Search This Blog
Tuesday, March 13, 2012
Alfatihah 'Dirang'.....
Siapakah manusia yang begitu kejam membunuh, membakar rentung Nurul Nadirah? Seorang kanak-kanak berusia 5 tahun, belum mengerti apa-apa diperlakukan sedemikian rupa, menggambarkan beratnya masalah akal fikiran segelintir manusia di negara kita. Mengapakah Dirang harus menjadi mangsa kekejaman manusia?
Kita berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang paling wajar dan setimpal dengan 'binatang' yang bertopeng manusia ini. Sementara itu, kita berharap keluarga Dirang terutama ibunya, dapat bersabar dengan ketentuan takdir yang tertulis sedemikian. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul...
Semoga Dirang aman di sana...
Tuesday, January 10, 2012
Anwar Menang, Mahkamah Pun Menang!
Selepas berbulan-bulan diselubungi cerita kes liwat Anwar Ibrahim, akhirnya mahkamah membebaskan beliau daripada dakwaan tersebut. Maka bersorak-sorailah penyokong Anwar. Sewajarnya mereka meraikan 'kemenangan' tersebut, memandangkan sejak sekian lama mahkamah dan hakim Malaysia digambarkan tidak bebas, bersekongkol dengan Umno dan dikawal penguasa - istilah yang selalu digunakan Anwar Ibrahim.
Ya, sekian lama mahkamah dan hakim 'terhukum' oleh pandangan negatif segelintir rakyat yang melihat kebebasan kehakiman telah dihakis oleh pemerintah. Mahkamah dituduh membuat keputusan mengikut telunjuk para pemimpin. Tohmahan jahat ini semakin berkembang terutamanya apabila sesuatu kes tidak menyebelahi, maka hakim akan ditohmah tidak adil dan memihak.
Dakwaan mahkamah tidak bebas ini bukan sahaja dicanang di seluruh negara malah dijaja ke seluruh dunia. Berapa ramai pemimpin dunia yang sudah termakan dengan cerita ini?
Sebab itu, apabila Anwar dan penyokongnya bersorak gembira dengan keputusan mahkamah yang membebaskannya, maka sewajarnya mahkamah dan hakim pun bergembira meraikan kemenangan mereka. Mahkamah menang kerana kebebasan mereka diiktiraf oleh segelintir rakyat yang selama ini menafikannya. Jika mereka mahukan bukti tentang kebebasan mahkamah, mungkin inilah bukti tertinggi yang harus membuka mata dan mata hati mereka.
Apa yang diharapkan, selepas ini mereka yang selama ini memfitnah kebebasan mahkamah dan para hakim, tersedar dan berhenti daripada terus melakukan tohmahan liar. Mahu mereka memohon maaf? Rasanya tidak perlu...sebab mereka tidak akan memohon maaf!
Saturday, January 7, 2012
UMNO Lakukan Transformasi Untuk Raih Keyakinan Generasi Pasca Merdeka...Najib
Seakan penat dan berbuih mulut PM selaku Presiden UMNO mengingatkan ahli UMNO tentang perubahan dan transformasi, terutamanya untuk berdepan dengan generasi muda pasca merdeka yang kritikal terhadap UMNO. Jika apa yang diingatkan oleh PM Najib didengar dan diambil perhatian oleh anggota UMNO di setiap peringkat, kelangsungan UMNO sebagai parti peneraju Insya Allah akan berkekalan. UMNO akan kekal relevan di kalangan generasi muda andai semua menunjukkan komitmen melakukan perubahan.
Jika anggota UMNO kekal dalam kepompong lama dan terus bangga dengan sejarah gemilang UMNO sebagai modal mendekati anak-anak muda, alamat semakin jauhlah UMNO dengan genetasi muda. Maka sebab itu, di samping berpaut dengan sejarah sebagai panduan, ahli UMNO di setiap peringkat mesti melakukan transformasi sepertimana diminta PM Najib...
KUALA LUMPUR, 7 Jan – Anggota UMNO perlu berubah seiring keadaan semasa yang menyaksikan parti itu lebih demokratik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata mereka perlu berubah bagi meraih keyakinan generasi pasca merdeka.
“Mereka yang lahir pasca merdeka tidak merasai pengalaman lalu… mereka cuma nak tahu apa yang UMNO hendak buat hari ini dan akan datang, dan mereka tidak suka diingatkan bahawa budi yang lepas perlu dibalas,” katanya ketika berucap pada majlis perhargaan untuk media yang membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini Jumaat malam.
Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata parti itu tidak lagi boleh bersandar kepada sejarah semata-mata walaupun ia banyak berjasa kepada negara kerana generasi hari ini tidak dapat menyelami perkara tersebut.
“Walaupun ia (UMNO) begitu cemerlang dan tidak tertanding, tetapi kita kena bersikap realistik dan melihat ke hadapan kerana ada perubahan dalam landskap politik tanah air dan dunia,” katanya.
Beliau menegaskan UMNO mempunyai iltizam politik untuk menjadi parti terbaik dan pemimpin negara selepas memperoleh kepercayaan rakyat.
Sehubungan itu, Najib meminta anggota UMNO berusaha lebih gigih bagi membuktikan ia layak menjadi parti tunggak di negara ini.
“Saya akui kita masih ada ruang untuk membuat penambahbaikan selain membaiki kelemahan yang ada. Kita boleh lakukan perubahan daripada segi perlembagaan (parti) yang membawa kepada perubahan struktur dan membuat keputusan serta kepimpinan.
“Tetapi akhirnya, perubahan itu perlu dibuat oleh orang UMNO itu sendiri,” katanya pada majlis yang dihadiri 1,000 orang termasuk wakil media.
Thursday, January 5, 2012
Jangan Putus Sahabat, Saudara Kerana Politik!
Semenjak penghujung tahun 2011 hingga ke hari ini, suhu politik negara, negeri dan kawasan semakin 'panas'. Dijangka suhu panas ini akan berterusan menuju ke detik pilihanraya yang akan datang. Semakin lambat parlimen atau DUN dibubarkan, maka semakin bertambahlah kepanasan suhu politik ini.
Isu NFC dan 901 adalah isu panas di peringkat nasional. Di kawsan dan di peringkat negeri Sabah, isu pemimpin keluar parti dan menubuhkan parti baru ( siap ada nama SPF ) mengambil tempat dan menjadi bualan hangat. Sejauh mana kebenaran isu-isu ini, kita serahkan kepada empunya diri dan pihak berkuasa mengambil tindakan wajar. Tentu saja ada pertimbangan terbaik di pihak yang berkenaan untuk meredakan keadaan.
Sementara Itu, wajar kita mengambil iktibar tulisan seorang blogger Faizuleffende sebagai renungan. Menurut beliau...Sesungguhnya kekerasan tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Malah katanya.... Bayangkanlah alangkah bahagianya jika kita semua orang Islam dapat bersama-sama bergandingan dan memajukan Malaysia ! Kerana pangkat dan kuasa kita sanggup membenci, memfitnah, mencerca dan menjatuhkan sesama bangsa.
Kerana kemabukan kepada kuasa politik ada yang sanggup berkerat rotan berpatah arang, putus saudara putus sahabat. Malah ada yang
tergamak berpeluk cium dengan orang lain yang belum terbukti kejujurannya. Bukankah politik cuma alat untuk menjayakan tugas sebagai
khalifah di muka bumi. Kekuasaan politik yang didambakan bukanlah matlamat akhir yang mahu dikejar. Berbaloikah Jika menang dan berkuasa di atas gelimpangan tubuh saudara dan sahabat yang dicedera dan dibunuh oleh fitnah dan maki hamun, daripada permainan
politik ganas dan kotor?
Para pelaku politik dari aliran mana pun wajar melakonkan watak politik secara profesional, bijak dan gentleman. Bentangkan menifesto kepada rakyat jelata, serahkan kepada kebijaksanaan mereka membuat pilihan. Rakyat hari ini sudah cukup cerdik untuk memilih parti dan calon terbaik yang akan berkhidmat untuk mereka. Generasi muda umpamanya sudah tahu kriteria parti dan calon yang bertanggungjawab dan mampu memenuhi aspirasi muda. Sama sekali jangan perbodohkan mereka dengan desakan yang tidak perlu.
Dalam menunggu detik untuk kita membuat pilihan, hubungan baik dan harmoni antara sahabat, antara saudara dan sesama kaum yang
dibina sekian lama, hendaknya janganlah diruntuhkan. Jangan dilayan provokasi, jangan jua diturut rasa nanti binasa, jangan terlalu diikut kata hati nanti mati. Buatlah pertimbangan yang paling rasional dan objektif dan banyakkan bersabar. Yang penting dan utama, jangan diputuskan tali silaturrahim yang terikat kukuh...hanya kerana mabuk kuasa!
Sunday, January 1, 2012
Selamat Tahun Baru 2012....
Ramai meramalkan tahun 2012 adalah tahun penentuan. Mementukan sama ada BN masih terus berkuasa atau Pakatan Rakyat akan melangkah ke Putrajaya selepas PRU13 nanti. Diramalkan pilihanraya akan diadakan tidak akan melebihi bulan Jun tahun ini.
Melihat kepada senario politik sepanjang tahun 2011, BN dan PR mempunyai peluang yang seimbang untuk memenangi pilihanraya. Ketika kelebihan silih berganti di antara kedua parti, cerita negatif juga tidak terlepas di antara keduanya. Parti manakah yang berjaya mengawal 'kerosakan' dalaman seharusnya muncul sebagai pilihan dalam kalangan pengundi atas pagar - yang memerhati dengan teliti perkembangan semasa.
Sementara pilihanraya belum tiba, eloklah BN dan PR melakukan gerak kerja parti masing-masing dengan berhemah. Gelanggang politik tidak memerlukan permainan kasar, hanya untuk memenangi kuasa. Rakyat pun sudah muak melihat tindak-tanduk penggiat politik yang melampaui batas, seolah-olah rakyat terlalu bodoh untuk membuat penilaian objektif. Berkempenlah dengan cara yang adil untuk mencanang kelebihan memilih parti masing-masing.
Namun seperkara yang dilihat kelebihan BN setakat ini berbanding PR, tentu sahaja pendekatan mesra rakyat yang ditunjukkan oleh PM Najib. Pendekatan berjumpa dengan seramai mungkin rakyat di peringkat bawah - dari pemandu teksi ke peniaga restoran, golongan belia sehingga ke peminat bola - nampaknya memang menarik. Rakyat berharap pendekatan ini diteruskan bukan setakat untuk menghadapi pilihanraya, malah diteruskan pada masa depan.
Kesungguhan PM Najib dalam melaksanakan tranformasi ekonomi, sosial dan politik seperti yang dijanjikannya juga cukup mengujakan. Pelbagai bantuan yang disalurkan demi kebajikan rakyat terbanyak amat disokong. Realitinya, slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan benar-benar diterjemahkan. Diakui memang banyak lagi yang perlu dilaksanakan, namun berdasarkan pendekatan yang dijalankan memang tidak dapat disangkal bahawa akan ada banyak lagi usaha memajukan rakyat dan negara selepas ini.
Diharapkan pada tahun 2012 ini negara akan terus makmur dan maju, dalam keadaan rakyat terus bertoleransi dan hidup aman harmoni...
Friday, October 21, 2011
Menyokong HIMPUN!

Atas rasa kesedaran, blog ini menyokong Himpunan Sejuta Umat ( HIMPUN ) yang dianjurkan oleh gabungan NGO Islam esok di Stadium Shah Alam. Walaupun tidak dapat hadir dalam himpunan ini, namun semangat sebagai saudara Islam tetap bersama roh perjuangan saudara seagama.
Himpunan yang dianjurkan wajar disokong sebagai tanda keprihatinan umat Islam terhadap percubaan golongan tidak bertanggungjawab yang cuba mencabar perkara yang sudah termaktub dalam perlembagaan bahawa sebarang usaha untuk menarik umat Islam keluar agama adalah satu kesalahan.
Seharusnya peluang berhimpun ini digunakan oleh NGO Islam untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan umat Islam tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik, di samping meneruskan hubungan harmoni dengan kaum dan penganut agama lain. Hubungan baik yang sedia terjalin selama ini harus dikekalkan demi masa depan rakyat Malaysia.
Oleh sebab itu, sebarang percubaan untuk mengganggu-gugat keharmonian hubungan di antara penganut pelbagai agama di negara ini harus ditolak. Pihak penganjur sewajarnya memastikan tiada tindakan atau kata-kata provokatif dilakukan sepanjang perhimpunan ini.
Pada masa sama, cadangan memperkenalkan Akta Murtad yang dibuat sebelum ini wajar dijadikan kenyataan demi melindungi akidah umat Islam. Pihak berkuasa yang berkaitan seperti Pusat Zakat atau Baitulmal pula wajar bertindak proaktif membantu umat Islam yang susah, jika benar kebajikan menjadi senjata aktiviti memesongkan akidah umat ini.
Didoakan semoga objektif HIMPUN esok akan tercapai dan perhimpunan umat Islam ini dirahmati Allah.
Wednesday, May 18, 2011
SELAMAT HARI GURU!
Salam,
Dititipkan ucapan Selamat Hari Guru kepada semua guru Malaysia. Semoga pengumuman Perdana Menteri sempena Hari Guru pada tahun ini akan menaikkan semangat para guru dalam melaksanakan amanah mendidik anak bangsa.
Walaupun banyak pihak mendakwa ‘kejutan’ yang diumumkan tidak menyeluruh, tidak melibatkan semua guru, diharapkan ia tidak menjejaskan moral para guru dalam menjalankan tugas. Mungkin boleh dijadikan iktibar oleh para guru sekalian, bagaimana susahnya guru-guru kita semasa kita menjadi murid dahulu.
Dengan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang daif, malah kelas yang ada pun tidak kondusif untuk proses tersebut. Ada pula guru yang tidak berkemahiran terpaksa mengajar subjek yang bukan opsyen. Ganjaran dan pengiktirafan jauh sekali untuk dikejar mereka. Namun, dalam keadaan sedemikian rupa, hasil usaha mereka telah menjadikan kita apa yang kita jadi sekarang.
Sebagai guru, wajar untuk kita bermuhasabah dalam usaha menjadikan kita guru yang cemerlang. Guru yang lebih baik daripada guru-guru kita dahulu. Dengan prasarana pendidikan yang cukup baik – walaupun mungkin belum lengkap – seharusnya pencapaian kita jauh lebih baik dan meningkat setiap tahun.
Keikhlasan dalam menunaikan amanah ini, dengan menjadikannya sebagai satu ibadah, akan menjadikan kerja kita lebih menyeronokkan dan berkesan.
Selamat Hari Guru untuk semua guru!
Friday, April 15, 2011
RPK Menabur Fitnah Jahat!

Salam,
Selepas hilang beberapa lama, tiba-tiba dua malam berturut-turut Raja Petra Kamarudin (RPK ) muncul di TV3. Ironinya, nada bunyi RPK kali ini amat jauh berbeza dengan RPK yang dikenali sebagai pengendali Free Malaysia Today, sebelum ini.
RPK kali ini muncul dengan menabur fitnah terhadap ‘sahabat karib’nya sendiri. Dia mereka-reka cerita karut dengan menokok tambah cerita dengan tujuan mencari publisiti. Kita ada bukti yang menunjukkan RPK memang gila publisiti.
Pasti RPK sudah dibeli dengan nilai jutaan ringgit. Atau ada hutang dia yang sudah dilangsaikan. Kita ada bukti tentang ini!
RPK juga terlibat dengan konspirasi peringkat tertinggi, dengan bersekongkol dengan wartawan TV3 yang menjadi perkakas Umno. Pasti ada dalang daripada BN dan Umno di sebalik pendedahan oleh RPK. Ini pasti dan kita ada bukti tentan perkara ini.
Segala kenyataan fitnah RPK adalah palsu, berniat jahat dan dinafikan sama sekali. Semuanya dusta, fitnah da tidak benar. Kita akan kemukakan bukti menolak fitnah RPK.
…. Pasti beginilah bunyi komen ‘sahabat karib’ RPK dan juak-juaknya.
…… Dalam tempoh sehari dua ini, pasti peribadi RPK akan diserang dari segenap penjuru. RPK pasti akan ‘dibogelkan’.
…..Pasti aka nada fatwa yang dikeluarkan ‘mengharamkan’ pendedahan RPK.
…. Nasib baik pendedahan RPK tidak menyebut pasal jam Omega. Kalau tidak pasti dikata jam Omega selamat dalam simpanan.
....Nasib kau la RPK, kau pun kenal dengan puak-puak ni. Pemimpin suci bersih mereka tidak boleh diusik. Usik ja, pasti kecoh seantero dunia. Durang tidak akan menerima kenyataan!
Tuesday, April 5, 2011
Video Seks : Siapa Penipu?

Salam,
Sementara pihak polis menjalankan siasatan terhadap video seks yang dikecohkan sekarang, ada baiknya kita meminta bantuan ‘robot’ ini yang mungkin boleh membantu mencari ‘kebenaran’.
Samad adalah seorang profesor terulung, dia berhasil mencipta robot yang boleh mengesan pembohongan, dia membuat robot itu sehinggakan ketika mendengar pembohongan, robot tersebut akan terus menampar si pembohong itu...
Samad dengan bangganya membawa robot itu ke ruang tamu dan menunggu anak lelakinya pulang. Tapi anaknya tidak kunjung pulang. Sehingga pagi barulah anaknya pulang.
"Kamu dari mana?" tanya Samad. "Ada pelajaran tambahan ayah", jawab anaknya. *PLANG* Robot tersebut menampar anaknya.
"Nak, ini adalah robot ciptaan ayah, dia akan menampar sesiapa yang berbohong!
Sekarang katakan dengan jujur, kenapa kamu pulang lewat??! "Maaf ayah... saya baru habis memonton movie di rumah kawan...". "Cerita apa? "Cerita Papadom ayah".
*PLANG*
"Katakan dengan jujur cerita apa?!" "Maaf ayah... saya tengok cerita lucah". Mendengarkan itu marahlah Samad.
"Kamu nie... kecil-kecil dah nakal... kamu nak jadi apa bila besar nanti?! Malukan ayah saja perbuatan kamu nie. Masa ayah kecil dulu , ayah tak pernah pun buat macam nie. *PLANG*
Samad ditampar oleh robotnya. Suasana hening untuk beberapa ketika...
Isteri Samad kemudian masuk ke ruang tamu dan langsung berkata... "Huh, sama saja kelakuannya, ke mana akan tumpahnya kuah kalau tak ke nasi? Bagaimana pun sememangnya dia anak awak..."
*PLANG* Robot menampar isteri Samad sebelum isterinya sempat menyelesaikan kata-katanya... dan semua terdiam...
Dengan adanya robot ini, tidak kira Dato T atau Anwar Ibrahim, siapa yang menipu kompom kena tampar. Atau pun kita guna teknologi Amerika ini, mungkin boleh membantu : Pengimbas thermal boleh kesan penipu.
Tuesday, February 8, 2011
Hargai Dengan Ucapan Terima Kasih!
Salam,
Alhamdulilah, usaha membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir berjalan lancar. Malah sebahagian pelajar sudah pun dibawa ke tanahair.
Usaha murni kerajaan yang bertindak pantas membawa pulang pelajar dari kawasan krisis sewajarnya dipuji dan dihargai. Kos yang tinggi bukanlah taruhan terhadap nyawa dan keselamatan rakyat Malaysia terutama pelajar di luar negara.
Walaupun operasi ini diselubungi dengan pelbagai cabaran yang bukan sedikit termasuk fitnah dan khabar angin yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, namun dengan kerjasama semua pihak yang bertungkus lumus, akhirnya kejayaan membuahkan hasil.
Apa yang diharapkan, usaha baik kerajaan ini akan dihargai oleh semua pihak. Walaupun perkara ini memang tanggungjawab kerajaan memastikan rakyatnya selamat di mana sahaja berada, sekurang-kurangnya ucapan terima kasih tidaklah terlalu sukar untuk dilafazkan.
Mungkin ada hikmah tersebunyi di sebalik krisis di Mesir ini. Paling kurang memperlihatkan keprihatinan kerajaan yang mendahulukan rakyat dalam tindakan berbanding mereka yang lebih suka beretorik dengan pelbagai janji manis!
Harap rakyat dan pelajar Malaysia yang terlibat tidak keliru dalam memilih kerajaan yang mana lebih sesuai memerintah negara.
Wednesday, January 26, 2011
PKR Akan Jadi Seperti Semangat 46!
Daripada 30 individu penting mengasaskan PKR, cuma tinggal tiga nama sahaja : Azizah, Tian Chua dan Badrol Amin. 90% daripadanya sudah pun keluar parti. Terbaru, seorang lagi pengasas parti Ng Lum Yong sudah pun angkat kaki.
Ini yang didedahkan oleh Ezam Mohd Nor di Labis semasa pengumuman Ng keluar parti dan menyertai MCA. Melihat senarai panjang pemimpin yang sudah keluar PKR termasuk 13 orang bergelar YB, pasti timbul tanda tanya, mampukah lagi PKR 'hidup' dalam PRU13 nanti?
Di Sabah, penggerak kuat PKR seperti Dr Jeffrey sudah pun angkat kaki. Malah dia sudah pun menubuhkan UBF yang akan bertanding pada PRU akan datang. Di Sarawak pula, ramai pemimpin PKR 'lari' menyertai SNAP menjelang PRU negeri yang bakal diadakan tahun ini.
Hish...melihat apa yang berlaku kepada PKR sekarang ini, macam ada harapan parti ini menjadi seperti parti Semangat 46 dulu. Lepas ditubuhkan, boleh dapat kerusi. Sempat bertahan dua tiga kali PRU lepas tu hilang pengaruh. Antara sebabnya, pemimpin angkat kaki.
Sekarang parti Semangat 46 tinggal jadi sejarah. Cuma bekas pemimpin parti termasuk pengasasnya yang masih ada. Adakah PKR juga akan mengikut jejak Semangat 46?
Thursday, January 13, 2011
Harimau Malaysia...Jangan Lupa Diri!

Salam,
Beruntung menjadi sebahagian anggota pasukan bolasepak kebangsaan. Ganjaran yang diumumkan PM dalam majlis meraikan kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF baru-baru ini memang cukup lumayan. Wang tunai, saham amanah ASW 2020 dan bantuan untuk latihan di luar negara berbaloi dengan kesungguhan mereka.
Diharapkan ganjaran lumayan ini tidak akan melalaikan mereka dengan misi yang jauh lebih penting selepas ini. Seharusnya, pasukan kebangsaan kena bertapak ke peringkat yang lebih tinggi daripada ASEAN. Sasaran wajar tentulah bermula mempertahankan emas Sukan Sea, melayakkan diri ke Piala Asia empat tahun akan datang. Diikuti dengan sasaran melayakkan diri ke Piala Dunia tentunya.
Sedih juga melihat tiada kelibat pasukan kebangsaan malah ketiadaan negara Asia Tenggara dalam keriuhan Piala Asia yang sedang berlangsung di Qatar. Berdasarkan perkembangan ini, kita boleh menginsafi nilai kejuaraan Piala AFF. Janganlah hendaknya kita cuma mampu juara di kalangan pasukan corot di peringkat Asia.
Kita sangat berharap ganjaran dari kerajaan ini akan terus menyuntik semangat dan komitmen para pemain untuk terus menjulang nama negara. Jika negara seperti Korea Utara mampu beraksi di peringkat Asia dan Piala Dunia, apa kurangnya dengan pasukan kita?
Mungkin nama gelaran pasukan kebangsaan – Harimau Malaya – yang tidak menggambarkan nama negara menjadi badi kepada pasukan kita. Justeru, eloklah rasanya nama tersebut segera diubah. Kita gunakan nama yang lebih menggambarkan nama Malaysia. Mungkin Harimau Malaysia…
Lagipun, nama yang diguna sekarang mengelirukan, terutama di kalangan generasi muda. Anak-anak bertanya, sejak bila pula negara kita bernama Malaya?
Monday, December 27, 2010
Tahniah 'Harimau Malaysia'!
Diucapkan tahniah kepada wira-wira negara yang mempamerkan aksi menarik dan menghiburkan, sambil menutup mulut penyokong Indonesia. Diharapkan prestasi yang ditunjukkan akan dapat diulangi pada perlawanan akhir kedua di Jakarta nanti.
Sudah agak lama tidak dapat melihat aksi 'cantik' pasukan negara, apalagi selepas kekalahan dibelasah pada perlawanan pertama tempohari. Jika aksi ini dapat dikekalkan, skuad kendalian K.Rajagobal ini bukan sahaja akan menjuarai Piala Suzuki malah mampu pergi jauh untuk bersaing sekurang-kurangnya di peringkat Asia.
Menonton aksi yang dipamerkan tadi, sewajarnya pujian diberikan kepada wira-wira negara dan mereka layak digelar 'Harimau Malaysia' - nama yang menggambarkan nama negara dan lebih sesuai. Berbanding gelaran Harimau Malaya, nama yang cuma merujuk kepada sebahagian wilayah Malaysia dan juga nama lama negara sebelum pembentukan Malaysia.
Rasanya lebih elok gelaran Harimau Malaysia diguna pakai...Tahniah wira-wira Harimau Malaysia!
Tuesday, November 9, 2010
Simpati Untuk Hamim, Pn. Siti dan Ungku Aznan!

Salam,
3 serangkai penjawat awam : Hamim Husin - BTN Wilayah Persekutuan, Pn. Siti Inshak Mansor - SMK Abdul Rahman Putra Kulai dan Ungku Aznan Ungku Ismail - SMK Bukit Selambau, Sungai Petani, telah pun digantung tugas dan diberi surat amaran kerana kesalahan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.
Perkara ini yang diberitahu oleh Datuk Nazri Aziz, Menteri JPM semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat. Diberitahu tindakan diambil berasaskan Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Disiplin) 1993.
Kita melahirkan simpati kepada tiga individu ini kerana 'terpaksa' menerima hukuman atas fakta yang dinyatakan di tempat yang salah, ketika pendengarnya tidak bersedia hakikat lantas mengaitkannya dengan kenyataan perkauman. Satu cara mudah untuk menidakkan 'fakta', kaitkan dengan rasis!
Kita berdoa semoga ketiga-tiga mereka diberi kekuatan oleh Allah untuk berdepan dengan ujian ini. Percayalah 'kesalahan' yang kalian lakukan tidaklah sekeji perbuatan dan tindakan si bangsat yang sehingga kini masih bebas tanpa sebarang tindakan, walau sudah berulang kali melakukan 'kesilapan'!
Semoga Allah merahmati kalian. Blog ini simpati dan terus menyokong kalian bertiga!
Tuesday, August 3, 2010
Kajian Semula Persekutuan Malaysia!

"Jumlah 16 negeri dan satu wilayah persekutuan Borneo akan menenggelamkan 11 negeri dan dua wilayah persekutuan di Semenanjung Malaysia,”
Salam,
Datuk Dr Jeffrey Kitingan, orang kuat PKR di Sabah berselindung di sebalik Yayasan Warisan Borneo, menggesa kerajaan Sabah dan Sarawak untuk menimbangkan secara serius mewujudkan beberapa negeri baru di kalangan mereka.
Dilaporkan beliau mencadang sejumlah 16 negeri baru - 5 negeri di Sabah dan 11 negeri di Sarawak. Alasan diberi ialah keluasan kawasan yang besar, kecekapan mentadbir yang lebih baik melalui desentralisasi dan memaksimumkan potensi.
Beliau mencadangkan perkara ini dalam satu forum sempena Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September ini.
Bekas naib pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Simon Sipaun pula dalam forum sama dilaporkan berkata bahawa dia lebih yakin bahawa tentangannya agar Sabah tidak menyertai persekutuan Malaysia adalah betul.
Dua perkara yang berbeza dalam satu forum yang sama. Nadanya tidak jauh berbeza, rasa tidak puas hati dengan Persekutuan Malaysia. Seperti ada masalah dengan persekutuan ini selepas 47 tahun ia dibentuk pada tahun 1963.
Ada sesiapa yang boleh membantu memberi jawapan?
Wednesday, February 17, 2010
Ini Bukan Mahkamah Kanggaru...

Salam,
Peribahasa Melayu ada menyebut perumpamaan Mahkamah Kanggaru. Maknanya lebih kurang mahkamah kanggaru ini bersidang ikut suka hati saja. Bagaimana perumpamaan ini bermula tidak dapat pula dipastikan.
Peliknya, bagaimana pula orang Melayu dulu-dulu tahu tentang binatang kanggaru ini? Sejenis binatang melompat-lompat sesuka hati, yang wujud di negara Australia. Agaknya, orang Melayu dulu memang tahu perangai orang Australia serupa macam kanggaru.
Ikut suka hati dia ja nak gugurkan kes mahkamah. Rasanya di Australia pun belum pernah ada kes digugurkan hanya kerana desakan atau kerana tertuduh seorang selebriti. Kalau nak ikut selebriti, banyak lagi kes kena gugurkan!
Tapi ini bukan soal siapa tertuduh. Dalam kes ini tertuduh agak mudah kerjanya. Beban pembuktian terletak di bahu pendakwa. Pendakwa perlu membuktikan bahawa perbuatan liwat memang berlaku. Jadi, kalau tiada liwat berlaku apa yang nak dirisaukan? Serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan dengan bebas dan adil. Usah ada desakan di sana-sini.
Orang Australia pun tak perlu masuk pot. Ada banyak lagi kerja yang 50 orang MP Australia boleh buat daripada nak masuk campur hal di Malaysia. Janganlah samakan perbuatan liwat yang halal di sana dengan negara ini.
Harapnya selepas memorandum bantahan diserahkan hari ini, kerajaan dan rakyat Australia faham bahawa Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat tidak perlu tunjuk ajar mereka untuk menentukan soal siapa yang harus didakwa, dibebaskan atau dijatuhkan hukuman.
Siapa yang terbukti bersalah sewajarnya menerima hukuman yang setimpal. Bukankah keadilan begitu!
Monday, January 11, 2010
Mungkin Ini Penyelesaian Terbaik!

‘‘Daripada terus mendesak hak untuk menggunakan perkataan Allah adalah lebih baik jika Katholik hanya menggunakan perkataan ‘Tuhan’ atau ‘Tuhan Yang Maha Kuasa’.
‘‘Biarlah saudara Islam kita sahaja yang menggunakan perkataan Allah untuk kebajikan supaya kita dapat hidup aman damai dan harmoni di Malaysia,”
Tuesday, January 5, 2010
Menunggu Pendirian YB Ketua Pembangkang...

Salam,
Isu kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh Mahkamah Tinggi minggu lalu menggamit reaksi yang pelbagai daripada pelbagai peringkat : pemimpin, ulama', NGO dan rakyat.
Majoriti pemimpin beragama Islam menolak keputusan mahkamah ini, sewajarnya begitulah reaksi mereka. Dikhuatiri kesilapan mengambil pendirian boleh menjadi kufur seperti kata Dato Dr Harun Din.
Suara pimpinan Umno, PAS dan sebilangan pemimpin Muslim PKR sudah pun kedengaran yang jelas tidak bersetuju, walaupun diiringi beberapa syarat dan cadangan. Pujian wajar diberikan kepada pimpinan ini, mengenepikan keuntungan politik demi maruah dan akidah Islam.
Yang cuma belum kedengaran apa pandangan YB Ketua Pembangkang, Ketua Umum PKR dalam soal ini? Menjenguk ke blog bekas Presiden ABIM, pembaca khutbah dan pernah menjadi pejuang Islam ini cuma yang kelihatan ialah salinan tampal dari blog lain.
Tidak pasti pula sama ada ia adalah pendirian rasmi beliau atau pun beliau sengaja tidak mendedahkan reaksi kerana bimbang kehilangan sokongan di kalangan pengundi beragama Kristian.
Amatlah dayus rasanya jika seorang ketua gagal menyatakan pendirian ketika orang bawahannya seperti Christina Liew pun berani menyatakan sokongan atau YB Zulkifli Nordin yang menyanggah keputusan mahkamah ini....
Saturday, December 5, 2009
BTN: Apa Kata Datuk Salleh Said Keruak ( SSK )

Salam,
Telah pelbagai macam pandangan diberikan, ekoran tindakan mengharamkan BTN oleh Kerajaan Selangor dan P.Pinang. Ada sahaja alasan diberi untuk mweajarkan tindakan mereka.
Berikut dinukilkan pandangan Datuk Salleh Said Keruak, bekas KM Sabah dan MP Kota Belud berkaitan isu BTN ini.
Di ruangan kali ini, saya ingin mengulas sedikit mengenai isu BTN. Saya tertarik untuk memberi pandangan dalam hal ini kerana saya sendiri secara peribadi pernah menyertai kursus anjuran badan tersebut.
Pada saya, apa yang diperolehi melalui kursus tersebut ialah ilmu yang amat memberi manfaat dan membantu membangkitkan semangat nasionalisma.
Fakta-fakta sejarah yang tepat dan isu-isu semasa yang dijelaskan sesungguhnya boleh membuka minda dan memberi inspirasi, justeru ia sesuai untuk difahami.
Pada saya, pihak-pihak tertentu sengaja mempolitikkan isu BTN ini untuk mengalihkan perhatian masalah dalaman parti mereka. Ia merupakan propaganda pembangkang menanguk di air keruh.
Baca seterusnya di sini.
Mungkin benar, BTN dibenci kerajaan Selangor dan P.Pinang untuk menutup kelemahan masing-masing, selepas berpeluang memerintah. Sebelum ini, menjadi pembangkang memang mudah. Kerja asyik menyalahkan orang lain.
Kini tembelang sebenar semakin hari semakin pecah. Kerana khuatir terus ditelanjangkan, tindakan pengharaman pun dijalankan. Tapi terus berkata soal akauntabiliti dan ketelusan. Alahai....
Thursday, November 19, 2009
Kalah Lagi...

Selepas tewas di Tashkent minggu lalu, pasukan bolasepak kita kalah lagi kali ini dengan pasukan Uzbekistan. Nampaknya peluang kita untuk melihat pasukan negara beraksi di Piala Asia semakin samar.
Belum lagi dikira bagaimana negara layak menghitung kelayakan ke Piala Dunia, kita pula masih terkial-kial untuk ke Piala Asia. Pada edisi yang lalu, pasukan kita layak atas tiket sebagai tuan rumah bersama.
Telah banyak analisis dibuat dengan pasukan bola kita. Sejarahnya ada, bukan tiada. Generasi pemain terdahulu pernah layak ke Sukan Olimpik dan pernah menjadi pasukan yang digeruni di peringkat Asia. Nama-nama seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Hassan Sani dan banyak lagi, bukanlah nama asing di persada bolasepak Asia.
Soalnya, mengapa generasi pemain terkini tidak mampu mengulangi pencapaian cemerlang pasukan negara seperti sebelum ini?
Mungkin satu tranformasi perlu dijalankan bukan sahaja kepada pasukan ini, tetapi merangkumi keseluruhan pengurusan FAM. Mungkin jika perlu distruktur semula, mengapa tidak sahaja dilakukan rombakan besar-besaran!
Jika dinilai sambutan, bolasepak terus mendapat sokongan pelbagai pihak. Final Piala Malaysia umpamanya, terlihat keghairahan yang bukan kepalang di kalangan penyokong bola. Negeri Sembilan yang muncul juara pula menapat habuan lumayan di atas kejayaan mereka.
Sayangnya, keghairahan dan kejayaan ini tidak seiring dengan pencapaian bola negara. Nampak gayanya, kita cuma menang sorak dengan hiruk-pikuk menang Piala Malaysia...
Selamatkan Palestin

Jahanam Israel!