Search This Blog

Thursday, February 16, 2012

Antara Kurta dan Nande....

Salam,

Kehadiran PM ke Perayaan Thaipusam di Batu Caves, yang kemudiannya ditegur oleh Mufti Perak, menjadi bahan puak pembangkang membelasah PM. Malah dikata sehingga menggadai akidah.

Kemudian diikuti pendedahan blogger kehadiran Anwar ke Perayaan Pesta Ponggal di Batu Gajah, Perak pula menjadi bahan membelasah Anwar.

Tan Sri Harussani mencerahkan tegurannya kepada PM, dengan menyatakan kehadiran PM tidak menyalahi hukum syarak, selepas PM memberikan penjelasan.

Bayangkan berapa banyak komen yang dilontarkan rakyat Malaysia - sama ada yang faham atau tidak - terhadap teguran Mufti Perak terhadap PM. Bayangkan juga berapa banyak komen dibuat terhadap perarakan kereta lembu Anwar Ibrahim.

Malahan, bayangkan bagaimana pandangan umum terhadap Islam sebagai agama rahmat dan kesejahteraan untuk semua umat manusia - ketika begitu kerasnya pandangan kita terhadap kehadiran seseorang pemimpin dalam majlis perayaan melibatkan kaum lain.

Apa pengajaran yang boleh kita ambil daripada insiden ini?

1. Pihak berkuasa agama termasuk para mufti wajar mendapatkan maklumat yang tepat tentang sesuatu perkara sebelum memberikan komen. Komen yang salah akan menyebabkan rakyat mendapat maklumat yang salah. Walaupun komen tersebut dapat dibetulkan, tapi bayangkan berapa banyak 'kerosakan' yang berlaku?

2. Para pemimpin wajar mendapatkan nasihat yang betul daripada para penasihat mereka, sebelum melakukan sesuatu tindakan apalagi jika melibatkan sensitiviti kaum dan agama.

3. Para pemimpin dan rakyat wajar menjaga adab dan berhemah dalam memberikan komentar terhadap sesuatu perkara. Komen yang tidak membina dan berniat provokasi wajar dielakkan.

4. Hubungan toleransi antara kaum dan agama wajar dipertahankan agar kehidupan harmoni yang terjalin selama ini dapat kita wariskan kepada anak cucu kita nanti.

No comments:

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin