Salam,
Kerajaan Perpaduan, cetusan idea Presiden PAS terus menjadi polemik berpanjangan. Walaupun bagaimana bentuk cadangan ini masih kabur, bualan tentangnya terus menarik perhatian.
Bahana idea ini terkena Tim. Presiden Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang ditempelak oleh Mursyidul Am PAS supaya menyertai Umno dan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok. Begitu marahnya mereka dengan idea ini!
Tidak terkecuali, Umno juga menjadi bahan cemuhan dek kerana cadangan ini. Umno dituduh terhegeh-hegeh dan berniat menjadikan idea Kerajaan Perpaduan ini sebagai talian hayat. Dikatakan riwayat Umno sebagai parti tulang belakang kerjaan Persekutuan akan berakhir pada PRU13.
Hairannya, bagaimana Umno hendak dipersalahkan dalam isu Kerajaan Perpaduan ini kerana idea ini dicetuskan oleh orang No.1 PAS. Atas sifat seagama dan sebangsa, rasanya tidak salah bagi Umno untuk menyokong dan bersama-sama menjadikan cadangan ini satu realiti.
Rasanya atas nama persaudaraan seagama bukankah lebih elok Umno dan PAS bekerjasama demi kepentingan bersama. Tidak boleh kita lupakan sejenak sengketa dan perseteruan politik selama ini, demi memastikan Islam dan Melayu terus didaulatkan, demi memastikan keharmonian yang dinikmati selama ini kekal terpelihara.
Tanpa mengenepikan hak dan peranan kaum serta agama lain, perpaduan di kalangan umat Islam - melalui dua parti yang dominannya dikuasai orang Islam - pasti akan menguntungkan, bukan sahaja umat Islam malah negara ini keseluruhannya. Sebagai penduduk majoriti, perpaduan di kalangan umat Islam memungkinkan kemajuan negara dapat dipacu dengan lebih cemerlang.
Rasanya PAS tidak akan membiarkan, demi kepentingan politik sempit, nasib umat Islam dan orang Melayu di negara ini tergadai. Kerana kerakusan merebut kuasa, sanggup dibiarkan kerjasama umat dipinggirkan! Kalau MCA pun sokong Kerajaan Perpaduan, apa masalahnya dengan segelintir penyokong PAS yang nampak semacam keliru.
Bukankah lebih elok idea ini dibincangkan bagaimana ia hendak direalisasikan. Umno dan PAS duduk semeja mencari formula terbaik, demi kepentingan negara. Rakyat pun sudah semakin muak dengan gelagat ahli politik yang tidak pernah 'berehat' asyik bertelagah.
Satu yang jelas, jika PAS boleh mengetepikan dasar perjuangannya dan menjalin kerjasama dengan parti yang terang-terang menolak kedaulatan Islam, bukankah jauh lebih mulia kerjasama dengan Umno yang ahlinya adalah sama-sama menyembah Allah yang satu - sama seperti ahli PAS?








