Search This Blog

Saturday, October 16, 2010

Terima Kasih PM...


Salam,

Seorang kawan menghantar sms, bertanyakan pandangan peribadi terhadap bajet yang dibentangkan oleh PM semalam. Agak lama juga mencari rumusan yang sesuai dengan bajet tersebut, untuk menjawab sms kawan tadi.

Akhirnya, rumusan yang sesuai ditemui dan sms dihantar kepada kawan tersebut tengah malam tadi. Dinukilkan seperti berikut: Bajet yang menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat. Semua sektor dan golongan mendapat menfaat. Sebagai rakyat, banyak insentif yang bakal diperolehi. Terima kasih kepada keprihatinan kerajaan yang mengambil kira suara akar umbi dalam bajet kali ini, khususnya perhatian kepada Sabah dan Sarawak.
Tanpa dapat disangkal, sememangnya bajet kali amat memuaskan. Walaupun dituduh sebagai bajet menjelang PRU, memancing sokongan rakyat dan sebagainya, namun ternyata akhirnya bajet ini memang 'Bajet Rakyat'!

Di atas kertas semua tercatat elok dan cantik, semua mendapat laba. Cuma terpulang kepada pihak pelaksana untuk merealisasikannya. Diharapkan tidak berlaku 'rumah siap pahat berbunyi', biarlah bajet rakyat ini sampai benar ke sasarannya.

Terima kasih PM...

Monday, October 11, 2010

Siapa Diktator Di Sabah?...Menjawab Musli Oli!

( Gambar Faizal Julaili )

Dia jawab, ‘we are part of you and we are truly proud’ jawabnya. Saya terharu. Tapi bila saya sampai Sabah, tiada pemimpin Sabah yang sambut saya. Tapi ini tidak penting kerana nawaitu saya berjuang dalam politik dengan ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah!!”


Salam,

Musli Oli dalam tulisan terbarunya bertanyakan Siapa Diktator Di Sabah? ekoran Majlis Hari Raya anjuran PKMM di Kota Belud dirasmikan oleh Menteri KKLW merangkap Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal telah dipulau dan disabotaj.

Diktator dimaksudkan apabila pemimpin utama di Kota Belud tidak kelihatan muka, dengan antara lain alasan diberi menghadiri mesyuarat khas di Kota Kinabalu. Nampak gayanya seperti ada sesuatu yang tidak kena apabila mesyuarat khas, yang penting tentunya melibatkan para wakil rakyat terpaksa diadakan pada hujung minggu.

Menurut Musli, perbuatan sabotaj terhadap acara yang melibatkan pemimpin utama bertaraf Naib Presiden Umno ini tidak sahaja berlaku di Kota Belud. Sebelum ini berlaku di Lahad Datu dan Kudat. Ironinya, di sebalik usaha sabotaj ini masih ramai juga 'rakyat' yang hadir bersama pemimpin mereka.

Seolah ada kebenaran, ada aura yang tersembunyi dibawa pemimpin Sabah berpengkalan di Kuala Lumpur. Ada mesej yang hendak disampaikan oleh akar umbi di Sabah kepada pemimpin pusat, di celah-celah keriuhan di peringkat umbi tentang PKR dan SAPP, malah disebut-sebut USNO.

Bukan niat mahu mengajar sesiapa tetapi sejarah ada mencatat bahawa Umno tidak lemah akibat asakan pembangkang. Umno lemah akibat persengketaan sesama sendiri. Kes di Sabah membuktikan PBS berjaya menawan tampuk kuasa pada 1985 apabila USNO dan Berjaya - yang ketika itu adalah komponen BN - gagal bersatu. Apakah Umno ingin mengulangi sejarah ini?

Gajah sama gajah berkelahi, pelanduk tersepit di tengah-tengah. Peribahasa ini sangat sesuai bagi melambangkan situasi semasa. Kerana perebutan siapa yang paling berpengaruh, majlis siapa yang paling ramai hadir, sebab itulah barangkali muncul SMS yang melarang hadir ke majlis yang tetamunya adalah seorang menteri.

Hairan bin ajaib, kedatangan seorang menteri ke sesuatu kawasan adalah satu rahmat, sesuatu yang ditunggu-tunggu. Dengan harapan berkat 'sentuhan' seorang menteri ada masalah setempat yang boleh diselesaikan, tetapi tidak di bumi lahirnya Umno di Sabah.

Percayalah, kekuatan BN-Umno di Sabah yang disifatkan oleh PM sebagai fixed-deposit, lambat laun akan 'pudar' jika perangai buruk seperti mensabotaj pemimpin ini atau amalan diktator menggunakan kuasa menekan orang lain tidak segera dihentikan.

Siapa Diktator yang memecah-belahkan perpaduan BN-Umno? Seperti kata Musli Oli, biarlah rakyat yang berfikir mencari jawabannya.


Friday, October 8, 2010

Ini Kerja Jahat Umno!

GAP dan Darulehsantoday kata samseng PKR yang ganggu sidang akhbar Rahimi Osman, bekas pembantu Anwar Ibrahim. Satu tuduhan jahat yang tiada bukti, fitnah untuk memburukkan imej PKR.


Manalah ada PKR terlibat kerja jahat ini. Malah PKR tidak merestui kerja jahat ini. Kata Dr Syed Husin Ali, Tim. Presiden PKR.....

Bilalah masanya PKR pernah mengaku buat jahat? Asal jahat mesti kerja Umno, mesti fitnah.

Tuesday, October 5, 2010

Azmin...Siapa Sebenarnya Yang Tersungkur?


Salam,

Azmin Ali menyindir Tun Dr. Mahathir sebagai pemimpin yang tersungkur apabila Tun dimasukkan ke hospital di Melbourne, Australia. Dilaporkan keadaan kesihatan Tun sudah semakin pulih, Tu dinasihatkan berehat. Yang panas di tanahair...marah kenyataan biadab Azmin.

Rasa dendam dan benci Azmin terhadap Tun membara hingga ke hari ini. Marah Azmin kepada Tun kerana menghalang perjalanan bosnya ke puncak kuasa lebih sepuluh tahun lalu masih belum terpadam. Begitu dendam dan bencinya Azmin kepada Tun yang menyebabkan bosnya 'tersungkur' di pintu pejabat PM....

Kalau pun Tun Mahathir tersungkur, beliau tersungkur sebagai negarawan yang akan diingati dan terus diingati sebagai bekas PM. Berbanding Azmin atau bosnya, yang tersungkur dan mungkin akan tersungkur lagi tanpa sempat berpaut di dahan kuasa. Malah Azmin pun belum tentu menang jawatan Tim Presiden PKR yang ditandinginya.

Eloknya tidak perlu dilayan biadabnya Azmin. Biarkan dia berpolitik untuk mengalihkan isu mesyuarat dan pemilihan PKR yang berantakan. Biarkan dia menutup malu dengan bersikap biadab....

Monday, October 4, 2010

Takziah...


Salam,

Blog ini merakamkan ucapan takziah kepada Sdra Rapahi Hj Edris dan keluarga, yang ditimpa musibah kebakaran rumah pada 30hb September yang lalu.

Didoakan sdra Rapahi akan sentiasa sabar dan tabah menghadapi ujian daripada Allah ini dan diberi kekuatan dan dianugerahkan semangat waja berdepan segala dugaan.

Firman Allah:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya. – al-Baqarah (2) : 157

Tuesday, September 28, 2010

Kasino di Sabah...Harap bukan kenyataan!


Salam,

'Berita angin' yang berlegar kononnya kasino akan dibina di Sabah sebagai satu tarikan pelancongan bukanlah satu cadangan. Biarlah kekal menjadi berita angin yang tidak berkesudahan.

Kita berharap apa yang disuarakan oleh Datuk Abd Rahman Dahlan, yang menyifatkan berita angin ini sebagai satu pembohongan dan tuduhan melulu adalah benar, bukan setakat penafian dan berdolak-dalik.

Bukan apa, berita angin ini yang belum diketahui kesahihannya, memang merisaukan kita. Sebab pada tahun 2000, idea membina kasino memang pernah disuarakan oleh seorang pembesar negeri. Walaupun tidak menjadi kenyataan,tiada kasino dibina tetapi amalan perjudian di kelab-kelab sudah menjadi perkara biasa di Sabah.

Bukan setakat kasino, perjudian haram yang sangat berleluasa hingga melibatkan kanak-kanak di bawah umur di setiap daerah di Sabah juga seharusnya diambil tindakan tegas. Gejala berjudi ini sudah semakin membarah di kalangan rakyat, termasuk di kalangan umat Islam.

Monday, September 27, 2010

Perlukah Umno Kepada Nazri Aziz?


Salam,

Umno yang terkejut dengan Tsunami politik pada PRU12, sudah mulai sedar dan melakukan perubahan yang bertujuan untuk menari kembali sokongan orang Melayu/Islam. Banyak usaha telah dilakukan oleh para pemimpin Umno, walaupun kesannya belum jelas kelihatan - terutama dalam siri kekalahan pada PRK.

Malangnya, usaha murni ini pasti akan digagalkan oleh segelintir ahli dan pemimpin yang bongkak dan sombong. Pemimpin yang perasan dan masih terbuai-buai dengan 'kehebatan' Umno sebelum ini. Lebih teruk lagi, usaha pembaikan Umno akan terjejas oleh pemimpin berjawatan Menteri yang bersikap bodoh sombong.

Contohnya, Nazri Aziz.

Apa perlunya mencabar PERKASA mendaftar sebagai parti politik dan berlawan dengan Umno, sedangkan PERKASA telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai NGO yang membela kepentingan orang Melayu?

Bukankah elok rasanya untuk PERKASA melakukan kerja dan UMNO serta Nazri Aziz juga melakukan kerja, yang kesemuanya demi kebaikan Melayu dan negara.

Tindakan Nazri Aziz secara berterusan 'menyerang' Tun Mahathir juga tidak kena pada tempatnya. Rasanya Nazri Aziz pun tahu kesan serangan kepada Tun pada PRU lalu telah menjejaskan sokongan orang Melayu kepada Umno.

Mungkinkah Nazri Aziz mahu melihat Tsunami lebih besar bakal berlaku pada PRU 13 nanti? Jika begitu niat Nazri Aziz - berdasarkan banyak kenyataan beliau sebelum ini yang telah menyinggung orang Melayu - elok rasanya Umno mengambil tindakan yang sesuai untuk beliau.

Friday, September 24, 2010

Belajar Dengan Namewee...


Ketua MCA Kedah, Chong Itt Chew berkata jika pengetua itu - Ungku Aznan Ungku Ismail, tidak dipindahkan ke sekolah lain, parti itu mungkin menganjurkan protes di depan sekolah berkenaan.

Salam,

Berkaitan kes Pengetua SMK Bukit Selambau, Sungai Petani yang dikatakan rasis, didakwa mengeluarkan perkataan perkauman di hadapan pelajarnya, menyebabkan Ketua MCA Kedah mengeluarkan amaran di atas.

Ogos lalu, Pengetua SMK Abdul Rahman Putra Kulai pula 'dihadapkan' dengan tuduhan Pengetua rasis. Laporan polis telah dibuat malah siasatan pun sudah dibuat. Apa nasib yang menimpa Pn. Siti Inshak Mansor dan Ungku Aznan Ungku Ismail belum diketahui. Menurut TPM, JPA yang berkuasa mengambil tindakan ke atas mereka.

Sambil menunggu siasatan selesai dan hukuman dijatuhkan, elok rasanya kedua-dua pengetua ini berjumpa dengan seorang rakyat Malaysia bernama Wee Meng Chee atau Namewee. Mereka boleh meminta tips daripada Namewee bagaimana cara untuk mengelak tindakan daripada pihak berkuasa.

Sebab memang terbukti, sehingga kini Namewee walaupun sudah beberapa kali melakukan 'kesilapan' dengan perbuatan dan perkataan yang ternyata rasis, cuma disiasat tanpa hukuman. Bagaimana cara beliau mengelak, elok dipelajari...

Thursday, September 23, 2010

Alhamdulilah...


Salam,

Selepas agak lama tidak berkesempatan menulis di blog ini, pertemuan sekali ini dimulakan dengan ucapan Alhamdulilah.

Bersyukur masih diberi kesempatan untuk terus bersuara dan menulis lagi, dalam kekangan waktu dan kesibukan masa yang semakin menghimpit. Semoga ruang yang ada mampu digunakan untuk terus bersama mengikut denyut nadi perkembangan semasa.

Alhamdulilah...syukur juga akhirnya manusia tidak bertamadun ini telah menemui hukuman sewajarnya terhadap kekejaman yang dilakukannya terhadap seorang kanak-kanak.

Diharapkan penjenayah haiwan paling dahsyat bertopeng manusia membunuh dan membakar mayat mangsa juga akan menemui hukuman paling wajar. Mungkin sudah sampai masanya hukuman mati tali gantung dikaji semula.

Alangkah eloknya pembunuh kejam juga dibunuh sepertimana cara mereka membunuh?

Wednesday, September 8, 2010

Salam Aidilfitri...


Diucapkan
SELAMAT HARI RAYA
AIDILFITRI

kepada pembaca blog Pandangan ustazSAID ini.
Mohon maaf zahir dan batin.
Maaf juga kerana tidak berkesempatan mengemaskini blog
sejak kebelakangan ini akibat kesibukan.
Jumpa di bulan Syawal....

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin