Search This Blog

Thursday, March 31, 2011

Pemimpin Rakyat, Berjiwa Rakyat!


''Jangan ada tembok antara kita dengan rakyat. Kita mesti menjadi seorang pemimpin rakyat, berjiwa rakyat. Inilah tema kita untuk kita berjaya dalam sistem demokrasi di negara ini.
Salam,

Perdana Menteri DS Najib berterusan tanpa jemu menggariskan kriteria yang wajib dimiliki oleh pemimpin BN, demi memastikan mereka tidak alpa bahawa kuasa yang dimilik sekarang boleh hilang apabila rakyat sudah bosan dengan karenah pemimpin mereka. Terbaru semasa merasmikan AGM BAKTI, pandangan yang sama terus diutarakan.

Menurut Najib, pemimpin hari ini harus peka dengan perkembangan semasa. Harus sentiasa bersikap telus dan jangan sama sekali membohongi rakyat. Mungkin ada perkara yang mahu disorok dari pengetahuan rakyat, tetapi dengan kecanggihan tekonlogi maklumat hari ini, lama-kelamaan pasti akan terbongkar jua.

Elok rasanya jika seseorang pemimpin lebih terbuka dan berterus-terang dengan rakyat. Katakan perkara benar, jangan sesekali menganggap rakyat 'bodoh' dan tidak tahu. Pada era maklumat di hujung jari sekarang, tiada lagi perkara yang harus dirahsiakan dari pengetahuan rakyat. Apalagi sikap menipu, tidak jujur dan tidak amanah, semuanya hanya akan menunggu masa untuk diketahui rakyat akhirnya.

Najib juga dilaporkan mahu pemimpin mengurangkan protokol dalam perjumpaan dengan rakyat. Perjumpaan dengan rakyat atau pemimpin kecil di peringkat bawah harus kerap diadakan, untuk mencari jalan terbaik terhadap sesuatu perkara. Jika berkaitan dengan kemajuan dan keselamatan kampung, pastilah dengan JKKK. Jika berkaitan parti tentulah dengan Ketua Cawangan.

Protokol zaman feudal dengan para Laksamana, Temenggung dan Bendahara datang bersembah mengadap Raja pada masa yang ditetapkan, sudah tidak lagi sesuai pada zaman ini. Seorang pemimpin harus sentiasa bersedia mendengar laporan dari para pembantu, pemimpin tempatan atau rakyat biasa setiap masa. Datang ke sesuatu kawasan hanya kerana ada acara dirasmikan bukan cara terbaik mendekati rakyat.

Sudahlah jarang bertemu, datang pula di kelilingi oleh para balaci, pencacai dan 'yang biasa-biasa' bersama dengannya sehingga rakyat tiada ruang untuk bersemuka dengan pemimpin harapan mereka. Akhirnya, wujud jurang pemisah di antara pemimpin dengan rakyat. Rakyat cuma mampu melihat pemimpin mereka dari jauh. Dan pemimpin tidak dapat mendengar rintihan, aduan atau denyut nadi rakyat.

Jika saranan PM Najib ini diambil peduli dan dilaksanakan oleh para pemimpin BN, sebagai pemimpin rakyat berjiwa rakyat, pasti BN akan terus mendapat sokongan padu rakyat. Perubahan yang dituntut oleh PM Najib di kalangan pemimpin BN, jika segera diambil tindakan, pasti suara sumbang di kalangan rakyat - sebahagiannya penyokong BN - tidak lagi kedengaran.

Harapnya, mereka akan mendengar!



Friday, March 25, 2011

Selamat Hari Polis ke-204!


Salam,

Lupakan seketika keriuhan cerita video seks. Kita serahkan kepada pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan wajar. Jika benar perlakuan tersebut, hadapkan individu berkenaan ke mahkamah untuk diadili. Sebaliknya, jika terbukti palsu, Datuk T juga tidak harus dilepaskan. Mereka juga wajar dihukum.

Bab ini kita serahkan kepada pasukan khas penyiasatan yang ditubuhkan PDRM. Kita percaya polis berpengalaman dalam menyelesaikan kes sebegini. Jika perlu bantuan daripada mana-mana agensi asing, dapatkan demi mencari kebenaran.

Kita yakin dengan kewibawaan pasukan polis mengendalikan pelbagai kes, sehingga kes yang lebih rumit daripada ini pun pernah diselesaikan oleh pasukan polis. Ini kan pula cuma kes kes yang terakam dalam video. Kacang ja bagi polis kita.

Umpamanya berita ini : Kadar indeks jenayah bagi tiga bulan pertama tahun ini mencatatkan penurunan terutama di empat negeri yang menjadi sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kata Menteri KDN. Ini adalah satu contoh kejayaan polis kita dalam menangani jenayah di negara kita.

Kita berharap sempena Hari Polis ke 204 hari ini, tekad dan semangat pasukan polis makin tinggi dalam menjalankan amanah.

SELAMAT HARI POLIS KE - 204 untuk semua anggota PDRM!

Tuesday, March 22, 2011

Rakyat Sarawak Harus Bijak Tolak Pakatan Rakyat!


Salam,

Seperti dijangka, DUN Sarawak sudah pun dibubarkan. Pembubaran ini membuka laluan kepada PRU ke-10 bagi negeri Sarawak. Maka lenyaplah sudah teka-teki pilihanraya Sarawak dan berakhirlah sudah ramalan yang mengatakan PRU 13 serentak dengan pilihanraya Sarawak. Cuma yang belum berakhir, teka-teki bila PRU 13 akan diadakan ?

Di atas kertas, BN pasti akan mengekalkan kedudukan memerintah negeri Sarawak. Pakatan Rakyat bukanlah saingan untuk BN. Kalau pun ada saingan, mungkin cuma DAP sahaja akan kacau daun, mencacatkan kemenangan bergaya BN. Politik janji bulan bintang dan permusuhan yang dipelopori pembangkang tidak akan berkesan di Sarawak.

Sama seperti Sabah, rakyat Sarawak dahagakan pembangunan. Masih banyak lagi prasarana asas yang ditagih. Bekalan air, elektrik dan kemudahan pendidikan adalah keperluan utama bagi penduduk pedalaman. Dan kemudahan ini hanya akan mampu disediakan oleh kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin dengan nasib rakyat.

Kemampuan dan tanggungjawab ini semacam tidak dapat dilaksanakan oleh pakatan pembangkang untuk mengambil alih teraju pemerintahan. Apalagi melihat senario yang ada sekarang, dengan PKR umpamanya ibarat sebuah kapal yang sedang 'rabak' menunggu karam. Bayangkan bagaimana PKR mahu fokus untuk memerintah Sarawak ketika pergolakan dalaman parti pun tidak dapat diatasi?

Malah bagaimana pula nak menerajui pemerintahan negeri dan menguasai Putrajaya sebagaimana yang digembar-gemburkan, jika pemimpinnya asyik terpalit dengan dakwaan seks sepanjang masa? Nak bagi DNA pun takut pulak tu...

Kita percaya dengan kemampuan rakyat Sarawak berfikir dan menilai untuk membezakan antara kaca dan permata. Pasti rakyat tidak akan terkeliru dan terpesona dengan kaca berwarna 'jingga' yang belum pasti menjanjikan apa-apa, berbanding begitu banyak 'permata' yang telah diberikan kepada negeri Sarawak selama ini.

Namun begitu, jentera BN tidak boleh berasa selesa. Usaha mendekati rakyat harus diteruskan. Mana yang keliru mesti disedarkan. Biar mereka tidak dilamun mimpi dan berpijak di bumi nyata, memilih BN untuk meneruskan kesinambungan pembangunan negeri sarawak!

Friday, March 11, 2011

Premium insurans tak masuk akal !


Salam,

Kita menyokong penuh suara para wakil rakyat sama ada dari daripada kerajaan dan pembangkang yang bersatu membantah tindakan syarikat insurans 'mencekik darah' pengguna kereta lama berusia lebih 10 tahun. Suara bantahan yang diutarakan mereka memang berasas. Ramai pengguna mengeluh dan tertekan dengan situasi yang berlaku.

Namun, di pihak pengguna kereta lama dan yang ingin mengambil insurans pihak ketiga, tiada pilihan lain. Tidak mengambil insurans yang ditawarkan oleh syarikat pencekik darah ini bererti cukai jalan kereta tidak dapat diperbaharui. Inilah dilema yang dihadapi, yang akhirnya memaksa pengguna terpaksa membayar insurans yang lebih mahal berbanding dahulu.

Insurans kereta baru lebih murah berbanding dengan insurans pihak ketiga. Malah membeli insurans pihak ketiga lebih mahal daripada insurans 'first party'. Peliknya pemilik kereta lama - yang membeli insurans sekadar untuk memperbaharui cukai jalan - tidak pula dibenarkan membeli insurans 'first party'. Alasan syarikat insurans ialah kereta lama ini berisiko tinggi.

Situasi ini makin menyusahkan rakyat, ditambah pula dengan karenah bengkel panel yang dilantik syarikat insurans, jika kereta mengalami kemalangan. Penipuan bengkel panel ini memang berleluasa, alag ganti tiruan, mutu kerja yang rendah dan tempoh menunggu yang lama adalah sebahagian karenah yang terpaksa dihadapi pengguna. Tuntutan yang keterlaluan, diluluskan pula oleh syarikat insurans.

Diharapkan suara para wakil rakyat ini didengar oleh Bank Negara Malaysia. Biar ada tindakan susulan yang lebih bernas dan adil untuk kepentingan pengguna kereta.

Monday, March 7, 2011

PBBS MEMACU PROSES TRANFORMASI


BEAUFORT: Hampir seribu orang terdiri daripada perwakilan dan pemerhati Persatuan Biasya Bersatu Sabah (PBBS) dari seluruh daerah di negeri ini akan menghadiri mesyuarat agung kali ke 20 yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mac ini bertempat di Dewan Masyarakat Baru Beaufort.

Setiausaha Agung (PBBS) Awang Anak Abd Sani (gambar) berkata dari jumlah tersebut sebanyak 514 orang perwakilan dari 257 buah cawangan akan menghantar pewakilannya ke mesyuarat agung kali ini dan selebihnya merupakan permerhati dari cawangan cawangan (PBBS)

Menurut Awang Anak Presiden (PBBS) yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Janang Gayuh Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin ( gambar) dijangka akan melakukan upacara perasmian mesyuarat agung kali ini.

Tambahnya empat perkara akan di sentuh dalam ucapan dasar presiden kali ini yang menyentuh soal pendidikan, ekonomi,sosial dan agama

“ Empat perkara yang akan disentuh dalam ucapan dasar persiden kali ini merupakan asas bagi menjayakan matlamat mentranformasikan (PBBS) dalam menyokong Gagasan 1 Malaysia bagi memacu anjakan paradigma masyarakat biaya menghadapi cabaran di alap baru khususnya dalam mengisi keperluan pembangunan sebagai sebuah negara maju menjelang 2020” katanya ketika ditemui di sini pagi kemarin.

Menurut Awang Anak ucapan dasar ini akan dibahaskan oleh para perwakilan yang hadir bagi mencari resolasi yang terbaik dalam menjayakan proses tranformasi tersebut dan ianya akan turut di gulung oleh Timbalan dan Naib-Naib Presiden diakhir persidangan.

Sehubungan dengan itu Awang Anak turut mengingatkan agar para perwakilan yang hadir ke mesyuarat agung kali ini memanafaatkanya sebagai wadah untuk bertukar tukar pandangan disamping mengemukan idea dan pandangan khususnya untuk memperkasakan lagi hala tuju perjuangan (PBBS) bagi menghadapi cabaran mendatang.

Dalam perkembangan lain Awang Anak juga meminta agar cawangan cawangan yang belum lagi menghantar senarai perwakilan,permerhati serta laporan mesyuarat agung di cawangan masing-masing agar dapat mengemukanya secepat mugkin kepada urussetia persidangan di ibu Pejabat (PBBS) bagi memudahkan pihak pengurusan menyediakan segala keperluan bagi mempestikan persidangan kali ini berjalan dengan baik dan teratur.

Sumber: mpbeaufort.blogspot

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin