Search This Blog

Thursday, January 5, 2012

Jangan Putus Sahabat, Saudara Kerana Politik!

Salam,

Semenjak penghujung tahun 2011 hingga ke hari ini, suhu politik negara, negeri dan kawasan semakin 'panas'. Dijangka suhu panas ini akan berterusan menuju ke detik pilihanraya yang akan datang. Semakin lambat parlimen atau DUN dibubarkan, maka semakin bertambahlah kepanasan suhu politik ini.

Isu NFC dan 901 adalah isu panas di peringkat nasional. Di kawsan dan di peringkat negeri Sabah, isu pemimpin keluar parti dan menubuhkan parti baru ( siap ada nama SPF ) mengambil tempat dan menjadi bualan hangat. Sejauh mana kebenaran isu-isu ini, kita serahkan kepada empunya diri dan pihak berkuasa mengambil tindakan wajar. Tentu saja ada pertimbangan terbaik di pihak yang berkenaan untuk meredakan keadaan.

Sementara Itu, wajar kita mengambil iktibar tulisan seorang blogger Faizuleffende sebagai renungan. Menurut beliau...Sesungguhnya kekerasan tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Malah katanya.... Bayangkanlah alangkah bahagianya jika kita semua orang Islam dapat bersama-sama bergandingan dan memajukan Malaysia ! Kerana pangkat dan kuasa kita sanggup membenci, memfitnah, mencerca dan menjatuhkan sesama bangsa.

Kerana kemabukan kepada kuasa politik ada yang sanggup berkerat rotan berpatah arang, putus saudara putus sahabat. Malah ada yang
tergamak berpeluk cium dengan orang lain yang belum terbukti kejujurannya. Bukankah politik cuma alat untuk menjayakan tugas sebagai
khalifah di muka bumi. Kekuasaan politik yang didambakan bukanlah matlamat akhir yang mahu dikejar. Berbaloikah Jika menang dan berkuasa di atas gelimpangan tubuh saudara dan sahabat yang dicedera dan dibunuh oleh fitnah dan maki hamun, daripada permainan
politik ganas dan kotor?

Para pelaku politik dari aliran mana pun wajar melakonkan watak politik secara profesional, bijak dan gentleman. Bentangkan menifesto kepada rakyat jelata, serahkan kepada kebijaksanaan mereka membuat pilihan. Rakyat hari ini sudah cukup cerdik untuk memilih parti dan calon terbaik yang akan berkhidmat untuk mereka. Generasi muda umpamanya sudah tahu kriteria parti dan calon yang bertanggungjawab dan mampu memenuhi aspirasi muda. Sama sekali jangan perbodohkan mereka dengan desakan yang tidak perlu.

Dalam menunggu detik untuk kita membuat pilihan, hubungan baik dan harmoni antara sahabat, antara saudara dan sesama kaum yang
dibina sekian lama, hendaknya janganlah diruntuhkan. Jangan dilayan provokasi, jangan jua diturut rasa nanti binasa, jangan terlalu diikut kata hati nanti mati. Buatlah pertimbangan yang paling rasional dan objektif dan banyakkan bersabar. Yang penting dan utama, jangan diputuskan tali silaturrahim yang terikat kukuh...hanya kerana mabuk kuasa!

No comments:

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin