Salam,
Seorang demi seorang, selepas bekas MP Gerakan Lee Kah Choon, disusuli Kapt Abu Zahar Hashim dan Zaid Ibrahim. Terbaru Chua Jui Meng dan SS Subramaniam pula bertindak keluar dan menyertai pakatan pembangkang.
Apa yang tidak kena?
Barisan Nasional wajar mengkaji dan meneliti perkembangan yang berlaku. Ini bukan kes terpencil, yang hanya boleh diselesaikan dengan alasan tidak menggugat kekuatan parti.
Baik Umno, MCA, MIC atau Gerakan seharusnya melihat dari segenap sudut mengapakah pemimpin atau bekas pemimpin utama parti ini meninggalkan perjuangan parti masing-masing? Mereka meninggalkan parti di kala parti sedang berkuasa, dengan menyertai pakatan pembangkang.
Kajian ini penting untuk setiap parti bermuhasabah, menilai kelemahan dan mengambil tindakan proaktif membendung gejala 'menyeberang' parti ini daripada berleluasa, yang akhirnya boleh menjadi parah.
BN harus berani mengakui setiap kelemahan yang berlaku. Berani pula untuk mengambil tindakan pembetulan. Malah setiap parti mesti berani melakukan transformasi, jika sebabnya adalah pimpinan yang sudah terlalu lama ditampuk kuasa atau dimamah usia, sewajarnya pemimpin ini menyedari untuk melakukan
peralihan kuasa.
Jika BN leka, alpa dan cuai dalam meneliti perkembangan yang berlaku ini, dikhuatiri fenomena ini akan terus melemahkan BN dan mungkin menjadi pemangkin tersungkurnya BN pada PRU13 nanti?