
Apabila Datuk Shafie Abdullah, Ragunath Kesavan dan Prof. Shad Saleem al-Faruqi berhujah dengan Prof. Dr. Agus Yusof berkaitan krisis politik dan undang-undang di Perak, banyak perkara tersembunyi sebelum ini 'terdedah'.
Terima kasih TV9 yang proaktif membawa kepada umum banyak fakta berkaitan isu Perak, banyak persepsi yang selama ini berlegar-legar di kalangan masyarakat rasanya sudah terjawab melalui fakta HUJAH.
Adakah kita semua akan bersetuju? Tidak mungkin.
Pasti ada saja alasan yang diberi sama ada hujah panel itu diterima atau ditolak. Namun dari satu segi, fakta yang terselindung selama ini sudah pun mula tersirna. Bahawa ada banyak fakta rupanya selama ini yang tidak diambil peduli - sama ada sengaja atau pun tidak. Kita rupanya lebih banyak dihantui persepsi...
Adakah fakta yang sudah 'terburai' akan mempengaruhi pengundi di Bukit Gantang membuat pilihan? Sukar untuk ditentukan...kena tunggu 7hb April nanti.
Yang nyata, pengundi di Bukit Gantang, juga di Bukit Selambau dan Batang Ai, hendaklah menjauhi persepsi dalam menentukan wakil mereka.
Fikiran yang waras, disertai pertimbangan terhadap perkara yang terpampang di depan mata, termasuk hujah pd malam ini, seharusnya dijadikan asas kukuh dalam menilai calon dan parti yang hendak dipilih!