Search This Blog

Tuesday, June 23, 2009

Kementerian Pelajaran Wajar Berhati-hati!


Salam,


Isu yang berkaitan dengan pendidikan memang dekat di hati rakyat. Rakyat sangat peka dan prihatin dengan apa jua perkara yang berlaku di sekitar dunia pendidikan. Setiap perkembangan yang berlaku pasti akan diikuti dengan rapat.


Semenjak kebelakangan ini, Kementerian Pelajaran terus mencuri tumpuan dengan beberapa isu hangat berkaitan dengan pendidikan. Untuk itu Kementerian wajar bersikap berhati-hati menangani isu berkaitan.


Bermula dengan isu PPSMI yang didesak untuk dihentikan selepas 6 tahun dilaksanakan. Menteri sudah pun bertukar, namun keputusan masih belum dibuat. Diakui keputusan sama ada diteruskan atau dihentikan, memang sukar dibuat. Banyak pro dan kontra di sekitar isu PPSMI, cuma sebarang keputusan hendaknya jangan dilengahkan. Dibimbangi semakin lewat keputusan dibuat, semakin rancak isu ini dipolitikkan oleh pihak berkepentingan.


Belum pun reda isu PPSMI, Kementerian melontarkan pula cadangan mengehadkan 10 subjek untuk diambil pelajar SPM. Hari ini, cadangan ini sudah pun diterima dan akan bermula pada 2010. Sudah pun kedengaran suara sumbang mengkritik cadangan dan keputusan ini. Rakyat bertanya, apa relevannya cadangan ini, kerana kebanyakan pelajar sememangnya mengambil 10 subjek. Hanya pelajar cemerlang sahaja yang mengambil lebih.


Tiba-tiba, Kementerian mencadangkan wajib lulus bagi subjek Bahasa Inggeris di peringkat SPM. Dilaporkan 80 peratus bersetuju dengan cadangan ini. Adalah wajar bagi Kementerian meneliti dan memperhalusi beberapa perkara sebelum melaksanakan cadangan ini. Jangan sampai seperti kes PPSMI, belum pun sempat 'masak' sudah timbul desakan untuk dihentikan!


Mengakui kepentingan Bahasa Inggeris, namun Kementerian Pelajaran wajar memastikan keperluan penting berkaitan kewajiban subjek ini nanti disediakan dengan baik. Terutamanya menyediakan guru BI yang berkelayakan mengajar subjek ini di setiap sekolah di serata negara. Keperluan ini sangat mendesak di sekolah luar bandar.


Pengabaian Kementerian terhadap perkara ini akan menyebabkan pelajar di luar bandar akan tercicir dan menjadi mangsa. Dengan persekitaran yang tidak membina, di samping budaya berbahasa Inggeris yang langsung tidak wujud seperti di bandar, keadaan pasti menjadi lebih parah jika guru mengajar BI adalah guru 'bidan terjun'.


Kementerian mesti berhati-hati menangani semua isu berkaitan dengan pendidikan. Jika tidak, dikhuatiri masyarakat khususnya di luar bandar akan melihat keputusan kementerian tidak menyebelahi mereka. Natijahnya keputusan kementerian akan ditolak rakyat, apatah lagi ditambah pula dengan sikap para oppurtunis yang pasti akan mengambil kesempatan.


Adalah malang jika penolakan kepada keputusan Kementerian ini diterjemahkan di peti undi pada PRU13 nanti! Ketika itu, mungkin segalanya sudah terlambat...


Monday, June 22, 2009

Kerajaan Perpaduan : Apa isunya?


Salam,


Kerajaan Perpaduan, cetusan idea Presiden PAS terus menjadi polemik berpanjangan. Walaupun bagaimana bentuk cadangan ini masih kabur, bualan tentangnya terus menarik perhatian.


Bahana idea ini terkena Tim. Presiden Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang ditempelak oleh Mursyidul Am PAS supaya menyertai Umno dan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok. Begitu marahnya mereka dengan idea ini!


Tidak terkecuali, Umno juga menjadi bahan cemuhan dek kerana cadangan ini. Umno dituduh terhegeh-hegeh dan berniat menjadikan idea Kerajaan Perpaduan ini sebagai talian hayat. Dikatakan riwayat Umno sebagai parti tulang belakang kerjaan Persekutuan akan berakhir pada PRU13.


Hairannya, bagaimana Umno hendak dipersalahkan dalam isu Kerajaan Perpaduan ini kerana idea ini dicetuskan oleh orang No.1 PAS. Atas sifat seagama dan sebangsa, rasanya tidak salah bagi Umno untuk menyokong dan bersama-sama menjadikan cadangan ini satu realiti.


Rasanya atas nama persaudaraan seagama bukankah lebih elok Umno dan PAS bekerjasama demi kepentingan bersama. Tidak boleh kita lupakan sejenak sengketa dan perseteruan politik selama ini, demi memastikan Islam dan Melayu terus didaulatkan, demi memastikan keharmonian yang dinikmati selama ini kekal terpelihara.


Tanpa mengenepikan hak dan peranan kaum serta agama lain, perpaduan di kalangan umat Islam - melalui dua parti yang dominannya dikuasai orang Islam - pasti akan menguntungkan, bukan sahaja umat Islam malah negara ini keseluruhannya. Sebagai penduduk majoriti, perpaduan di kalangan umat Islam memungkinkan kemajuan negara dapat dipacu dengan lebih cemerlang.


Rasanya PAS tidak akan membiarkan, demi kepentingan politik sempit, nasib umat Islam dan orang Melayu di negara ini tergadai. Kerana kerakusan merebut kuasa, sanggup dibiarkan kerjasama umat dipinggirkan! Kalau MCA pun sokong Kerajaan Perpaduan, apa masalahnya dengan segelintir penyokong PAS yang nampak semacam keliru.


Bukankah lebih elok idea ini dibincangkan bagaimana ia hendak direalisasikan. Umno dan PAS duduk semeja mencari formula terbaik, demi kepentingan negara. Rakyat pun sudah semakin muak dengan gelagat ahli politik yang tidak pernah 'berehat' asyik bertelagah.


Satu yang jelas, jika PAS boleh mengetepikan dasar perjuangannya dan menjalin kerjasama dengan parti yang terang-terang menolak kedaulatan Islam, bukankah jauh lebih mulia kerjasama dengan Umno yang ahlinya adalah sama-sama menyembah Allah yang satu - sama seperti ahli PAS?

Friday, June 19, 2009

Bukan Penasihat Tapi Punahsihat!


Salam,

Di kalangan pemimpin, tidak kira pemimpin kerajaan, pemimpin BN atau pemimpin Pakatan Pembangkang, pasti wujud di keliling mereka sekumpulan penasihat. Peranan penasihat ini sesuai dengan namanya, tentulah memberikan nasihat yang berguna untuk kebaikan 'bos' mereka.



Penasihat yang baik akan menyatakan apa yang benar untuk dilaksanakan dan apa yang salah untuk dijauhi. Jarang ada penasihat yang berani seperti ini. Kebanyakannya bersikap mengampu dan memberikan nasihat yang salah.


Penasihat yang bersikap mengampu, tidak akan berani menyatakan kebenaran. Walau salah akan dikata benar, asalkan ia disukai oleh bos mereka. Kebanyakan penasihat jenis ini akan mengiakan sahaja kata-kata bos mereka.


Wujud pula sejenis penasihat yang salah. Sama ada disedari atau tidak oleh bos mereka, penasihat jenis ini sering memberikan nasihat yang tidak tepat, hingga menyebabkan imej bos mereka terjejas. Akibat diberi nasihat yang salah, maka tindakan susulannya pun ternyata salah.


Khabarnya, seorang Ketua Pemuda Umno Bahagian telah dinasihatkan supaya menyimpan rapi senarai keahlian pemuda cawangan. Ketika mesyuarat cawangan Umno yang sedang berlangsung sekarang hingga penghujung bulan ini, sepatutnya senarai tersebut diedarkan ke cawangan yang terlibat.


Penasihat ini dikhabarkan memberitahu bosnya, senarai keahlian tersebut adalah sulit dan tidak boleh diedarkan sesuka hati, ditakuti terlepas ke tangan pihak lawan. Begitu peka penasihat ini sehingga senarai keahlian pun diklasifikasi sulit!


Akibat bos mengikut sahaja kata sang penasihat tanpa bertanya kepada pihak lain yang lebih berpengalaman, maka diperamlah senarai keahlian tersebut. Soalnya, bagaimana pemuda cawangan hendak mengadakan mesyuarat cawangan tanpa mengetahui senarai keahlian terbaru? Di mana hendak dirujuk senarai keahlian terbaru ini?


Bos dan penasihat...sama saja. Hendak dikata dungu, tidak mungkin. Cuma mungkin kerana takut dengan bayang-bayang dan kurang keyakinan diri, maka taktik zaman purba yang selalu digunakan - menyimpan senarai keahlian - masih lagi diamalkan pada zaman maklumat cuma di hujung jari!


Bukankah senarai keahlian terbaru itu milik cawangan dan urusetia cuma menyimpan salinannya sebagai rujukan. Daripada senarai tersebut dapatlah diketahui jumlah ahli pemuda yang terkini, kerana pemuda yang melebihi umur 40 tahun secara automatik akan gugur keahlian pemudanya dan terkeluar daripada senarai tersebut.


Malanglah nasib Pemuda Umno dan Umno keseluruhannya, memiliki pemimpin muda dan kumpulan penasihat yang sedemikian rupa. Keliru dan mengelirukan. Orang tua berpesan: Bodoh tidak boleh diajar, Cerdik tak boleh diikut!


Lagi malang ahli pemuda bahagian berkenaan. Dek kerana penasihat yang bodoh sombong, diikuti pula oleh 'Bos' yang bagai kerbau dicucuk hidung, maka terhasillah keputusan yang tidak bijak - menyimpan senarai keahlian buat pekasam!


Mungkin ini bukan penasihat tapi Punahsihat!

Thursday, June 18, 2009

Kawasan Hitam...


Salam,


Pada zaman darurat dahulu, kawasan yang dikuasai oleh pengganas komunis dikenali kawasan hitam. Dalam konteks pilihanraya pula, kawasan hitam merujuk kepada kawasan yang dikuasai oleh pihak lawan.


Hari ini, tanpa ancaman keganasan komunis, di luar musim pilihanraya, masih wujud kecenderungan melabel sesuatu kawasan sebagai kawasan hitam di kalangan pimpinan pemuda Umno bahagian di Sabah.


Dikhabarkan Ketua Pemuda di satu bahagian telah melabel satu kawasan daerah mengundi di bahagiannya sebagai kawasan hitam. Mengapa digelar kawasan hitam, tidak pula diketahui sebabnya. Berkemungkinan label ini diberi kerana pemimpin berkenaan tidak mendapat sokongan padu dari kawasan yang digelarnya kawasan hitam.


Jika benar apa yang disangka, maka malanglah nasib Umno. Apa yang nyata, apabila sikap label-melabel ini terus diamalkan maka semakin luaslah jurang yang terbina antara pimpinan pemuda dan kalangan anak muda ahli Umno. Bayangkan apa perasaan para pemuda di kawasan yang digelar kawasan hitam?


Tentu sahaja, sama ada ahli atau anak muda yang bukan ahli Umno berasa kecil hati. Pasti mereka tersingggung dengan label yang diberi. Sudahlah mereka ini terpinggir, tidak dilibatkan dengan aktiviti parti dan tidak pernah disapa pun oleh pimpinan pemuda, akhirnya mereka mendapat label yang tidak perlu.


Janganlah disalahkan anak-anak muda ini jika mereka bersikap sinis terhadap Umno, mencebik bibir dengan seruan pimpinan pemuda mendekati mereka kerana pengalaman yang mereka lalui amat kontras! Kita khuatir anak-anak muda ini, jika terus terbiar dan digelar 'pemuda kawasan hitam' natijahnya nanti mereka akan beralih sokongan.


Nampaknya tugas Sdr. Azman Roslan sebagai KP Umno Sabah semakin berat, terutama untuk mendidik anak-anak buahnya di kalangan KP Umno bahagian supaya dapat menjaga mulut...jangan sampai anak muda yang harus didekati akan terus menjauhkan diri! Sdr. Azman kena gerakkan anak-anak buah yang masih lena dibuai mimpi, masih seronok dengan program syok sendiri.


Hari ini, anak muda kurang berminat dengan retorik, mereka ingin melihat tindakan...Mereka ingin melihat barisan pemuda yang dekat di mata, dekat di hati!


Pasti bukan pemuda yang cuma tahu melabel itu ini...


Wednesday, June 17, 2009

Apa Lagi Yang Kau Mahu?


Salam,


Gagal difahami, apalagi yang bekas MB Perak DS Nizar Jamaluddin mahu. Semua peluang dan kesempatan sudah diperolehi, namun tindakan yang dilakukannya menggambarkan dia masih keliru dan bingung.


Diberi kesempatan memerintah sebagai MB 11 bulan lamanya. Sama ada dia berjaya atau gagal tidak dapat dipastikan, yang jelas 3 ADUN telah berpaling tadah dan meninggalkan jawatan penting sebagai Exco dan Tim. Speaker.


Awalnya dia berpeluang mengadap Sultan Perak dan memohon perkenan membubarkan DUN Perak. Setelah ditimbang, difahami permohonannya ditolak Sultan. Sebaliknya, Sultan memberi perkenan DS Zambry Kadir membentuk kerajaan baru dan mengangkat sumpah sebagai MB Perak.


Dibawanya kes ini ke mahkamah untuk diselesaikan melalui jalan perundangan. Dia berjaya dan sempat menduduki semula jawatan MB selama 19 jam. Dalam tempoh itu, dia memohon mengadap Sultan dalam usaha membubarkan DUN dan sehingga kini tidak berjaya.


Proses mahkamah berlanjutan. Mahkamah Rayuan menamakan Zambry sebagai MB Yang sah. Kini kemelut politik Perak sudah memasuki mahkamah sebagai penyelesai dan keputusan Mahkamah Persekutuan sedang ditunggu.


Pada masa sama, pengundi Bukit Gantang memilihnya sebagai Ahli Parlimen mereka. Ahli PAS pula memilih dia sebagai AJK PAS Pusat. Harapan dan kepercayaan pemilih DUN Pasir Panjang, Parlimen Bukit Gantang dan perwakilan PAS kepadanya jelas tinggi.


Namun melihat tindak tanduknya kebelakangan ini, terutama semasa hari pertama melangkah masuk ke Dewan Rakyat, tidak dapat difahami apa lagi yang dimahu oleh YB Nizar. Hari pertama masuk, sudah dihalau keluar!


Malangnya dia dihalau bukan kerana menyuarakan suara rakyat yang diwakili tetapi mendesak bubarkan DUN Perak di Dewan Rakyat. Apa kaitannya?


Melainkan untuk mendapatkan publisiti murahan atau cubaan untuk menjadi ahli sarkis!


Saturday, June 13, 2009

Gambar Memberi 1000 Makna !


Salam,

Gambar memberikan 1000 makna. Ringkas kata, Ketua Menteri Melaka, DS Mohd Ali Rustam juga 'sanggup' bersama-sama rakyat biasa menaiki kapal terbang tambang murah - Air Asia.

Maknanya juga, bukan setakat Lim Guan Eng sahaja yang berjiwa rakyat. Syabas Datuk Ali!

Monday, June 8, 2009

Menunggu Kerajaan Perpaduan...

Salam,


Kesediaan DS Najib untuk berjumpa pimpinan PAS berkaitan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan, merupakan satu hasrat yang baik.


Seperti kata Presiden dan Tim. Presiden PAS, pertemuan atau perbincangan berhubung perkara ini bukanlah bermakna PAS atau Umno akan dibubarkan untuk diserap oleh salah satu parti lain atau kemungkinan PAS menyertai BN.


Pertentangan di bidang politik bukanlah penghalang untuk bekerjasama di bidang lain. Tugas dan tanggung jawab memastikan negara ini terus makmur, harmoni dan selamat untuk didiami umpamanya, tidak akan dapat dilaksanakan oleh Kerajaan dengan berkesan tanpa kerjasama rakyat termasuk parti politik seperti PAS.


Bukanlah juga sesuatu yang janggal bagi PAS umpamanya mencadangkan sesuatu yang berguna untuk dilaksanakan, umpamanya cara membendung gejala sosial yang berleluasa. Amatlah tidak adil jika kerajaan disalahkan sepenuhnya apabila mat rempit bermaharajalela di jalan raya kerana gejala merempit ini tidak mengira anak siapa!


Diharapkan selepas apa yang dipanggil Kerajaan Perpaduan ini dapat direalisasikan, perseteruan politik Umno vs PAS ( dan parti lain seperti PKR ), dapat dikurangkan, demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Tumpuan untuk kerja-kerja lain, pemulihan ekonomi umpamanya pasti akan dapat difokus.


Sebab jika asyik bertentang, asyik berbantah, asyik tidak bersetuju dek kerana perbezaan ideology, rakyat juga akhirnya akan bertanya, apa yang kami dapat?


Kita tunggu hasilnya...

Friday, June 5, 2009

Selamat Bermuktamar!

Gambar Nobisha
Salam,


Hujung minggu ini PAS akan menjalankan urusan parti dengan bermuktamar. Istimewa muktamar kali ini ialah agenda pemilihan parti. Tumpuan tentunya pertandingan tiga tokoh merebut jawatan Tim. Presiden.


Nasharuddin Mat Isa selaku penyandang akan ditentang oleh dua naib presiden, Datuk Husam Musa dan Mat Sabu. Siapa yang mengiring Hj Hadi Awang sebagai Presiden, para perwakilan pastinya sudah mempunyai pilihan hati, di antara tiga calon tersebut.


Apa yang diharapkan melalui muktamar ini nanti, para perwakilan PAS akan dapat memilih pasukan baru yang akan membawa hala tuju PAS dalam mendepani pergolakan politik negara. Dapat memilih pimpinan yang benar-benar tulin dalam menjayakan agenda parti.


Kita berharap PAS dengan pimpinan baru nanti tidak akan terjebak dengan permainan politik yang menjadikan kuasa sebagai matlamat utama, sehingga mengabaikan banyak keutamaan lain. Permainan politik yang hanya menjadikan Umno sebagai musuh ketat, musuh yang 'wajib' yang dikalahkan walau dengan apa cara sekalipun!


Sebagai parti politik, PAS memang wajar berusaha menewaskan saingannya seperti Umno. Merebut kuasa yang dipegang selama ini oleh Umno memang benar. Namun, alangkah baiknya jika dua parti yang didominasi oleh orang Melayu beragama Islam, dapat bekerjasama dan saling membantu untuk menegakkan kesucian Islam.


