertambahlah kepanasan suhu politik ini.
Isu NFC dan 901 adalah isu panas di peringkat nasional. Di kawsan dan di peringkat negeri Sabah, isu pemimpin keluar parti dan menubuhkan parti baru ( siap ada nama SPF ) mengambil tempat dan menjadi bualan hangat. Sejauh mana kebenaran isu-isu ini, kita serahkan kepada empunya diri dan pihak berkuasa mengambil tindakan wajar. Tentu saja ada pertimbangan terbaik di pihak yang berkenaan untuk meredakan keadaan.
Sementara Itu, wajar kita mengambil iktibar tulisan seorang blogger Faizuleffende sebagai renungan. Menurut beliau...Sesungguhnya kekerasan tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Malah katanya.... Bayangkanlah alangkah bahagianya jika kita semua orang Islam dapat bersama-sama bergandingan dan memajukan Malaysia ! Kerana pangkat dan kuasa kita sanggup membenci, memfitnah, mencerca dan menjatuhkan sesama bangsa.
Kerana kemabukan kepada kuasa politik ada yang sanggup berkerat rotan berpatah arang, putus saudara putus sahabat. Malah ada yang
tergamak berpeluk cium dengan orang lain yang belum terbukti kejujurannya. Bukankah politik cuma alat untuk menjayakan tugas sebagai
khalifah di muka bumi. Kekuasaan politik yang didambakan bukanlah matlamat akhir yang mahu dikejar. Berbaloikah Jika menang dan berkuasa di atas gelimpangan tubuh saudara dan sahabat yang dicedera dan dibunuh oleh fitnah dan maki hamun, daripada permainan
politik ganas dan kotor?
Para pelaku politik dari aliran mana pun wajar melakonkan watak politik secara profesional, bijak dan gentleman. Bentangkan menifesto kepada rakyat jelata, serahkan kepada kebijaksanaan mereka membuat pilihan. Rakyat hari ini sudah cukup cerdik untuk memilih parti dan calon terbaik yang akan berkhidmat untuk mereka. Generasi muda umpamanya sudah tahu kriteria parti dan calon yang bertanggungjawab dan mampu memenuhi aspirasi muda. Sama sekali jangan perbodohkan mereka dengan desakan yang tidak perlu.
Dalam menunggu detik untuk kita membuat pilihan, hubungan baik dan harmoni antara sahabat, antara saudara dan sesama kaum yang
dibina sekian lama, hendaknya janganlah diruntuhkan. Jangan dilayan provokasi, jangan jua diturut rasa nanti binasa, jangan terlalu diikut kata hati nanti mati. Buatlah pertimbangan yang paling rasional dan objektif dan banyakkan bersabar. Yang penting dan utama, jangan diputuskan tali silaturrahim yang terikat kukuh...hanya kerana mabuk kuasa!
Tuesday, February 22, 2011
20 Tahun UMNO di Sabah...

Salam,
Pagi ini menerima sms seorang saudara yang mengingatkan rupanya hari ini adalah ulangtahun ke-20 Umno melebarkan sayapnya ke Sabah. Ibarat seorang anak, usia Umno di Sabah sudah meningkat dewasa.
Bermula sebagai pembangkang, bermula tahun 1994 Umno di Sabah hari ini, sudah menerajui kerajaan negeri. Sejak 16 tahun lalu menjadi parti pemerintah, banyak perkembangan dan kemajuan yang telah dibawa oleh Umno. Politik pembangunan yang diamalkan oleh Umno dan Barisan Nasional dalam konteks Sabah banyak memberi menfaat kepada negeri ini.
Banyak bukti yang terbentang di depan mata tentang kisah kejayaan kesan kemasukan Umno ke Sabah. Pembangunan, kestabilan politik, kemakmuran dan sebut apa sahaja, tentu ada peranan Umno di sana. Paling ketara tentulah sumbangan Umno Sabah – dan BN Sabah – mempertahankan kerajaan BN untuk terus berkuasa selepas PRU 2008.
Walaupun ada suara sinis yang memperkecilkan kewibawaan pemimpin Umno Sabah, tentang kepimpinan Umno Sabah yang tidak ‘bebas’ membuat keputusan sendiri, wajib merujuk ke KL / Putrajaya berbanding pada era USNO, Berjaya dan PBS, di mana kepimpinan bebas membuat keputusan.
Namun ia bukanlah penghalang kepada kepimpinan untuk membuat keputusan yang terbaik kepada rakyat. Rakyat pula selesa dengan senario sedia ada, dan sokongan rakyat ini diterjemah melalui kemenangan cemerlang Umno dalam setiap pilihanraya – kecuali 1994. Diharapkan sokongan padu ini akan berterusan pada PRU yang akan datang demi menjamin kesinambungan pembangunan dan kemakmuran negeri untuk terus dinikmati generasi mendatang.
Sempena 20 tahun Umno di Sabah, sewajarnya pemimpin dan ahli Umno di Sabah terus menginsafi bahawa ‘kuasa’ yang sedang dinikmati kini tidak akan kekal lama malah boleh terlepas ke tangan orang lain, jika perangai buruk seperti cantas-mencantas, hasad dengki dan amalan berpuak-puak tidak dihindari.
Banyak catatan sejarah di serata dunia untuk diambil iktibar, apabila rakyat sudah jemu dan bosan dengan sesebuah parti yang lebih banyak bermain retorik daripada tindakan dan pemimpinnya pula ‘memekakkan telinga dan membutakan mata’ terhadap rintihan rakyat, akan tiba masanya rakyat bangkit memberi pengajaran.
USNO, Berjaya dan PBS tumbang buka kerana kegagalan parti tetapi tersungkur akibat kelalaian pemimpin yang sudah mabuk kuasa dan kualiti ahli yang semakin merudum. Inilah yang harus dipelajari oleh sekalian pemimpin dan ahli Umno di Sabah…
Friday, February 18, 2011
Apa Khabar 'Sultan Sulu'?

Salam,
Seorang werganegara Malaysia, orang Sabah, mengaku menjadi Sultan Sulu. Upacara pertabalan Sultan tersebut diadakan di Kg Likas, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini. Datuk Akjan Ali Muhamad menggelar dirinya sebagai Sultan Shariful-Hashim II.
Datu Akjan, seorang ahli perniagaan, memiliki beberapa syarikat. Menjadi Pengerusi PEKIDA cawangan Sabah dan AMT PEKIDA Kebangsaan. Aktif dalam politik dan pernah ditahan ISA kerana terlibat dengan Kad Pengenalan palsu.
Jelas tindakan beliau ini salah, timbul persoalan bagaimana seorang werganegara boleh mengisytihar diri sebagai Sultan Sulu - entah wujudkah lagi kesultanan ini?
Sewajarnya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada individu ini. Perbuatan yang dilakukan, bersama beberapa orang pengikutnya telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam masyarakat. Keharmonian hidup masyarakat terganggu dengan kehadiran seorang 'Sultan' yang tidak perlu pun.
Perbuatan beliau juga boleh menimbulkan ancaman keselamatan. Dikhuatiri banyak pula implikasi buruk boleh berlaku kesan daripada tindakannya menjadi sultan. Bimbang nanti dia menuntut pula menjadi Yang DiPertuan Agong.
Harapan kita, pihak berkuasa bertindak segera. Takkanlah untuk menyiasat kes begini sampai sebulan lamanya. Hish....
Thursday, January 6, 2011
Apa Sudah jadi???

Salam,
Apa nak jadi...apa dah jadi...hai, apalah nak jadi?
Lagu Tan Sri SM Salim ditujukan khas untuk pendokong PKR Sabah. Selepas Dr Jeffrey, khabarnya akan ada lagi pemimpin peringkat cabang yang angkat kaki.
Akhiri dengan lagu, kesian dia...kesian dia!
Wednesday, December 15, 2010
Jika Benar Jeffrey Kitingan Keluar PKR...

Satu sidang media khas telah diatur pada hari berkenaan bagi Jeffrey membuat pengumuman 'amat penting', kata mereka.
Mereka berkata Jeffrey, yang juga bekas wakil rakyat Bingkor dan adik kepada presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, mungkin juga mengumumkan penubuhan sebuah pergerakan bagi meneruskan karier politiknya dengan menjangka pilihan raya umum mengejut tahun depan.
Monday, October 11, 2010
Siapa Diktator Di Sabah?...Menjawab Musli Oli!
Dia jawab, ‘we are part of you and we are truly proud’ jawabnya. Saya terharu. Tapi bila saya sampai Sabah, tiada pemimpin Sabah yang sambut saya. Tapi ini tidak penting kerana nawaitu saya berjuang dalam politik dengan ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah!!”
Salam,
Musli Oli dalam tulisan terbarunya bertanyakan Siapa Diktator Di Sabah? ekoran Majlis Hari Raya anjuran PKMM di Kota Belud dirasmikan oleh Menteri KKLW merangkap Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal telah dipulau dan disabotaj.
Diktator dimaksudkan apabila pemimpin utama di Kota Belud tidak kelihatan muka, dengan antara lain alasan diberi menghadiri mesyuarat khas di Kota Kinabalu. Nampak gayanya seperti ada sesuatu yang tidak kena apabila mesyuarat khas, yang penting tentunya melibatkan para wakil rakyat terpaksa diadakan pada hujung minggu.
Menurut Musli, perbuatan sabotaj terhadap acara yang melibatkan pemimpin utama bertaraf Naib Presiden Umno ini tidak sahaja berlaku di Kota Belud. Sebelum ini berlaku di Lahad Datu dan Kudat. Ironinya, di sebalik usaha sabotaj ini masih ramai juga 'rakyat' yang hadir bersama pemimpin mereka.
Seolah ada kebenaran, ada aura yang tersembunyi dibawa pemimpin Sabah berpengkalan di Kuala Lumpur. Ada mesej yang hendak disampaikan oleh akar umbi di Sabah kepada pemimpin pusat, di celah-celah keriuhan di peringkat umbi tentang PKR dan SAPP, malah disebut-sebut USNO.
Bukan niat mahu mengajar sesiapa tetapi sejarah ada mencatat bahawa Umno tidak lemah akibat asakan pembangkang. Umno lemah akibat persengketaan sesama sendiri. Kes di Sabah membuktikan PBS berjaya menawan tampuk kuasa pada 1985 apabila USNO dan Berjaya - yang ketika itu adalah komponen BN - gagal bersatu. Apakah Umno ingin mengulangi sejarah ini?
Gajah sama gajah berkelahi, pelanduk tersepit di tengah-tengah. Peribahasa ini sangat sesuai bagi melambangkan situasi semasa. Kerana perebutan siapa yang paling berpengaruh, majlis siapa yang paling ramai hadir, sebab itulah barangkali muncul SMS yang melarang hadir ke majlis yang tetamunya adalah seorang menteri.
Hairan bin ajaib, kedatangan seorang menteri ke sesuatu kawasan adalah satu rahmat, sesuatu yang ditunggu-tunggu. Dengan harapan berkat 'sentuhan' seorang menteri ada masalah setempat yang boleh diselesaikan, tetapi tidak di bumi lahirnya Umno di Sabah.
Percayalah, kekuatan BN-Umno di Sabah yang disifatkan oleh PM sebagai fixed-deposit, lambat laun akan 'pudar' jika perangai buruk seperti mensabotaj pemimpin ini atau amalan diktator menggunakan kuasa menekan orang lain tidak segera dihentikan.
Siapa Diktator yang memecah-belahkan perpaduan BN-Umno? Seperti kata Musli Oli, biarlah rakyat yang berfikir mencari jawabannya.
Tuesday, October 5, 2010
Azmin...Siapa Sebenarnya Yang Tersungkur?

Salam,
Azmin Ali menyindir Tun Dr. Mahathir sebagai pemimpin yang tersungkur apabila Tun dimasukkan ke hospital di Melbourne, Australia. Dilaporkan keadaan kesihatan Tun sudah semakin pulih, Tu dinasihatkan berehat. Yang panas di tanahair...marah kenyataan biadab Azmin.
Rasa dendam dan benci Azmin terhadap Tun membara hingga ke hari ini. Marah Azmin kepada Tun kerana menghalang perjalanan bosnya ke puncak kuasa lebih sepuluh tahun lalu masih belum terpadam. Begitu dendam dan bencinya Azmin kepada Tun yang menyebabkan bosnya 'tersungkur' di pintu pejabat PM....
Kalau pun Tun Mahathir tersungkur, beliau tersungkur sebagai negarawan yang akan diingati dan terus diingati sebagai bekas PM. Berbanding Azmin atau bosnya, yang tersungkur dan mungkin akan tersungkur lagi tanpa sempat berpaut di dahan kuasa. Malah Azmin pun belum tentu menang jawatan Tim Presiden PKR yang ditandinginya.
Eloknya tidak perlu dilayan biadabnya Azmin. Biarkan dia berpolitik untuk mengalihkan isu mesyuarat dan pemilihan PKR yang berantakan. Biarkan dia menutup malu dengan bersikap biadab....
Tuesday, September 28, 2010
Kasino di Sabah...Harap bukan kenyataan!

Salam,
'Berita angin' yang berlegar kononnya kasino akan dibina di Sabah sebagai satu tarikan pelancongan bukanlah satu cadangan. Biarlah kekal menjadi berita angin yang tidak berkesudahan.
Kita berharap apa yang disuarakan oleh Datuk Abd Rahman Dahlan, yang menyifatkan berita angin ini sebagai satu pembohongan dan tuduhan melulu adalah benar, bukan setakat penafian dan berdolak-dalik.
Bukan apa, berita angin ini yang belum diketahui kesahihannya, memang merisaukan kita. Sebab pada tahun 2000, idea membina kasino memang pernah disuarakan oleh seorang pembesar negeri. Walaupun tidak menjadi kenyataan,tiada kasino dibina tetapi amalan perjudian di kelab-kelab sudah menjadi perkara biasa di Sabah.
Bukan setakat kasino, perjudian haram yang sangat berleluasa hingga melibatkan kanak-kanak di bawah umur di setiap daerah di Sabah juga seharusnya diambil tindakan tegas. Gejala berjudi ini sudah semakin membarah di kalangan rakyat, termasuk di kalangan umat Islam.
Thursday, September 23, 2010
Alhamdulilah...

Salam,
Selepas agak lama tidak berkesempatan menulis di blog ini, pertemuan sekali ini dimulakan dengan ucapan Alhamdulilah.
Bersyukur masih diberi kesempatan untuk terus bersuara dan menulis lagi, dalam kekangan waktu dan kesibukan masa yang semakin menghimpit. Semoga ruang yang ada mampu digunakan untuk terus bersama mengikut denyut nadi perkembangan semasa.
Alhamdulilah...syukur juga akhirnya manusia tidak bertamadun ini telah menemui hukuman sewajarnya terhadap kekejaman yang dilakukannya terhadap seorang kanak-kanak.
Diharapkan penjenayah haiwan paling dahsyat bertopeng manusia membunuh dan membakar mayat mangsa juga akan menemui hukuman paling wajar. Mungkin sudah sampai masanya hukuman mati tali gantung dikaji semula.
Alangkah eloknya pembunuh kejam juga dibunuh sepertimana cara mereka membunuh?
Tuesday, August 3, 2010
Kajian Semula Persekutuan Malaysia!

"Jumlah 16 negeri dan satu wilayah persekutuan Borneo akan menenggelamkan 11 negeri dan dua wilayah persekutuan di Semenanjung Malaysia,”
Salam,
Datuk Dr Jeffrey Kitingan, orang kuat PKR di Sabah berselindung di sebalik Yayasan Warisan Borneo, menggesa kerajaan Sabah dan Sarawak untuk menimbangkan secara serius mewujudkan beberapa negeri baru di kalangan mereka.
Dilaporkan beliau mencadang sejumlah 16 negeri baru - 5 negeri di Sabah dan 11 negeri di Sarawak. Alasan diberi ialah keluasan kawasan yang besar, kecekapan mentadbir yang lebih baik melalui desentralisasi dan memaksimumkan potensi.
Beliau mencadangkan perkara ini dalam satu forum sempena Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September ini.
Bekas naib pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Simon Sipaun pula dalam forum sama dilaporkan berkata bahawa dia lebih yakin bahawa tentangannya agar Sabah tidak menyertai persekutuan Malaysia adalah betul.
Dua perkara yang berbeza dalam satu forum yang sama. Nadanya tidak jauh berbeza, rasa tidak puas hati dengan Persekutuan Malaysia. Seperti ada masalah dengan persekutuan ini selepas 47 tahun ia dibentuk pada tahun 1963.
Ada sesiapa yang boleh membantu memberi jawapan?
Monday, February 22, 2010
Catatan Untuk Tan Sri Muhyiddin...
Bercakap kepada pemberita, beliau memberitahu, UMNO akan berusaha untuk memahami aspirasi golongan muda dalam usaha menarik mereka menyokong BN dalam pilihan raya akan datang. Baca di Utusan.Salam,
Seharusnya dalam tempoh pilihanraya yang semakin hampir, kurang 36 bulan lagi, Umno sekarang bukan lagi 'berusaha untuk memahami' tetapi sudah sampai ke peringkat untuk bertindak. Usaha sewajarnya sudah dimulakan untuk mendekati golongan muda agar kebencian mereka kepada Umno dapat dihapuskan.
Tindakan bersepadu di kalangan Pemuda dan Puteri terutamanya seharusnya sudah digerakkan. Dua sayap ini harus mendahului gerak langkah mendekati golongan muda kerana sepatutnya orang mudalah yang memahami aspirasi anak-anak muda.
Namun mendukacitakan, di kebanyakan tempat anak-anak muda masih ramai yang tidak mengenali siapa Ketua Pemuda atau Ketua Puteri mereka. Usaha untuk menambah ahli Umno dari kalangan anak muda cuma cantik di atas kertas. Tiada program dijalankan, kalau ada pun cuma program syok sendiri!
Begitu ramai anak muda yang tidak pernah didekati pun oleh pimpinan pemuda dan puteri. Ramai juga yang mengeluh, walaupun proses keahlian sudah dipermudahkan namun masih sulit untuk menjadi ahli. Puncanya kerana ada pimpinan sengaja tidak mahu menambah ahli dengan alasan akan menyusahkan. Bimbang tewas dalam pemilihan parti akan datang.
Amatlah sesuailah pandangan Tan Sri Muhyiddin yang meminta pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat menghapuskan segala bentuk persengketaan dan perbalahan dalaman yang dilihat menjadi punca kelemahan parti. Umno tidak lemah, cuma sikap buruk dalam kalangan ahli Umno sahaja yang menyebabkan Umno kelihatan lemah tidak bermaya.
Sikap buruk seperti label-melabel, cantas-mencantas dan perbalahan di kalangan 'VIP Umno' adalah sebahagian penyakit Umno di peringkat bawah. Akibatnya, anak muda yang membenci penyakit Umno ini, turut sama membenci Umno hanya kerana perlakuan segelintir ahli dan pemimpin Umno. Seekor kerbau dipenuhi lumpur dan daki, habis sekawan dibenci orang!
''Jika tiada perubahan dilakukan, kita (UMNO) tidak mampu bertahan,"
Perubahan yang diharapkan nampaknya masih jauh dapat dilihat. Tanpa menafikan sebilangan yang telah berubah, masih ramai yang masih seronok. Umno kekal memerintah walaupun dengan majoriti yang tidak sampai 2/3. Masih ramai yang beranggapan, pengalaman buruk di bawah pemerintahan pembangkang seperti di Selangor dan P.Pinang akan menginsafkan pengundi untuk kembali menyokong Umno.
Sedangkan hakikatnya, jika ahli Umno masih liat untuk berubah, masih memperlihatkan sikap buruk, masih selesa dengan situasi sekarang...pasti akan tiba rakyat akan menghukum mereka!
Thursday, February 18, 2010
Kalakau...Baguslah Kamu Keluar!

"Jikalau dibandingkan UMNO dan PKR di Sabah penulis berpendapat bahawa PKR mungkin menerima sokongan yang kuat sebab ia adalah parti berbilang kaum. Sesungguhnya selera ini sudah berputik dan meluas. Ditambah pula ketua umumnya menjanjikan pemerkasaan Perjanjian Malaysia agar dihormati dan dilaksanakan sebaik mungkin. Ini adalah satu tarikan harapan kepada pengundi-pengundi di Sabah. Kita yakin begitu juga di Sarawak. Dan banyak lagi."
Salam,
Sebenarnya tiada apa pun yang menarik dengan berita keluarnya Kalakau Untol dari UPKO dan menyertai perjuangan Pakatan Rakyat. Berita ini mendapat sedikit perhatian kerana ia melibatkan seorang bekas Tim. Menteri. Kalaulah dia bukan bekas Tim. Menteri, mungkin tiada siapa pun yang mengenalinya.
Maknanya, tindakan beliau tidaklah sehebat mana berbanding keluarnya YB Zahrain dari PKR. Sementelahan pula, Kalakau ni pula bukan seorang MP atau ADUN. Jadi tiada sebarang kesan kepada komposisi kerusi kepada BN.
Di Sabah sendiri, Kalakau ni bukanlah siapa-siapa pun. Tidak ramai pun yang mengenali dia, malahan di dalam UPKO pun rasanya selepas jawatan terakhir sebagai Ketua Pemuda UPKO dulu, tiada apa-apa yang menarik diperkatakan tentang ahli politik ini.
Kelakarnya, dia bercadang untuk menjelajah Sabah menerangkan dasar perjuangannya. Isu yang hendak dikemukakan pula isu basi yang sudah diketahui oleh majoriti rakyat Sabah, cumalah umpan untuk menagih sokongan. Bila nanti sudah selesa di kerusi empuk bergelar YB, pasti semua janji untuk berjuang kepada rakyat akan dilupai. ( Ini penyakit kebanyakan YB kita )
Hakikat ini sudah terbentang di depan mata. Rakyat bertanya, semasa menjadi Tim. Menteri dulu, apa yang telah dibuat untuk kebajikan rakyat? Semasa menjadi Senator dua penggal kenapa tidak diperjuangkan isu basi yang digembar-gemburkan? Khabarnya cuma diingati kerana perangai pelik, kasut berlainan warna setiap belah!
Baguslah Kalakau menyatakan pendirian dengan jelas. Bertindak keluar dan tidak bersikap rencong di luar, pepat di dalam. Jika diperhatikan, rasa sayang dia dengan PKR sudah lama berputik. Tulisan beliau di blognya pada 5 Januari 2009 lagi, memang kelihatan sikap biasnya kepada Umno. Dengan bertindak keluar begini, mudahlah bagi pimpinan BN di Sabah mengenali siapa kawan, siapa lawan!
Adakah tindakan Kalakau ini akan memberi kesan kepada komuniti Kadazan-Dusun? Seorang kawan Kadazan mungkin ada jawapannya bila diajukan soalan ini. Katanya: Siapa Kalakau?
Tuesday, February 2, 2010
Keputusan Pemilihan Persatuan Bisaya Bersatu Sabah ( PBBS ) 2010

Presiden: Janang Gayuh YB. DSP (Kol) Hj Lajim Hj Okin(Menang tanpa bertanding)
( Tim. Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan )
Tim.Presiden:YB Kamarlin Hj.Ombi(Menang tanpa bertanding), ADUN Lumadan, Sabah.
Naib Presiden PBBS:
1).7.Saridah DSP Hj.Mohd Dun.(284), ( Ketua Puteri Umno, Beaufort )
2).2.Hj Ruslan Hj.Muharam (243)
3) 1.Idris Ali (186)
4).3. Tarawi Hj.Rukot (170).
AMT PBBS :
1) 6.Jaludin Hj.Kadir (248).
2) 17.Matbali HJ Musah (247).
3) 5.Rahim Yusof (246)
4) 13.Ibrahim Salim (225).
5) 15.Md Said Ag. Damit (224).
6) 9.Matjun@Yunus Hj.Matahon (219).
7) 19.Jamaluddin Musleh (218). .
8) 18).Hj Saudi Suhaili (210).
9) 16.Hj Idris Uchat (207).
10) 14.Musdin Hj Ukop@Ichang (207)
11) 8.Hj Wahab Jali (204).
12) 12. Hamina Sapri (202).
13) 3.Hjh Siti Karukut Hj Sulimin(202)
14) 11.Hj.Talip Mijin (197)
15) 7.Hjh Jamilah HJ.Ulim (190)
16) 28. Tairuddin Ibrahim
17) 24. Jimlin Hj Mubin (187).
18) 30.Mohd Salleh Hj.Sabli (183).
19) 10.Mat Jini Kimbi (177)
20) 1. Jasmin Sapri.
21) 4.Ruslan Hj.Jipneh (168).
22) 21.Jislim Latip
23) 25.Masrin Sadim ( 162)
Monday, January 18, 2010
Malang Menjadi Muslim Di Sabah dan Sarawak?

Wednesday, December 23, 2009
Senarai Hitam Yang Putih!

Salam,
Jaminan YB Datuk Puad Zarkashi, Tim Menteri Pelajaran yang akan 'menghitamkan senarai' kontraktor yang gagal menyiapkan bangunan sekolah baru mengikut jadual serta tidak akan mendapat kontrak baru pada masa hadapan, amat disanjung tinggi. Sewajarnya kontraktor seperti ini 'dihukum' kerana gagal menjalankan amanah yang diberi.
Wajar dihukum kerana semasa menyertai tender dan berjaya atau dianugerahkan projek, bukan main lagi bermanis muka, sambil berjanji itu ini. Akhirnya ramai yang kedapatan telah menjual projek kepada sub-kontraktor lain, dan terbukti gagal.
Kegagalan ini menyebabkan banyak perancangan Kementerian Pelajaran seperti sekolah satu sesi, juga terbengkalai. Seperti kata tokoh akedemik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad: Sistem persekolahan satu sesi yang bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang mesti diberi perhatian serius kerana tempoh menuju status negara maju semakin singkat.
''Kita mahu mencapai status maju dalam tempoh sepuluh tahun akan datang. Tiada satu pun negara maju di dunia ini yang mengamalkan sistem dua sesi seperti diamalkan negara sekarang.
Amalan ali baba projek di kalangan kontraktor harus dipandang serius. Sekian lama amalan ini terus berlaku, sehingga banyak masalah yang timbul.
Perlu juga diberi perhatian oleh YB Datuk, amalan 'penganugerahan' projek kepada hanya beberapa syarikat yang 'dilindungi' oleh orang tertentu. Khabarnya, ada syarikat yang langsung tidak berwibawa dianugerahkan tender kawalan keselamatan dan perbekalan makanan. Malahan ada pula yang kontraktor berjaya, jelas menyokong pihak lawan pada PRU12 lalu. Langsung tidak menyumbang untuk BN pun! Semua berlaku kerana 'kaitan' dengan orang tertentu.
Dibimbangi cuma kelihatan hitam di mata, tetapi tetap putih di kalangan orang tertentu!
Monday, November 9, 2009
Cerita Pendek
Salam,Friday, November 6, 2009
Ke Mana Langkah Dr. Jeffrey Seterusnya?
Dr Jeffrey Kitingan, bukanlah nama asing di arena politik Sabah. Memang cukup dikenali, terutama dengan 'aksi' beliau bertukar parti seperti menukar baju.
Satu sifat semulajadi beliau yang cukup dinngati ialah keinginannya untuk menjadi ketua dan tidak mudah berpuashati di tempat kedua. Mungkin bagi beliau, dalam mana-mana organisasi yang disertainya kerusi no. 1 'mesti' diserahkan kepadanya.
Sebab itu barangkali percubaannya mengambi alih kepimpinan parti AKAR sedikit masa lalu gagal dan ditolak oleh ahli AKAR, yang akhirnya membawa kepada pembubaran parti tersebut. Percubaan beliau menyertai Umno di Bahagian Keningau juga telah ditolak.
Maka tidak hairanlah apabila beliau bertindak meletakkan jawatan penting seperti Naib Presiden PKR, gara-gara tidak dipilih menjadi Ketua PKR Sabah. Mungkin Dr. Jeffrey boleh berdalih, namun umum memahami kekecewaan perlantikan orang lain - bukan dia - adalah punca utama krisis PKR Sabah ketika ini.
Walaupun masih menjadi ahli PKR malah masih Ketua PKR Keningau, hampir pasti Dr. Jeffrey akan 'melompat' lagi. Ke arah mana tujunya kali ini masih menjadi tanda tanya. Sama ada parti baru atau kembali rujuk kepada PBS.
Soalnya, masihkah Dr. Jeffrey berbisa seperti dulu atau pun rakyat sudah bosan dengan gelagatnya? Kita tunggu...
Friday, September 4, 2009
Renungan Pagi Jumaat: Untuk Para Pemimpin.
Salam,Pagi Jumaat, 14 Ramadhan ini elok rasanya kita merenungi 'ingatan' berguna daripada DS Musa Aman, Ketua Menteri Sabah. Khusus kepada para pemimpin - tidak kira parti apa pun yang anda wakili - ingatan ini sangat berfaedah untuk diberikan perhatian.
Beliau dilaporkan meminta para pemimpin mengikis sikap angkuh, menjauhi perbuatan yang dibenci rakyat dan berusaha untuk mendekati rakyat sepanjang masa. Apa yang disebutkan ini penting untuk memastikan keberkesanan seorang pemimpin menunaikan tanggungjawabnya.
Usaha mendampingi dan membela nasib rakyat hendaklah dilaksanakan secara berterusan, tanpa mengira masa walaupun dalam bulan Ramadhan ini, demi memastikan nasib rakyat bawahan terus terbela. Janganlah hanya manis muka dan murah senyuman ketika musim kempen pilihanraya sahaja!Kalaupun bukan kerana takut dihukum rakyat semasa pilihanraya akan datang atau bimbang rakyat memilih pembangkang, ingatlah bahawa kepimpinanan ini adalah amanah dan tanggungjawab. Pemimpin dipilih rakyat kerana mereka mengharapkan pemimpin dapat berbuat sesuatu untuk mereka, membantu dan mewakili mereka sebagai rakyat.
Sempena bulan mulia ini, wajar rasanya para pemimpin bermuhasabah dan menginsafi diri, mengatasi kesilapan lalu dalam usaha menjadi pemimpin yang berkesan, pemimpin yang disayangi rakyat.
Harum semerbak namanya dengan kebaikan, bukan pemimpin yang apabila namanya disebut, rakyat akan mencebikkan bibir!
Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

