Belum terlambat rasanya mengucapkan Tahniah kepada Tan Sri Isa Samad dengan kemenangan bergaya di PRK Bagan Pinang.
Alhamdulilah, seperti yang dijangka Isa Samad berjaya membuktikan keputusan pucuk pimpinan memilihnya sebagai calon tidak tersilap. Terbukti juga, dia wakil rakyat yang sesuai dan menjadi pilihan pengundi Bagan Pinang, di sebalik pelbagai isu peribadi melingkari kempen beliau.
Kemenangan ini tidak setakat memulihkan semula Isa, malahan tentu sahaja memulihkan semangat dan imej Umno, sambil 'menutup mulut' para pengkritik parti, yang bangga mencanang sebelum ini legasi Umno bakal berkubur.
Semoga kemenangan besar ini dapat menyedarkan orang Melayu pentingnya Umno terus diberi kepercayaan menjadi wadah perjuangan orang Melayu di bumi bertuah ini, demi memastikan survival Melayu dan Islam tentunya terus kukuh dan utuh.
Hendaknya kemenangan bergaya ini tidak melalaikan, bukan sahaja Isa Samad terhadap amanah rakyat Bagan Pinang, malah tidak pula melekakan Umno keseluruhannya terhadap visi dan misi perjuangan. Anggaplah kejayaan ini sebagai titik tolak kebangkitan Umno dan momentum kemenangan ini terus dikekalkan sehingga PRU13 nanti.
Di sebalik derita deretan kekalahan sebelum ini, tersembunyi hikmah berguna untuk dipelajari, rupanya dalam kecewa menerima kekalahan demi kekalahan...ada sinar di hujung terowong!








