
"Jikalau dibandingkan UMNO dan PKR di Sabah penulis berpendapat bahawa PKR mungkin menerima sokongan yang kuat sebab ia adalah parti berbilang kaum. Sesungguhnya selera ini sudah berputik dan meluas. Ditambah pula ketua umumnya menjanjikan pemerkasaan Perjanjian Malaysia agar dihormati dan dilaksanakan sebaik mungkin. Ini adalah satu tarikan harapan kepada pengundi-pengundi di Sabah. Kita yakin begitu juga di Sarawak. Dan banyak lagi."
Salam,
Sebenarnya tiada apa pun yang menarik dengan berita keluarnya Kalakau Untol dari UPKO dan menyertai perjuangan Pakatan Rakyat. Berita ini mendapat sedikit perhatian kerana ia melibatkan seorang bekas Tim. Menteri. Kalaulah dia bukan bekas Tim. Menteri, mungkin tiada siapa pun yang mengenalinya.
Maknanya, tindakan beliau tidaklah sehebat mana berbanding keluarnya YB Zahrain dari PKR. Sementelahan pula, Kalakau ni pula bukan seorang MP atau ADUN. Jadi tiada sebarang kesan kepada komposisi kerusi kepada BN.
Di Sabah sendiri, Kalakau ni bukanlah siapa-siapa pun. Tidak ramai pun yang mengenali dia, malahan di dalam UPKO pun rasanya selepas jawatan terakhir sebagai Ketua Pemuda UPKO dulu, tiada apa-apa yang menarik diperkatakan tentang ahli politik ini.
Kelakarnya, dia bercadang untuk menjelajah Sabah menerangkan dasar perjuangannya. Isu yang hendak dikemukakan pula isu basi yang sudah diketahui oleh majoriti rakyat Sabah, cumalah umpan untuk menagih sokongan. Bila nanti sudah selesa di kerusi empuk bergelar YB, pasti semua janji untuk berjuang kepada rakyat akan dilupai. ( Ini penyakit kebanyakan YB kita )
Hakikat ini sudah terbentang di depan mata. Rakyat bertanya, semasa menjadi Tim. Menteri dulu, apa yang telah dibuat untuk kebajikan rakyat? Semasa menjadi Senator dua penggal kenapa tidak diperjuangkan isu basi yang digembar-gemburkan? Khabarnya cuma diingati kerana perangai pelik, kasut berlainan warna setiap belah!
Baguslah Kalakau menyatakan pendirian dengan jelas. Bertindak keluar dan tidak bersikap rencong di luar, pepat di dalam. Jika diperhatikan, rasa sayang dia dengan PKR sudah lama berputik. Tulisan beliau di blognya pada 5 Januari 2009 lagi, memang kelihatan sikap biasnya kepada Umno. Dengan bertindak keluar begini, mudahlah bagi pimpinan BN di Sabah mengenali siapa kawan, siapa lawan!
Adakah tindakan Kalakau ini akan memberi kesan kepada komuniti Kadazan-Dusun? Seorang kawan Kadazan mungkin ada jawapannya bila diajukan soalan ini. Katanya: Siapa Kalakau?