Search This Blog

Friday, January 29, 2010

2 Februari...Jumpa Di Sana!!!


Salam,

Dilaporkan Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan terakhir Anwar Ibrahim untuk mendapatkan beberapa dokumen berkaitan perbicaraan kes liwatnya.

Perbicaraan yang dijadualnkan pada 25hb yang lalu tertangguh kerana Anwar ingin mendapatkan keputusan rayuannya terlebih dahulu. Dengan keputusan mahkamah ini, maka tiada lagi halangan untuk Anwar dan Saiful Bukhari mendapatkan keadilan di mahkamah.

Tiada pula alasan untuk Anwar untuk terus bermain tarik tali, asyik tangguh saja hingga kita pun terus meluat. Sesuai dengan slogan beliau sebelum ini lawan terus lawan...kali ini tiada alasan lagi untuk Anwar tangguh terus tangguh!

Berbanding dengan Saiful seorang rakyat kecil yang cuma siapa-siapa, Anwar harus berani berdepan dengan dakwaan Saiful di mahkamah. Jika benar Saiful menipu dan memfitnah, dia harus dihukum. Jika benar Anwar tidak bersalah, dia harus dibebaskan. Apa yang nak risau?

Ok sediakan minda...kita saksikan episod baru perbicaraan kes ini pada 2hb Februari nanti.

Wednesday, January 27, 2010

Mahu Lompat Ke Mana Lagi Zaid?


"Sampai bila kita mahu berpolitik dua alam... di sana kita berpegang kepada satu prinsip, di sini kita bertukar kepada prinsip lain pula," katanya.

Salam,

Begitulah kata-kata Zaid Ibrahim, ahli MPT PKR yang mengkritik pendirian PKR terhadap kerenah YB Zulkifli Nordin.

Selepas lebih setahun bersama PKR, mungkin kini Zaid lebih mengenali PKR. Parti dua alam...depan lain, belakang lain. Berhadapan orang Islam / Melayu, PKR seperti pejuang tulen untuk orang Melayu. Berhadapan dengan bukan Melayu, PKR lebih hebat daripada bukan Melayu.

"Saya yakin PKR tidak mampu mempertahankan sesuatu prinsip utama dalam perjuangannya.

Kini Zaid lebih memahami perjuangan palsu dan retorik PKR. Semua perkara mahu dilihat dari sudut keuntungan politik, kemenangan pilihanraya dijadikan taruhan walaupun menghakis perkara asas dalam pembentukan negara.

"Kita tidak mampu menjadi parti yang akan membawa perubahan kapada politik dan pentadbiran negara kalau Zulkifli Nordin pun kita tidak boleh selesai dengan cara yang sepatutnya," katanya.

Baca luahan perasaan Zaid di sini.

Jika YB Zulkifli Nordin pun tidak mampu ditangani, bagaimanakah agaknya hendak memerintah negara?. Bagaimanakah agaknya hendak melayan seribu satu kepala yang bercampur baur dalam PKR?

Akhirnya, selepas Umno, selepas PKR...di mana lagi Zaid akan menemui 'ketenangan' abadi dalam politik?

Tuesday, January 26, 2010

YB Zul...Tinggalkan Saja PKR!


Salam,

Sengketa YB Zulkifli Nordin dengan Khalid Samad semakin panjang dan berlarutan. Bukan lagi sengketa peribadi, tetapi membawa kepada institusi. YB Zul akan berhadapan dengan tindakan displin PKR dan diarah menutup mulut buat sementara waktu.

Terbaru, tindakan YB Zul melaporkan kepada polis keceluparan Khalid Samad yang terus bodoh sombong mempertahankan idealismenya untuk membenarkan kalimah Allah dikongsi dengan bukan Islam. Apalah nak jadi YB Khalid ni?

Mudah saja YB Zul, kalau nak menunggu PKR menyokong perjuangan YB dalam soal agama Islam dan berkaitan umat Islam...rasanya lebih mudah nak menunggu kucing bertanduk. PKR yang dibarisi pimpinan yang 'membenci' Islam, walaupun ramai pemimpinnya beragama Islam termasuk Ketua Umum dan Presidennya, tidak mungkin membenarkan hasrat YB menjadi kenyataan.

Di kepala mereka, biarlah agama dijual asalkan undi Bukan Islam memihak kepada PKR. Terutamanya menjelang PRU13, penentuan hidup mati bagi Anwar Ibrahim. Peluang terakhir sama ada sempat ke Putrajaya sebagai PM atau terus kempunan seumur hidup!

Untuk waktu yang terdekat, polemik kalimah Allah ini diharap akan dapat menarik sokongan pengundi Bukan Islam di Sarawak agar memberi peluang kepada PKR. Agaknya, mereka berandaian tidak kisahlah menyokong perjuangan The Herald dan sekutunya, bila dah jadi kerajaan nanti, bolehlah bertaubat....

Elok sangatlah YB Zul tinggalkan sahaja perjuangan palsu dan 'rojak' PKR...

Monday, January 25, 2010

Amaran Sahaja Tidak Mencukupi!


Salam,

Semakin hari semakin ramai pulak yang bersikap kurang ajar dan naik tocang. Aduka Taruna dan spesis seumpamanya semakin ramai.

Blog yang satu ini lagi hebat. Didedahkan Tok Rimau, blogger ini memang cukup dahsyat darjah kekurangan ajarnya. Orang yang sudah tiada pun masih mahu dihina...

Banyak lagi penghinaan di sini dan di sini.

Masih mahu memberi amaran lagi? Huh, kepala dipijak pun masih tahap amaran juga?

Friday, January 22, 2010

Antara Khalid Samad dan Mohd Tasyrif...


Salam,


Apakah perbezaan antara kedua mereka, Khalid Samad dan Mohd Tasyrif?


Khalid Samad :

- MP Shah Alam

- Pemimpin PAS

- Berterusan mempertikai larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.


Mohd Tasyrif:

- Bukan ahli politik.

- Pelajar ASWARA.

- Didakwa di mahkamah kerana 'ancaman' di Face book.


Ketika Mohd Tasyrif didakwa di mahkamah kerana 'lawak jenaka' yang tidak sepatutnya dilakukan, yang boleh menimbulkan ketegangan di kalangan penganut pelbagai di negara ini, pemimpin politik bertaraf Ahli Parlimen terus bebas mengeluarkan 'fatwa' beliau.


YB seorang ni terus-menerus beraksi, yang terbaru dia berpendapat enakmen agama yang melarang penggunaan kalimah Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman, hanya beberapa hari selepas Sultan Selangor bertitah bahawa kalimah Allah hanya untuk Islam.


Yang peliknya, tiada pula tindakan ke atas pemimpin ini? Dia terus bebas bercakap sesuka hati dia walaupun perkataannya mengguris perasaan umat Islam. Ah, mungkin apa yang dia perkatakan tidak pun menimbulkan ketegangan berbanding lawak jenaka Mohd Tasyrif...atau barangkali lawak Mohd Tasyrif menyinggung penganut agama lain, sedangkan Khalid Samad menyinggung umat Islam.
Soalan lain, di mana agaknya Menteri Dalam Negeri kita?

Tuesday, January 19, 2010

Sekeping Gambar 1000 Makna...


Salam,

Alangkah indahnya melihat gambar di atas. Time bertarung, bertarunglah sepenuh hati, sepenuh jiwa dan raga. Habis bertanding, apa lagi nak gaduh?

Bukankah elok yang menang buat kerja dia, yang kalah pun buat kerja dia juga. Kan cantik gitu...Ada kudrat, next time lawan balik! Apa susah...

Time ni, tumpukan kekuatan untuk sama-sama berganding bahu tentang 'musuh' yang sama. Yang menang atau yang kalah, musuh sebenar anda tentulah pihak lawan : PKR, PAS & DAP.

Ni gaduh sama sendiri, di kalangan penyokong apa hal? Dah tiada kerja lain?

Monday, January 18, 2010

Malang Menjadi Muslim Di Sabah dan Sarawak?


Salam,

Isu penggunaan kalimah Allah masih belum berakhir. Malah memasuki fasa baru apabila kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah ini di Sabah dan Sarawak, seperti yang diumumkan Nazri Aziz.

Ketika mahkamah belum membuat keputusan rayuan oleh KDN, kerajaan nampaknya mengambil tindakan proaktif mendahului keputusan mahkamah membenarkan penggunaan kalimah Allah. Tahniah diucapkan...

Rupanya apa yang diperjuangkan oleh Peguam Negara tentang larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald selama ini adalah untuk dikuatkuasakan di Semenenjung Malaysia sahaja.

.....umat Islam di Semenanjung Malaysia tidak dapat menerimanya kerana perkataan Allah tidak pernah digunakan untuk tujuan penyebaran, sehinggalah baru-baru ini....penganut Kristian perlu sedar bahawa penggunaan kalimah Allah sama ada di dalam upacara agama atau di dalam penerbitan di Semenanjung merupakan satu perkara yang amat sensitif bagi umat Islam.

Jika diteliti kenyataan Nazri ini, penggunaan kalimah suci ini di Sabah dan Sarawak bukanlah satu masalah, malah bukan perkara sensitif bagi umat Islam di sini. Alahai Nazri...pelik juga seorang Menteri berkata begini?

Nampaknya, kategori umat Islam sudah terbahagi dua : Umat Islam di Semenenjung dan umat Islam di Sabah dan Sarawak. Malanglah menjadi umat Islam di Sabah dan Sarawak, kerana tiada siapa yang akan mengambil peduli apabila seorang Menteri di JPM pun sudah membenarkan kalimah Allah untuk dikongsi bersama!

Peliknya, penganut Kristian sendiri pula menggesa tuntutan penggunaan kalimah Allah ini digugurkan di mahkamah. Baca di sini dan di sini. Mahkamah pula belum bersidang.

Cuma berharap JAKIM dan Menteri Agama, Datuk Seri Jamil Khir dapat mempertahankan kalimah Allah ini tanpa mengira wilayah mana. Allah yang disembah dan diesakan oleh umat Islam di Semenenjung adalah Allah yang sama disembah dan diesakan oleh umat Islam di Sabah dan Sarawak.

Jika tidak juga, apalah yang hendak dikata lagi....Apalah yang hendak dikata lagi, jika Umno pun menari mengikut gendang dan irama pembangkang berkaitan isu ini, demi menarik hati pengundi terutama menjelang pilihanraya Sarawak.

Friday, January 15, 2010

Sokongan Kepada Penyelesaian Terbaik...


Salam,

KOTA KINABALU 13 Jan. - Seorang lagi tokoh Kristian dari negeri ini, Webley Disim, yang juga Yang Dipertua Dewan Usahawan Bumiputera Sabah hari ini menggesa akhbar Herald-The Catholic Weekly menggugurkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah di mahkamah. Tegasnya, langkah itu, penyelesaian terbaik bagi mengelak pertelingkahan atau konflik antara agama terus berlaku sehingga mencetuskan ketegangan.

Ini petikan dari blog dayangwulan, seorang lagi penganut Kristian yang menyokong supaya akhbar Herald menarik tuntutan mereka dalam isu kalimah Allah.

Diharapkan pihak akhbar Herald peka dan sensitif terhadap gesaan ini, agar tindakan yang tidak membina seperti membakar gereja dapat dielakkan. Malahan lebih daripada itu, perpaduan dan keharmonian antara penduduk pelbagai agama di negara ini dapat terus dikekalkan.

Tindakan bodoh sombong yang tidak sensitif hanya akan mengeruhkan lagi kekusutan yang ada.

Tuesday, January 12, 2010

Tahniah Datuk Seri Salleh Tun Said!



Salam,
blog ini merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah
kepada Yang Berbahagia Datuk Seri Salleh Tun Said
di atas perlantikan sebagai Penasihat Sains Kepada Ketua Menteri Sabah.

Semoga pengalaman yang ada akan membantu
memajukan Sains dan Teknologi di Negeri Di Bawah Bayu.
Semoga amanah ini akan dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Monday, January 11, 2010

Mungkin Ini Penyelesaian Terbaik!


Salam,

Dilaporkan Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun mencadangkan supaya akhbar Herald-The Catholic Weekly menggugurkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah di mahkamah berikutan perkembangan yang semakin membimbangkan hingga mengakibatkan beberapa gereja dibakar.

Katanya lagi, ‘‘Sudah tiba masanya kita, masyarakat Kristian khususnya Katholik membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam supaya dengan senang hati menggugurkan perkataan Allah untuk menenangkan saudara Islam kita.

‘‘Daripada terus mendesak hak untuk menggunakan perkataan Allah adalah lebih baik jika Katholik hanya menggunakan perkataan ‘Tuhan’ atau ‘Tuhan Yang Maha Kuasa’.

‘‘Biarlah saudara Islam kita sahaja yang menggunakan perkataan Allah untuk kebajikan supaya kita dapat hidup aman damai dan harmoni di Malaysia,”

Teruskan membaca idea baik ini di sini, Utusan.

Cadangan ini sangat baik dan wajar disokong semua pihak, terutama pihak yang berkaitan dengan isu tuntutan ini. Pengguguran tuntutan mungkin jalan penyelesaian terbaik terhadap kemelut yang sedang berlaku.

Keharmonian hidup bernegara dan keamanan yang kita nikmati sekarang tiada galang gantinya. Janganlah ia dirosakkan dengan tuntutan yang jelas mencabar 'kesabaran' umat Islam, yang pasti akan menimbulkan tindak balas terutama di kalangan mereka yang tidak rasional.

Ketepikan pandangan para penganut politik yang menyokong tuntutan dengan pelbagai alasan demi kerakusan undi pilihanraya dan kemaruk kuasa. Percayalah, mereka ini tidak akan terjejas apabila keadaan sudah tidak terkawal, apabila nasi sudah menjadi bubur.

Pasti yang menerima akibat buruknya nanti ialah kita yang bernama rakyat biasa!

Saturday, January 9, 2010

Hormati Islam Sebagai Agama Rasmi: Seri Paduka


Salam,


Berkaitan perkembangan semasa yang berlaku, dinukilkan 5 cadangan untuk perhatian kerajaan:


1. Tindakan tegas termasuk ISA diambil kepada mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan dan berniat menghancurkan keharmonian hidup bernegara, tanpa mengira siapa mereka.


2. Mengambil tindakan segera dan segala daya usaha yang perlu demi memastikan kesabaran majoriti penduduk negara ini tidak terus tercabar dengan tuntutan yang bukan-bukan, seperti yang heboh ketika ini.


3. Menggubal undang-undang atau mengubah mana yang tidak sesuai, agar ruang manipulasi terhadap kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan kekal terpelihara.


4. Terus komited mengangkat dan mengekalkan Islam sebagai yang tertinggi dalam negara ini, dan memastikan apa sahaja yang berkaitan dengan Islam terus dihormati.


5. Sesuai dengan status Islam sebagai agama rasmi, papan tanda atau binaan mana-mana agama lain hendaklah dipastikan tidak melebihi agama Islam, serta dakyah agama lain tidak memesongkan umat Islam, sebagaimana yang dijamin dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia.


Titah SPB Yang Dipertuan Agong berkaitan perkara ini hendaklah diikuti!


Thursday, January 7, 2010

Serah Kepada Mahkamah - Najib.


Salam,


Bukan tidak percaya kepada mahkamah namun siapakah yang berani menjamin bahawa keputusan mahkamah selepas ini akan menghalang perkongsian kalimah suci Allah dengan bukan Islam. Logiknya, di mahkamah tinggi pun sudah menyebelahi Herald.


Sambil berserah kepada kebijaksanaan para hakim, umat Islam tidak harus berpeluk tubuh. Usaha berdoa dan solat hajat harus terus dilakukan, sambil bertawakal kepada Allah agar keputusan mahkamah selepas ini menyebelahi kita.


Blog ini menyokong tunjuk perasaan yang diadakan dan bakal diadakan. Mungkin tidak mampu mengubah apa-apa, namun sekurang-kurangnya dapat menzahirkan sikap umat Islam yang tidak bersetuju dengan sikap Herald dan keputusan Mahkamah Tinggi.


Biar nampak jelas dan disedari, umat Islam sebagai majoriti penduduk negara ini wajar dihormati. Seiring dengan penghormatan itu, sewajarnya kesucian kalimah Allah juga terus dipelihara dan tidak diperlekehkan dengan dikongsi bersama-sama dengan penganut agama lain.


Sambil kita mendengar nasihat PM Najib, penzahiran terhadap sikap kita wajar diteruskan...Allahu Akbar!!!

Wednesday, January 6, 2010

Tabik Untuk Blogger Anak Merdeka...


Salam,


Dalam keriuhan isu kalimah Allah, masih ada penganut Roman Katolik yang bersikap rasional. Hujahnya : Orang Kristian harus jujur mengakui bahawa Kalimah ALLAH adalah hak mutlak orang Islam dan apa juga usaha untuk mempertahankan bahawa perkataan itu adalah milik bersama orang Kristian dan Islam adalah merupakan satu kesilapan.


Tabik wajar kita diberikan kepada blogger Anak Merdeka - hilbertmontel, yang secara jujur mengakui bahawa : Bagi saya, demi Malaysia, demi perpaduan kaum, keharmonian antara agama di negara kita, saya sangat berharap supaya pihak Gereja dapat menerima hakikat bahawa sebenarnya Kalimah ALLAH itu bukannya milik orang Kristian dan oleh itu saya menyeru agar perkataan itu ditiadakan didalam mana-mana ajaran Kristian di Malaysia ini.




Diharapkan pendekatan sebegini dapat diikuti oleh rakan-rakan dari bangsa dan agama lain, bahawa negara yang kita kongsi ini tidak mampu untuk berpecah-belah dek kerana kesombongan masing-masing. Apa yang patut maka sepatutnya kita miliki, sebagaimana apa yang wajar menjadi milik orang lain, janganlah hendaknya cuba untuk dikongsi sehingga boleh membawa kepada perbalahan. Apalagi perkara sensitif berkaitan agama dan kaum!


Janganlah hendaknya ruang lompong dalam perundangan negara dimanipulasi untuk mendapatkan sedikit keuntungan, ketika api kemarahan umat Islam boleh membara dan membakar segala usaha persefahaman dan perpaduan selama ini...

Tuesday, January 5, 2010

Menunggu Pendirian YB Ketua Pembangkang...


Salam,

Isu kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh Mahkamah Tinggi minggu lalu menggamit reaksi yang pelbagai daripada pelbagai peringkat : pemimpin, ulama', NGO dan rakyat.

Majoriti pemimpin beragama Islam menolak keputusan mahkamah ini, sewajarnya begitulah reaksi mereka. Dikhuatiri kesilapan mengambil pendirian boleh menjadi kufur seperti kata Dato Dr Harun Din.

Suara pimpinan Umno, PAS dan sebilangan pemimpin Muslim PKR sudah pun kedengaran yang jelas tidak bersetuju, walaupun diiringi beberapa syarat dan cadangan. Pujian wajar diberikan kepada pimpinan ini, mengenepikan keuntungan politik demi maruah dan akidah Islam.

Yang cuma belum kedengaran apa pandangan YB Ketua Pembangkang, Ketua Umum PKR dalam soal ini? Menjenguk ke blog bekas Presiden ABIM, pembaca khutbah dan pernah menjadi pejuang Islam ini cuma yang kelihatan ialah salinan tampal dari blog lain.

Tidak pasti pula sama ada ia adalah pendirian rasmi beliau atau pun beliau sengaja tidak mendedahkan reaksi kerana bimbang kehilangan sokongan di kalangan pengundi beragama Kristian.

Amatlah dayus rasanya jika seorang ketua gagal menyatakan pendirian ketika orang bawahannya seperti Christina Liew pun berani menyatakan sokongan atau YB Zulkifli Nordin yang menyanggah keputusan mahkamah ini....

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin