Search This Blog

Monday, August 31, 2009

Terima Kasih Malaysia...


Salam,


Menjelang detik kemerdekaan ke 52, tiba-tiba ingatan melayang ke zaman riang kanak-kanak...


Ketika itu, hidup memang terasa begitu menyeronokkan. Kehidupan dilalui sangat mudah dan simple. Tidak perlu banyak berfikir tentang banyak hal. Cuma sekadar mengingati masa untuk bermain dan masa balik ke rumah.


Tinggal di kampung yang terletak di pedalaman, mundur dan ketinggalan bukanlah halangan untuk menikmati keriangan hidup zaman kanak-kanak, walaupun tanpa astro ceria, tom tom bak, playstation, bmx atau permainan yang canggih.


Apalagi keadaan kampung yang tiada kemudahan asas seperti elektrik, air atau telefon. Jalanraya yang ada adalah jalan yang tidak berturap. Menonton televisyen menggunakana kuasa bateri yang cuma mampu bertahan 5-6 jam. Sungai menjadi sumber air, sementara pelita minyak tanah menjadi penerang malam.


Hujung minggu sangat dinanti untuk aktiviti lasak, masuk ke hutan bersama kawan-kawan melastik atau menjerat burung, mengutip buah-buahan masak seperti mangga, mandi-manda di sungai atau bermain bola.


Merdeka pada zaman itu langsung tidak bermakna, malahan makna merdeka pun tidak difahami!


Sehinggalah berpeluang bersekolah menengah di bandar. Pendedahan tinggal di asrama dan bersekolah di bandar mempercepatkan proses kematangan diri. Pergaulan dengan kawan-kawan yang lebih maju dari pelbagai keturunan membolehkan pemahaman ke atas makna kemerdekaan makin meresapi diri.


Malahan peluang biasiswa yang diberi untuk bersekolah di Semenenjung, benar-benar memberi makna yang mendalam. Kemajuan dan pembangunan yang bukan sahaja dilihat, malah dirasai sendiri cukup menginsafkan.


Hari ini, semua pengalaman manis pada zaman kanak-kanak dulu hanyalah kenangan manis. Kemudahan asas sudah tersedia, hutan sudah dibuka untuk tanaman pertanian seperti kelapa sawit dan sungai sudah semakin mengecil.


Permainan zaman kanak-kanak seperti 'main tiga kayu', menjerat burung 'keruak', makan buah 'baab' atau berenang ala Nurul Huda Abdullah, sudah berganti dengan melayari internet, permainan online dan PS2/PS3.


Syukurlah semua ini dapat dilihat, dirasai dan dialami sendiri. Zaman mundur dan zaman maju seperti sekarang sudah dilewati. Syukurlah semua ini dapat dinikmati hasil kemerdekaan yang kita kecapi! Alhamdulilah...


Semua ini tidak berlaku dengan sendiri...melainkan ada komitmen pemimpin terdahulu menjadikan impian zaman riang kanak-kanak, kini sudah menjadi kenyataan.


Terima kasih Malaysia kerana memberikan kesempatan nostalgia tidak ternilai harganya. Semoga apa yang dinikmati kini akan kekal terpelihara dan mampu pula dikecapi oleh generasi akan datang, walaupun dengan pengalaman yang berbeza.


SELAMAT HARI KEBANGSAAN MALAYSIA KE 52!


Friday, August 28, 2009

Chua Soi Lek : Strategi Politik MCA ?


DS Dr. Chua Soi Lek dipecat dari MCA, selepas 18 bulah terlibat dalam skandal seks DVD lucah yang menggemparkan pada Januari 2008. Tindakan diambil selepas beberapa bulan dia diiktiraf oleh perwakilan MCA sebagai Timbalan Presiden mereka.


'Hukuman' yang telah dilalui oleh Chua - kehilangan jawatan Menteri Kesihatan dan tidak menjadi calon pada PRU12 lalu - nampaknya belum memadai untuk membersihkan imej MCA yang dikotor oleh perbuatan tidak bermoral beliau.


Mampukah pemecatan Chua membersihkan MCA dan menarik kembali aliran sokongan pengundi Cina kepada MCA - dan Gerakan ?


Dalam PRU12 dan beberapa PRK selepas itu, kelihatan kecenderungan pengundi Cina ialah mengundi selain BN. Mereka jelas terpesona dengan janji bulan bintang yang ditawarkan oleh pakatan pembangkang.


MCA ( dan Gerakan ) nampaknya terus gagal memainkan peranan dengan berkesan memastikan BN kekal sebagai pilihan popular di kalangan pengundi Cina. Kuasa penentu pengundi Cina terus menjadi 'pemusnah' kekalahan BN di kebanyakan tempat.


Ironinya, timbul pula penyiasatan kes yang telah lama berlalu ke atas seorang Timbalan Presiden, yang akhirnya membawa kepada pemecatan keahlian dalam parti yang seharusnya menjadi parti kedua terkuat dalam BN.


Mungkinkah 'drama' ini sengaja dirancang agar Chua Soi Lek dapat bersama Chua Jui Meng dan beberapa orang lain, berperanan pula di pihak sebelah demi memastikan kuasa tawar-menawar pengundi Cina kekal diberi perhatian?


Terlalu awal menelaah langkah Chua Soi Lek namun pasti PKR akan menyediakan red carpet untuknya, kerana disitu sudah ada bekas Tim. Presiden Umno yang juga pernah dipecat keahliannya, sedia menunggu memberikan laluan.


Kita tunggu kesudahan plot cerita ini...


Wednesday, August 26, 2009

Iktibar Dari Permatang Pasir



Salam,

Seperti dijangka, PAS mengekalkan kerusi satu-satunya kerusi mereka DUN Permatang Pasir. Tahniah kepada YB Salleh Man, selepas enam percubaan untuk menjadi YB, kali ini ia berhasil. Harapnya amanah pengundi dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Bagi Umno, tiada apa yang harus diriuhkan, sememangnya kerusi ini milik PAS sebelum ini. Usaha telah dilakukan, namun kemenangan masih jauh untuk dicapai. Post-mortem untuk pilihanraya ini wajar dilakukan, mencari di mana silapnya.

Umno kena meneliti pelbagai faktor yang menyumbang kepada penolakan pengundi Permatang Pasir di sebalik tawaran menjadikan Permatang Pasir sebagai anak emas Kerajaan Persekutuan. Kajian harus disegerakan melihat mengapa momentum di Manik Urai seakan tidak dapat dikekalkan.

Pada masa depan, Umno sewajarnya meneliti dengan mendalam dan berhati-hati calon yang hendak diketengahkan. Kena pastikan calon yang dipilih mempunyai 'wow factor', yang boleh menghasilkan kemenangan, atau paling kurang memberi saingan sengit. Janganlah dipilih calon asal ada calon berlawan.

Bukan calon yang sejak hari pertama tempoh berkempen lagi sudah diserang dengan isu moral, calon yang peribadinya boleh dieksploitasi oleh pihak lawan sehingga menyebabkan kempen dijalankan untuk mempertahankan moral calon pula. Walaupun apa yang dijaja adalah fitnah dan tidak benar, namun tempoh 8 hari tidak memadai membersihkan nama seorang calon.

Takkanlah dalam beribu ahli Umno di Permatang Pauh / Permatang Pasir, Sdr. Rohaizat Osman menjadi calon terbaik yang boleh ditampilkan?

Bukan salah Sdr. Rohaizat, tapi 'panel pemilih' calon kena bertanggungjawab di atas pilihan yang silap ini!

Tuesday, August 25, 2009

Hormatilah Pendirian YB Lunas!

Salam,

Selepas YB Mohd Radhzi Salleh mengumumkan keluar PKR ( bersama pimpinan bahagian Padang Serai )dan menjadi ADUN Bebas, pelbagai reaksi telah dilontarkan kepada beliau.

Segala kejelikan moral YB Lunas ini semasa mewakili PKR mula didedahkan kepada umum : kisah tuntutan perjalanannya, kisah dia tidak turun kawasan malahan sehingga kisah dia berkahwin baru di Selatan Thailand.

Seperti biasa, pastilah dia dituduh disogok wang oleh BN, jumlahnya mencapai sehingga 4 juta! Wow, kaya-raya YB ini.


Soal prinsip dan pendirian YB ini langsung tidak diambil kira. Alasan kenapa dia mengambil risiko besar dalam kehidupan politiknya : meninggalkan keselesaan sebagai exco Kedah dan memperjudikan nasib sebagai ADUN Bebas, langsung tidak difikirkan.

Sewajarnya difikirkan kenapa YB ini hilang kepercayaan kepada parti yang didukungnya selama ini, parti yang mengangkat dia menjadi seorang YB. Tentu ada sebabnya...mungkin sedikit masa lagi rahsia ini akan terburai?


YB Zulkifli Nordin, rakan seperjuangan dalam PKR sebagai MP Kulim-Bandar Baharu, seakan memahami suara hati dan rintihan YB Lunas ini.

Antara lain, YB Zul menulis :

Saya mengambil sikap memahami tindakan YB Razhi yang sejak daripada awal kemenangan pada 08 Mac 2008 telah membangkitkan beberapa isu yang beliau rasakan serius dan perlu tindakan segera. Saya yakin tindakan yang diambil oleh YB Razhi adalah atas dasar prinsip dan bukan kerana masalah disiplin, siasatan SPRM, ataupun sogokan. Apatah lagi fitnah jahat yang menyatakan ianya berkaitan masalah wanita.

Saya ingin menegur rakan-rakan dalam PKR termasuk daripada Pakatan supaya jangan cepat memfitnah, membuat tuduhan liar dan menuding jari. Ingatlah setiap jari yang kita tuding kepada orang, tiga jari lagi menuding kepada kita.
Kalau kita menuduh YB Razhi konon tidak berdisiplin, saya melihat YB Razhi antara Exco yang sangat komited dan berdedikasi dengan amanah yang diberikan.

Ya, sewajarnya seperti mana kita mahu pendirian kita dihormati, kita juga wajar menghormati prinsip YB Radhzi. Sayangnya, akibat tulisan YB Zul ini, dia juga dikritik hebat. Baca di sini.

Nampaknya, politik orang kita masih jauh untuk diiktiraf matang. YB Lunas ini menjadi baik bila dalam Pakatan Rakyat tetapi menjadi jalang bila tidak lagi bersama ( itu pun menjadi Bebas, bayangkan jika dia menyertai BN...pasti dia jadi apa? )

Monday, August 24, 2009

Baca Dengan Mata Hati....Siri 2.


Salam,

Sambil kita menunggu waktu berbuka puasa...kita lupakan sejenak kelaparan dan dahaga, lupakan pertarungan serangan peribadi calon di Permatang Pasir, kisah lompatan 'taubat' di Lunas atau polemik penghuni syurga dan neraka di tangan orang politik.

Sambil kita menghitung hari untuk menyambut Hari Kemerdekaan, elok rasanya, kita membaca artikel ini yang diterbitkan oleh Utusan semalam. Rencana bertajuk Melayu Dalam Perlembagaan. Selamat Membaca...

Melayu dalam Perlembagaan

SEJAK akhir ini ada kecenderungan oleh pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan keistimewaan yang diberikan kepada orang-orang Melayu.

Mereka menuntut kedudukan yang sama dengan orang Melayu daripada pelbagai segi padahal keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu bukanlah mengambil hak kaum-kaum lain.

Ada pihak yang mempertikaikan kenapa orang Melayu diberi keistimewaan sedangkan Melayu juga asalnya pendatang yang datang ke negara ini. Hakikatnya banyak pihak melupakan sejarah yang mencatatkan pengorbanan orang Melayu memberi kerakyatan kepada bukan Melayu semasa mencapai kemerdekaan.

Pertikaian tentang hak keistimewaan orang Melayu terus dibangkitkan walaupun dalam Perlembagaan menyebut tentang hak-hak tersebut. Pada masa yang sama Perlembagaan tidak mendiskriminasi kaum-kaum tertentu kerana Perlembagaan mendapat persetujuan semua pihak.

Kita juga memberikan pengkelasan yang tidak tepat apabila menganggap tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India menjadi tonggak di negara ini.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah menjelaskan, dalam Perlembagaan menyebut bangsa Malaysia terdiri daripada lima kaum iaitu Orang Asli, Melayu, Bumiputera Sabah serta Bumiputera Sarawak dan kaum-kaum lain.

“Saya syorkan kita berhentilah menggunakan istilah Melayu, Cina, India ini kerana dari sudut Perlembagaan tidak ada disebutkan kaum Cina dan India. Namun kita yang memberikan kedudukan kepada mereka,” tegas Mohd Noor ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID Khamis lalu.

MINGGUAN: Disebabkan banyak pihak tidak faham kedudukan Melayu dalam Perlembagaan, boleh Datuk huraikan perkara ini?

MOHD NOOR: Saya ingin terangkan dahulu perkara-perkara penting tentang orang Melayu di dalam Perlembagaan. Saya melihat banyak NGO-NGO Melayu sekarang ini bertindak dalam keadaan marah dan bukan menjawab mengikut undang-undang. Kerana itu pertama sekali saya ingin menjelaskan dalam perkara satu, negara ini perlu dikenali dalam Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan nama Malaysia. Malaysia ini asalnya dari perkataan Malaya. Malaya itu mengikut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dahulu adalah Persekutuan Tanah Melayu. Sepatutnya ia habis di situ. Oleh itu negara ini dikenali dunia sebagai Tanah Melayu dan tidak disebut sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Nama Malaysia adalah termasuk Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Itu istilah sebenar mengikut Perlembagaan. Tidak timbul masalah apabila disebut Semenanjung, Sabah dan Sarawak walaupun dilihat sebagai berbeza kerana sebagai sebuah negara ia akan tetap disebut Malaysia. Contohnya Orang Asli hanya terdapat di Semenanjung seperti orang Senoi, Jakun dan Negrito. Orang Asli adalah aborigin bagi Semenanjung. Di Sabah dan Sarawak tidak ada Orang Asli. Ini hakikatnya. Penduduk di Sabah dan Sarawak dipanggil native (bumiputera). Orang Melayu juga bukan Orang Asli. Orang Melayu juga native (bumiputera). Kita sama dengan orang Sabah dan Sarawak dalam konteks kita adalah native di Semenanjung dan setaraf dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Mereka inilah yang datang selepas Orang Asli. Native ini jugalah yang diistilahkan indigenous people. Orang yang datang kemudian dipanggil imigran. Semua 28 suku kaum di Sabah dan Sarawak termasuklah Iban, Penan, Dayak dan sebagainya native. Dahulu native ini dikenali sebagai anak negeri namun kini ia dikenali sebagai bumiputera.

Boleh Datuk terangkan perbezaan antara indigenous dan aborigin dalam Perlembagaan?

MOHD NOOR: Ada dua perbezaan yang besar antara aborigin dan indigenous . Aborigin adalah penduduk asli negara ini dan indigenous paling sesuai untuk ditafsir ialah peribumi dan mereka ini dilihat bersesuaian dengan keadaan dan sekeliling mereka. Oleh itu adalah jelas orang Melayu dan native di Sabah dan Sarawak adalah sama sebagai peribumi. Maka bumiputera itu adalah terjemahan kepada native. Oleh itu jangan kata orang yang lahir di situ adalah bumiputera tetapi sebenarnya tidak. Begitu juga orang Cina dan India yang lahir di sini, mereka bukan bumiputera. Ini kerana bumiputera bukan sahaja lahir di sini tetapi keadaan hidupnya adalah bersesuaian dengan keadaan sekelilingnya.

Apakah yang lebih tepat untuk mengkelaskan misalnya Melayu, Cina dan India di negara ini dalam konteks Perlembagaan?

MOHD NOOR: Kesilapan besar kita ialah hanya mengenali bangsa sebagai Melayu, Cina dan India. Apakah kerana orang Melayu datang dahulu kemudian orang Cina dan kemudian India? Atau kerana orang Melayu paling ramai kemudian diikuti Cina dan India? Beritahu saya manakah negara yang tidak ada bangsa? Sama ada bangsa itu integral iaitu ada bangsa lain yang menumpang tetapi masih lagi disebut sebagai bangsa seperti bangsa Indonesia, bangsa Filipina, bangsa British, Perancis, Jerman dan sebagainya.

Menurut Perlembagaan, bangsa Malaysia terdiri daripada lima kaum. Maka bangsa Melayu itu diturun taraf kepada kaum. Namun kaum Melayu adalah teras di negara ini dan kita ajak kaum lain untuk bekerjasama sebagai bangsa Malaysia. Lima kaum itu terdiri daripada, pertama Orang Asli, kedua orang Melayu, ketiga kaum bumiputera Sarawak, keempat kaum bumiputera Sabah dan kelima adalah kaum-kaum lain.

Apabila menurunkan taraf orang Melayu kepada kaum, orang Cina dan India juga diturunkan taraf kepada “kaum-kaum lain”. Saya bercakap mengikut Perlembagaan dan jika kita menganggap teras negara ini terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India, itu adalah salah. Di mana definasi Cina dan India di dalam Perlembagaan? Dalam Perlembagaan ada disebut orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak. Macam mana hendak definisikan Cina dan India di negara ini jika sudah terdapat negara asal mereka dan keturunan mereka di sana. Oleh itu maknanya mereka ini bangsa Malaysia yang ada hubung kaitnya dengan soal bahasa, budaya, keturunan dan sebagainya dengan negara asal mereka. Sama ada mereka hendak terima atau tidak, itu adalah hakikatnya. Orang Melayu pun jatuh nombor dua dan bumiputera di tempat ketiga. Ini berlaku kerana dari segi sejarahnya Orang Asli ini lebih dahulu sampai, lepas orang Melayu barulah kaum-kaum lain sampai ke negara ini.

Tidak lama dulu ada pihak menghujahkan bahawa Melayu juga pendatang kerana penduduk asal adalah Orang Asli. Apa komen Datuk?

MOHD NOOR: Semasa empayar China dahulu kalau berpindah dari Han ke Chin atau dari Beijing pergi ke selatan hingga ke Mongolia adakah mereka berpindah dari satu negeri ke satu negeri? Mereka tidak berpindah tetapi hanya bergerak sekitar empayarnya. Begitu juga orang Melayu hanya berada di alam Melayu. Sejak kerajaan Sri Wijaya dahulu kita pernah mempunyai satu empayar agung yang meliputi Indonesia, Brunei, Filipina sebagai satu dunia Melayu. Oleh itu kita tidak berpindah hanya bergerak sekitar dunia Melayu. Namun apa yang berlaku sekarang ini adalah akibat penjajah Barat yang memecah-belahkan dunia Melayu. Indonesia diberi kepada Belanda, Tanah Melayu diberi kepada Inggeris. Jika tidak dipecahkan, dunia Melayu bersatu tetapi akibat penjajahan Barat ini kita berpecah belah. Jadi kenapa ada pihak berkata Melayu datang dari luar? Melayu hanya bergerak berkelompok di sekitar dunia Melayu ini.

Tetapi yang pasti orang Cina dan India bukan dari kelompok itu. Jika mereka kata Melayu seperti mereka, itu tidak benar. Yang sebenarnya adalah agama. Memang orang Melayu dulu beragama Hindu namun kemudian memeluk agama Islam tetapi bukan berasal dari India. Orang Melayu di sini kita gunakan istilah Nusantara yang bermaksud nusa antara nusa-nusa.

Jadi, maksud Datuk kita mesti melihat dari sejarah dan bukan keadaan sekarang yang dipisah-pisahkan?

MOHD NOOR: Orang Indonesia berhijrah ke Malaysia dari satu alam Melayu ke satu alam Melayu yang lain. Saya ingin bertanya adakah orang India yang berpindah dari Tamil Nadu ke Goa boleh dikatakan pendatang? Bukankah pelik jika orang Melayu yang bergerak dari Indonesia ke Tanah Melayu jadi pendatang? Kita kena melihat dari segi sejarah bukan pada masa sekarang. Jika sekarang sudah tentu berdasarkan undang-

undang imigresen dianggap sebagai pendatang. Jika kita lihat sebelum penjajah memecah- belahkan kita, dunia sebelah sini adalah alam Melayu. Namun kini hakikatnya orang dari semua lima kaum tadi, kedudukan Orang Asli, orang Melayu dan bumiputera termasuklah bumiputera Sabah dan Sarawak terpinggir berbanding kaum-kaum lain. Itulah yang saya sedihkan. Oleh itu kita berhentilah menggunakan istilah Melayu, Cina, India ini kerana dari sudut Perlembagaan tidak ada disebutkan kaum Cina dan India. Namun kita yang memberikan kedudukan kepada mereka. Yang disebut ialah kedudukan orang Melayu dan Melayu disebut sebanyak 54 kali dalam Perlembagaan. Cina dan India langsung tidak disebut dalam Perlembagaan. Mereka harus sedar tentang perkara ini. Oleh itu kita harus sebut dengan jelas kedudukan ini, sama ada kita semua adalah bangsa Malaysia atau pun mereka hanyalah sekadar kaum-kaum lain saja.

Adakah Perlembagaan kita mendiskriminasikan kedudukan kaum-kaum lain ini?

MOHD NOOR: Perkara ini tidak berlaku kerana Perlembagaan ini dipersetujui oleh semua pihak ketika mula-mula digubal. Maknanya tidak ada diskriminasi jika semua pihak bersetuju. Perkara ini tidak patut timbul sama sekali malahan mereka patut akur bahawa Perlembagaan tidak langsung menyebut tentang kaum Cina dan India. Kita ambil contoh Barack Obama, beliau memperkenalkan dirinya sebagai African-American. Cuba beritahu yang mana penting dalam istilah tersebut? Jika kita melihat kepada nahu bahasa, adjektif adalah yang menerangkan kata nama. Jika kita lihat ada kaum Cina mengaku mereka sebagai Malaysian Chinese, Malaysia yang menjadi adjektif dan Chinese menjadi kata kerja. Jika dilihat kata kerja itu lebih penting dari adjektif. Oleh itu kita dapat lihat nama Chinese lebih penting daripada nama Malaysian. Ini menunjukkan mereka lebih berbangga dengan nama Chinese diletakkan di depan bukan Malaysian.

Apa mesej Datuk daripada contoh di atas?

MOHD NOOR: Bagi mereka nama Chinese yang lebih penting daripada Malaysian. Orang Cina sangat berbangga dengan tamadun mereka yang maju. Oleh itu, di mana mereka berada mereka lebih berbangga dengan kedudukan dan tamadun mereka. Maka kita harus memberitahu mereka ini bahawa mereka adalah Chinese Malaysian supaya mereka tahu mereka menghargai negara ini dan bertindak sebagai bangsa Malaysia.

Bagaimana dengan kedudukan raja-raja Melayu?

MOHD NOOR: Raja-raja Melayu ini merupakan yang empunya Semenanjung Tanah Melayu. Mereka ini memerintah secara mutlak. Walaupun mereka memerintah tetapi tetap ada penasihat seperti bendahara, temenggung dan sebagainya. Namun akibat dari peranan penjajah semua ini dimanipulasi hinggalah kita mencapai kemerdekaan. Sebenarnya raja yang memerintah. Kuasa memerintah terletak kepada raja dan bukan Perdana Menteri. Raja yang memerintah dan Perdana Menteri mengurus tadbir negara. Cara pemerintahan itu ialah pertama raja sendiri yang memerintah. Kedua raja memerintah mengikut nasihat. Ketiga raja memerintah melalui Perdana Menteri. Namun raja adalah berperlembagaan dan tidak lagi seperti dahulu. Kini kuasa raja hanya terhad kepada tiga sahaja iaitu yang pertama melantik Perdana Menteri. Kedua, raja yang memperkenankan pembubaran Parlimen. Ketiga apabila raja ingin mengadakan Persidangan Majlis Raja-Raja maka mereka mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat tersebut.

Bagaimana pula dengan kontrak sosial yang membawa kepada kemerdekaan negara ini?

MOHD NOOR: Kontrak sosial bukanlah istilah undang-undang. Ia satu perjanjian antara kaum-kaum di negara ini di mana orang Melayu memberi kerakyatan sebanyak 800,000 kepada orang Cina dan India semasa kita menuntut kemerdekaan dahulu. Mereka ini subject to British colony di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Mereka ini bukan warganegara negara ini ketika itu. Maka penjajah British memberi syarat jika mahukan kemerdekaan mereka ini perlu diberi kewarganegaraan. Oleh itu sebagai balasan, orang Melayu perlu diakui mempunyai kedudukan istimewa sebagai peribumi di negara ini. Tiga keistimewaan harus diberi kepada orang Melayu iaitu pentadbiran negara ini diberi kepada orang Melayu. Pelajaran dan biasiswa diberi kepada orang Melayu dan permit dan perniagaan diberikan kepada orang Melayu. Ini kerana orang Melayu keciciran dalam banyak bidang. Dahulu penjajah buat sekolah di kawasan bandar. Oleh sebab itu orang Cina ramai yang pandai manakala orang Melayu pula ramai yang tinggal di kampung, asalkan dapat makan pakai serta dapat mereka beribadat, itu sudah cukup. Namun apabila merdeka orang Melayu ini tidak mahu lagi keciciran dalam semua segi.

Bagaimana pula dengan hak keistimewaan orang Melayu selepas 52 tahun merdeka?

MOHD NOOR: Jika kita lihat raja-raja kita dahulu berpandangan jauh telah memikirkan untuk menubuhkan Rejimen Askar Melayu untuk menjaga keselamatan orang Melayu kemudian ditubuhkan pula undang-undang rezab tanah Melayu. Semua ini dilakukan atas nama kebimbangan sekiranya sesuatu berlaku terhadap orang Melayu. Saya istilahkan dua tiga serangkai, rangkai pertama ini saya namakan warisan orang Melayu iaitu Raja Berperlembagaan, agama Islam dan Bahasa Melayu. Definisi orang Melayu ialah orang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan adat Melayu yang mewakili raja-raja Melayu.

Seterusnya rangkai yang satu lagi saya namakan pusaka orang Melayu. Pertamanya ialah Askar Melayu, kedua tanah rezab Melayu dan yang terakhir kedudukan istimewa orang Melayu. Ia dinamakan pusaka kerana ini merupakan peninggalan pemimpin kita dahulu. Oleh itu semua usaha ini perlu diteruskan dan dipertahankan oleh semua orang Melayu.


Saturday, August 22, 2009

Salam Ramadhan...


Salam Ramadhan,

Pesanan Jibrail kepada Rasulullah SAW ketika hadirnya Ramadhan : Jangan tinggalkan memohon maaf kepada 3 golongan ketika tibanya Ramadhan, mohon maaf kepada kedua orang tuamu, mohon maaf kepada suami @ isterimu dan mohon maaf kepada keluarga, kawan-kawan dan orang di sekelilingmu.

SELAMAT BERPUASA...SEMOGA PUASA MENDIDIK KITA MENJADI INSAN BERTAKWA!

Thursday, August 20, 2009

Kota Siputeh: Apa Kamu Buat YB?


Salam,

Selepas 7 PRK, satu lagi PRK diadakan di DUN Kota Siputeh, Kedah. Dilaporkan oleh Malaysiakini, DUN tersebut bakal dikosongkan apabila ADUN sekarang, Datuk Abu Hasan Sharif hilang keanggotaannya setelah gagal hadir dua kali persidangan DUN Kedah.

Seksyen 51 Perlembagaan Negeri Kedah memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.

Amatlah malang jika PRK ini terpaksa diadakan gara-gara ADUN gagal hadir bersidang, yang tentunya di luar pengetahuan Speaker sehingga Speaker terpaksa pula menghantar surat ke pejabat SPR negeri. Keputusan berkaitan perkara ini akan ditentukan oleh ibu pejabat SPR di Putrajaya.

Apa alasan bagi ADUN ini, yang juga Ketua Umno Bahagian Jerlun gagal hadir dua kali berturut-turut tidak pula diketahui. Namun dari segi moralnya, perbuatan 'ponteng' - tanpa makluman pula - amatlah tidak wajar! Tidak adil bagi pemilih di kawasan yang diwakili.

Mungkin jika PRK ini diadakan kelak, Umno kena memastikan Abu Hasan bukanlah calonnya. Pilih sahaja orang lain dan ketepikan ADUN ini. Sudah empat penggal mewakili kerusi berkenaan, seharusnya kesilapan begini tidak berlaku.

Umno juga wajar meneliti senarai calon yang bakal diketengahkan. Jangan sampai selepas penamaan calon, timbul cerita di sana sini berkaitan isu moral!

Wednesday, August 19, 2009

Baca Dengan Mata Hati...


Salam,

Tuanku Sultan Kedah bertitah negara akan berhadapan dengan bencana dan huru-hara jika kontrak sosial terus dipertikaikan serta dijadikan bahan untuk berpolitik.

Baginda khuatir tamadun dan kemerdekaan akan runtuh sebagaimana berlaku terhadap banyak negara apabila api kemarahan akar umbi tidak dapat dikawal.

Apa yang dititahkan baginda ini sangat kena pada masa dan tempatnya. Apalagi melihat senario yang berlaku sekarang, terutama selepas PRU12 lalu, gelagat yang dilakukan terutamanya oleh ahli politik, boleh memeningkan kepala.

Saban hari tuntutan yang berkaitan dengan Kontrak Sosial ini pasti ada sahaja diluahkan. Ia dilakukan secara terbuka dan mencabar orang Melayu dan Bumiputera. Peliknya, apabila orang Melayu Bumiputera bersuara mempertahankan sedikit yang masih ada ia akan dikata rasis.

Tindakan mempersoalkan Kontrak Sosial yang telah dipersetujui oleh generasi terdahulu, yang membolehkan negara ini aman makmur sentosa selama ini, hanya akan menyebabkan bercambahnya bibit-bibit kebencian di kalangan rakyat.

Apabila perasaan benci-membenci menguasai akal, nafsu dan emosi diri, dikhuatiri tindakan undang-undang di tangan sendiri akan berlaku!

Ketika itu, siapakah yang mahu dipertanggungjawabkan?

Elok rasanya titah Tuanku Sultan Kedah yang telah melihat suasana negara ini sejak sebelum merdeka sehingga kini, untuk kita fikirkan. Semoga sempena bulan merdeka ini, kita mampu berfikir dengan bijaksana...melihat kebenaran dengan mata hati!

Tuesday, August 18, 2009

Buang Segala Panau, Kurap dan Kudis!

Salam,


Dilaporkan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno sudah menerima cadangan majoriti bahagian Umno untuk meminda beberapa perkara dalam perlembagaan Umno. Terutamanya berkaitan soal kouta dan amalan yang membolehkan politik wang.


Kita sangat setuju dan menyokong usaha Jawatankuasa ini, khususnya dalam mengenepikan pandangan segelintir pimpinan bahagian yang keberatan melakukan pindaan kerana khuatir pindaan akan menggugat kedudukan mereka.


Sewajarnya segala permasalahan yang melingkari Umno selama ini, yang menyebabkan orang ramai khususnya orang Melayu menjauhi Umno, segera diambil tindakan. Mana-mana perkara dalam perlembagaan Umno atau amalan biasa yang sudah berakar umbi di kalangan ahli Umno tetapi dibenci oleh ahli lain, segera diubah!


Amalan cantas-mencantas, fitnah, menipu, eksploitasi kedudukan adalah sebahagian rencah yang menjelikkan. Harapnya pindaan ini nanti mampu meminimumkan amalan buruk dan keji ini.


Tranformasi untuk menguatkan Umno dan meyakinkan rakyat serta ahli Umno wajar segera dilaksanakan dalam tempoh sebelum PRU12 nanti. Dibimbangi jika impak transforamsi ini tidak kelihatan, Umno akan terus ditolak nanti.


Demi memastikan igauan buruk ini tidak terjadi, inilah masanya Umno membuang segala penyakit yang ada: panau, nanah, kurap atau kudis. Malah jika perlu ada yang perlu dipotong kerana menjadi punca penyakit, Umno wajar bertindak tegas!


Kehilangan anggota yang terpaksa dipotong lebih elok daripada hancur seluruh badan!


Saturday, August 15, 2009

Terima Kasih...Rakyat Didahulukan!

Salam,

Bolg ini pernah menyiarkan luahan supaya runtuhan jalan raya di Kg Lupak, Beaufort dibaiki segera. Ramai yang menyuarakan sokongan atas usaha kecil blog ini, namun terdapat juga segelintir yang seakan marah, membidas blog ini dan blog lain juga. Kata mereka, kenapa lagi masuk blog?

Alhamdulilah, berkat daya usaha pimpinan yang prihatin, usaha pembaikan sudah mula dijalankan. Pihak kontraktor sedang giat melaksanakan dan jalan ini sudah boleh dilalui semula. Terima kasih kepada ADUN Lumadan, YB Kamarlin Ombi dan MP Sipitang, YB Sapawi Ahmad atas keprihatinan mendahulukan rakyat.

Beginilah keadaan jalanraya yang runtuh sebelum pembaikan dijalankan.

Thursday, August 13, 2009

Dr Hasan Ali Sebagai Mursyidul Am PAS!

Salam,

Membaca kenyataan Mursyidul Am PAS digelar Tok Guru, Nik Aziz yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam, elok rasanya jawatan MA ini bertukar tangan!

Dr Hasan Ali rasa lebih sesuai dan lebih berwibawa untuk bercakap soal perjuangan agama dalam PAS ni. Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berkata beliau tidak akan tunduk terhadap 'ugutan' timbalan pengerusi DAP Selangor, Tony Pua supaya beliau dikenakan tindakan disiplin ekoran kenyataannya berhubung isu rampasan minuman keras di Shah Alam.

Dr Hasan lebih berani dan jelas pendiriannya dalam mempertahankan prinsip berbanding Nik Aziz yang ketara membuat kenyataan politik. Tujuannya tentulah untuk memancing undi Cina dan India di Permatang Pasir.

Tapi kalau iya pun nak menang PRK janganlah sampai macam tu. Sampai nak membiarkan maruah agama dipersendakan tu bukanlah caranya. Paling mudah, kalau dah tiada semangat atau tiada idea, bukankah lebih elok diam!

So, kepada Sudhagaran dan rakannya Joachim Francis Xavier yang membuat aduan polis berhubung isu penyamaran wartawan majalah itu Muhd Ridwan Abdul Jalil sebagai penganut Katholik bagi menyiasat khabar angin terdapat usaha memurtadkan gadis Islam, tidak payahlah susahkan diri menghantar memo ke KDN.

Penganut Katolik kena tahu bahawa wartawan tersebut melakukan perkara sedemikian kerana kefahamannya terhadap Katolik mungkin tidak mendalam. Kalau ikut Nik Aziz, ini adalah lesen untuk berbuat sesuatu walaupun bersalahan pada pandangan orang lain.

Seperti kata Nik Aziz lagi, penerangan harus diberi kepada DAP untuk mereka memahami Islam, maka pihak Katolik juga harus memberi penerangan kepada wartawan tersebut untuk memahami Katolik.

Macam-macam hal!

Wednesday, August 12, 2009

Sokong Harimau Menaip...Sokong Perjuangan Islam!



Salam,

Melihat serangan yang dibuat ke atas Harimau Menaip, meremang bulu roma, menyirap darah. Ini bukan setakat menyerang Tok Rimau, ini sudah melampau. Menyerang Islam!

Sebagai tanda menyokong perjuangan Tok Rimau, tulisan ini didekasikan untuk beliau. Sangat setuju supaya pihak berkuasa SEGERA mengambil tindakan ke atas blogger yang semakin hari semakin berani mencabar! Semakin berani bersenda dengan agama Allah ini.

Tanpa mengira siapa, tanpa mengira apa ideologi politik yang dipegang, sewajarnya usaha mencemarkan agama Allah ini WAJIB ditentang. Janganlah dalam soal ini pun masih mahu mengambil hati dan bimbang tidak mendapat sokongan.

Berbaloikah menang pilihanraya dengan maruah agama Allah dipijak, diinjak-injak? Harga diri hanya akan bernilai bila ia dapat dipertahankan semasa diserang!

Atau kita masih 'pengsan', tidak sedar apa yang berlaku? Masih berdiam diri dengan harapan supaya dapat memenangi undi di Permatang Pasir?

Tuesday, August 11, 2009

Apa Susah...'Runtuhkan' Saja!!!


Salam,

Kecoh dengan 'berhala' buatan di Batu Caves, replika DS Najib dibina tinggi. Sudah mula kedengaran di sana sini, oleh para blogger.

Tiada apa perlu dikecohkan, runtuhkan saja replika ini. Jika PBT di kawasan terlibat tidak mahu bekerjasama, maka tugas Pemuda Umno melaksanakannya!

Pemuda Umno Selangor, khususnya Pemuda Bahagian Gombak dicabar jalankan urusan meruntuhkan replika ini sebelum ia terus menjadi 'kudis' + nanah + barah, sebelum ia mencemar 1Malaysia. Kalau bukan pemuda, nak harap siapa lagi?

Janganlah berkokok soal pengkhianat bangsa kalau kerja mudah ini pun tidak mampu dilaksana!

Saturday, August 8, 2009

Masihkah Menderu Kapal Terbang Umno?


Salam,


Sejak bulan lalu agenda Umno ialah persidangan cawangan dan mesyuarat perwakilan bahagian, yang masih berlangsung sehingga penghujung bulan ini.


Oleh kerana tahun ini bukanlah tahun pemilihan, cakap-cakap berkaitan Umno agak kurang kedengaran. Jika ada pun ia cuma berkisar kepada pemilihan perwakilan bahagian ke perhimpunan Oktober nanti.


Sebenarnya, walaupun tanpa pemilihan, agenda persidangan dan mesyuarat Umno tahun ini juga penting. Malah mungkin jauh lebih penting, kerana ia bakal menentukan hayat perjuangan Umno di persada politik tanahair. Agenda penting yang mesti dibincang dengan teliti tentulah berkaitan pindaan perlembagaan Umno.


Khabarnya cadangan beberapa perkara pindaan perlembagaan Umno sudah dikemukakan untuk diteliti dan dibahas di peringkat cawangan dan bahagian. Malang, dengarnya terdapat bahagian yang 'enggan' membuka cadangan tersebut untuk dibahaskan perwakilan.


Sebaliknya, ada bahagian yang 'bersetuju' meneruskan perlembagaan sedia ada. Soal kouta umpamanya, masih hendak diteruskan dengan mengekalkan kouta sedia ada. Alasan diberi, khuatir ada orang gila yang akan mencuba nasib bertanding jawatan tertinggi dalam Umno!


Jika benar bagai dikata, malanglah nasib Umno. Jika keputusan bahagian seperti ini menjadi trend, pastilah transformasi yang dijanjikan pucuk pimpinan menjadi indah khabar dari rupa.


Sedangkan Umno menyedari antara sebab Umno ditolak rakyat - malah oleh ahli Umno sendiri - apabila amalan tidak demokratik masih diamalkan oleh pimpinan parti. Sepatutnya, persidangan cawangan dan mesyuarat bahagian dijadikan medan perbahasan menghalusi pindaan perlembagaan serta agenda mengukuhkan semula Umno.


Harapnya, bunyi menderu kapal terbang Umno sepanjang Mac 2008 hingga Mac 2009 lalu, tidak hilang di balik awan...


SELAMAT BERSIDANG UMNO BAHAGIAN SIPITANG ESOK 9hb OGOS 2009!


Friday, August 7, 2009

Wajah Sebenar DAP Makin Terserlah!


Salam,


Selepas kecoh isu Pusat Penyembelihan Babi di Kedah bulan lalu, DAP terus ‘mempamerkan’ wajah sebenar mereka. Jika sebelum ini, mereka agak malu-malu, sejak akhir-akhir ini mereka sudah tidak malu lagi.


Di Selangor, Ronnie Liu memberi fatwa bir bukanlah arak dan bertindak mengarahkan penguatkuasa MBSA memulangkan arak yang dirampas.


Di Pulau Pinang, Jeff Ooi membidas Mohd Razali Abdullah, ahli JIM hanya kerana JIM meletakkan visi melaksanakan syariat Islam menjelang 2020.


Terbaru, Look Siew Fook Ketua Pemuda DAP mengutuk Dr Ridhuan Abdullah ( dan Islam ) dengan kata-kata kesat dan lucah, hanya kerana mempertahankan ‘zuriat’ Teo Beng Hock di perut tunangannya!


Semakin hari, selepas kemenangan 8 Mac 2008 lalu, DAP terus giat menyerlahkan wajah sebenar mereka di persada politik tanahair. Ada beberapa soalan berkaitan dengan kehebatan wajah DAP ini?


- Apakah semua ini berlaku kebetulan kerana DAP merasakan mereka menjadi ‘BOS’ dalam pakatan pembangkang?


- DAP merasakan rakan pakatan mereka tidak akan berani berbuat apa-apa, hatta menegur pun sikap kurang ajar mereka kerana sudah mabuk kuasa?


- Atau DAP sudah mula melihat ‘buih-buih’ sedang pecah di depan mata mereka untuk diambil kesempatan?


Siapakah yang mampu menjawab persoalan ini?



Thursday, August 6, 2009

Selepas Demo ISA : Apa Yang Kita Dapat?


Salam,


Ramai sahabat termasuk pengunjung blog ini melontarkan soalan - termasuk bertanyakan hukum Islam - berkaitan ISA kepada penulis. Tulisan ini mencuba untuk menjelaskan pendirian penulis berhubung ISA.


Penulis setuju ISA sebagai undang-undang pencegahan wajar dikekal, dengan pindaan beberapa perkara. Terma yang menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan berlaku penganiayaan mesti dipinda, agar ruang untuk dipertikaikan dapat dikurangkan.


Kenapa ISA wajar kekal? Saya berpendapat selagi wujud segelintir rakyat yang tidak waras, tidak rasional dan bersikap perkauman yang menebal, selagi itulah ISA perlu untuk mengawal segelintir rakyat ini sebelum majoriti rakyat menjadi mangsa, sebelum segelintir rakyat menghuru-harakan kedamaian hidup di negara ini.


Banyak contoh bagaimana situasinya apabila rakyat sudah dibuai emosi, dihasut pula oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Suasana menjadi tegang, rakyat akan tertekan dan negara akan dijauhi oleh pelabur dan pelancong asing. Tanpa ISA, mungkinkah ada akta lain yang boleh membendung situasi ini daripada berlaku?


ISA zalim? Sebahagian rakyat yang keluarganya menjadi mangsa ISA memang terasa pedihnya penangan ISA. Suami dipisahkan daripada anak dan isteri untuk satu tempoh, tanpa dibicarakan. Namun terfikirkah kita bahawa keluarga Segadevan dan Mathew Anak Medan yang dibunuh dalam kes Al Mau'nah Sauk, telah dirampas kebahagiaan hidup mereka gara-gara segelintir umat yang sudah terpesong.


Tidakkah tindakan segelintir rakyat yang merusuh pada 25 November 2007 juga adalah satu tindakan kezaliman? Zalim kepada para peniaga yang menutup kedai, zalim kepada orang awam yang ketakutan dan zalim kepada seluruh rakyat yang ingin hidup aman damai! Kepada keluarga yang hilang orang tersayang, mati terbunuh kerana berjuang memastikan keamanan dan kerukunan hidup bernegara, kita juga sebenarnya melakukan kezaliman!


Bayangkan tanpa ISA, apakah langkah pencegahan yang boleh dibuat membendung anansir subversif seperti ini? Biarkan dulu negara ini hancur, kemudian kita ke meja rundingan?


Hukum ISA? Saya mengakui bukanlah orang yang ada autoriti untuk memberikan fatwa begitu begini. Saya menyedari sebagai rakyat, menjadi kewajipan kepada saya untuk mentaati keputusan pemerintah - kecuali pada perkara yang jelas dan terang bersalahan dan tidak boleh diterima akal yang waras. Dan saya pula tidak berhasrat 'menyokong' fatwa orang politik yang jelas berkepentingan. Haram bila dilakukan oleh musuh, halal bila dibuat rakan sendiri!


Ada pula sahabat yang menyatakan hanya orang bodoh saja yang menyokong ISA. Mungkin saya - bersama sebahagian rakyat yang lain - bodoh menyokong, tetapi sekurang-kurangnya lidah kami bukan lidah bercabang biawak seperti Anwar Ibrahim. Tidak konsisten dalam keputusan, 1974 menentang, selepas itu menyokong kerana perut sudah kenyang. Hari ini demi kerana kuasa, ISA kembali menjadi hantu!


Pro dan kontra dalam sesuatu isu adalah lumrah. Sementara penentang ISA ada hujah memansuhkan ISA, hujah golongan yang hendak ISA dikekalkan juga wajar dirai dan dihormati. Janganlah hendaknya kita bersikap bodoh sombong, memaksa semua orang menurut kehendak kita. Jika kita percaya kepada demokrasi, majoriti adalah pemenang maka seharusnya tidak timbul pertikaian.


Kita jadikan PRU13 sebagai referendum. Jika Pakatan Pembangkang menang dan memerintah negara, mansuhkan saja ISA. Apa yang susah...tidak perlulah berarak di jalanraya untuk menyusahkan orang lain!


Paling penting, sementara menunggu PRU13 yang tempohnya dalam 2-3 tahun lagi, biarlah kita menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Pemerintah menjalankan amanah rakyat, sementara pembangkang juga menjalankan amanah rakyat.


Rakyat? Kalau pun tidak bersetuju dengan keputusan pemerintah, gunakanlah cara berhemah untuk bersuara. Mungkin peti undi adalah salurannya...bukan terpekik terlolong di jalanraya!


Monday, August 3, 2009

Edisi Khas : BPN Mendesak Tindakan Tegas Terhadap Blogger Hina Mufti Perak Setaraf Pelacur!

Salam,

Lupakan seketika polemik ISA, blog ini akan menyentuh persoalan yang dilontarkan sahabat pengunjung berkaitan ISA pada kesempatan lain.

Penulis ingin berkongsi dengan pembaca dua perkara:

1. Ucapan takziah untuk keluarga Allahyarham YB Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, ADUN Permatang Pasir yang telah kembali ke rahmatullah beberapa hari lalu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke roh Allahyarham, Amin. ( Perbezaan ideologi dan politik kepartian seharusnya tidak membataskan persaudaraan seagama! )

2. Menyampaikan hasrat BPN supaya tindakan tegas diambil terhadap blogger yang 'kurang ajar' - menyamakan Mufti Perak dengan pelacur! ( Rasanya lelehan hingus mufti ni lebih mulia daripada blogger yang entah siapa-siapa ni?)

Dari Blog Panglima Perang Cyber.

1. BPN memandang berat tindakan blogger pembangkang di sini ( http://www.malaysiawaves.com) yang telah menyamakan Mufti Perak dengan gelaran pelacur.

2. Perbuatan ini sangat tidak patut dan begitu menghina seorang Mufti yang begitu dimuliakan di sisi masyarakat sebagai ikutan dalam hal hal agama Islam. Apatah lagi beliau dilantik dan dipilih oleh Sultan Perak sendiri selaku Ketua Agama Islam negeri Perak.

3. Mufti Perak tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti mahupun memegang jawatan politik dan bukan orang politik.. Seharusnya tidak patut beliau menjadi sasaran kecaman atau penghinaan yang memalukan tersebut meskipun ada pandangan beliau tidak disenangi oleh mereka..

4. BPN mendesak agar tindakan tegas dan keras dikenakan terhadap blogger Malaysiawave ini dan juga mana-mana blogger yang berani menghina tokoh agama di negara kita, yang mana jika tidak dibendung dari sekarang ia boleh menggalakkan rakyat Malaysia untuk menghina tokoh agama seperti Mufti ini yang jelas tidak ada kepentingan politik di dalam berfatwa atau memberi pandangan.

5. Diharap suara Blogger Pembela Negara ( BPN ) ini akan dibaca dan disebarkan agar menjadi isu yang tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

Yang benar,

Panglima Perang Cyber

Ydp Blogger Pembela Negara
Jumaat / 31 Julai 2009 /10.35 malam

Saturday, August 1, 2009

Perlukah Demo ISA Hari Ini?

Salam,

Sehari selepas menyambut Hari Pahlawan, sambutan berkaitan ISA pula akan menyusul hari ini.

Pahlawan dulu-dulu, berkorban jiwa raga, bergadai harta, hilang nyawa melawan penjajah dan komunis. Hari ini, 'pahlawan' akan bertempur di jalanan. Tanpa penjajah, tanpa ancaman komunis, demo akan dibuat untuk mansuhkan ISA - juga untuk kekalkan ISA.

Berbeza bukan?

Semangat kepahlawanan memang disanjung tinggi. Sayangnya dilempiaskan di tempat yang tidak betul. Selain ISA, ada banyak lagi agenda yang boleh diperjuangkan. Kenapa ISA? Kenapa ISA sangat digeruni?

Hanya penakut sahaja yang takut dengan ISA. Bukankah bernama pahlawan itu orangnya berani dan tidak takut dengan sesiapa?

Apa yang dirisaukan sangat dengan ISA? ISA hanya akan menangkap orang yang bersalah, bagi yang tiada kesalahan apa yang dibimbangi dengan ISA.

Peliknya, ramai yang mahu mansuhkan ISA tanpa pengetahuan apa dia ISA. Jadi pak turut, bila orang kata mansuh, dia pun ikut demo!

Harapnya kerajaan tidak menari mengikut rentak golongan ini. ISA wajar dikekalkan - walaupun ada keperluannya untuk disemak semula.

Perlukah demo ISA hari ini?

Kalau setakat nak tunjuk berani buat demo, untuk menganggu ketenteraman awam...baik tidak payah!

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin