Salam,
Apabila Datuk Nasa melompat kembali selepas keluar Umno, dia ditohmah sudah dibeli. Apatah lagi bagi 3 YB Osman, Jamaluddin dan Hee Yit Foong, tentulah tohmahan ini bertambah kuat kerana 3 YB inilah menyebabkan tersungkurnya Kerajaan Pakatan Perak.
Sengsara para YB ini menanggung tohmahan, walaupun sudah dinafikan berkali-kali. YB Hee lebih teruk dihina dengan dilempar wang kertas dan syiling oleh 'bekas' rakan seperjuangannya semasa Sidang DUN Perak 7 Mei lalu.
Tohmahan pembelian YB ini terus dialunkan sehingga seolah dipercayai kerja jahat ini memang berlaku. Soal para YB ini sedar dan insaf dengan kesilapan mereka selama ini tidak lagi berbangkit. Silap memilih wadah perjuangan yang kelihatan bersih tetapi kemudiannya disedari indah khabar dari rupa.
Di Penanti, kutukan terhadap kegiatan membeli ini terkena batang hidung PKR sendiri. Cubaan merundingi calon Bebas, Kak Min bekas orang kuat PKR agar tidak bertanding dan dijanjikan jawatan, membuka tembelang sebenar PKR. Paku dulang paku serpih, mengata orang PKR yang lebih!
Apa pun alasan PKR berikan, jelas dan nyata PKR sebagai parti politik sememangnya memiliki kecenderungan untuk 'bermain' politik. Menang dengan cara mudah, tanpa saingan dan dapat menewaskan lawan tanpa mengeluarkan peluh adalah sebahagian rencah politik, selagi ada peluang dan tidak melanggar undang-undang. Dalam politik Malaysia soal moral bukanlah kriteria utama!
Adakah PKR akan berhenti melakukan tohmahan tidak berasas selepas ini, selepas apa yang kita saksikan di Penanti, PKR terpaksa bergasak dengan cuma seorang calon Bebas?
Rasanya tidak...sebab PKR tidak mungkin bernyawa tanpa tohmahan, tuduhan tanpa bukti, mainan persepsi dan retorik!