Salam,
Ini bukan peribahasa Melayu. Kata-kata ini cuma menggambarkan situasi terkini politik negara.
Tahun lalu, selepas pilihanraya yang dimenangi BN, seorang pemimpin mewar-warkan bahawa akan berlaku perubahan dalam pentdbiran kerajaan. Tanpa segan-silu, orang itu meramal kerajaan BN pimpinan Pak Lah akan jatuh.
16hb September dijadikan dateline penubuhan kerajaan baru, dengan sejumlah MP BN akan melompat parti dan menyertai kerajaan yang bakal ditubuhkan. Dia menjadikan dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri kepada kerajaan campuran yang berlainan ideologi dan berlainan mimpi.
Keazamannya semakin kuat apabila dia memenangi kerusi Permatang Pauh. Slogan diberi: Dari Permatang Pauh Ke Putrajaya. Keyakinan tingginya disokong penuh oleh kawan-kawannya sealiran, tidur sebantal mimpi lain-lain.
Anda tentu dapat meneka dengan tepat, siapa dia?
Ya,hari ini apa yang diramalkan menjadi kenyataan. Segala fantasi menjadi realiti. Walaupun cubaan mengagalkan perubahan ini berterusan, sehingga ke saat akhir. Dicanangkan bahawa SPB YDP Agong tidak berkenan kepada perubahan yang dirancang.
Lain mengidam lain yang merasa. Memang Pak Lah turun daripada kerusi empuk PM tapi yang akan duduk di kerusi tersebut ialah Datuk Seri Najib. Bukan pemimpin yang mengidam sebelum ini.
Kecuali berlaku takdir lain, nampaknya selepas ini di Dewan Rakyat, kerusi no.1 akan diduduki oleh MP Pekan bukan Permatang Pauh...