Tidak mungkin dan hampir mustahil PAS dan Umno untuk dibubarkan dan bergabung sebagai satu entiti. Tapi rasanya banyak titik persamaan dalam perjuangan untuk kedua-dua parti ini. Seperti PAS yang menjadikan negara Islam sebagai matlamat, rasanya Umno juga memiliki hasrat yang sama. Cuma bezanya, mungkin Umno tidak 'berkokok' seperti PAS!


Perjuangan Umno mengangkat taraf orang Melayu yang kebetulan beragama Islam, sesuai dengan kedudukan orang Melayu sebagai peribumi di negara ini, juga rasanya tidak mungkin ditentang PAS!


Alangkah indahnya jika PAS dan Umno bercerita di atas titik persamaan tersebut. Berpadu tenaga pada kepentingan bersama. Meninggalkan seketika pakaian politik bila mempertahankan kepentingan bersama umpamanya.


Eloknya, tiada caci-mencaci, fitnah, buruk sangka, tuduhan tanpa bukti, melabel orang lain yang sehaluan dengan gelaran yang buruk dek kerana politik, kerana merebut kuasa di antara PAS dan Umno.


Rasanya tidak berbaloi jika Umno menang PAS kalah atau PAS menang Umno kalah, tetapi nasib orang Islam berbangsa Melayu di negara ini akan terpinggir!


Apalah kiranya jika hubungan PAS dan Umno baik dan harmoni, pasti nanti yang untung ialah Islam dan orang Islam!

Thursday, June 4, 2009

Langkah Yang Betul!

Salam,

Meneliti dua berita ini adalah satu tindakan yang betul. Kena dan tepat.

1. Umno akan mendapatkan pandangan ketua cawangan berhubung cadangan pindaan perlembagaan parti. Tepat kerana mungkin ada idea ketua cawangan yang bernas dan boleh diketengahkan.

Bagi ketua-ketua cawangan Umno inilah pula masanya untuk mendapatkan pandangan ahli semasa mesyuarat cawangan yang sedang berlangsung sekarang. Cadangan yang baik dan praktikal bolehlah disampaikan kepada pucuk pimpinan.

Selain pandangan ketua cawangan atau pimpinan parti, cadangan berkaitan pindaan perlembagaan Umno ini juga mungkin boleh didapati daripada para blogger. Ramai blogger pro-Umno yang rasanya sudah mengemukakan cadangan sebelum ini.

2. Bekas MB Perak, DS Nizar Jamaluddin akan menfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah memperakukan DS Zambry Kadir sebagai MB Perak yang sah. Langkah ini betul kerana keputusan mahkamah, biarlah mahkamah pula menimbang sejauh mana betul dan salah keputusan tersebut.

Jika perkara berkaitan undang-undang ini dibawa ke kedai kopi untuk dianalisis oleh rakyat yang buta berkaitan undang-undang, maka akan terjadilah analisis sesat dan menyesatkan. Pastilah berlaku tafsiran yang salah dan tidak masuk akal!

Untuk kedua-dua berita ini kredit harus diberikan kepada pihak yang terlibat. Langkah yang betul telah diambil dan tindakan susulan selepas ini pula yang akan ditunggu.

Semoga semuanya berjalan baik dan lancar...

Tuesday, June 2, 2009

Nyatakan Pendirian Anda!


Salam,


Nampaknya cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia mengehadkan 10 subjek untuk diambil pelajar dalam peperiksaan SPM mendapat respon yang pelbagai. Selain di blog ini, ramai sahabat juga meninggalkan komen di Facebook.


Kita berpeluang menyatakan pendirian terhadap cadangan ini atau cadangan subjek teras, sama ada melalui emel atau faks kepada Ketua Pengarah KPM, Datuk Alimuddin Mohd Dom, sehingga hujung minggu ini.


Emel : alimuddin.dom@moe.gov.my

Faks : 03-88894548


Respon anda penting dan sangat dialu-alukan. Selamat menulis!


Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin