Search This Blog

Thursday, June 18, 2009

Kawasan Hitam...


Salam,


Pada zaman darurat dahulu, kawasan yang dikuasai oleh pengganas komunis dikenali kawasan hitam. Dalam konteks pilihanraya pula, kawasan hitam merujuk kepada kawasan yang dikuasai oleh pihak lawan.


Hari ini, tanpa ancaman keganasan komunis, di luar musim pilihanraya, masih wujud kecenderungan melabel sesuatu kawasan sebagai kawasan hitam di kalangan pimpinan pemuda Umno bahagian di Sabah.


Dikhabarkan Ketua Pemuda di satu bahagian telah melabel satu kawasan daerah mengundi di bahagiannya sebagai kawasan hitam. Mengapa digelar kawasan hitam, tidak pula diketahui sebabnya. Berkemungkinan label ini diberi kerana pemimpin berkenaan tidak mendapat sokongan padu dari kawasan yang digelarnya kawasan hitam.


Jika benar apa yang disangka, maka malanglah nasib Umno. Apa yang nyata, apabila sikap label-melabel ini terus diamalkan maka semakin luaslah jurang yang terbina antara pimpinan pemuda dan kalangan anak muda ahli Umno. Bayangkan apa perasaan para pemuda di kawasan yang digelar kawasan hitam?


Tentu sahaja, sama ada ahli atau anak muda yang bukan ahli Umno berasa kecil hati. Pasti mereka tersingggung dengan label yang diberi. Sudahlah mereka ini terpinggir, tidak dilibatkan dengan aktiviti parti dan tidak pernah disapa pun oleh pimpinan pemuda, akhirnya mereka mendapat label yang tidak perlu.


Janganlah disalahkan anak-anak muda ini jika mereka bersikap sinis terhadap Umno, mencebik bibir dengan seruan pimpinan pemuda mendekati mereka kerana pengalaman yang mereka lalui amat kontras! Kita khuatir anak-anak muda ini, jika terus terbiar dan digelar 'pemuda kawasan hitam' natijahnya nanti mereka akan beralih sokongan.


Nampaknya tugas Sdr. Azman Roslan sebagai KP Umno Sabah semakin berat, terutama untuk mendidik anak-anak buahnya di kalangan KP Umno bahagian supaya dapat menjaga mulut...jangan sampai anak muda yang harus didekati akan terus menjauhkan diri! Sdr. Azman kena gerakkan anak-anak buah yang masih lena dibuai mimpi, masih seronok dengan program syok sendiri.


Hari ini, anak muda kurang berminat dengan retorik, mereka ingin melihat tindakan...Mereka ingin melihat barisan pemuda yang dekat di mata, dekat di hati!


Pasti bukan pemuda yang cuma tahu melabel itu ini...


No comments:

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin