Search This Blog

Thursday, October 27, 2011

Alfatihah Untuk Muammar Gaddafi...

salam,

Selepas beberapa hari dijadikan bahan pameran, akhirnya mayat Allahyarham Muammar Gaddafi dikebumikan. Begitu marahnya rakyat Libya dengan Gaddafi sehingga jasad yang sudah tidak bernyawa pun 'dimalukan' sedemikian rupa.

Buat sementara waktu, rakyat Libya bersorak gembira meraikan kemenangan selepas berbulan-bulan berperang. Sorak-sorai gembira kedengaran di seluruh Libya kerana akhirnya 'musuh' yang paling dibenci tewas. Bukan sahaja berjaya dijatuhkan, malah berjaya dibunuh dan dimalukan.

Seperti di Iraq dan Afghanistan, 'diktator' diturunkan dari takhta kuasa oleh rakyat dengan bantuan PBB dan NATO. PBB sebagai badan pengawal dunia nampaknya begitu peka dengan nasib rakyat di Libya yang katanya ditindas. PBB begitu cekap membela nasib rakyat yang tertindas. Sayang, kecekapan PBB tidak pula terpakai dalam membela nasib rakyat Palestin yang sudah sekian lama tertindas dan dijajah.

Sampai bilakah kegembiraan rakyat Libya menyambut kemerdekaan mereka? Hanya masa yang akan menentukan. Masa depan Libya di era tiada Gaddafi belum dapat dipastikan. Namun berdasarkan pengalaman rakyat Iraq yang juga gembira selepas Saddam Hussein dijatuhkan, bayangan suram pasti menanti Libya.

Seperti yang diketahui umum, Barat dengan menggunakan PBB dan NATO sebenarnya lebih berminat dengan minyak Libya, di sebalik tuntutan demokrasi yang dilaungkan. Ditambah pula dengan kelantangan Gaddafi menempelak ego Barat dan menyokong perjuangan rakyat Palestin, maka semakin membara hasrat menjatuhkan Gaddafi.

Persoalan, siapa dan negara mana pula selepas ini? Soalan lain, mungkinkah Malaysia juga boleh menjadi sasaran? Tiada yang mustahil, apalagi dengan kemampuan negara kita membangun dan menjadi lambang kemakmuran di kalangan negara. Apatah lagi dengan wujudnya pemimpin dalan negara kita yang cenderung berpaling ke Barat untuk meminta ' bantuan '!

Alfatihah untuk Allahyarham Muammar Gaddafi....

Friday, October 21, 2011

Menyokong HIMPUN!


Salam,

Atas rasa kesedaran, blog ini menyokong Himpunan Sejuta Umat ( HIMPUN ) yang dianjurkan oleh gabungan NGO Islam esok di Stadium Shah Alam. Walaupun tidak dapat hadir dalam himpunan ini, namun semangat sebagai saudara Islam tetap bersama roh perjuangan saudara seagama.

Himpunan yang dianjurkan wajar disokong sebagai tanda keprihatinan umat Islam terhadap percubaan golongan tidak bertanggungjawab yang cuba mencabar perkara yang sudah termaktub dalam perlembagaan bahawa sebarang usaha untuk menarik umat Islam keluar agama adalah satu kesalahan.

Seharusnya peluang berhimpun ini digunakan oleh NGO Islam untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan umat Islam tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik, di samping meneruskan hubungan harmoni dengan kaum dan penganut agama lain. Hubungan baik yang sedia terjalin selama ini harus dikekalkan demi masa depan rakyat Malaysia.

Oleh sebab itu, sebarang percubaan untuk mengganggu-gugat keharmonian hubungan di antara penganut pelbagai agama di negara ini harus ditolak. Pihak penganjur sewajarnya memastikan tiada tindakan atau kata-kata provokatif dilakukan sepanjang perhimpunan ini.

Pada masa sama, cadangan memperkenalkan Akta Murtad yang dibuat sebelum ini wajar dijadikan kenyataan demi melindungi akidah umat Islam. Pihak berkuasa yang berkaitan seperti Pusat Zakat atau Baitulmal pula wajar bertindak proaktif membantu umat Islam yang susah, jika benar kebajikan menjadi senjata aktiviti memesongkan akidah umat ini.

Didoakan semoga objektif HIMPUN esok akan tercapai dan perhimpunan umat Islam ini dirahmati Allah.

Monday, October 10, 2011

Bajet 2012: Terima Kasih PM Najib...suara belia!

Terima kasih PM Najib...

Syukur Alhamdulilah, belum terlambat rasanya mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan khususnya PM Najib di atas bajet 2012, yang cukup menggembirakan kepada seluruh lapisan masyarakat. Seluruh rakyat mendapat nikmat daripada bajet kali ini, terutama rakyat bawahan. Bajet yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Cuma mungkin yang tidak gembira dengan bajet kali ini tentulah pihak pembangkang. Pembangkang hampir check-mate dengan pembentangan bajet kali ini. Bagaimana lagi pembangkang hendak menidakkan nikmat bajet ini? 

Selaku pemimpin belia di peringkat pedalaman, bajet kali ini sesungguhnya mencakupi apa yang diharapkan oleh belia. Keprihatinan kerajaan dalam membantu belia dalam pembentangan bajet ini amat mengembirakan belia. Mewakili belia di luar bandar, sokongan kerajaan dengan peruntukan yang begitu banyak untuk belia menggerakkan aktiviti sangat dialu-alukan, dan diucapkan terima kasih.

Namun begitu, satu perkara yang wajar diberi perhatian oleh pihak yang berkenaan terutama di negeri Sabah ialah hambatan bagi persatuan belia di negeri Sabah untuk mendapatkan bantuan daripada agensi persekutuan seperti Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan. Alasan diberikan ialah pihak berkuasa negeri Sabah tidak menerima Pendaftar Pertubuhan Belia ( ROY ). Akibat hambatan ini, persatuan belia menjadi mangsa tidak mendapat bantuan kewangan untuk menggerakkan persatuan.

Diharapkan apa yang diumumkan oleh PM Najib akan turut dinikmati oleh belia di Sabah, khususnya persatuan belia. Walaupun, pihak kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan, sentiasa membantu persatuan belia, namun alangkah eloknya jika persatuan belia mendapat bantuan daripada dua sumber - negeri dan persekutuan. 

Semoga keprihatinan PM Najib melalui pembentangan bajet kali ini akan lebih menyedarkan para belia bahawa sebenarnya kerajaan tidak pernah mengabaikan belia. Diharapkan sokongan para belia kepada PM Najib akan berterusan dan diterjemahkan di peti undi pada PRU13 nanti!

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin