Search This Blog

Tuesday, June 23, 2009

Kementerian Pelajaran Wajar Berhati-hati!


Salam,


Isu yang berkaitan dengan pendidikan memang dekat di hati rakyat. Rakyat sangat peka dan prihatin dengan apa jua perkara yang berlaku di sekitar dunia pendidikan. Setiap perkembangan yang berlaku pasti akan diikuti dengan rapat.


Semenjak kebelakangan ini, Kementerian Pelajaran terus mencuri tumpuan dengan beberapa isu hangat berkaitan dengan pendidikan. Untuk itu Kementerian wajar bersikap berhati-hati menangani isu berkaitan.


Bermula dengan isu PPSMI yang didesak untuk dihentikan selepas 6 tahun dilaksanakan. Menteri sudah pun bertukar, namun keputusan masih belum dibuat. Diakui keputusan sama ada diteruskan atau dihentikan, memang sukar dibuat. Banyak pro dan kontra di sekitar isu PPSMI, cuma sebarang keputusan hendaknya jangan dilengahkan. Dibimbangi semakin lewat keputusan dibuat, semakin rancak isu ini dipolitikkan oleh pihak berkepentingan.


Belum pun reda isu PPSMI, Kementerian melontarkan pula cadangan mengehadkan 10 subjek untuk diambil pelajar SPM. Hari ini, cadangan ini sudah pun diterima dan akan bermula pada 2010. Sudah pun kedengaran suara sumbang mengkritik cadangan dan keputusan ini. Rakyat bertanya, apa relevannya cadangan ini, kerana kebanyakan pelajar sememangnya mengambil 10 subjek. Hanya pelajar cemerlang sahaja yang mengambil lebih.


Tiba-tiba, Kementerian mencadangkan wajib lulus bagi subjek Bahasa Inggeris di peringkat SPM. Dilaporkan 80 peratus bersetuju dengan cadangan ini. Adalah wajar bagi Kementerian meneliti dan memperhalusi beberapa perkara sebelum melaksanakan cadangan ini. Jangan sampai seperti kes PPSMI, belum pun sempat 'masak' sudah timbul desakan untuk dihentikan!


Mengakui kepentingan Bahasa Inggeris, namun Kementerian Pelajaran wajar memastikan keperluan penting berkaitan kewajiban subjek ini nanti disediakan dengan baik. Terutamanya menyediakan guru BI yang berkelayakan mengajar subjek ini di setiap sekolah di serata negara. Keperluan ini sangat mendesak di sekolah luar bandar.


Pengabaian Kementerian terhadap perkara ini akan menyebabkan pelajar di luar bandar akan tercicir dan menjadi mangsa. Dengan persekitaran yang tidak membina, di samping budaya berbahasa Inggeris yang langsung tidak wujud seperti di bandar, keadaan pasti menjadi lebih parah jika guru mengajar BI adalah guru 'bidan terjun'.


Kementerian mesti berhati-hati menangani semua isu berkaitan dengan pendidikan. Jika tidak, dikhuatiri masyarakat khususnya di luar bandar akan melihat keputusan kementerian tidak menyebelahi mereka. Natijahnya keputusan kementerian akan ditolak rakyat, apatah lagi ditambah pula dengan sikap para oppurtunis yang pasti akan mengambil kesempatan.


Adalah malang jika penolakan kepada keputusan Kementerian ini diterjemahkan di peti undi pada PRU13 nanti! Ketika itu, mungkin segalanya sudah terlambat...


1 comment:

Zolkharnain Abidin said...

Salam,
Satu lagi isu yang menimbulkan persoalan ialah isu menghadkan 10 subjek sahaja untuk SPM. Isu ini menimbulkan sedikit perasaan kurang senang di kalangan pelajar Sains Tulin - Agama kerana mereka tidak berpeluang untuk mengambil tiga subjek utama agama Islam iaitu Bahasa Arab Tinggi, Syariah Islamiah dan Quran Sunnah. Kalau dihadkan kepada 12 itu lebih menasabah.

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin