Search This Blog

Monday, November 5, 2012

Good Luck...

Salam,

Diucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua anak didik dan calon-calon SPM dan STPM yang menduduki peperiksaan bermula hari ini.

Didoakan semoga Allah mempermudahkan urusan kalian, ditenangkan hati, diberi kesihatan yang baik dan kefahaman yang jelas dalam menjawab soalan.

Didoakan semoga pelajar akan berjaya dan beroleh kejayaan yang cemerlang!!!

Tuesday, September 18, 2012



BLOG INI DENGAN TEGAS MEMBANTAH DAN MENGUTUK PENERBITAN FILEM YANG MENGHINA RASULULLAH S.A.W DAN ISLAM. KITA BERHARAP PIHAK BERKUASA TERUS MENJALANKAN USAHA BERKESAN MEMASTIKAN FILEM INI TIDAK DITAYANG DI NEGARA KITA.

KITA BERDOA SEMOGA ALLAH MEMELIHARA KEMULIAAN JUNJUNGAN BESAR SAIDINA MUHAMAD S.A.W DAN KEDAULATAN ISLAM...AMIIN!

Tuesday, July 17, 2012

Pelajar bawa henfon ke sekolah?

Salam,

Cadangan KPM untuk membenarkan pelajar membawa henfon ke sekolah tahun depan perlu dikaji dengan serius, sebelum membuat keputusan. Seringkali berlaku, sesuatu keputusan terpaksa ditarik balik akibat salah membuat perkiraan....yang kesannya membawa kerosakan kepada imej kerajaan dan PM Najib.

Antara pro dan kontra cadangan ini, rasanya kebenaran membawa henfon ini akan membawa lebih banyak keburukan. Sebenarnya, ketika ini pun ramai pelajar yang membawa henfon secara sembunyi-sembunyi. Apabila kedapatan, ternyata pelajar menyimpan video atau gambar lucah dalam henfon mereka untuk ditunjukkan kepada kawan-kawan di kelas.

Malah didapati gambar kandid dan video yang tidak senonoh, yang dirakam curi oleh pelajar melalui henfon sudahpun banyak dimuat naik di media sosial. Perbuatan tidak baik ini kebiasaannya dilakukan pelajar bermasalah, kesan dari sikap tidak berdisplin pelajar, ketika mereka dilarang membawa henfon ke sekolah. Boleh kita bayangkan apa yang akan terjadi jika henfon dibenarkan dibawa ke sekolah?

Dikatakan kebenaran ini diikuti dengan syarat yang ketat, melalui pemantauan guru. Maka cadangan ini akan menambah beban kerja guru terutama guru displin untuk memastikan peraturan dan syarat dipatuhi pelajar - ketika guru ada banyak perkara lain berkaitan displin seperti ponteng kelas, merokok, bergaduh sesama pelajar, untuk diselesaikan.

Ketika beban perkeranian - ketika khabar pembantu guru sudah senyap - terus menghambat beban kerja guru, selain tugas rutin di kelas. Maka cadangan membenarkan pelajar membawa henfon ke sekolah ini, pasti akan menambah tugas harian guru.

Diharapkan cadangan yang kurang bernas ini dapat diperhalusi sebelum satu keputusan diambil. Jangan sudah terhantuk, baru tengadah!

Wednesday, June 27, 2012

Bacaan Menjelang PRU13....

Kaum Cina, dikatakan kaum yang praktikal dan bukan emosional dalam menentukan matlamat hidup mereka.  Praktikaliti bagi mereka, dinilai dari sudut keuntungan ekonomi dalam jangka masa panjang.  Mereka sabar, tekun dan kekal fokus untuk mencapai apa yang diidamkan.

Dalam menentukan kerajaan yang memerintah juga, kaum Cina mengambil sikap yang sama dan bergerak sebagai satu kumpulan bagi memastikan keuntungan maksima kepada kaum mereka.

Barisan Nasional telah menjadi pilihan kaum Cina sejak sekian lama kerana mereka yakin bahawa parti ini mampu menyediakan persekitaran dan lanskap yang sesuai untuk mereka ‘berkembang’.

Walaupun terdapat puak-puak ekstremis Cina yang cuba menafikan keupayaan BN serta menghasut kaum Cina agar berprasangka, malah membenci BN dengan membangkitkan soal Hak-hak Istimewa Bumiputera tetapi tiada seorang pun manusia di dunia ini yang mampu menolak hakikat bahawa kaum Cina di Malaysia adalah antara yang paling makmur sekali di dunia di bawah pemerintahan BN.

Sekolah-sekolah Cina, dahulunya dibuka sebagai persediaan untuk kaum Cina kembali ke tanahair mereka selepas puas mencari kekayaan di negara ini.  Namun, majoriti  kaum Cina terus kekal di sini, menjadi warganegara yang setia kerana mereka tahu kerajaan Perikatan ketika itu, dan BN hari ini, akan tetap membela mereka.

Namun begitu, sokongan kaum Cina terhadap BN hari ini dikatakan merosot secara drastik dan apa saja yang dilakukan oleh BN tidak akan mampu lagi untuk memulihkan keadaan ini.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna yang mereka menyokong Pakatan Rakyat.  Mungkin mereka tersasar sekejap pada tahun 2008 akibat terpedaya dengan janji-janji manis Anwar Ibrahim dan faktor-faktor lain, tetapi seperti yang dikatakan tadi, kaum Cina bukan bertindak berdasarkan emosi, tetapi praktikaliti.

Akhir-akhir ini, Anwar mula dipandang serong oleh kaum Cina apabila beliau membangkitkan idea untuk menghapuskan PTPTN yang mana akan merugikan para pelajar, termasuk anak-anak bangsa Cina yang majoritinya memilih pusat pengajian tinggi swasta yang jauh lebih mahal harganya.

Kemudian, Anwar sekali lagi menggusarkan kaum Cina apabila bertindak ‘mengambil alih’ perhimpunan BERSIH 3.0 dan menonjolkan warna sebenarnya sebagai seorang pemberontak yang ingin membuat huru-hara.   Sudah tentu kaum Cina tidak inginkan huru-hara kerana ia akan bermakna kerugian bagi perniagaan mereka.

Maka, dua insiden ini menjadi titik penting untuk kaum Cina kembali mengimbas sejarah lama dalam menjustifikasi undi mereka dalam pilihanraya kali ini.

Ternyata sejarah tidak pernah berbohong dan sejarah telah memaparkan siapa Anwar yang sebenarnya.

Setelah membaca sejarah Anwar ramai anak-anak muda Cina kembali berpijak di bumi nyata dari terus bermimpi diperintah oleh Pakatan Rakyat yang kononnya bakal memberi mereka kesamarataan total bagi membolehkan mereka berkembang ke tahap maksima dan menelan kaum-kaum lain di Malaysia.

Anwar Ibrahim adalah manusia dengan begitu banyak personaliti jika tidak, takkanlah beliau digelar ‘sesumpah’ oleh wartawan barat.

Anwar Ibrahim adalah manusia dengan begitu banyak personaliti jika tidak, takkanlah beliau digelar ‘sesumpah’ oleh wartawan barat.

Mengikut pendedahan buku The ‘I’ Files, pada satu masa, Anwar adalah seorang Muslim fanatik yang mengimpikan negara Islam ‘sempurna’ ala Iran, berkiblatkan Saudi, berfahaman Wahhabi dan tiada tolak ansur dalam menangani kemungkaran.

Bagi Anwar, kaum Cina dan barat semuanya adalah ancaman kepada Islam.  Sehinggakan, kata penulis buku tersebut, Hasan Ali juga tidak dapat menyaingi ‘mimpi’ Anwar pada waktu itu!

Pendedahan ini boleh dibuktikan dengan sikap dan tindakan yang diambil oleh Anwar ketika menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1986-1990.  Beliau mula melantik Guru Besar yang tiada latarbelakang pendidikan Cina di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina.

Anwar juga tidak pernah membela sekolah Cina malah beliaulah yang begitu giat membawa semangat nasionalis sepertimana Indonesia di mana identiti kaum-kaum lain dihapuskan sama sekali bagi membentuk sebuah bangsa yang bersatu padu.

Hanya pada tahun 1996, kerajaan BN telah meminda Akta Pendidikan 1961 seksyen 21 (2) untuk menarik balik kuasa Menteri Pendidikan menukar kedudukan sekolah Cina kepada sekolah kebangsaan selepas bantahan DAP dan Dong Jiao Zong.

Selain pendirian Anwar mengenai kedudukan kaum Cina di Malaysia yang sukar dijangka kerana asyik berubah-ubah mengikut keadaan politik semasa dan kepentingan peribadinya, Anwar juga dikhuatiri oleh kaum Cina sebagai tidak mempunyai kelayakan dan kebolehan untuk mentadbir ekonomi.

Ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan, dan kebetulannya pada tahun-tahun akhir sebelum dipecat iaitu 1997/98, negara telah mengalami serangan ekonomi yang buruk.   Kebolehan Anwar sebagai Menteri Kewangan telah teruji dan ternyata Anwar gagal sama sekali.

Dalam kebuntuan, Anwar telah mengambil keputusan yang mudah tetapi salah, iaitu menurut sahaja telunjuk IMF.   Kadar faedah pinjaman dinaikkan secara drastik menyebabkan perniagaan tidak mampu membayar pinjaman dan bank-bank pula terbeban dengan ‘Non-Performing-Loan’ (NPL).

Akibatnya, ekonomi Malaysia hampir lumpuh sepenuhnya apabila perniagaan ditutup, bank-bank pula mengalami kerugian dan pengangguran meningkat sehingga menyekat kadar dayabeli rakyat.

Malaysia bertuah kerana diselamatkan oleh kebijaksanaan Perdana Menteri ketika itu, iaitu Y.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berani mengambil langkah tidak popular dan menelan segala kritikan demi menyelamatkan negara yang hampir bankrap.

Tindakan ini menyebabkan BN berjaya memenangi PRU 1999 apabila kaum Cina menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada kepimpinan Barisan Nasional sekali gus menjauhkan mereka dari pembangkang pada ketika itu, Barisan Alternatif yang diterajui oleh Anwar Ibrahim.

Justeru, kita percaya kaum Cina cukup bijak untuk belajar dari sejarah dan tidak mudah terpengaruh oleh emosi yang kurang tenteram akibat dihasut oleh puak ekstremis, chauvinis, rasis dan pentingkan diri sendiri.

Selama ini, negara ini berdiri teguh atas kerjasama semua kaum.  Dan kerjasama ini menjadi teguh kerana wujudnya perlembagaan yang mengambil kira keadilan mengikut struktur ekonomi dan sosial kaum-kaum di Malaysia dan bukannya kesamarataan secara buta tuli.

Formula di dalam perlembagaan inilah yang menjadi kunci keamanan, keteguhan dan kemakmuran negara ini.  Maka semua kaum wajar terus menjulang perlembagaan negara bagi memastikan apa yang dikecapi hari ini akan terus bercambah dan kukuh selama-lamanya.

Di masa yanga sama, kita melihat apa yang dimomokkan oleh Anwar hanyalah ilusi, mimpi dan fantasi seorang manusia yang gila kuasa.

Kemungkinan besar Anwar sendiri tidak tahu apa yang diperkatakan dan dijanjikannya kerana kemungkinan besar Anwar sendiri tidak kenal lagi siapa dirinya iaitu sama ada beliau seorang fanatik, ektremis, liberal ataupun plural.

Oleh itu, jalan terbaik bagi rakyat ialah memilih kepimpinan BN yang ‘moderate’ dan kekal konsisten dengan prinsip dan pendirian ini.

Imran Heng Abdullah http://feedproxy.google.com/~r/umnoonline/~3/EvXoEAJvbxU/?utm_source=feedburner&utm_medium=email

Tuesday, May 1, 2012

Bersih 3.0 : Untuk Bacaan....

Luahan Hati Seorang Anak Polis Yang Boleh Membuatkan Kita Menitis Air Mata


Sbg salah sorang anak kpd anggota polis sy ingin bersuara bagi pihak rakan2 sy...

Mmg negara ini negara demokrasi tapi xbermakna sikap puak pembangkang esp Bersih berhak memaki hamun sehingga mnjatohkn maruah serta harga diri pihak polis...anda menggelarkan Anggota polis sebg ANJING kerajaan...jadi siapakah kami anak2 POLIS ini...adakah kami anak2 ANJING?

Tuduhan cacian yg xtrbatas seolah2 semua anggota Polis kaki rasuah, xbole di percayai n sehingga xsgp sy menulis disini...

Berlinangan airmata sy bila melihat ada diantara anggota polis di pukul , di terajang seolah mrk xpunya sanak saudara n anak2 yg menanti kepulangan mrk dari bertugas...


Saban hari bila2 waktu yg kritikal spt bersih ini, sy sering trfikir apakah ini lambaian dan ciuman ayah utk kali terakhir krn ayah akan berhadapan dgn makhlok2 yg begitu bencikan tugas ayah...


Apakah tugas anggota Polis itu terlalu hina dimata puak pembangkang? Apakah selama ini rezeki yg ayah dan anggota polis dapat selama ini utk menyara hidup anak isteri mereka adalah rezeki yg tidak halal semata2 mrk bekrja utk kjaan yg dipilih oleh rakyat?


Apa yg sy tahu setiap kali sblm ayah pergi bekerja ayah kami adikbradik bersama ibu akan brsalam n mncium tangan ayah, dan setiap kali itu juga pesanan ayah akan diulangi...JANGAN LAWAN IBU, DGR CAKAP IBU, JGN BIADAP DGN ORG LAIN, HORMATI HAK ORG LAIN n YG PALING2 TRGURIS DIHATI SY IALAH AYAH AKAN BRKATA JGN SESEKALI TINGGAL SOLAT KRN ITU ADALAH TIANG AGAMA KITE...


Sedangkn di luar sana , ayah dan rakan2 dicerca , dimaki , di ludah dan di pukul semata2 utk menjaga keamanan negara...anda yg brkelakuan demikian fikirla, dgn penghinaan yg sedemikian xkn kami anak2 anggota polis akan berdiam , mmbiarkan org tersayang dalam hidup kami di perlakukn spt haiwan, sedang tingkah laku saudara2 pendemo itu lah yg kelihatan AMAT KEJI, seolah2 negara kite tiada undang2,, seolah2 anda semua tiada AGAMA, sehingga sgp mnghinam memukul, menerajang dgn niat kalo polis itu mati adalah kejayaan anda...


Inikah yg di katakn perjuangan menegakkn keadilan sedangkn keadilan dipihak kami, pihak ayah dan rakan2 nya , pihak org2 yg cintakn keamanan anda ketepikan?


Maaf ..Bersih 3.0 ini menutup pintu hati kebanyakkan kami thdp perjuangan puak anda krn kami telah melihat betapa rakus dan liarnya perbuatan pendemo2 itu...negara akan hancur seandainya jatoh ketangan puak YANG TAK PUNYA PERI KEMANUSIAAN ini...


Kpd ayah dan rakan2 polis ayah, sy amat berbangga dan kagum melihat kesabaran dan dedikasi anda semua dlm melaksanakn tugas mnjaga keamanan negara...InsyaAllah ayah, sy akan belajar rajin2 supaya menjadi insan ygg berguna thdp agama, bangsa dan negara , menyara hidup keluarga agar ayah xperlu mngharongi lagi episod duka n hina ini....

Sy tetap berbangga dgn tugas ayah sbg anggota polis, yg sgp menggadai nyawa demi keselamatan negara.AYAH KAU LA WIRA KU....

Tuesday, April 24, 2012

Bacaan Menjelang PRU13....

Cukuplah, jangan lagi berdusta!

BUKAN sebab pakatan pembangkang kuat tapi UMNO yang tak mahu menang - frasa ini semakin kerap didengar. Ia diluahkan kerana kekecewaan terhadap sikap sesetengah pemimpin bahagian yang terlalu asyik mencatur strategi dan melobi untuk menjadi calon dan mengejar kepentingan lain.

Sedangkan seharusnya keutamaan mereka kini ialah menggerakkan seluruh kekuatan bagi menentusahkan siapa juga calon Barisan Nasional (BN) menang di kawasan bahagian itu. Tetapi yang dapat dilihat ialah mereka hanya pintar menggunakan segala sendi politik untuk menumbangkan sesama sendiri tetapi mudah layu dan kelu apabila berhadapan dengan musuh politik sebenar.

Kita tidak hairan jika ini masih berlaku di negeri deposit tetap BN seperti Johor, Sarawak ataupun Sabah. Tapi sikap ini terus leluasa di negeri yang kini dipimpin pakatan pembangkang. Tidak serikkah mereka?

Kita sepatutnya sudah melihat satu gerakan transformasi politik besar-besaran di peringkat bahagian di Kelantan, Selangor dan Kedah serta beberapa bahagian di negeri lain yang kedudukan politiknya masih belum stabil. Tepuklah dada, apakah itu yang dirasai dan berlaku?

Kalaupun berlaku, ia tidak seperti diharapkan. Masih banyak lompang yang perlu diperbetulkan sedangkan pilihan raya umum sudah terlalu dekat. Keyakinan majoriti rakyat bahawa hanya UMNO dan BN mampu memimpin negara ini harus dibalas bukan sekadar dengan kata-kata dan slogan.

UMNO mesti berubah. Kata-kata keramat yang sudah usang itu mesti diterjemahkan segera. Pemimpin peringkat bahagian adalah orangnya yang memikul amanah di barisan depan untuk menggerakkan misi transformasi parti. Jangan gadaikan ikrar itu. Jangan hampakan harapan rakyat.

Apakah maknanya transformasi jika ada bahagian sanggup berdusta dan sengaja menutup peluang calon boleh menang untuk bertanding? Bukan zamannya lagi untuk pemimpin terlalu taksub dan menggunakan segala hujah bahawa 'hanya saya calon boleh menang'.

"Anda rasa UMNO telah berubah?" tanya seorang aktivis yang dekat dengan sumber risikan dan kepimpinan tertinggi UMNO dalam satu majlis baru-baru ini.

Mungkin pertanyaannya bersifat provokasi dan sekadar mahu menguji. Tetapi jawapan daripada khalayak mudah diduga - mereka belum yakin dengan perubahan di dalam UMNO. Maksudnya masih banyak yang perlu dilakukan oleh pemimpin bahagian dan juga negeri.

"Kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi sebenarnya ok. Cuma di peringkat bahagian agak kurang. Mereka lebih sibuk promosi nak jadi calon," rungut seorang pemimpin cawangan di Selangor.

Dalam nada berterus-terang beliau mengambil contoh program mendaftar pengundi. Dalam bulan Januari, mengikut angka yang diperolehinya, BN Selangor hanya mengumpul 7.000 pengundi baru, sedangkan Pas dapat mendaftarkan seramai 17.000 orang.

"Ini pun dengan bantuan NGO. Bahagian tak bergerak aktif, janji nak bayar RM10 pun belum bayar lagi," dakwanya yang membuat kesimpulan dari segi pendaftaran pengundi. BN masih kalah dengan pakatan pembangkang.

Kegagalan

Sebagaimana kegagalan bahagiannya, beliau turut merujuk kegagalan Pemuda UMNO mendaftarkan kira-kira 40,000 ahlinya yang layak mengundi. Tiada alasan yang boleh diberikan kecuali kelemahan jentera parti sendiri.

"Kita kata satu undi itu penentu, benarkah?" katanya yang kini terpaksa membuka pintu kepada badan bukan kerajaan lain seperti Perkasa, Jati dan Pekida dalam program-program bersama rakyat walaupun ia kurang digemari oleh kepimpinan tertinggi bahagian.

Bagaimanapun beliau yang juga ahli jawatankuasa bahagian semasa ditanya namanya turut disebut-sebut sebagai calon Parlimen, menegaskan bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.

"Tetapi jika tidak dicalonkan saya akan terus bantu. Dari dulu pun begitu, semua calon BN mesti kita menangkan. Kita kena ada jiwa perjuangan untuk parti," katanya yang mengaku bukan calon pilihan bahagian.

Semangat seperti itulah yang mesti dicontohi, mendahulukan kepentingan parti melebihi diri sendiri. Sedang kesepakatan pakatan pembangkang lebih banyak mendatangkan kecurigaan dan kekecewaan rakyat, UMNO dan BN tidak boleh leka. UMNO dan BN kena tunjukkan ia adalah sebuah entiti terbaik untuk terus memimpin rakyat negara ini.

Jangan contohi sebuah negeri itu yang hampir semua pemimpin utama bahagian masih bertegas mahu menjadi calon sedangkan laporan daripada banyak sumber termasuk risikan tidak memihak kepada mereka. Jika belum berperang sudah tidak peduli dengan suara akar umbi, bagaimana mereka mahu menawan negeri itu?

Jangan pula contohi kerenah sesama warlord di sebuah negeri kecil yang masih gagal memadam api amarah dan terus berseberangan sehingga bertentangan mata pun tak boleh. Jika di peringkat parti masih gagal menunjukkan peri pentingnya perpaduan, bagaimana mereka mahu memikat hati rakyat?

Sebenarnya jika pemimpin bahagian jujur dan tidak berdusta, jalan yang ditempuh untuk menyekat kemaraan pakatan pembangkang akan menjadi lebih mudah.

Jika inilah yang berlaku, majoriti dua pertiga sudah tentu berada dalam genggaman. Dan tidaklah sukar sangat mempertahankan negeri yang sedia ada serta bertambahlah semangat untuk merampas kembali kawasan yang ditawan.

Mereka di bahagian tentu tahu benar siapa calon boleh menang itu. Sama ada calon itu berada dalam kepimpinan bahagian, di persekitaran atau orang luar, merekalah yang lebih mengetahui. Ukurlah diri sendiri. Adakah mampu menyaingi kemampuan calon lawan dan seterusnya memenuhi kehendak rakyat yang semakin kompleks itu?

Masanya semakin suntuk. Mengapa perlu mempertontonkan arogansi jika ia hanya membawa petaka kepada kepentingan yang lebih besar? Insaflah, masih ramai orang di negara tercinta ini menaruh harap kepada UMNO untuk terus menjadi tulang belakang kepada perjuangan asas memartabatkan agama, bangsa dan negara. - warungpolitikmm@gmail.com

Monday, April 16, 2012

Kerajaan BN Mempunyai Rekod Terbaik Bela Nasib Rakyat Sabah...KM Sabah

Ketika melancarkan Pesta Kalimaran yang diadakan di Pusat Kebudayaan Murut Sabah di Tenom baru-baru ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman berkata rekod kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik kerana mereka berupaya untuk menyampaikan janji-janji pembangunan kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak prihatin dengan masalah rakyat di negara ini dan banyak peruntukan telah disalurkan kepada negeri untuk membangunkan negeri ini.

Menurut Musa, projek pembangunan seperti jalan raya dan jambatan juga diberi keutamaan untuk keselesaan rakyat di kawasan luar bandar, dan ini adalah jelas bahawa kerajaan BN adalah sensitif kepada keperluan rakyat. BN mendengar kepada rakyat dan memberi keutamaan untuk menjaga kebajikan rakyat di negara ini, katanya.

Beliau berkata usaha-usaha murni kerajaan, termasuk keamanan dan keharmonian, telah dirancang oleh pemimpin-pemimpin untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat di kawasan ini termasuk kawasan pedalaman. "Saya juga berbangga dengan wakil-wakil rakyat BN untuk menjadi warganegara yang prihatin dan bertanggungjawab. Walau bagaimanapun, saya ingin mengingatkan wakil rakyat tidak melupakan tugas dan peranan mereka sebagai wakil rakyat. Saya mahu mereka untuk berkhidmat kepada rakyat, "katanya.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan propaganda dari parti pembangkang yang hanya datang untuk melihat orang ramai pada malam sebelum pilihan raya.
Beliau percaya rakyat Sabah, termasuk Tenom, pintar dan sedar pembangkang yang hanya datang ke kampung-kampung ketika pilihan raya untuk membuat janji-janji kosong bulan dan bintang.
Musa berkata kerajaan BN diiktiraf oleh pemimpin-pemimpin dunia bagi pemimpin yang cemerlang yang mentadbir negara.
Sumber: Borneo Post

Tuesday, March 13, 2012

Alfatihah 'Dirang'.....

Salam,

Siapakah manusia yang begitu kejam membunuh, membakar rentung Nurul Nadirah? Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun, belum mengerti apa-apa diperlakukan sedemikian rupa, menggambarkan beratnya masalah akal fikiran segelintir manusia di negara kita. Mengapakah Dirang harus menjadi mangsa kekejaman manusia?

Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang paling wajar dan setimpal dengan 'binatang' yang bertopeng manusia ini. Sementara itu, kita berharap keluarga Dirang terutama ibunya, dapat bersabar dengan ketentuan takdir yang tertulis sedemikian. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul...

Semoga Dirang aman di sana...

Thursday, February 16, 2012

Antara Kurta dan Nande....

Salam,

Kehadiran PM ke Perayaan Thaipusam di Batu Caves, yang kemudiannya ditegur oleh Mufti Perak, menjadi bahan puak pembangkang membelasah PM. Malah dikata sehingga menggadai akidah.

Kemudian diikuti pendedahan blogger kehadiran Anwar ke Perayaan Pesta Ponggal di Batu Gajah, Perak pula menjadi bahan membelasah Anwar.

Tan Sri Harussani mencerahkan tegurannya kepada PM, dengan menyatakan kehadiran PM tidak menyalahi hukum syarak, selepas PM memberikan penjelasan.

Bayangkan berapa banyak komen yang dilontarkan rakyat Malaysia - sama ada yang faham atau tidak - terhadap teguran Mufti Perak terhadap PM. Bayangkan juga berapa banyak komen dibuat terhadap perarakan kereta lembu Anwar Ibrahim.

Malahan, bayangkan bagaimana pandangan umum terhadap Islam sebagai agama rahmat dan kesejahteraan untuk semua umat manusia - ketika begitu kerasnya pandangan kita terhadap kehadiran seseorang pemimpin dalam majlis perayaan melibatkan kaum lain.

Apa pengajaran yang boleh kita ambil daripada insiden ini?

1. Pihak berkuasa agama termasuk para mufti wajar mendapatkan maklumat yang tepat tentang sesuatu perkara sebelum memberikan komen. Komen yang salah akan menyebabkan rakyat mendapat maklumat yang salah. Walaupun komen tersebut dapat dibetulkan, tapi bayangkan berapa banyak 'kerosakan' yang berlaku?

2. Para pemimpin wajar mendapatkan nasihat yang betul daripada para penasihat mereka, sebelum melakukan sesuatu tindakan apalagi jika melibatkan sensitiviti kaum dan agama.

3. Para pemimpin dan rakyat wajar menjaga adab dan berhemah dalam memberikan komentar terhadap sesuatu perkara. Komen yang tidak membina dan berniat provokasi wajar dielakkan.

4. Hubungan toleransi antara kaum dan agama wajar dipertahankan agar kehidupan harmoni yang terjalin selama ini dapat kita wariskan kepada anak cucu kita nanti.

Tuesday, February 14, 2012

Kenyataan Akhbar PERBEKK...

Salam,

Kenyataan akhbar Persatuan Belia Kg Kuridak, Beaufort ( PERBEKK )....

SELAMAT DATANG KE SIPITANG!

PERBEKK mengalu-alukan dan mengucapkan selamat datang ke Sabah kepada Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak, dan buat kali kedua ke Sipitang sejak kehadiran melancarkan Pesta GATA tahun lalu.

Perdana Menteri dijangka akan merasmikan acara pecah tanah bagi projek kilang baja urea ammonia Sabah (SAMUR) yang bernilai US$1.5 bilion (RM4.6 bilion) di Sipitang pada 16hb Februari ini.

Apa yang diharapkan dengan terbinanya kilang baja itu nanti akan membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan yang boleh direbut golongan belia, untuk menceburkan diri dalam bidang yang berkaitan. Sesungguhnya PERBEKK percaya para belia akan memenfaatkan peluang terhidang di depan mata ini, dan PERBEKK juga yakin bahawa PETRONAS khususnya yang melabur dalam projek besar ini akan membuka ruang untuk para belia.

PERBEKK percaya projek besar ini pasti akan terus menyemarakkan ekonomi di daerah Sipitang dan sekitarnya. Sebagai persatuan belia yang berorganisasi di Parlimen Sipitang, PERBEKK pasti limpahan kemakmuran yang dibawa oleh projek besar ini akan juga melibatkan para belia termasuk ahli PERBEKK.

PERBEKK mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS yang memilih Parlimen Sipitang sebagai lokasi membina kilang baja ini. Terima kasih juga diucapkan kepada Perdana Menteri atas kesudian hadir bersama rakyat di Sabah, khususnya di Sipitang. Tanpa ragu lagi, PERBEKK menyokong penuh kepimpinan PM Najib untuk terus memimpin negara ke mercu kejayaan.

Monday, February 13, 2012

Najib bakal rasmikan acara pecah tanah di Sipitang

KOTA KINABALU 13 Feb. — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan acara pecah tanah bagi projek kilang baja urea ammonia Sabah (SAMUR) yang bernilai US$1.5 bilion (RM4.6 bilion) di Sipitang Khamis ini.

Projek besar itu dimiliki oleh Petronas Chemicals Group Bhd. Pengurus besar pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Joseph Podtung berkata kehadiran SAMUR bertaraf dunia di Sipitang akan mewujudkan kesan positif ke atas industri kimia dan berkaitannya, termasuk pertanian, hotel dan katering, penyenggaraan kilang dan pengangkutan.

"Ia juga akan menyediakan syarikat dan para usahawan prospek perniagaan yang meluas dan menjana pekerjaan untuk tempatan, sekali gus menyemarakkan pertumbuhan ekonomi, terutamanya untuk komuniti tempatan di Sipitang,” kata beliau pada satu majlis makan tengah hari yang dianjurkan oleh Petronas Chemicals Group. — BERNAMA

Diucapkan SELAMAT DATANG kepada PM Najib, untuk sekali lagi ke Daerah Sipitang......

Saturday, January 21, 2012

Kes Liwat : Pro dan Kontra Rayuan...

Salam,

Akhirnya Pejabat Peguan Negara, di saat-saat akhir mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Ketua Pembangkang DSAI daripada tuduhan meliwat Saiful Bukhari.

Dari satu segi, rayuan ini tidak menyalahi proses perundangan. Peguam Negara yang menjadi pendakwa dalam kes tersebut mempunyai hak untuk merayu. Seperti yang dilaporkan, keputusan Pejabat Peguam Negara memfailkan notis rayuan itu bagi membolehkan mereka memperolehi penghakiman bertulis Yang Arif Hakim dan rekod prosiding perbicaraan daripada Mahkamah Tinggi dan seterusnya mengetahui dengan jelas alasan-alasan penuh keputusan hakim tempohari.

Bagi pengadu, notis rayuan ini sudah tentu melegakan. Selain untuk memenuhi proses perundangan, tentu sahaja rayuan ini akan memberi peluang kepada tertegaknya keadilan kepada Saiful Bukhari. Di peringkat rayuan, keputusan lima hakim sepertimana diumumkan oleh Ketua Hakim Negara baru-baru ini, pasti lebih dapat diterima umum - walau apa pun keputusannya nanti. Hak Saiful untuk mendapatkan kebenaran seperti yang didakwanya akan tertunai dengan keputusan di mahkamah yang lebih tinggi.

Harus diingat, sebarang keputusan di peringkat rayuan ini belum lagi muktamad. Sama ada peguam negara atau Anwar mempunyai ruang mendapatkan keadilan di Mahkamah Persekutuan pula - sehinggalah proses perundangan tamat. Sementara menunggu peringkat demi peringkat proses ini, sewajarnya rakyat tidak dibawa sama untuk menyelesaikannya. Serahkan kepada kebijaksanaan para hakim untuk membuat keputusan.

Tuesday, January 10, 2012

Anwar Menang, Mahkamah Pun Menang!

Salam,

Selepas berbulan-bulan diselubungi cerita kes liwat Anwar Ibrahim, akhirnya mahkamah membebaskan beliau daripada dakwaan tersebut. Maka bersorak-sorailah penyokong Anwar. Sewajarnya mereka meraikan 'kemenangan' tersebut, memandangkan sejak sekian lama mahkamah dan hakim Malaysia digambarkan tidak bebas, bersekongkol dengan Umno dan dikawal penguasa - istilah yang selalu digunakan Anwar Ibrahim.

Ya, sekian lama mahkamah dan hakim 'terhukum' oleh pandangan negatif segelintir rakyat yang melihat kebebasan kehakiman telah dihakis oleh pemerintah. Mahkamah dituduh membuat keputusan mengikut telunjuk para pemimpin. Tohmahan jahat ini semakin berkembang terutamanya apabila sesuatu kes tidak menyebelahi, maka hakim akan ditohmah tidak adil dan memihak.

Dakwaan mahkamah tidak bebas ini bukan sahaja dicanang di seluruh negara malah dijaja ke seluruh dunia. Berapa ramai pemimpin dunia yang sudah termakan dengan cerita ini?

Sebab itu, apabila Anwar dan penyokongnya bersorak gembira dengan keputusan mahkamah yang membebaskannya, maka sewajarnya mahkamah dan hakim pun bergembira meraikan kemenangan mereka. Mahkamah menang kerana kebebasan mereka diiktiraf oleh segelintir rakyat yang selama ini menafikannya. Jika mereka mahukan bukti tentang kebebasan mahkamah, mungkin inilah bukti tertinggi yang harus membuka mata dan mata hati mereka.

Apa yang diharapkan, selepas ini mereka yang selama ini memfitnah kebebasan mahkamah dan para hakim, tersedar dan berhenti daripada terus melakukan tohmahan liar. Mahu mereka memohon maaf? Rasanya tidak perlu...sebab mereka tidak akan memohon maaf!

Saturday, January 7, 2012

UMNO Lakukan Transformasi Untuk Raih Keyakinan Generasi Pasca Merdeka...Najib

Salam,

Seakan penat dan berbuih mulut PM selaku Presiden UMNO mengingatkan ahli UMNO tentang perubahan dan transformasi, terutamanya untuk berdepan dengan generasi muda pasca merdeka yang kritikal terhadap UMNO. Jika apa yang diingatkan oleh PM Najib didengar dan diambil perhatian oleh anggota UMNO di setiap peringkat, kelangsungan UMNO sebagai parti peneraju Insya Allah akan berkekalan. UMNO akan kekal relevan di kalangan generasi muda andai semua menunjukkan komitmen melakukan perubahan.

Jika anggota UMNO kekal dalam kepompong lama dan terus bangga dengan sejarah gemilang UMNO sebagai modal mendekati anak-anak muda, alamat semakin jauhlah UMNO dengan genetasi muda. Maka sebab itu, di samping berpaut dengan sejarah sebagai panduan, ahli UMNO di setiap peringkat mesti melakukan transformasi sepertimana diminta PM Najib...

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Anggota UMNO perlu berubah seiring keadaan semasa yang menyaksikan parti itu lebih demokratik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata mereka perlu berubah bagi meraih keyakinan generasi pasca merdeka.

“Mereka yang lahir pasca merdeka tidak merasai pengalaman lalu… mereka cuma nak tahu apa yang UMNO hendak buat hari ini dan akan datang, dan mereka tidak suka diingatkan bahawa budi yang lepas perlu dibalas,” katanya ketika berucap pada majlis perhargaan untuk media yang membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini Jumaat malam.

Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata parti itu tidak lagi boleh bersandar kepada sejarah semata-mata walaupun ia banyak berjasa kepada negara kerana generasi hari ini tidak dapat menyelami perkara tersebut.

“Walaupun ia (UMNO) begitu cemerlang dan tidak tertanding, tetapi kita kena bersikap realistik dan melihat ke hadapan kerana ada perubahan dalam landskap politik tanah air dan dunia,” katanya.

Beliau menegaskan UMNO mempunyai iltizam politik untuk menjadi parti terbaik dan pemimpin negara selepas memperoleh kepercayaan rakyat.

Sehubungan itu, Najib meminta anggota UMNO berusaha lebih gigih bagi membuktikan ia layak menjadi parti tunggak di negara ini.

“Saya akui kita masih ada ruang untuk membuat penambahbaikan selain membaiki kelemahan yang ada. Kita boleh lakukan perubahan daripada segi perlembagaan (parti) yang membawa kepada perubahan struktur dan membuat keputusan serta kepimpinan.

“Tetapi akhirnya, perubahan itu perlu dibuat oleh orang UMNO itu sendiri,” katanya pada majlis yang dihadiri 1,000 orang termasuk wakil media.

Thursday, January 5, 2012

Jangan Putus Sahabat, Saudara Kerana Politik!

Salam,

Semenjak penghujung tahun 2011 hingga ke hari ini, suhu politik negara, negeri dan kawasan semakin 'panas'. Dijangka suhu panas ini akan berterusan menuju ke detik pilihanraya yang akan datang. Semakin lambat parlimen atau DUN dibubarkan, maka semakin bertambahlah kepanasan suhu politik ini.

Isu NFC dan 901 adalah isu panas di peringkat nasional. Di kawsan dan di peringkat negeri Sabah, isu pemimpin keluar parti dan menubuhkan parti baru ( siap ada nama SPF ) mengambil tempat dan menjadi bualan hangat. Sejauh mana kebenaran isu-isu ini, kita serahkan kepada empunya diri dan pihak berkuasa mengambil tindakan wajar. Tentu saja ada pertimbangan terbaik di pihak yang berkenaan untuk meredakan keadaan.

Sementara Itu, wajar kita mengambil iktibar tulisan seorang blogger Faizuleffende sebagai renungan. Menurut beliau...Sesungguhnya kekerasan tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Malah katanya.... Bayangkanlah alangkah bahagianya jika kita semua orang Islam dapat bersama-sama bergandingan dan memajukan Malaysia ! Kerana pangkat dan kuasa kita sanggup membenci, memfitnah, mencerca dan menjatuhkan sesama bangsa.

Kerana kemabukan kepada kuasa politik ada yang sanggup berkerat rotan berpatah arang, putus saudara putus sahabat. Malah ada yang
tergamak berpeluk cium dengan orang lain yang belum terbukti kejujurannya. Bukankah politik cuma alat untuk menjayakan tugas sebagai
khalifah di muka bumi. Kekuasaan politik yang didambakan bukanlah matlamat akhir yang mahu dikejar. Berbaloikah Jika menang dan berkuasa di atas gelimpangan tubuh saudara dan sahabat yang dicedera dan dibunuh oleh fitnah dan maki hamun, daripada permainan
politik ganas dan kotor?

Para pelaku politik dari aliran mana pun wajar melakonkan watak politik secara profesional, bijak dan gentleman. Bentangkan menifesto kepada rakyat jelata, serahkan kepada kebijaksanaan mereka membuat pilihan. Rakyat hari ini sudah cukup cerdik untuk memilih parti dan calon terbaik yang akan berkhidmat untuk mereka. Generasi muda umpamanya sudah tahu kriteria parti dan calon yang bertanggungjawab dan mampu memenuhi aspirasi muda. Sama sekali jangan perbodohkan mereka dengan desakan yang tidak perlu.

Dalam menunggu detik untuk kita membuat pilihan, hubungan baik dan harmoni antara sahabat, antara saudara dan sesama kaum yang
dibina sekian lama, hendaknya janganlah diruntuhkan. Jangan dilayan provokasi, jangan jua diturut rasa nanti binasa, jangan terlalu diikut kata hati nanti mati. Buatlah pertimbangan yang paling rasional dan objektif dan banyakkan bersabar. Yang penting dan utama, jangan diputuskan tali silaturrahim yang terikat kukuh...hanya kerana mabuk kuasa!

Sunday, January 1, 2012

Selamat Tahun Baru 2012....

Salam,

Ramai meramalkan tahun 2012 adalah tahun penentuan. Mementukan sama ada BN masih terus berkuasa atau Pakatan Rakyat akan melangkah ke Putrajaya selepas PRU13 nanti. Diramalkan pilihanraya akan diadakan tidak akan melebihi bulan Jun tahun ini.

Melihat kepada senario politik sepanjang tahun 2011, BN dan PR mempunyai peluang yang seimbang untuk memenangi pilihanraya. Ketika kelebihan silih berganti di antara kedua parti, cerita negatif juga tidak terlepas di antara keduanya. Parti manakah yang berjaya mengawal 'kerosakan' dalaman seharusnya muncul sebagai pilihan dalam kalangan pengundi atas pagar - yang memerhati dengan teliti perkembangan semasa.

Sementara pilihanraya belum tiba, eloklah BN dan PR melakukan gerak kerja parti masing-masing dengan berhemah. Gelanggang politik tidak memerlukan permainan kasar, hanya untuk memenangi kuasa. Rakyat pun sudah muak melihat tindak-tanduk penggiat politik yang melampaui batas, seolah-olah rakyat terlalu bodoh untuk membuat penilaian objektif. Berkempenlah dengan cara yang adil untuk mencanang kelebihan memilih parti masing-masing.

Namun seperkara yang dilihat kelebihan BN setakat ini berbanding PR, tentu sahaja pendekatan mesra rakyat yang ditunjukkan oleh PM Najib. Pendekatan berjumpa dengan seramai mungkin rakyat di peringkat bawah - dari pemandu teksi ke peniaga restoran, golongan belia sehingga ke peminat bola - nampaknya memang menarik. Rakyat berharap pendekatan ini diteruskan bukan setakat untuk menghadapi pilihanraya, malah diteruskan pada masa depan.

Kesungguhan PM Najib dalam melaksanakan tranformasi ekonomi, sosial dan politik seperti yang dijanjikannya juga cukup mengujakan. Pelbagai bantuan yang disalurkan demi kebajikan rakyat terbanyak amat disokong. Realitinya, slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan benar-benar diterjemahkan. Diakui memang banyak lagi yang perlu dilaksanakan, namun berdasarkan pendekatan yang dijalankan memang tidak dapat disangkal bahawa akan ada banyak lagi usaha memajukan rakyat dan negara selepas ini.

Diharapkan pada tahun 2012 ini negara akan terus makmur dan maju, dalam keadaan rakyat terus bertoleransi dan hidup aman harmoni...

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin