Search This Blog

Showing posts with label BN. Show all posts
Showing posts with label BN. Show all posts

Thursday, March 31, 2011

Pemimpin Rakyat, Berjiwa Rakyat!


''Jangan ada tembok antara kita dengan rakyat. Kita mesti menjadi seorang pemimpin rakyat, berjiwa rakyat. Inilah tema kita untuk kita berjaya dalam sistem demokrasi di negara ini.
Salam,

Perdana Menteri DS Najib berterusan tanpa jemu menggariskan kriteria yang wajib dimiliki oleh pemimpin BN, demi memastikan mereka tidak alpa bahawa kuasa yang dimilik sekarang boleh hilang apabila rakyat sudah bosan dengan karenah pemimpin mereka. Terbaru semasa merasmikan AGM BAKTI, pandangan yang sama terus diutarakan.

Menurut Najib, pemimpin hari ini harus peka dengan perkembangan semasa. Harus sentiasa bersikap telus dan jangan sama sekali membohongi rakyat. Mungkin ada perkara yang mahu disorok dari pengetahuan rakyat, tetapi dengan kecanggihan tekonlogi maklumat hari ini, lama-kelamaan pasti akan terbongkar jua.

Elok rasanya jika seseorang pemimpin lebih terbuka dan berterus-terang dengan rakyat. Katakan perkara benar, jangan sesekali menganggap rakyat 'bodoh' dan tidak tahu. Pada era maklumat di hujung jari sekarang, tiada lagi perkara yang harus dirahsiakan dari pengetahuan rakyat. Apalagi sikap menipu, tidak jujur dan tidak amanah, semuanya hanya akan menunggu masa untuk diketahui rakyat akhirnya.

Najib juga dilaporkan mahu pemimpin mengurangkan protokol dalam perjumpaan dengan rakyat. Perjumpaan dengan rakyat atau pemimpin kecil di peringkat bawah harus kerap diadakan, untuk mencari jalan terbaik terhadap sesuatu perkara. Jika berkaitan dengan kemajuan dan keselamatan kampung, pastilah dengan JKKK. Jika berkaitan parti tentulah dengan Ketua Cawangan.

Protokol zaman feudal dengan para Laksamana, Temenggung dan Bendahara datang bersembah mengadap Raja pada masa yang ditetapkan, sudah tidak lagi sesuai pada zaman ini. Seorang pemimpin harus sentiasa bersedia mendengar laporan dari para pembantu, pemimpin tempatan atau rakyat biasa setiap masa. Datang ke sesuatu kawasan hanya kerana ada acara dirasmikan bukan cara terbaik mendekati rakyat.

Sudahlah jarang bertemu, datang pula di kelilingi oleh para balaci, pencacai dan 'yang biasa-biasa' bersama dengannya sehingga rakyat tiada ruang untuk bersemuka dengan pemimpin harapan mereka. Akhirnya, wujud jurang pemisah di antara pemimpin dengan rakyat. Rakyat cuma mampu melihat pemimpin mereka dari jauh. Dan pemimpin tidak dapat mendengar rintihan, aduan atau denyut nadi rakyat.

Jika saranan PM Najib ini diambil peduli dan dilaksanakan oleh para pemimpin BN, sebagai pemimpin rakyat berjiwa rakyat, pasti BN akan terus mendapat sokongan padu rakyat. Perubahan yang dituntut oleh PM Najib di kalangan pemimpin BN, jika segera diambil tindakan, pasti suara sumbang di kalangan rakyat - sebahagiannya penyokong BN - tidak lagi kedengaran.

Harapnya, mereka akan mendengar!



Tuesday, March 22, 2011

Rakyat Sarawak Harus Bijak Tolak Pakatan Rakyat!


Salam,

Seperti dijangka, DUN Sarawak sudah pun dibubarkan. Pembubaran ini membuka laluan kepada PRU ke-10 bagi negeri Sarawak. Maka lenyaplah sudah teka-teki pilihanraya Sarawak dan berakhirlah sudah ramalan yang mengatakan PRU 13 serentak dengan pilihanraya Sarawak. Cuma yang belum berakhir, teka-teki bila PRU 13 akan diadakan ?

Di atas kertas, BN pasti akan mengekalkan kedudukan memerintah negeri Sarawak. Pakatan Rakyat bukanlah saingan untuk BN. Kalau pun ada saingan, mungkin cuma DAP sahaja akan kacau daun, mencacatkan kemenangan bergaya BN. Politik janji bulan bintang dan permusuhan yang dipelopori pembangkang tidak akan berkesan di Sarawak.

Sama seperti Sabah, rakyat Sarawak dahagakan pembangunan. Masih banyak lagi prasarana asas yang ditagih. Bekalan air, elektrik dan kemudahan pendidikan adalah keperluan utama bagi penduduk pedalaman. Dan kemudahan ini hanya akan mampu disediakan oleh kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin dengan nasib rakyat.

Kemampuan dan tanggungjawab ini semacam tidak dapat dilaksanakan oleh pakatan pembangkang untuk mengambil alih teraju pemerintahan. Apalagi melihat senario yang ada sekarang, dengan PKR umpamanya ibarat sebuah kapal yang sedang 'rabak' menunggu karam. Bayangkan bagaimana PKR mahu fokus untuk memerintah Sarawak ketika pergolakan dalaman parti pun tidak dapat diatasi?

Malah bagaimana pula nak menerajui pemerintahan negeri dan menguasai Putrajaya sebagaimana yang digembar-gemburkan, jika pemimpinnya asyik terpalit dengan dakwaan seks sepanjang masa? Nak bagi DNA pun takut pulak tu...

Kita percaya dengan kemampuan rakyat Sarawak berfikir dan menilai untuk membezakan antara kaca dan permata. Pasti rakyat tidak akan terkeliru dan terpesona dengan kaca berwarna 'jingga' yang belum pasti menjanjikan apa-apa, berbanding begitu banyak 'permata' yang telah diberikan kepada negeri Sarawak selama ini.

Namun begitu, jentera BN tidak boleh berasa selesa. Usaha mendekati rakyat harus diteruskan. Mana yang keliru mesti disedarkan. Biar mereka tidak dilamun mimpi dan berpijak di bumi nyata, memilih BN untuk meneruskan kesinambungan pembangunan negeri sarawak!

Tuesday, February 8, 2011

Hargai Dengan Ucapan Terima Kasih!

Salam,

Alhamdulilah, usaha membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir berjalan lancar. Malah sebahagian pelajar sudah pun dibawa ke tanahair.

Usaha murni kerajaan yang bertindak pantas membawa pulang pelajar dari kawasan krisis sewajarnya dipuji dan dihargai. Kos yang tinggi bukanlah taruhan terhadap nyawa dan keselamatan rakyat Malaysia terutama pelajar di luar negara.

Walaupun operasi ini diselubungi dengan pelbagai cabaran yang bukan sedikit termasuk fitnah dan khabar angin yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, namun dengan kerjasama semua pihak yang bertungkus lumus, akhirnya kejayaan membuahkan hasil.

Apa yang diharapkan, usaha baik kerajaan ini akan dihargai oleh semua pihak. Walaupun perkara ini memang tanggungjawab kerajaan memastikan rakyatnya selamat di mana sahaja berada, sekurang-kurangnya ucapan terima kasih tidaklah terlalu sukar untuk dilafazkan.

Mungkin ada hikmah tersebunyi di sebalik krisis di Mesir ini. Paling kurang memperlihatkan keprihatinan kerajaan yang mendahulukan rakyat dalam tindakan berbanding mereka yang lebih suka beretorik dengan pelbagai janji manis!

Harap rakyat dan pelajar Malaysia yang terlibat tidak keliru dalam memilih kerajaan yang mana lebih sesuai memerintah negara.

Monday, January 31, 2011

Teruskan Gerak Kerja Menjelang PRU 13!

Salam,

Tahniah diucapkan kepada YB baru DUN Tenang, Azahar Ibrahim yang menang bergaya. Majoriti bertambah berbanding PRU 2008 lalu. Petanda yang cukup baik untuk BN menghadapi PRU yang akan datang.

Kejayaan ini tentulah hasil usaha gigih seluruh jentera, daripada pekerja parti yang bertungkus lumus mahu pun oleh mereka yang bukan pekerja parti tetapi bekerja demi memastikan kelangsungan momentum kemenangan BN. Penghargaan untuk mereka ini wajar jangan dilupakan.

Berdasarkan kemenangan ini, sewajarnya BN boleh melangkah lebih yakin menghadapi PRK Merlimau, seterusnya menghadapi asakan pembangkang pada PRU 13 nanti. Gerak kerja ke arah itu harus diteruskan, malah harus dilipatgandakan.

Elakkan sama sekali sikap alpa. Jauhi sikap lupa diri. Penyakit utama BN selama ini ialah sikap lupa diri. Pantang dapat menang bergaya, selalunya habis semua lupa. Buktinya 2008. Mentang-mentang menang besar PRU 2004, main belasah ja menghadapi PRU 12. 'Tunggul kayu' pun diletak jadi calon. Dengan kepercayaan, asal logo BN pengundi pangkah.

Syukurlah di bawah kepimpinan Datuk Najib, dengan usaha gigihnya selama ini, nampaknya kesedaran rakyat mulai ketara. Harap momentum ini berterusan. Formula meletakkan calon yang boleh menang mesti diteruskan, demi kemenangan.

Tahniah BN, tahniah Tok Ai!

Monday, January 10, 2011

BN Menipu, PR Strategi...


Salam,

"Cara begini bukan kekuatan, menipu ini satu kelemahan, tindakan tidak bijak dan tidak pandai.""Dan sekarang mereka tunjuk lagi perangai itu," katanya.

Begitulah ucapan Presiden PAS, merujuk kejatuhan kerajaan PR di Perak dan kemelut perlantikan SUK Selangor, dalam satu majlis di Shah Alam.

Alahai kasihan Datuk Haji Hadi ni. Sudah masuk tahun 2011 pun masih berfikir cara zaman purba. Politik zaman dulu, ya memang betul begitu. Asal lawan semua jahat. Bila BN buat dikata menipu, bila Pakatan buat penipuan dikata strategi...

Bangun datuk oi... ini dah masuk tahun baru la. Kalau cara berfikir masih ditakuk lama, bagi aja la Presiden PAS kepada orang lain.....

Ini bukan soal siapa menipu siapa, ini perkiraan politik siapa yang lebih bijak, siapa yang lebih cerdik guna strategi. Nasib la kalau tumpas sebab strategi salah. Janganlah salah pihak lawan kalau sudah macam tu, tapi muhasabahlah sebab apa jadi begitu...baru betul!

Tuesday, July 6, 2010

Parti Lain Kena Contohi MCA!


MCA arah semua bahagiannya terlibat dalam media baru

SEREMBAN 5 Julai - MCA telah mengarahkan semua bahagiannya agar melantik tiga hingga lima orang terlibat dalam media baru dalam menangani banyak berita dan khabar angin yang tidak berasas yang disebar luas oleh parti pembangkang, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Ini adalah supaya kita dapat memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang yang mana banyak berita dan khabar angin yang tidak berasas yang disebar luas oleh parti pembangkang.

“Jika ini tidak ditangani, lama kelamaan orang akan percaya dan ia akan menjadi satu kebenaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tung Hua di S2 Heights di sini, hari ini.

Salam,

Bagaimana dengan parti lain dalam BN, sudah melakukan tindakan sama atau masih belum bersedia berperang di alam siber?


Monday, April 26, 2010

Alasan mereka yang tewas...


Salam,

Seperti biasa, rumah siap pahat berbunyi. Bila kalah, mula menuding jari menyalahkan pihak lain. Bila tewas, baru nampak SPR tak adil dsb. Peliknya kalau menang, semua ok.

Alasan mereka yang tewas:

Meskipun membelanjakan RM65,000 bagi setiap pengundi, di samping kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya menjamin pemilihan yang bersih dan adil, ugutan polis serta usaha menghalang pengundi menjalankan tanggungjawab mereka, BN hanya mampu menang dengan majoriti yang tidak memberangsangkan. - Anwar Ibrahim.

"Kami gagal menembusi kubu-kubu kuat, khususnya di penempatan Felda tetapi keputusan pilihan raya itu satu tamparan kepada BN yang begitu angkuh bahawa mereka boleh menang dengan majoriti lebih 3,000 undi,” - Syed Husin Ali.

“Kita tidak anggap ia sebagai kekalahan tetapi tak menang saja,” - Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

"Kita tewas kerana membeli undi itu halal dalam negara ini". - Zaid Ibrahim.

Bolehkah diterima alasan yang dicipta?

Tuesday, December 29, 2009

Black 14 : Memadaikah Dengan Amaran?


Baru-baru ini, bersembang dengan beberapa orang rakan. Pelbagai perkara dibualkan, tentu sahaja analisa tragedi malam 14 Disember di Dewan Rakyat, tidak ketinggalan.


Seorang rakan berpendapat kejadian berlaku akibat sikap sambil lewa di kalangan para wakil rakyat. Masih berasa selesa menjadi YB walaupun jumlahnya tidak lagi seramai dulu.


Ada pula berpendapat, kecuali yang benar-benar mempunyai alasan kukuh dan tugasan rasmi, MP yang sengaja ponteng wajar dihukum dan diambil tindakan. Mungkin amaran sahaja tidak memadai kerana bayangkan akibatnya jika pengundian tidak menyebelahi BN.


Sewajarnya sebagai wakil rakyat, komitmen tinggi untuk menghadiri persidangan dewan hingga ke malam sangat ditagih. Apalagi kehadiran ketika pengundian hendak dijalankan, seharusnya menjadi wajib.


Bagi yang tidak larat lagi untuk menghadiri sidang, bolehlah memberi peluang kepada orang lain yang lebih komited, yang lebih mempunyai banyak masa untuk terus menghadiri sidang.


Seharusnya kejadian ini lebih membuka mata kepada pucuk pimpinan untuk melihat siapa yang wajar dikekalkan sebagai wakil rakyat yang tulen dan siapa pula yang wajar 'direhatkan' pada musim depan.


Amaran sahaja kepada mereka mungkin tidak pun menggerunkan...

Wednesday, November 4, 2009

MCA Bakal Berkubur?

Salam,

Kemelut yang melanda MCA, parti terbesar mewakili masyarakat Cina, semakin kusut. EGM yang diadakan bulan lalu, yang sepatutnya membantu mencari penyelesaian, tetap gagal merungkaikan masalah MCA.


Selepas EGM, perkembangan dalaman MCA semakin untuk diikuti. Nasib badan, Liow Tiong Lai hanya mampu duduk di kerusi Timbalan Presiden selama 19 hari apabila jawatan tersebut kembali ke tangan Chua Soi Lek. Pelan perdamaian yang dibuat Presiden, Ong Tee Keat pula menyaksikan 4 orang Jawatankuasa Pusat 'digantikan' orang lain!


Akhirnya apa yang kelihatan selepas ini ialah kedudukan Ong Tee Keat semakin kukuh. Bayangkan jika 'musuh' yang 'ganas' dan paling 'dibenci' sehingga EGM terpaksa diadakan mampu dijinakkan melelui Pelan Perdamaian, siapa lagi yang mampu menewaskan beliau?


Namun persoalan yang timbul, apakah kedudukan Ong Tee Keat dan kumpulannya yang pasti akan terus dikuatkan mampu pula mengukuhkan kedudukan MCA dan seterusnya mampu pula meraih kembali sokongan masyarakat Cina yang jelas beralih arah sejak Mac 2008?


Persoalan ini harus dilontarkan kepada para pemimpin MCA supaya mereka faham, menang dan glamour dengan jawatan parti tidak berguna jika kalah dalam pilihanraya. Rakyat akan menghakimi tindak-tanduk para pemimpin dalam pilihanraya, walaupun disukai oleh ahli parti.


MCA wajar peka dengan pandangan persekitaran, terutama rakyat di peringkat bawah yang akan menjadi penentu. Kemelut ini mesti ditangani segera, mana yang perlu turun wajar turun. Ini penting kerana MCA yang lemah hanya akan menjadi liabiliti kepada BN!

Saturday, September 12, 2009

Samy Oh Samy!


Salam,

Dua hari lalu, pemegang rekod Presiden MIC 'terlama' Samy Vellu mengeluarkan kenyataan berikut, sebagai membidas Tun Mahathir yang wawancaranya disiarkan suratkhabar Tamil.

‘‘Dr. Mahathir pernah menghadiri Persidangan MIC Kebangsaan sebanyak 28 kali, kami pernah meminta beberapa peruntukan dan permintaan untuk kesejahteraan kaum India.

‘‘Tetapi satu pun tidak pernah diambil kira atau dipertimbangkan olehnya, ketika beliau menyandang jawatan Perdana Menteri,’’ dakwanya.

Mr. Samy ni berang kerana Tun menyuarakan suara hati majoriti rakyat - bukan sahaja kaum India - yang 'bosan' dengan gelagat Mr. President ni. Masih mahu bergayut dengan kuasa walaupun jelas sudah ditolak rakyat dan kaum India.

"Kalau dulu semua (orang India) sokong MIC, sekarang ini tidak ramai yang sokong dan mereka beri alasan yang sama iaitu mereka bosan dengan Samy yang mahu kuasai MIC sampai siapapun tidak boleh ambil alih daripada dia. kata Tun M hari ini.

Malahan, tuduhan Samy bahawa Tun M tidak membantu kaum India, ini jawaban Tun ...
satu ketika dahulu Samy pernah membuat kenyataan yang sama dalam sebuah akhbar, tetapi kemudiannya menghubungi beliau di Syria untuk membuat penafian kononnya laporan itu tidak benar.

"Tetapi bila saya balik ke sini, akhbar itu tunjuk rakaman yang membuktikan memang benar dia kata saya tidak bantu orang India.

"Itu memang tidak benarlah, saya tolong semua kaum, bukan orang Melayu saja," katanya.

Berdasarkan apa yang dipaparkan media ini, maka mudahlah dikenali wajah sebenar Samy. Ketakutan kemenangan calon bukan pilihannya, yang memungkinkan kehilangan kuasa Presiden.

Elok Samy Vellu mendengar nasihat Bung Mukhtar, Berundur Demi Kepentingan BN!

Mungkin bila nasihat Bung ini didengar, baharulah MIC dapat memenuhi KPI yang disasarkan oleh DS Najib. Jika tidak...jadilah MIC liabiliti kepada BN, agaknya...


Friday, September 4, 2009

Renungan Pagi Jumaat: Untuk Para Pemimpin.

Salam,

Pagi Jumaat, 14 Ramadhan ini elok rasanya kita merenungi 'ingatan' berguna daripada DS Musa Aman, Ketua Menteri Sabah. Khusus kepada para pemimpin - tidak kira parti apa pun yang anda wakili - ingatan ini sangat berfaedah untuk diberikan perhatian.

Beliau dilaporkan meminta para pemimpin mengikis sikap angkuh, menjauhi perbuatan yang dibenci rakyat dan berusaha untuk mendekati rakyat sepanjang masa. Apa yang disebutkan ini penting untuk memastikan keberkesanan seorang pemimpin menunaikan tanggungjawabnya.

Usaha mendampingi dan membela nasib rakyat hendaklah dilaksanakan secara berterusan, tanpa mengira masa walaupun dalam bulan Ramadhan ini, demi memastikan nasib rakyat bawahan terus terbela. Janganlah hanya manis muka dan murah senyuman ketika musim kempen pilihanraya sahaja!

Kalaupun bukan kerana takut dihukum rakyat semasa pilihanraya akan datang atau bimbang rakyat memilih pembangkang, ingatlah bahawa kepimpinanan ini adalah amanah dan tanggungjawab. Pemimpin dipilih rakyat kerana mereka mengharapkan pemimpin dapat berbuat sesuatu untuk mereka, membantu dan mewakili mereka sebagai rakyat.

Sempena bulan mulia ini, wajar rasanya para pemimpin bermuhasabah dan menginsafi diri, mengatasi kesilapan lalu dalam usaha menjadi pemimpin yang berkesan, pemimpin yang disayangi rakyat.

Harum semerbak namanya dengan kebaikan, bukan pemimpin yang apabila namanya disebut, rakyat akan mencebikkan bibir!

Friday, July 31, 2009

BN: Apa Yang Tidak Kena?


Salam,


Seorang demi seorang, selepas bekas MP Gerakan Lee Kah Choon, disusuli Kapt Abu Zahar Hashim dan Zaid Ibrahim. Terbaru Chua Jui Meng dan SS Subramaniam pula bertindak keluar dan menyertai pakatan pembangkang.


Apa yang tidak kena?


Barisan Nasional wajar mengkaji dan meneliti perkembangan yang berlaku. Ini bukan kes terpencil, yang hanya boleh diselesaikan dengan alasan tidak menggugat kekuatan parti.


Baik Umno, MCA, MIC atau Gerakan seharusnya melihat dari segenap sudut mengapakah pemimpin atau bekas pemimpin utama parti ini meninggalkan perjuangan parti masing-masing? Mereka meninggalkan parti di kala parti sedang berkuasa, dengan menyertai pakatan pembangkang.


Kajian ini penting untuk setiap parti bermuhasabah, menilai kelemahan dan mengambil tindakan proaktif membendung gejala 'menyeberang' parti ini daripada berleluasa, yang akhirnya boleh menjadi parah.


BN harus berani mengakui setiap kelemahan yang berlaku. Berani pula untuk mengambil tindakan pembetulan. Malah setiap parti mesti berani melakukan transformasi, jika sebabnya adalah pimpinan yang sudah terlalu lama ditampuk kuasa atau dimamah usia, sewajarnya pemimpin ini menyedari untuk melakukan

peralihan kuasa.


Jika BN leka, alpa dan cuai dalam meneliti perkembangan yang berlaku ini, dikhuatiri fenomena ini akan terus melemahkan BN dan mungkin menjadi pemangkin tersungkurnya BN pada PRU13 nanti?


Tuesday, May 26, 2009

Jawapan Untuk PPP, Tendang Keluar!

Salam,

Imej BN jatuh merudum terutama selepas dilanda Tsunami politik pada PRU12 lalu. Terlepas genggaman di 5+1 negeri dan kehilangan majoriti 2/3. Malah ada Presiden parti komponen yang tewas.

Usaha memperkukuhkan BN sedang dipergiatkan oleh pimpinan baru BN, termasuk mewujudkan jawatan Penyelaras BN dan cadangan Puteri BN. Semua dilakukan untuk memastikan keberlangsungan BN menjelang PRU13.

Bagaimanapun, usaha pemulihan ini tidak mungkin akan berjaya tanpa kerjasama daripada semua parti. Komitmen dituntut di setiap peringkat gabungan BN. Tanpa kompromi, semua parti wajib memperkemaskan jentera dan mengelakkan konflik sama ada sesama parti gabungan atau di dalam parti masing-masing.

Namun, situasi pasti akan bertambah parah dan pemulihan akan gagal jika melihat apa yang berlaku dalam PPP. Sebuah parti yang tidak pernah sunyi daripada kontroversi, walaupun prestasi dalam pilihanraya sangat mengecewakan. Dua kerusi diperuntukkan, pada tahun 2004 menang satu dan tahun lalu, kalah kedua-duanya.

Kini PPP ada dua Presiden, Kayveas dan Murugiah. Jika gaya politik zaman purba masih diamalkan, memecat ahli yang bakal mengancam kedudukan, seperti yang dilakukan Kayveas, pasti kemelut PPP sukar untuk berakhir.

Jawapan paling mudah untuk PPP ialah keluar dari BN dan selesaikan kemelut dalaman sehingga selesai. Sememangnya pun Kayveas sebelum ini pernah mengancam untuk keluar BN jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.Biar PPP 'berperang' di luar BN supaya imej BN tidak terus tercalar.

Atau, jika PPP enggan tapi tetap gagal mengatasi kemelut dalaman, jawapnya: Tendang Ja Keluar!

Monday, May 18, 2009

Umno Terlepas Peluang Di Penanti!

Salam,


Seperti yang diumumkan, BN tidak akan meletakkan calon bertanding di PRK DUN Penanti. Mungkin ini satu lakaran sejarah baru kerana BN tidak pernah ketinggalan menyertai mana-mana pilihanraya. Kecuali atas sebab teknikal, BN dan Umno sentiasa bersedia berdepan risiko menang atau kalah dalam pilihanraya.


Dengan tidak bertanding di Penanti, BN khususnya Umno melepaskan peluang menguji sejauh mana sokongan orang Melayu kepada Umno selepas perubahan pucuk pimpinan negara dan parti. Dikhabarkan, gelombang sokongan orang Melayu sudah mulai kembali di Parlimen Bukit Gantang.


Umno juga terlepas melihat bagaimana sentimen orang Melayu terhadap 'pergolakan' yang berlaku di dalam PKR, sehingga bekas ADUN Fairus Khairuddin terpaksa menyerahkan 'kuasa' yang dipegang selama ini. Masihkah pengundi di Penanti menyokong calon daripada parti yang mahu kelihatan bersih sedang hakikatnya tidak begitu?


Sentimen pengundi Melayu di Penanti terhadap 'ribut' politik di Perak juga mungkin boleh diuji melalui PRK ini. Mungkinkah pengundi Melayu setuju dengan tindak-tanduk ahli politik Melayu di Perak dengan terus mengundi PKR atau pun sudah ada perubahan dan kesedaran di kalangan orang Melayu?


Apapun, keputusan sudah dibuat selepas perbincangan Dewan Tertinggi BN. Keputusan ini wajar dihormati dan biarlah PKR bertanding dengan bayang-bayangnya, sementara BN dalam tempoh ini wajar melakukan usaha mengukuhkan parti.


Agak-agaknya, bagaimanalah senario kempen di Penanti apabila PKR tiada lawan setanding?

Tuesday, May 12, 2009

Rupanya Mahkamah Kita...

Salam,


Selama ini kita dimomokkan dengan tohmahan yang dilemparkan oleh segelintir rakyat bahawa mahkamah kita tidak boleh dipercayai. Malah, wujud persepsi mahkamah kita adalah perkakas BN.


Komen seorang pengunjung ini mungkin di antara segelintir rakyat itu:

Anonymous said: Salam,

Kalau dah mencuri tetap salah. Usah digusar keputusan pada hari Isnin, ia tetap berpihak pada BN, mahkamah dan seluruh jentera kerajaan milik BN!

tAHNIAH BUAT PENCURI

May 10, 2009 6:49 PM

Secara peribadi, saya sendiri pernah berbual dan mendengar kenyataan seorang daripada rakyat Malaysia, yang jelas tidak percaya dengan mahkamah. Apalagi dalam soal politik, hakim ditohmah 'takut' membuat keputusan yang tidak memihak kepada BN.


Khusus untuk kes Perak, seorang rakyat hairan bagaimana mahkamah lebih cepat membuat keputusan apabila ia menyebelahi BN. Lantaran itu, kesimpulan dibuat mahkamah memang tidak menyebelahi pembangkang.


Hari ini, mahkamah membuktikan dengan jelas, terang dan berani - mahkamah memang satu badan bebas. Tidak takut membuat keputusan, tanpa mengira ia memihak sesiapa. Ya, mahkamah sudah 'berdiri' menunjukkan kebebasannya, mengiktiraf Nizar MB Perak yang sah!


Mahkamah sudah memberikan jawapan terhadap persoalan siapa MB yang sah, persoalan yang menjadi polemik berpanjangan selama ini. Cuma mungkin satu sahaja soalan yang belum terjawab oleh keputusan mahkamah hari ini.


Adakah mulut segelintir rakyat Malaysia yang memandang serong keputusan mahkamah selama ini mampu ditutup esok?


Thursday, May 7, 2009

Drama Bakal Bermula...


Salam,


Hari ni 7hb Mei, apakah yang menarik hari ini? Tiada yang istimewa dengan tarikh ini. Cuma hari-hari biasa, seperti hari lain juga.


Cuma mungkin yang akan bakal menjadi tumpuan ramai hari ni tentulah persidangan DUN Perak. Apa yang menarik? Persidangan ini adalah yang pertama selepas kerajaan Perak bertukar tangan Februari lalu.


Semenjak Februari lalu, pelbagai aksi drama sudah dilakonkan oleh para 'pelakon' di negeri Perak. Ketika mahkamah masih belum membuat keputusan siapakah yang menjadi MB yang sah - fakta menunjukkan MB ialah DS Zambry, fakta yang cuba dinafikan sebilangan orang.


DUN pula kena bersidang sebelum 13 Mei kerana tarikh tersebut adalah hari terakhir yang jika sidang tidak diadakan akan menyebabkan DUN terbubar. Situasi yang mungkin tidak perlu ketika kerajaan sah sudah pun terbentuk.


Beberapa hari ini, pelbagai gossip sudah pun tersebar. Nampak gayanya, kita akan sekali lagi dipaksa 'menonton' aksi drama di Perak. Petanda awal aksi ini sudah pun kelihatan bila sudah ada seruan memakai baju hitam dan berhimpun, malah munajat perdana sudah pun dirancang rapi.


Apa yang pasti, drama yang bakal dipentaskan ini tentulah akan mengembalikan zaman kegemilangan studio Jalan Ampas. Menampilkan barisan Melayu sebagai taruhan menarik penonton, sedang krew bukan Melayu lebih selesa di balik tabir. Maka bertarunglah hero dan samseng Melayu dan Islam, sedang krew bertepuk tangan!


Agak-agak, siapa pengarahnya? Pasti bukan Director Ahmad Nisfu...


Saturday, April 11, 2009

Siren Amaran Untuk BN!

Salam,

Dalam kecoh bertepuk tampar, saling berbalas ucapan tahniah kepada yang dilantik serta bersedih kerana tercicir atau tidak dilantik...hendaknya jangan dilupakan kekalahan di PRK 3 hari lalu.

Kekalahan di 2 Bukit dengan majoriti yang bertambah kepada PKR dan PAS, merupakan satu 'tamparan' buat BN. Sementara kemenangan di Batang Air, bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ia memang kawasan tradisi BN.

Kenapa tamparan? Sebab Bukit Selambau dan Bukit Gantang sebelum Mac 2008, adalah kawasan tradisi BN. Di Bukit Gantang umpamanya, BN diwakili Gerakan pernah memenangi kawasan ini, tetapi malang Umno gagal di sini.

Seperti kata Muhyiddin Yasin, satu post-mortem bebas wajar dilakukan. Melihat punca mengapa selepas PRU12 lalu, kemenangan seperti amat jauh dari BN. Jika trend ini berterusan, dan BN tidak peka dengan perkembangan yang berlaku, kita khuatir 'pukulan maut' akan menjelma nanti.

Post-mortem ini wajib menyatakan kebenaran, dengan jelas, telus dan berani, tanpa berselindung. Agar kelemahan dapat diatasi segera dan diaplikasi pada pilihanraya akan datang. Jika terpaksa mendesak Samy Vellu berhenti jadi Presiden MIC, katakan kepada Samy...cukuplah!

Keahlian 'Suruhanjaya Bebas Post-Mortem' ini biarlah dianggotai oleh ahli yang tidak memihak, berani menyatakan kebenaran dan berani menyampaikan kepada pihak atasan. Malah berani pula memastikan cadangan dilaksanakan.

Biarlah ahli suruhanjaya ini nanti mencari punca penyakit, cara merawat dan cadangan pilihan kepada rawatan penyakit BN ini. Ahli-ahli yang dilantik pula biarlah 'doktor pakar' yang berkebolehan, merangkumi semua bidang, yang bergelar dan rakyat biasa tanpa gelaran.

Mungkin blogger boleh diajak sama...

Tuesday, March 31, 2009

Datuk Sahfie Apdal di Batang Ai

Salam,

Tugasan pertama Datuk Shafie Apdal selepas menang Naib Presiden Umno ialah membantu jentera pilihanraya kecil BN bagi kawasan DUN Batang Ai. Nampaknya, tiada bulan madu bagi pemenang jawatan utama Umno...

Bagi yang belum mengenali kawasan DUN Batang Ai, dinukilkan profil kawasan pilihanraya ini:

DUN Batang Ai terletak dalam kawasan Parlimen Lubok Antu, selain DUN Engkili. Jumlah Pemilih Berdaftar - 8,006 (7,963 pemilih biasa dan 43 pemilih pos). 95% pengundi Iban / 3.5% Cina / dan 1.5% Melayu/Melanau.

Dalam PRU 2008, DUN ini dimenangi oleh BN:

Datuk Dublin Unting Ingkot (BN) - 3,295 undi
Nicholas Bawin Anggat (Snap) (2,489 undi)

Profil umum kawasan ini boleh klik di sini.

Secara umumnya, DUN Batang Ai ini adalah kawasan pedalaman. Banyak kemudahan asas seperti jalanraya, elektrik dsb yang belum dinikmati. Maknanya, siapa pun menang antara dua calon Malcolm Mussen atau Jewah Gerang, tugas berat menanti mereka.

Cuma, Jewah Gerang sebagai bekas Ahli Parlimen kawasan Lubok Antu, patut bertanya diri sendiri, apakah yang telah dilakukannya selama 3 penggal menjadi MP? Jika dia sebagai MP BN yang menjadi kerajaan memerintah negeri Sarawak, dia tidak 'mampu' membantu mengatasi permasalahan pengundi di sana, bagaimanakah dia boleh membantu sebagai ADUN pembangkang?

Mungkin Datuk Shafie boleh menggunakan modal ini sebagai satu bahan kempen menangani kempen PKR. Sebagai Naib Presiden yang baru 'ditabal', Datuk Shafie kena menunjukkan 'belang' dengan berusaha memenangkan Malcolm Mussen. Baharulah perwakilan dan ahli Umno berbangga mendapat Naib Presiden yang 'gagah perkasa'.

Walau bagaimanapun, janganlah hendaknya pengundi DUN Batang Ai dijadikan mangsa pertentangan politik antara BN dan PKR, sehingga pembangunan yang dijanjikan menjadi impian penduduk Batang Ai. Apalagi janji retorik yang tidak berpijak di bumi nyata...

Tuesday, March 3, 2009

DAP Yang Semakin Ghairah Di Perak

Salam,

Ingatkan apabila Ex-MB Nizar memohon perisytiharan mahkamah - bahawa dia masih MB yg sah, disusuli tindakan mengosongkan kediaman - bahawa dia sudah meredhai ketentuan Illahi, politik Perak akan aman sentosa.

Rupanya, apa yg diharapkan tidak menjadi...

Situasi mjadi kusut, apabila Speaker Sivakumar mgunakan kuasa yg ada padanya - mgantung MB Zambry dan 6 exco lain, utk tempoh 12 - 18 bulan.

Formulanya mudah. 7 ADUN BN digantung dan tidak boleh m'hadiri psidangan DUN, lalu apabila usul tidak percaya dikemukan, maka mudahlah PR 'm'atasi' BN.

Ya, spt dijangka, Sivakumar memanggil psidangan khas DUN Perak, djadualkan hari ni. BN pula mengemukakan saman pemula m'halang sidang DUN dan 'm'hakis' kuasa Sivakumar. Nampak gayanya, semua kena tunggu keputusan mahkamah.

Ngeh pula dilaporkan bkata, sidang akan diteruskan dan 28 ADUN PR akan hadir ke bangunan DUN Perak - walaupun pihak keselamatan telah mjelaskan bangunan berkenaan ditutup. Macam-macam, harapnya mahkamah dapat mbuat keputusan segera....

Cuma yg mjadi tandatanya, mengapa DAP melalui Sivakumar sangat ghairah, teruja benar, spt tidak sabar menunggu keputusan mahkamah dan sangat 'marah' kehilangan kuasa di Perak?

Ada apa-apa ka yg t'sirat...

Monday, February 23, 2009

Antara Volvo dan Jalanraya...

Salam,

Masih lagi dengan kisah Volvo...

Bagaimana agaknya rasa mnaiki kereta mewah seperti Mercedes, BMW, Volvo, Camry dsb? Kena btanya sebab tidak pernah merasa keselesaan kereta seperti ini.

Seorang kawan menelefon dan btanyakn pandangan bkaitan pbelian kereta Volvo oleh Kerajaan Sabah. Sebelum mberi pandangan, saya btanyakan dulu pandangannya. Sengaja 'memancing' kawan ni, penyokong setia BN/Umno yg tidak pernah 'miss' mengundi BN setiap pilihanraya.

Kata kawan ni, tindakan menukar kereta rasmi oleh kerajaan pd masa ini, tidak kena pada masanya. Ada banyak lagi agenda pembangunan yg perlu dbuat oleh kerajaan, sebelum memikirkan keselesaan diri para menteri.

Saya mjawab, masalahnya kos penyelenggeraan kereta rasmi sedia ada tlalu tinggi, dan mungkin kerajaan sdh tidak mampu lagi menyerapnya.

Dia bsetuju, tapi soalnya kenapa ketika ekonomi kurang baik? Alangkah baiknya para menteri memikirkan cara mengurangkan beban rakyat ketika ini, daripada berbelanja utk perkara yg belum utama ketika ini.

Saya kata ini sudah mjadi keperluan, kerajaan kena btindak sekarang, demi melicinkan pentadbiran dan keberkesanan kerja para menteri. Dengan menaiki kenderaan rasmi yg 'baik' dan bkuasa tinggi, akan memudahkan lagi mereka menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dan negeri Sabah.

Hujah saya ini malangnya ditempelak oleh kawan di hujung talian. Dia menyoal, kalau mahu bkesan kenapa Volvo?. Bagaimana menteri mahu melawat Daerah Kecil Tongod atau Pengalungan dgn Volvo. Kalau mahu sesuai dengan geografi Sabah, gunalah pacuan empat roda. 'Ninja King' kan ada katanya.


Entahlah, scara peribadi saya pun tidak mampu bhujah dgn kawan tsebut. Logiknya, jika penyokong setia BN pun tidak faham dgn tindakan ini, apalah agaknya pandangan bukan penyokong?

Mungkin ada siapa-siapa yg boleh mbantu saya mberi jawapan!

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin