Search This Blog

Thursday, October 8, 2009

Kita Akan Ditakluk Hari Ini...?

Salam,

Hari ni kita lupakan sejenak keriuhan PRK Bagan Pinang. Dilaporkan perlawanan berat sebelah, rasa nak kalah bermacam helah. Buat injuksi mahkamah nak pilihanraya ditangguhkan, dah macam kes tuduhan liwat Anwar Ibrahim pulak. Kita serahkan kepada mahkamah membuat keputusan dan pengundi Bagan Pinang 'menghukum' tipu muslihat PAS ni.


Tanpa mengira parti, marilah kita semua bersatu hati menentang penaklukan. Dilaporkan Benteng Demokrasi Rakyat ( BENDERA ) yang memiliki ilmu kebal mula menyerang negara hari ini, dimulakan di Sabah dan Sarawak.

Kelihatan dalam gambar, sebahagian ahli BENDERA sedang mendengar taklimat strategi bagaimana penaklukan dimulakan.

Sebelum BENDERA ni nak bergerak, elok rasanya mereka ke Padang membantu mana patut kepada mangsa Gempa Bumi tempohari.



Paling koman, tolong masak gulai kawah untuk anak-anak yang bergelimpangan ini. Orang Indon kan memang pandai masak.

Atau pun, tolong keluarkan mayat di bawah runtuhan untuk dikebumikan dengan terurus.


Atau pegi minta kerja dengan syarikat yang akan merobohkan Hotel Ambacang, untung-untung dapat gaji, buat beli kretek.
Kalau kebal betul, pegi ja bantu kanak-kanak ini melawan Yahudi Israel Laknatullah. Bebaskan mereka daripada penjajahan.

Kalau nak datang Malaysia nak minta kerja, datanglah. Banyak kerja ladang dan pembinaan menunggu untuk rakyat Indonesia yang ingin berusaha, bukan untuk mereka yang seronok dengan kerja bangang!

Wednesday, October 7, 2009

Syeikh Gobalakrishnan Bakal Menteri Agama!

Salam,

Siapa Jamil Khir Baharom nak pertikai penggunaan ayat suci al-Quran digunakan untuk kempen dalam pilihanraya? Apa autoriti dia bercakap melarang penggunaan ayat al-Quran untuk meraih undi?

Harussani atau Nooh Gadut pun, kalau setakat jadi mufti kerajaan, baik tak payah menyibuk. Buat kerja sendiri sebab autoriti bercakap pasal agama ini sepatutnya oleh Salehudin Ayub. Siapa dia ni?

Salehudin Ayub ialah Naib Presiden, Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) yang bertanding di Bagan Pinang. Betul juga, apa masalahnya Syeikh Gobalakrishnan berceramah dan baca ayat suci al-Quran? Dia kan berkempen nak menangkan calon PAS...tiada masalah.

Lagi pun Syeikh Gobala ni bakal Menteri Agama selepas PRU13 nanti...

Tuesday, October 6, 2009

Sembang Tiga Sekawan...

Salam,


Di anjung sebuah surau, sambil menunggu waktu Isyak, tiga orang sekawan bersembang. Macam-macam hal dibualkan, dari cerita Tsunami di Samoa, gempa di Sumatera sehinggalah ke PRK Bagan Pinang.


Pak Samad: : Eloknya PAS tak payah bertanding di Bagan Pinang. Bagi ja Isa Samad menang.


Haji Sulaiman: Hish, mana boleh Pak Samad. Tak boleh dibiarkan Umno ni menang percuma. Kena ada lawan.


Wak Lebai menyampuk : Yalah Pak Samad, PAS tak menang pun takpe, ini perjuangan dakwah.


Pak Samad: Kawasan ni kampung halaman Isa Samad, ramai saudara mara dia di sana. Dia pun pemimpin lama berjasa, bekas MB pulak tu. Banyak kelebihan Isa ni nak menang.


Wak Lebai: Atas kertas memang Isa calon favourite. Tapi dalam keadaan Umno lemah sekarang ni, tak mustahil berlaku kejutan. Orang Cina sama India dah tentu undi PAS.


Pak Samad : Kalau PAS menang pun tak jadi apa pun. Kerajaan Mat Hassan tak tergugat pun, masih ada majoriti di DUN. Patutnya PAS tak payah bertanding, sokong ja Umno demi kesatuan Islam.


Haji Sulaiman yang berdiam diri sejak tadi mula bersuara: PAS kena tentang Umno selagi dasar perjuangan Umno ni belum berubah, perjuangan kebangsaan Melayu. PAS pulak perjuangkan Islam.


Pak Samad : Kan Umno pun perjuangkan Islam macam PAS jugak? Cuma Umno berjuang bil-hikmah, tak bising-bising macam ayam, bertelur sebiji riuh sekampung.


Wak Lebai : Islam Umno ni tak ori, Islam plastik. Dulu Islam Hadhari, sekarang ni buat mazhab baru pulak, mazhab 1Malaysia.


Pak Samad: Hish wak ni, janganlah pulak nak memandai. 1Malaysia ni bukan mazhab. Ini gagasan PM kita, nak satukan rakyat Malaysia. Tanpa mengira parti, bangsa atau agama.


Haji Sulaiman : PAS dan Umno ni sampai bila pun kena berlawan. Dasar perjuangan berbeza sangat. Satu ke kiri, satu ke kanan. Macamana tak berlawan ?


Pak Samad: Tapi Haji, dasar perjuangan PAS dan DAP pun sangat berbeza, macam langit dan bumi. Macamana pulak tu, dengan Umno PAS kena berlawan, tapi dengan DAP boleh pulak PAS berkawan?


Belum sempat soalan Pak Samad dijawab, azan Isyak pun berkumandang. Haji Sulaiman, Wak Lebai dan Pak Samad bangun mengambil wuduk.



Thursday, October 1, 2009

Masa Untuk Bekerja!

Salam,


Calon harapan menggalas panji-panji perjuangan BN/Umno mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang sudahpun diketahui. Harapan tinggi disandarkan kepada Tan Sri Isa Samad, Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang.


Tanggungjawab Isa pasti berat dan berliku. Tugas mempertahankan kejuaraan tidaklah mudah, namun bukanlah payah untuk Isa 'berkempen' di kawasan yang sudah menjadi gelanggang beliau sejak 23 tahun lalu.


Suka atau tidak suka, polemik pemilihan calon harus dihentikan segera. Kini masa untuk bekerja memastikan Bagan Pinang terus dalam genggaman. Badi kekalahan PRK yang dialami sejak PRU lalu mesti ditamatkan!


Cakap-cakap yang tidak sedap didengar seperti usaha transformasi tergendala dengan pemilihan Isa ini atau seruan Tun Mahathir supaya jangan calonkan Isa, hendaknya dinoktahkan.


Peluang mesti diberikan kepada Isa untuk membuktikan dia benar-benar menjadi pilihan rakyat @ pengundi Bagan Pinang. Usaha gigih harus digerakkan agar pilihan pucuk pimpinan kali ini tidak salah atau silap. Tragedi kehilangan kerusi Kuala Terengganu mesti dielakkan.


Kini tiba masa untuk bekerja, kurangkan bercakap, giatkan usaha. Fokus kepada pengundi. Penting sekali, jangan melatah dan menari mengikut irama pembangkang, yang pasti akan menjadikan Isa sebagai sasaran.


Bak kata seorang kawan, menangkan dulu Bagan Pinang, yang lain kita bincang kemudian. Kepada para pejuang di Bagan Pinang.... Selamat Berjuang!

Wednesday, September 30, 2009

Isa Samad Taruhan BN di Bagan Pinang!


Salam,


Sempena PRK Bagan Pinang yang bakal menjelang minggu depan, kebetulan pula masih dalam suasana Hari Raya, elok rasanya para tukang kempen dari parti yang bertanding membaca ingatan mimbar jumaat minggu lalu.


Khutbah jumaat ini disediakan oleh Bahagian Penyelidikan & Informasi, JHEAINS, disampaikan pada minggu lalu di seluruh Sabah.


Bagaimanapun, berkali-kali Ramadhan ditempuhi, namun kehidupan umat sesudah Ramadhan tidak banyak berubah. Semangat beramal ibadah dan persaudaraan misalnya terpupuk dan disuburkan semasa puasa Ramadhan, dan kemudiannya disemarakkan dalam kegembiraan merayakan Aidilfitri seolah mulai menurun bilamana Syawal melambai pergi.


Masjid semakin lengang, budaya suka berhibur meluap kembali, perpaduan kembali merenggang akibat pelbagai persoalan, malah nilai-nilai murni yang menjadi rutin kehidupan semasa puasa dan Aidilfitri tidak lagi bersemarak. Keadaan ini seolah-olah menggambarkan bahawa mereka belum lulus di dalam menghayati, mengaplikasi dan melestari nilai-nilai murni yang digarap melalui pelaksanaan pelbagai amal ibadah di bulan Ramadhan.


…Syawal bukan sekadar medan atau masa untuk melahirkan rasa kegembiraan dan kesukaan belaka. Tetapi kesempatan mencorak diri menuju yang lebih baik ke depan khususnya dalam mempererat tali silaturrahim demi memantapkan ukhuwah islamiah.


…Sesungguhnya banyak fitnah dan ujian yang dihadapi oleh umat Islam di zaman mutakhirin ini. Perselisihan faham, perpecahan dan perbuatan adu domba sesame Muslim sangat membimbangkan merugikan umat secara keseluruhanya. Ini kerana memberi ia memberi ruang dan peluang kepada golongan anti Islam memanipulasi keadaan bagi memporakperandakan lagi umat Islam, yang matlamat akhirnya adalah untuk melenyapkan Islam dan penganutnya daripada peta dunia.


…. Dalam menghadapi situasi sebegini, kita amat mendambakan kepekaan dan kebijaksanaan para pemimpin Islam bagi menanganinya kerana ia dikhuatiri akan menyemarakkan api kebencian antara agama hatta menggugat keharmonian dan kententeraman rakyat berbilang kaum. Kesedaran sebagai satu kesatuan umat Islam perlu disuburkan kembali, dan bukannya saling tuding-menuding jari mengenai punca kemelut kerana ia akan hanya mengeruhkan lagi suasana konflik.


Semoga apa yang disampaikan oleh para khatib ini akan membantu mengeratkan ikatan persaudaraan di kalangan kita. Biarlah PRK Bagan Pinang dingati sebagai pertandingan untuk mencari wakil rakyat, bukan medan mencaci dan mengaibkan serta menjarakkan lagi perpecahan di kalangan saudara Islam hanya kerana ideology politik!


Tuesday, September 29, 2009

Budaya Baru Politik Malaysia!


Salam,


Kehadiran Ketua Pemuda Umno, Sdr. Khairy Jamaluddin ke Majlis Rumah Terbuka Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS mungkin mengejutkan ramai.


Walaupun amalan kunjung-mengunjung pada musin perayaan seperti Hari Raya adalah tradisi kita, namun kunjungan pemimpin utama parti yang berlawanan secara terbuka seperti yang dilakukan KJ bukanlah amalan biasa. Mungkinkah KJ cuba merintis budaya baru dalam politik Malaysia?


Kita berharap perbezaan pendapat atau pertentangan ideology di kalangan kita bukanlah halangan untuk sama-sama meraikan hari mulia yang menjadi milik bersama. Begitu juga, dalam hal kehidupan yang lain.


Hendaknya politik tidak membataskan perjuangan kita yang sama – mendaulatkan kalimah Allah di muka bumi. Berbeza tidak mengapa, tapi apa salahnya kita bersatu untuk kepentingan bersama!


Semoga semangat Aidilfitri kali ini mempertautkan ikatan ukhuwwah di kalangan kita...

Monday, September 28, 2009

Calon Menang di Bagan Pinang...


Salam,


Esok Umno akan mengumumkan calon yang akan diketengahkan untuk mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang. Sebelum calon yang akan menggalas tanggungjawab berat ini diumumkan, elok rasanya kita membaca apa yang disuarakan oleh para pemimpin.

Tun Mahathir, Bekas presiden Umno… "Faktor calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah menjadi sangat penting di Bagan Pinang malah pada pilihan raya umum akan datang.

"Bagi saya, bukan sekadar tempat ini sahaja. Soal seluruh Malaysia, orang nak tahu sama ada kita serius atau pun tidak untuk membasmi gejala politik wang, rasuah dan sebagainya,''

Seterusnya Tun berkata … "Tan Sri Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini.

"Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno,"

Ku Li, bekas calon Presiden Umno, menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihanraya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi DUN Bagan Pinang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, faktor calon memainkan peranan penting dalam pilihan raya tersebut kerana ia menjadi menjadi pertimbangan utama pengundi di kawasan berkenaan.

"Saya percaya akhirnya parti akan pilih calon yang paling sesuai, kita sepatutnya mengambil pengajaran dari pengalaman terdekat ini (Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir)

Kesimpulannya, pucuk pimpinan Umno kena berhati-hati dan menilai dengan wajar, sehabis pertimbangan sebelum mengumumkan calon. Supaya kerusi ini tidak terlepas ke tangan PAS dan Umno terus menggigit jari.


Biarlah calon yang dipilih itu, calon yang berwibawa, boleh menang dan menaikkan semula semangat dan imej Umno. Calon yang disukai rakyat, bukan disukai orang Umno sahaja.


Rasanya tidak berbaloi bagi Umno, menang di Bagan Pinang tetapi imej terus merosot...dek kerana tersalah pilih calon. Akhirnya menang di Bagan Pinang, tapi terus kalah selepas ini!


Sunday, September 20, 2009

Salam Aidlifitri


SELAMAT HARI RAYA

MAAF ZAHIR BATIN

diucapkan kepada seluruh Muslimin dan Muslimat,
khusus kepada pembaca blog ini,
kemaafan dipohonkan atas segala kelemahan.

Semoga Ramadhan berlalu dan Syawal yang tiba
akan lebih menginsafkan kita!

( Kita akan berehat seketika untuk meraikan Hari Mulia ini )

Wednesday, September 16, 2009

16 September Hari Malaysia!


Salam,

Hari ini 16 September, hari pembentukan Persekutuan Malaysia dengan gabungan Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Tanah Melayu. Hari ini juga adalah hari kemerdekaan bagi Sabah, Sarawak dan Singapura, bebas daripada penjajahan Inggeris.

Seharusnya hari ini menjadi hari 'besar' yang memberikan impak kepada semua rakyat Malaysia kerana pada tarikh ini pada tahun 1963, bermulalah sejarah baru negara bernama Malaysia.

Malangnya di Sabah dan Sarawak hari ini dingati sebagai hari cuti umum, dan di negeri-negeri lain hari ini adalah hari biasa. Di Sabah cuti pada hari ini dijadikan cuti sempena Harijadi Rasmi Kelahiran TYT Yang Dipertua Negeri Sabah.

Mungkin sudah sampai masanya untuk menjadikan hari ini sebagai hari yang benar-benar bersejarah, hari yang akan terus diingati oleh generasi mendatang. Sebelum ini sudah ada suara kedengaran mengangkat mertabat 16 September, namun hilang begitu sahaja.

Kita raikan 31hb Ogos sebagai Hari Kebangsaan @ Hari Kemerdekaan dan 16 September diangkat menjadi Hari Malaysia.

Mungkin selepas ini, 16 September tidak lagi berlalu sebagai hari cuti sahaja....

Tuesday, September 15, 2009

Kalungkan Selipar Buruk Untuk Samy Vellu!


Salam,

Tindakan Tun Mahahthir memberi pandangan ikhlas kepada MIC, ternyata mendapat reaksi yang bukan sedikit. Apa yang disuarakan Tun Mahahthir juga merupakan suara majoriti kaum India dan keseluruhan rakyat, yang dibuktikan melalui penolakan calon MIC dalam PRU lalu.

Perwakilan MIC bercadang mengalungkan selipar kepada gambar Tun Mahathir. Walaupun akhirnya cadangan ini ditolak, namun tindakan sebegini buruk untuk mengaibkan seorang negarawan amatlah dikesali.

Mungkin perwakilan MIC ini terleka bahawa kemakmuran negara yang dinikmati kini sebahagian besarnya adalah hasil 'buah tangan' oleh arkitek pembangunan negara yang mahu diaibkan. Bukan sedikit nikmat yang dikecapi oleh perwakilan ini dan ahli MIC umumnya hasil kegigihan Tun Mahahthir.

Sebenarnya yang menjadi masalah kepada MIC bukan Tun Mahathir, atau orang lain. MIC lemah dan tidak disokong oleh kaum India hari ini ialah kerana kegagalan MIC melakukan perubahan mengikut peredaran masa. MIC gagal melakukan transformasi seperti dikehendaki kaum India.

Masalah utama kepada MIC ialah kepimpinan Samy Vellu yang sudah terlalu lama. Dia gagal membaca kehendak majoriti rakyat yang telah menolaknya di Sungai Siput. Malah menolak calon MIC di kebanyakan tempat, sehingga pengaruh MIC semakin susut. Ramai pemimpin India dalam parti lain seperti PKR mampu pula menang.

Seharusnya Samy Vellu dan MIC meminta maaf kepada Tun Mahathir di atas keceluparan mereka. Apa guna menjadi pemimpin popular di kalangan ahli parti sendiri tetapi rakyat jemu dan bosan. Akhirnya, rakyat bertindak menolak bukan sahaja MIC tetapi BN. MIC menjadi liabiliti BN!

Jika Samy dan Vellu masih berkeras, kalungkan saja selipar buruk itu kepada Samy - bukan gambar Samy!

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin