
Salam,
Bagaimanakah seorang ibu boleh membiarkan anak berumur 3 tahun dicucuh dengan rokok, ditendang seperti bola dan dipijak perutnya? Bagaimanakah seorang ibu boleh membiarkan penyeksaan begini kepada zuriat yang dilahirkannya? Dilakukan pula oleh seorang yang hanya bertaraf ’kekasih’?
Sukar untuk difahami, bagaimanakah semua aksi penderaan begini boleh dilakukan oleh manusia bertamadun. Di kala binatang pun boleh berkasih sesama sendiri, saling sayang-menyayangi. Bagaimanakah pula manusia boleh hilang kewarasan dan akal fikiran sedemikian rupa?
Untuk ’kejahatan’ yang telah dilakukan, sewajarnya hukuman yang paling berat dikenakan kepada pelakunya. Pengajaran setimpal wajib dijatuhkan kepada manusia berjiwa binatang ini, kerana sememangnya dia tidak mengambil iktibar daripada sekian banyak kejadian seumpamanya sebelum ini.
Ibunya....wajar juga dijatuhkan hukuman setimpal kerana kegagalannya melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu. Sebagai ibu, sepatutnya dia berperanan mengasuh dan mendidik anaknya. Bukannya membiarkan orang lain mendera zuriat sendiri, walaupun orang tersebut adalah kekasih hati!