Search This Blog

Loading...

Thursday, August 6, 2009

Selepas Demo ISA : Apa Yang Kita Dapat?


Salam,


Ramai sahabat termasuk pengunjung blog ini melontarkan soalan - termasuk bertanyakan hukum Islam - berkaitan ISA kepada penulis. Tulisan ini mencuba untuk menjelaskan pendirian penulis berhubung ISA.


Penulis setuju ISA sebagai undang-undang pencegahan wajar dikekal, dengan pindaan beberapa perkara. Terma yang menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan berlaku penganiayaan mesti dipinda, agar ruang untuk dipertikaikan dapat dikurangkan.


Kenapa ISA wajar kekal? Saya berpendapat selagi wujud segelintir rakyat yang tidak waras, tidak rasional dan bersikap perkauman yang menebal, selagi itulah ISA perlu untuk mengawal segelintir rakyat ini sebelum majoriti rakyat menjadi mangsa, sebelum segelintir rakyat menghuru-harakan kedamaian hidup di negara ini.


Banyak contoh bagaimana situasinya apabila rakyat sudah dibuai emosi, dihasut pula oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Suasana menjadi tegang, rakyat akan tertekan dan negara akan dijauhi oleh pelabur dan pelancong asing. Tanpa ISA, mungkinkah ada akta lain yang boleh membendung situasi ini daripada berlaku?


ISA zalim? Sebahagian rakyat yang keluarganya menjadi mangsa ISA memang terasa pedihnya penangan ISA. Suami dipisahkan daripada anak dan isteri untuk satu tempoh, tanpa dibicarakan. Namun terfikirkah kita bahawa keluarga Segadevan dan Mathew Anak Medan yang dibunuh dalam kes Al Mau'nah Sauk, telah dirampas kebahagiaan hidup mereka gara-gara segelintir umat yang sudah terpesong.


Tidakkah tindakan segelintir rakyat yang merusuh pada 25 November 2007 juga adalah satu tindakan kezaliman? Zalim kepada para peniaga yang menutup kedai, zalim kepada orang awam yang ketakutan dan zalim kepada seluruh rakyat yang ingin hidup aman damai! Kepada keluarga yang hilang orang tersayang, mati terbunuh kerana berjuang memastikan keamanan dan kerukunan hidup bernegara, kita juga sebenarnya melakukan kezaliman!


Bayangkan tanpa ISA, apakah langkah pencegahan yang boleh dibuat membendung anansir subversif seperti ini? Biarkan dulu negara ini hancur, kemudian kita ke meja rundingan?


Hukum ISA? Saya mengakui bukanlah orang yang ada autoriti untuk memberikan fatwa begitu begini. Saya menyedari sebagai rakyat, menjadi kewajipan kepada saya untuk mentaati keputusan pemerintah - kecuali pada perkara yang jelas dan terang bersalahan dan tidak boleh diterima akal yang waras. Dan saya pula tidak berhasrat 'menyokong' fatwa orang politik yang jelas berkepentingan. Haram bila dilakukan oleh musuh, halal bila dibuat rakan sendiri!


Ada pula sahabat yang menyatakan hanya orang bodoh saja yang menyokong ISA. Mungkin saya - bersama sebahagian rakyat yang lain - bodoh menyokong, tetapi sekurang-kurangnya lidah kami bukan lidah bercabang biawak seperti Anwar Ibrahim. Tidak konsisten dalam keputusan, 1974 menentang, selepas itu menyokong kerana perut sudah kenyang. Hari ini demi kerana kuasa, ISA kembali menjadi hantu!


Pro dan kontra dalam sesuatu isu adalah lumrah. Sementara penentang ISA ada hujah memansuhkan ISA, hujah golongan yang hendak ISA dikekalkan juga wajar dirai dan dihormati. Janganlah hendaknya kita bersikap bodoh sombong, memaksa semua orang menurut kehendak kita. Jika kita percaya kepada demokrasi, majoriti adalah pemenang maka seharusnya tidak timbul pertikaian.


Kita jadikan PRU13 sebagai referendum. Jika Pakatan Pembangkang menang dan memerintah negara, mansuhkan saja ISA. Apa yang susah...tidak perlulah berarak di jalanraya untuk menyusahkan orang lain!


Paling penting, sementara menunggu PRU13 yang tempohnya dalam 2-3 tahun lagi, biarlah kita menjalankan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Pemerintah menjalankan amanah rakyat, sementara pembangkang juga menjalankan amanah rakyat.


Rakyat? Kalau pun tidak bersetuju dengan keputusan pemerintah, gunakanlah cara berhemah untuk bersuara. Mungkin peti undi adalah salurannya...bukan terpekik terlolong di jalanraya!


2 comments:

Anonymous said...

Satu pelajaran yang boleh diambil daripada demonstrasi lepas adalah ISA masih perlu.

Datu Sulaiman said...

Kalau demo menjejaskan kemakmuran dan kestabilan negara, mengapa tidak guna ISA ??? Menteri Dalam Negeri, Datuk HH perlu berani bertindak menggunakan kuasa yang ada...jangan cakap saja !

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin