Search This Blog

Saturday, July 23, 2011

ADAU JANANG GAYUH 2011: SATU PANDANGAN

( Tulisan ini disiarkan bagi membetulkan beberapa salah tanggapan terhadap sambutan Adau Janang Gayuh di kalangan masyarakat Bisaya. Diharapkan pandangan ini sedikit sebanyak dapat meleraikan kekeliruan. Mohon maaf jika ada kesilapan )

Salam, terdapat beberapa salah tanggapan terhadap Perayaan Adau Janang Gayuh yang diraikan oleh masyarakat Bisaya di Daerah Beaufort, yang bermula pada hari ini hingga 24 Julai ini.

1. Penganjur
- Pada tahun-tahun sebelum ini, Perayaan AJG dianjurkan oleh Persatuan Bisaya Bersatu Sabah. Bermula tahun ini, perayaan ini dianjurkan bersama dengan agensi kerajaan lain seperti Pejabat Daerah Beaufort dan Kementerian Pelancongan Sabah, selepas perayaan ini disenaraikan dalam kalendar pelancongan Negeri Sabah. Walau bagaimanapun, PBBS tetap menjadi tunjang utama dalam penganjuran AJG. Bukankah satu perkembangan yang menarik apabila AJG diiktiraf sebagai satu perayaan untuk masyarakat Bisaya oleh kerajaan Negeri Sabah, dengan penyenaraian AJG dalam kalendar pelancongan?

2. Nama perayaan 'Adau Janang Gayuh'
- Nama Janang Gayuh yang dipilih untuk perayaan ini dikaitkan dengan DSP Lajim Ukin, yang menjadi Presiden PBBS ketika ini. Maka kerana itu, perayaan AJG ditohmah sebagai perayaan 'merayakan' DSP Lajim. Satu persepsi yang cetek dan dangkal, sedangkan difahami gelaran Janang Gayuh merupakan penghormatan kepada 'orang besar' masyarakat Bisaya, sama seperti Hugoun Siou dalam masyarakat Kadazan Dusun atau Tajagoh Gayoh dalam masyarakat Sungai. Kebetulan ketika ini Presiden PBBS ialah DSP Lajim Ukin, maka dialah yang diiktiraf Janang Gayuh. Jika pun selepas ini Presiden PBBS adalah orang lain - bukan DSP Lajim - maka orang tersebutlah yang akan bergelar Janang Gayuh, dan perayaan AJG juga akan terus dirayakan walau siapa pun 'orang besar' Bisaya, dengan nama sama - Perayaan Adau Janang Gayuh!

3. Relevan perayaan AJG
- Ada juga yang bertanya apakah relevannya perayaan ini kepada masyarakat Bisaya? Apa hasilnya perayaan ini kepada masyarakat Bisaya? Kepada mereka yang bertanya soalan sebegini, jawapannya mudah sahaja. Sebagai contoh, apakah relevannya sambutan Kaamatan kepada masyarakat Kadazan Dusun? Jika kita menilai hasil sesuatu sambutan atau perayaan seperti Kaamatan - apalagi AJG yang masuk tahun ke 9 - dengan nilai seperti wang ringgit, maka kita tidak akan dapat melihat berapa juta wang masuk dan diterima oleh sesuatu masyarakat. Namun, siapakah pula yang boleh menilai relevan perayaan AJG dari segi penonjolan seni budaya masyarakat Bisaya umpamanya?

4. Kepentingan perayaan AJG
- Sama seperti perayaan suku kaum atau di peringkat daerah lain, seperti GATA di Sipitang dan Pesta Rumbia di Kuala Penyu, tentu sahaja objektifnya - di samping pelbagai objektif lain - menonjolkan kebudayaan sesuatu kaum dan mempromosikan potensi pelancongan di sesuatu daerah. Begitu juga dengan perayaan AJG. Pentingnya perayaan ini sebagai satu medium menonjolkan budaya masyarakat Bisaya dan mempromosi potensi daerah Beaufort sebagai satu lokasi pelancongan penting. Bagaimana pentingnya mengekalkan kebudayaan dan pelancongan sebagai sumber ekonomi, rasanya tidak perlu dibahaskan.

Sebenarnya, jika kita mahu menghitung apa sahaja yang buruk tentang sesuatu sambutan atau perayaan, maka kita akan berjumpa dengan 1001 keburukan. Namun, bukankah lebih elok selain mencari keburukan, kita senaraikan juga kebaikan daripada program seperti ini. Rasanya, pasti terselit banyak perkara baik yang dapat diambil daripada perayaan AJG ini.

Memetik kata keramat Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas PM kita : Tiada agenda yang sempurna, tetapi agenda yang paling tidak sempurna ialah agenda sempurna yang tidak disempurnakan! Jalan sebaiknya dalam menyempurnakan agenda Adau Janang Gayuh ini - atau apa sahaja agenda berkaitan masyarakat Bisaya - tentulah dengan bermuafakat. Tidak salah rasanya untuk kita saling berhubung untuk mencari kebaikan, itu pun kalau pintu perhubungan untuk bermuafakat belum kita tutup rapat!

Pandangan Md Said Ag Damit
AMT PBBS.

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin