Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Pemimpin Rakyat, Berjiwa Rakyat!


''Jangan ada tembok antara kita dengan rakyat. Kita mesti menjadi seorang pemimpin rakyat, berjiwa rakyat. Inilah tema kita untuk kita berjaya dalam sistem demokrasi di negara ini.
Salam,

Perdana Menteri DS Najib berterusan tanpa jemu menggariskan kriteria yang wajib dimiliki oleh pemimpin BN, demi memastikan mereka tidak alpa bahawa kuasa yang dimilik sekarang boleh hilang apabila rakyat sudah bosan dengan karenah pemimpin mereka. Terbaru semasa merasmikan AGM BAKTI, pandangan yang sama terus diutarakan.

Menurut Najib, pemimpin hari ini harus peka dengan perkembangan semasa. Harus sentiasa bersikap telus dan jangan sama sekali membohongi rakyat. Mungkin ada perkara yang mahu disorok dari pengetahuan rakyat, tetapi dengan kecanggihan tekonlogi maklumat hari ini, lama-kelamaan pasti akan terbongkar jua.

Elok rasanya jika seseorang pemimpin lebih terbuka dan berterus-terang dengan rakyat. Katakan perkara benar, jangan sesekali menganggap rakyat 'bodoh' dan tidak tahu. Pada era maklumat di hujung jari sekarang, tiada lagi perkara yang harus dirahsiakan dari pengetahuan rakyat. Apalagi sikap menipu, tidak jujur dan tidak amanah, semuanya hanya akan menunggu masa untuk diketahui rakyat akhirnya.

Najib juga dilaporkan mahu pemimpin mengurangkan protokol dalam perjumpaan dengan rakyat. Perjumpaan dengan rakyat atau pemimpin kecil di peringkat bawah harus kerap diadakan, untuk mencari jalan terbaik terhadap sesuatu perkara. Jika berkaitan dengan kemajuan dan keselamatan kampung, pastilah dengan JKKK. Jika berkaitan parti tentulah dengan Ketua Cawangan.

Protokol zaman feudal dengan para Laksamana, Temenggung dan Bendahara datang bersembah mengadap Raja pada masa yang ditetapkan, sudah tidak lagi sesuai pada zaman ini. Seorang pemimpin harus sentiasa bersedia mendengar laporan dari para pembantu, pemimpin tempatan atau rakyat biasa setiap masa. Datang ke sesuatu kawasan hanya kerana ada acara dirasmikan bukan cara terbaik mendekati rakyat.

Sudahlah jarang bertemu, datang pula di kelilingi oleh para balaci, pencacai dan 'yang biasa-biasa' bersama dengannya sehingga rakyat tiada ruang untuk bersemuka dengan pemimpin harapan mereka. Akhirnya, wujud jurang pemisah di antara pemimpin dengan rakyat. Rakyat cuma mampu melihat pemimpin mereka dari jauh. Dan pemimpin tidak dapat mendengar rintihan, aduan atau denyut nadi rakyat.

Jika saranan PM Najib ini diambil peduli dan dilaksanakan oleh para pemimpin BN, sebagai pemimpin rakyat berjiwa rakyat, pasti BN akan terus mendapat sokongan padu rakyat. Perubahan yang dituntut oleh PM Najib di kalangan pemimpin BN, jika segera diambil tindakan, pasti suara sumbang di kalangan rakyat - sebahagiannya penyokong BN - tidak lagi kedengaran.

Harapnya, mereka akan mendengar!



No comments:

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin