Cukuplah, jangan lagi berdusta!
BUKAN sebab pakatan pembangkang kuat tapi UMNO yang tak mahu menang - frasa ini semakin kerap didengar. Ia diluahkan kerana kekecewaan terhadap sikap sesetengah pemimpin bahagian yang terlalu asyik mencatur strategi dan melobi untuk menjadi calon dan mengejar kepentingan lain.
Sedangkan seharusnya keutamaan mereka kini ialah menggerakkan seluruh kekuatan bagi menentusahkan siapa juga calon Barisan Nasional (BN) menang di kawasan bahagian itu. Tetapi yang dapat dilihat ialah mereka hanya pintar menggunakan segala sendi politik untuk menumbangkan sesama sendiri tetapi mudah layu dan kelu apabila berhadapan dengan musuh politik sebenar.
Kita tidak hairan jika ini masih berlaku di negeri deposit tetap BN seperti Johor, Sarawak ataupun Sabah. Tapi sikap ini terus leluasa di negeri yang kini dipimpin pakatan pembangkang. Tidak serikkah mereka?
Kita sepatutnya sudah melihat satu gerakan transformasi politik besar-besaran di peringkat bahagian di Kelantan, Selangor dan Kedah serta beberapa bahagian di negeri lain yang kedudukan politiknya masih belum stabil. Tepuklah dada, apakah itu yang dirasai dan berlaku?
Kalaupun berlaku, ia tidak seperti diharapkan. Masih banyak lompang yang perlu diperbetulkan sedangkan pilihan raya umum sudah terlalu dekat. Keyakinan majoriti rakyat bahawa hanya UMNO dan BN mampu memimpin negara ini harus dibalas bukan sekadar dengan kata-kata dan slogan.
UMNO mesti berubah. Kata-kata keramat yang sudah usang itu mesti diterjemahkan segera. Pemimpin peringkat bahagian adalah orangnya yang memikul amanah di barisan depan untuk menggerakkan misi transformasi parti. Jangan gadaikan ikrar itu. Jangan hampakan harapan rakyat.
Apakah maknanya transformasi jika ada bahagian sanggup berdusta dan sengaja menutup peluang calon boleh menang untuk bertanding? Bukan zamannya lagi untuk pemimpin terlalu taksub dan menggunakan segala hujah bahawa 'hanya saya calon boleh menang'.
"Anda rasa UMNO telah berubah?" tanya seorang aktivis yang dekat dengan sumber risikan dan kepimpinan tertinggi UMNO dalam satu majlis baru-baru ini.
Mungkin pertanyaannya bersifat provokasi dan sekadar mahu menguji. Tetapi jawapan daripada khalayak mudah diduga - mereka belum yakin dengan perubahan di dalam UMNO. Maksudnya masih banyak yang perlu dilakukan oleh pemimpin bahagian dan juga negeri.
"Kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi sebenarnya ok. Cuma di peringkat bahagian agak kurang. Mereka lebih sibuk promosi nak jadi calon," rungut seorang pemimpin cawangan di Selangor.
Dalam nada berterus-terang beliau mengambil contoh program mendaftar pengundi. Dalam bulan Januari, mengikut angka yang diperolehinya, BN Selangor hanya mengumpul 7.000 pengundi baru, sedangkan Pas dapat mendaftarkan seramai 17.000 orang.
"Ini pun dengan bantuan NGO. Bahagian tak bergerak aktif, janji nak bayar RM10 pun belum bayar lagi," dakwanya yang membuat kesimpulan dari segi pendaftaran pengundi. BN masih kalah dengan pakatan pembangkang.
Kegagalan
Sebagaimana kegagalan bahagiannya, beliau turut merujuk kegagalan Pemuda UMNO mendaftarkan kira-kira 40,000 ahlinya yang layak mengundi. Tiada alasan yang boleh diberikan kecuali kelemahan jentera parti sendiri.
"Kita kata satu undi itu penentu, benarkah?" katanya yang kini terpaksa membuka pintu kepada badan bukan kerajaan lain seperti Perkasa, Jati dan Pekida dalam program-program bersama rakyat walaupun ia kurang digemari oleh kepimpinan tertinggi bahagian.
Bagaimanapun beliau yang juga ahli jawatankuasa bahagian semasa ditanya namanya turut disebut-sebut sebagai calon Parlimen, menegaskan bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.
"Tetapi jika tidak dicalonkan saya akan terus bantu. Dari dulu pun begitu, semua calon BN mesti kita menangkan. Kita kena ada jiwa perjuangan untuk parti," katanya yang mengaku bukan calon pilihan bahagian.
Semangat seperti itulah yang mesti dicontohi, mendahulukan kepentingan parti melebihi diri sendiri. Sedang kesepakatan pakatan pembangkang lebih banyak mendatangkan kecurigaan dan kekecewaan rakyat, UMNO dan BN tidak boleh leka. UMNO dan BN kena tunjukkan ia adalah sebuah entiti terbaik untuk terus memimpin rakyat negara ini.
Jangan contohi sebuah negeri itu yang hampir semua pemimpin utama bahagian masih bertegas mahu menjadi calon sedangkan laporan daripada banyak sumber termasuk risikan tidak memihak kepada mereka. Jika belum berperang sudah tidak peduli dengan suara akar umbi, bagaimana mereka mahu menawan negeri itu?
Jangan pula contohi kerenah sesama warlord di sebuah negeri kecil yang masih gagal memadam api amarah dan terus berseberangan sehingga bertentangan mata pun tak boleh. Jika di peringkat parti masih gagal menunjukkan peri pentingnya perpaduan, bagaimana mereka mahu memikat hati rakyat?
Sebenarnya jika pemimpin bahagian jujur dan tidak berdusta, jalan yang ditempuh untuk menyekat kemaraan pakatan pembangkang akan menjadi lebih mudah.
Jika inilah yang berlaku, majoriti dua pertiga sudah tentu berada dalam genggaman. Dan tidaklah sukar sangat mempertahankan negeri yang sedia ada serta bertambahlah semangat untuk merampas kembali kawasan yang ditawan.
Mereka di bahagian tentu tahu benar siapa calon boleh menang itu. Sama ada calon itu berada dalam kepimpinan bahagian, di persekitaran atau orang luar, merekalah yang lebih mengetahui. Ukurlah diri sendiri. Adakah mampu menyaingi kemampuan calon lawan dan seterusnya memenuhi kehendak rakyat yang semakin kompleks itu?
Masanya semakin suntuk. Mengapa perlu mempertontonkan arogansi jika ia hanya membawa petaka kepada kepentingan yang lebih besar? Insaflah, masih ramai orang di negara tercinta ini menaruh harap kepada UMNO untuk terus menjadi tulang belakang kepada perjuangan asas memartabatkan agama, bangsa dan negara. - warungpolitikmm@gmail.com
No comments:
Post a Comment