Search This Blog

Wednesday, May 18, 2011

SELAMAT HARI GURU!

Salam,

Dititipkan ucapan Selamat Hari Guru kepada semua guru Malaysia. Semoga pengumuman Perdana Menteri sempena Hari Guru pada tahun ini akan menaikkan semangat para guru dalam melaksanakan amanah mendidik anak bangsa.

Walaupun banyak pihak mendakwa ‘kejutan’ yang diumumkan tidak menyeluruh, tidak melibatkan semua guru, diharapkan ia tidak menjejaskan moral para guru dalam menjalankan tugas. Mungkin boleh dijadikan iktibar oleh para guru sekalian, bagaimana susahnya guru-guru kita semasa kita menjadi murid dahulu.

Dengan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang daif, malah kelas yang ada pun tidak kondusif untuk proses tersebut. Ada pula guru yang tidak berkemahiran terpaksa mengajar subjek yang bukan opsyen. Ganjaran dan pengiktirafan jauh sekali untuk dikejar mereka. Namun, dalam keadaan sedemikian rupa, hasil usaha mereka telah menjadikan kita apa yang kita jadi sekarang.

Sebagai guru, wajar untuk kita bermuhasabah dalam usaha menjadikan kita guru yang cemerlang. Guru yang lebih baik daripada guru-guru kita dahulu. Dengan prasarana pendidikan yang cukup baik – walaupun mungkin belum lengkap – seharusnya pencapaian kita jauh lebih baik dan meningkat setiap tahun.

Keikhlasan dalam menunaikan amanah ini, dengan menjadikannya sebagai satu ibadah, akan menjadikan kerja kita lebih menyeronokkan dan berkesan.

Selamat Hari Guru untuk semua guru!

Monday, April 25, 2011

Natijah dan Mesej Pengundi...( Sarawak Siri 2 )


Salam,

Tulisan Datuk Noor Azam, bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disiarkan di Utusan 23hb April yang lalu. Blog ini menyokong tulisan dan pandangan Datuk! Selamat membaca.....

“APAKAH Tan Sri sudah jangka BN menang 55 kerusi?" Ini soalan wartawan dalam sidang akhbar kedua Tan Sri Abdul Taib Mahmud, selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak kali ketujuh.

Jawapannya di luar jangkaan saya. Rupa-rupanya kemenangan 55 kerusi itu bukan lagi perkara penting kepada beliau.

Jawapan Abdul Taib: “Saya telah jangka keputusan ini. PBB akan menang 100 peratus. Namun ada polarisasi kaum dalam trend pengundian ditunjukkan dalam pihak pembangkang dan ia suatu yang tidak sihat untuk Sarawak. Saya mengambilnya sebagai luahan perasaan para pengundi.

Apakah natijahnya, saya sendiri tidak tahu dan saya sedang memikirkan cara untuk menghadapi situasi ini. Hanya ada dua calon Cina (BN) yang memenangi pertandingan kali ini.

“Saya perlu meneliti perkembangan ini dengan sebaik-baiknya untuk memahami apa mesej yang ingin disampaikan oleh masyarakat Cina kepada kerajaan. Jika mereka ingin menggunakan pendekatan perkauman, ia adalah sesuatu yang tidak boleh saya penuhi kerana ia akan menimbulkan situasi tidak elok di antara kita.”

Apabila ditanya: “Apa komen tentang Presiden SUPP, Tan Sri George Chan?" Beliau menjawab: “Hanya, apakah yang akan kita buat dengan mesej daripada orang Cina.

Seperti saya katakan, jika mereka mahu mengguna pakai politik perkauman, itu adalah sesuatu yang tidak boleh kita benarkan. Walaupun ia sah, kita akan mundur dalam perkembangan sebegitu.”

Menjawab pertanyaan mengenai Kabinet baru, kata Abdul Taib: “Saya tidak mahu jawab sekarang kerana kita mahu kaji dahulu apakah cara kita nak respon kepada keputusan ini.” (Utusan Malaysia, 18 April 2011).

Ini bukahlah mood orang yang baru menang besar dalam pilihan raya. Nampak benar betapa kecewanya Abdul Taib terhadap sikap politik masyarakat Cina di Sarawak.

Sebenarnya, ramai yang sudah lama tahu, apakah mesej dan matlamat politik mereka. Samalah dengan mesej masyarakat Cina di Semenanjung yang telah lama disampaikan melalui DAP.

Abdul Taib tentu sudah tahu. Di Sarawak mereka sudah mula tunjuk pada tahun 2006. Sehari sebelum kenyataan Ketua Menteri Sarawak itu disiarkan, Awang Selamat berkata dengan terus terang: “Hakikatnya, selepas menguasai ekonomi negara sebegitu lama, masyarakat Cina mahukan pengaruh dan kuasa politik yang dominan.” Kerana nak jaga hati, sebelum ini orang tak mahu cakap.

Sekarang ditunjukkan dengan terang-terang. Inilah matlamat “perubahan” yang dilaungkan oleh masyarakat Cina yang hendak dicapai melalui DAP.

Kekalahan SUPP di Sarawak itu adalah mesej dan amaran terbaru, susulan cita-cita yang tak tercapai pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Strategi kempen politik perkauman, yang sangat dikesalkan Abdul Taib, pasti akan terus mereka pergunakan.

Goh Kien Nan dalam tulisannya (Sin Chew Daily 18 April 2011) menegaskan “fenomena orang Cina melawan arus bukan lagi hanya terbatas di Sarawak, sebaliknya rentak sama berlaku di seluruh negara. Ia bukan saja tidak reda, malah sudah menjadi begitu kuat, mungkin akan terus melarat, semarak dan membara sehingga PRU akan datang.” (Utusan Malaysia, 21 April 2011). Ini memang benar dan suatu amaran yang keras.

Maka apa pun cara Abdul Taib dan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak menangani situasi ini, natijahnya kepada negeri Sarawak dan negara seluruhnya, pasti tidak baik.

Api yang dikatakan Kien Nan “terus melarat, semarak dan membara” itu pasti akan membakar kita semua. Natijah inilah yang cuba dibendung oleh kerajaan, terutama selepas PRU 2008. Tetapi mereka tidak peduli. Alasan Kien Nan, “jasa masyarakat itu membangunkan negara ini dilupakan apabila segala kemahuan mereka diabaikan.”

Kemenangan besar BN di Sarawak, jelas sekali kerana sokongan semua suku kaum Bumiputera. Walaupun majoriti mereka hidup serba kurang dan jauh di pedalaman, cinta mereka kepada bumi tumpah darah tak pernah luntur.

Justeru apa pun dakyah pembangkang dari Semenanjung, mereka tetap menyerahkan masa depan kepada parti dan pemimpin Bumiputera Sarawak.

Natijahnya Abdul Taib tiada cara lain, kecuali terus memperkukuh barisan pertahanan dan membina kubu politik di kalangan rakyat Bumiputera.

Mereka mesti dibela sepanjang masa. Merekalah harapan bangsa dan negara. Tidak boleh lagi mengharapkan kerjasama daripada bukan Bumiputera.

Jika tindakan seperti ini terpaksa dilakukan juga di Semenanjung, maka akan jadilah perang politik Melayu melawan bukan Melayu, yang akan penuh dengan kebencian dan permusuhan. Situasi inilah yang cuba dielak selama 50 tahun dengan pelbagai tindakan sosial-politik-ekonomi.

Saya pernah cadang dalam dua tulisan saya Disember 2005, agar satu wadah Melayu yang baru, dipimpin oleh tenaga muda ditubuhkan. Bukan parti politik, tetapi tetap dengan perjuangan kebangsaan Melayu-Islam. Wadah ini patut dianjurkan oleh gabungan pertubuhan generasi muda Melayu, bukan oleh UMNO.

Tujuan wadah ini bukan untuk melawan Cina, tetapi waktu itu nampak benar fikiran Melayu tidak menentu, seperti hilang pedoman dan sasaran. Badan-badan yang ada lemah tak berdaya. Masalah sosial-ekonomi tambah menjadi-jadi. Maka kita perlu wadah baru dengan tenaga baru, semangat dan pendekatan baru, tidak terikat kepada mana-mana parti politik.

Ikatannya hanya satu iaitu pribumi Malaysia. Sekarang wadah baru ini diperlukan. Perkasa sudah ada. Perkukuhkan saja?

PKR dan rakan-rakannya, termasuk DAP, memang berhak mencari jalan untuk memerintah negeri dan negara melalui pilihan raya. Tetapi mencari pengaruh dan sokongan melalui emosi benci dan membakar sentimen perkauman, adalah jalan yang amat berbahaya. Tidak akan ada lagi negeri Cina yang baru di sini selepas Singapura. Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung.

Abdul Taib tegas menolak “pendekatan perkauman” tetapi beliau menegaskan “kita kena kaji dahulu apakah cara kita nak respon kepada keputusan ini dan apakah ertinya suara rakyat melalui pilihan raya ini.”

Mengkaji “ertinya suara rakyat” memanglah tepat sekali. Namun dengan apa cara pun, pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab mestilah ada keberanian politik untuk mengambil tindakan.

Rakyat dan ibu pertiwi mesti diselamatkan. Kita hanya ada satu Bumi saja. Di sini kita berdiri, di sinilah kita mati. Siapa-siapa pun yang tak senang hati, jangan buka dada bawa angkara, nyahlah dari Bumi ini.

Monday, April 18, 2011

Iktibar Dari Sarawak.…( Siri 1 )


Salam,

PRU Negeri Sarawak sudah berakhir. Semua sudah mengetahui keputusannya. BN berjaya membentuk kerajaan dengan penguasaan lebih 2/3 kerusi DUN, walaupun hakikatnya pencapaian BN menunjukkan penurunan berbanding pilihanraya lalu.

Banyak analisis telah dibuat berkaitan keputusan pilihanraya itu daripada pelbagai sudut. Sama ada BN atau pembangkang malah tidak terkecuali calon bebas, pasti menganalisa kenapa menang, kenapa kalah, kenapa undi merosost, kenapa undi meningkat dan sebagainya.

Apa yang nyata daripada PRN kali ini, jelas majoriti kaum Cina menolak BN. SUPP yang mewakili BN hampir tersungkur di kesemua kerusi yang ditandingi. SUPP Cuma terselamat di Bawang Assan dan Senadin serta empat lagi kerusi majoriti bumiputera. Malah Presiden yang merupakan Tim. KM diberi pukulan KO oleh seorang pemuda mentah.

Sejak PRU 2008, jelas kelihatan undi kaum Cina tidak memihak kepada BN. Kecuali di Batu Sapi, dalam mana-mana PRK selepas PRU itu pun memang jelas isyarat yang diberikan kaum Cina ialah menolak BN. Walaupun gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh PM kelihatan seperti dapat menawan mereka, namun ia tidak diterjemahkan di peti undi.

Kenapa kaum Cina semakin menolak BN? Kajian berkaitan perkara ini wajar dilakukan oleh penganalisis yang berwibawa dan parti-parti yang berkaitan, tetapi apa yang lebih penting yang harus dilakukan oleh BN yang menjadi kerajaan di Sarawak ialah memberi tumpuan yang lebih kepada penduduk bumiputera di pedalaman. Usaha untuk memajukan mereka harus digandakan sebab memang terbukti mereka setia kepada BN.

Bayangkan dalam keadaan serba-serbi ketinggalan – berbanding pengundi bandar – jalanraya tiada, kalau ada pun jalannya teruk, tanpa bekalan air atau elektrik, penduduk bumiputera di pedalaman terus menunjukkan sokongan padu kepada BN. Semuanya dengan harapan kerajaan BN akan dapat menunaikan impian mereka.

Penduduk bumiputera di pedalaman ini tidak kisah dengan dengan cita-cita rakan mereka di bandar yang bernafsu besar untuk mengubah kerajaan. Mereka tidak terpesona dengan harapan palsu Jom Ubah sebab mereka tahu, rakan mereka di bandar tidak kisah dengan pembangunan. Bagi penduduk bandar, apa lagi yang tiada? Semuanya sudah tersedia dengan baik.

Sedangkan bagi penduduk pedalaman mereka sangat berharap apa yang dinikmati penduduk bandar, akan mereka nikmati juga – kalau pun tidak semua, dapat menikmati kemudahan asas pun sudah mencukupi. BN memberi jaminan terhadap harapan mereka.

Langkah PM melawat ke setiap pelusuk pedalaman semasa tempoh kempen PRN yang lalu adalah langkah tepat dan terpuji. Biar PM dan TPM dapat melihat sendiri betapa sengsaranya menjadi penduduk pedalaman. Kesengsaraan penduduk pedalaman Sarawak, begitu juga sengsaranya penduduk bumiputera di pedalaman Sabah, yang menunggu PM atau TPM datang menjenguk

Friday, April 15, 2011

RPK Menabur Fitnah Jahat!


Salam,

Selepas hilang beberapa lama, tiba-tiba dua malam berturut-turut Raja Petra Kamarudin (RPK ) muncul di TV3. Ironinya, nada bunyi RPK kali ini amat jauh berbeza dengan RPK yang dikenali sebagai pengendali Free Malaysia Today, sebelum ini.

RPK kali ini muncul dengan menabur fitnah terhadap ‘sahabat karib’nya sendiri. Dia mereka-reka cerita karut dengan menokok tambah cerita dengan tujuan mencari publisiti. Kita ada bukti yang menunjukkan RPK memang gila publisiti.

Pasti RPK sudah dibeli dengan nilai jutaan ringgit. Atau ada hutang dia yang sudah dilangsaikan. Kita ada bukti tentang ini!

RPK juga terlibat dengan konspirasi peringkat tertinggi, dengan bersekongkol dengan wartawan TV3 yang menjadi perkakas Umno. Pasti ada dalang daripada BN dan Umno di sebalik pendedahan oleh RPK. Ini pasti dan kita ada bukti tentan perkara ini.

Segala kenyataan fitnah RPK adalah palsu, berniat jahat dan dinafikan sama sekali. Semuanya dusta, fitnah da tidak benar. Kita akan kemukakan bukti menolak fitnah RPK.

…. Pasti beginilah bunyi komen ‘sahabat karib’ RPK dan juak-juaknya.

…… Dalam tempoh sehari dua ini, pasti peribadi RPK akan diserang dari segenap penjuru. RPK pasti akan ‘dibogelkan’.

…..Pasti aka nada fatwa yang dikeluarkan ‘mengharamkan’ pendedahan RPK.

…. Nasib baik pendedahan RPK tidak menyebut pasal jam Omega. Kalau tidak pasti dikata jam Omega selamat dalam simpanan.

....Nasib kau la RPK, kau pun kenal dengan puak-puak ni. Pemimpin suci bersih mereka tidak boleh diusik. Usik ja, pasti kecoh seantero dunia. Durang tidak akan menerima kenyataan!


Tuesday, April 5, 2011

Video Seks : Siapa Penipu?


Salam,

Sementara pihak polis menjalankan siasatan terhadap video seks yang dikecohkan sekarang, ada baiknya kita meminta bantuan ‘robot’ ini yang mungkin boleh membantu mencari ‘kebenaran’.

Samad adalah seorang profesor terulung, dia berhasil mencipta robot yang boleh mengesan pembohongan, dia membuat robot itu sehinggakan ketika mendengar pembohongan, robot tersebut akan terus menampar si pembohong itu...

Samad dengan bangganya membawa robot itu ke ruang tamu dan menunggu anak lelakinya pulang. Tapi anaknya tidak kunjung pulang. Sehingga pagi barulah anaknya pulang.


"Kamu dari mana?" tanya Samad.
"Ada pelajaran tambahan ayah", jawab anaknya. *PLANG* Robot tersebut menampar anaknya.

"Nak, ini adalah robot ciptaan ayah, dia akan menampar sesiapa yang berbohong!
Sekarang katakan dengan jujur, kenapa kamu pulang lewat??!
"Maaf ayah... saya baru habis memonton movie di rumah kawan...". "Cerita apa? "Cerita Papadom ayah".
*PLANG*


"Katakan dengan jujur cerita apa?!"
"Maaf ayah... saya tengok cerita lucah". Mendengarkan itu marahlah Samad.

"Kamu nie... kecil-kecil dah nakal... kamu nak jadi apa bila besar nanti?! Malukan ayah saja perbuatan kamu nie. Masa ayah kecil dulu , ayah tak pernah pun buat macam nie.
*PLANG*

Samad ditampar oleh robotnya.
Suasana hening untuk beberapa ketika...

Isteri Samad kemudian masuk ke ruang tamu dan langsung berkata... "Huh, sama saja kelakuannya, ke mana akan tumpahnya kuah kalau tak ke nasi? Bagaimana pun sememangnya dia anak awak..."


*PLANG*
Robot menampar isteri Samad sebelum isterinya sempat menyelesaikan kata-katanya... dan semua terdiam...

Dengan adanya robot ini, tidak kira Dato T atau Anwar Ibrahim, siapa yang menipu kompom kena tampar. Atau pun kita guna teknologi Amerika ini, mungkin boleh membantu : Pengimbas thermal boleh kesan penipu.

Thursday, March 31, 2011

Pemimpin Rakyat, Berjiwa Rakyat!


''Jangan ada tembok antara kita dengan rakyat. Kita mesti menjadi seorang pemimpin rakyat, berjiwa rakyat. Inilah tema kita untuk kita berjaya dalam sistem demokrasi di negara ini.
Salam,

Perdana Menteri DS Najib berterusan tanpa jemu menggariskan kriteria yang wajib dimiliki oleh pemimpin BN, demi memastikan mereka tidak alpa bahawa kuasa yang dimilik sekarang boleh hilang apabila rakyat sudah bosan dengan karenah pemimpin mereka. Terbaru semasa merasmikan AGM BAKTI, pandangan yang sama terus diutarakan.

Menurut Najib, pemimpin hari ini harus peka dengan perkembangan semasa. Harus sentiasa bersikap telus dan jangan sama sekali membohongi rakyat. Mungkin ada perkara yang mahu disorok dari pengetahuan rakyat, tetapi dengan kecanggihan tekonlogi maklumat hari ini, lama-kelamaan pasti akan terbongkar jua.

Elok rasanya jika seseorang pemimpin lebih terbuka dan berterus-terang dengan rakyat. Katakan perkara benar, jangan sesekali menganggap rakyat 'bodoh' dan tidak tahu. Pada era maklumat di hujung jari sekarang, tiada lagi perkara yang harus dirahsiakan dari pengetahuan rakyat. Apalagi sikap menipu, tidak jujur dan tidak amanah, semuanya hanya akan menunggu masa untuk diketahui rakyat akhirnya.

Najib juga dilaporkan mahu pemimpin mengurangkan protokol dalam perjumpaan dengan rakyat. Perjumpaan dengan rakyat atau pemimpin kecil di peringkat bawah harus kerap diadakan, untuk mencari jalan terbaik terhadap sesuatu perkara. Jika berkaitan dengan kemajuan dan keselamatan kampung, pastilah dengan JKKK. Jika berkaitan parti tentulah dengan Ketua Cawangan.

Protokol zaman feudal dengan para Laksamana, Temenggung dan Bendahara datang bersembah mengadap Raja pada masa yang ditetapkan, sudah tidak lagi sesuai pada zaman ini. Seorang pemimpin harus sentiasa bersedia mendengar laporan dari para pembantu, pemimpin tempatan atau rakyat biasa setiap masa. Datang ke sesuatu kawasan hanya kerana ada acara dirasmikan bukan cara terbaik mendekati rakyat.

Sudahlah jarang bertemu, datang pula di kelilingi oleh para balaci, pencacai dan 'yang biasa-biasa' bersama dengannya sehingga rakyat tiada ruang untuk bersemuka dengan pemimpin harapan mereka. Akhirnya, wujud jurang pemisah di antara pemimpin dengan rakyat. Rakyat cuma mampu melihat pemimpin mereka dari jauh. Dan pemimpin tidak dapat mendengar rintihan, aduan atau denyut nadi rakyat.

Jika saranan PM Najib ini diambil peduli dan dilaksanakan oleh para pemimpin BN, sebagai pemimpin rakyat berjiwa rakyat, pasti BN akan terus mendapat sokongan padu rakyat. Perubahan yang dituntut oleh PM Najib di kalangan pemimpin BN, jika segera diambil tindakan, pasti suara sumbang di kalangan rakyat - sebahagiannya penyokong BN - tidak lagi kedengaran.

Harapnya, mereka akan mendengar!



Friday, March 25, 2011

Selamat Hari Polis ke-204!


Salam,

Lupakan seketika keriuhan cerita video seks. Kita serahkan kepada pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan wajar. Jika benar perlakuan tersebut, hadapkan individu berkenaan ke mahkamah untuk diadili. Sebaliknya, jika terbukti palsu, Datuk T juga tidak harus dilepaskan. Mereka juga wajar dihukum.

Bab ini kita serahkan kepada pasukan khas penyiasatan yang ditubuhkan PDRM. Kita percaya polis berpengalaman dalam menyelesaikan kes sebegini. Jika perlu bantuan daripada mana-mana agensi asing, dapatkan demi mencari kebenaran.

Kita yakin dengan kewibawaan pasukan polis mengendalikan pelbagai kes, sehingga kes yang lebih rumit daripada ini pun pernah diselesaikan oleh pasukan polis. Ini kan pula cuma kes kes yang terakam dalam video. Kacang ja bagi polis kita.

Umpamanya berita ini : Kadar indeks jenayah bagi tiga bulan pertama tahun ini mencatatkan penurunan terutama di empat negeri yang menjadi sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kata Menteri KDN. Ini adalah satu contoh kejayaan polis kita dalam menangani jenayah di negara kita.

Kita berharap sempena Hari Polis ke 204 hari ini, tekad dan semangat pasukan polis makin tinggi dalam menjalankan amanah.

SELAMAT HARI POLIS KE - 204 untuk semua anggota PDRM!

Tuesday, March 22, 2011

Rakyat Sarawak Harus Bijak Tolak Pakatan Rakyat!


Salam,

Seperti dijangka, DUN Sarawak sudah pun dibubarkan. Pembubaran ini membuka laluan kepada PRU ke-10 bagi negeri Sarawak. Maka lenyaplah sudah teka-teki pilihanraya Sarawak dan berakhirlah sudah ramalan yang mengatakan PRU 13 serentak dengan pilihanraya Sarawak. Cuma yang belum berakhir, teka-teki bila PRU 13 akan diadakan ?

Di atas kertas, BN pasti akan mengekalkan kedudukan memerintah negeri Sarawak. Pakatan Rakyat bukanlah saingan untuk BN. Kalau pun ada saingan, mungkin cuma DAP sahaja akan kacau daun, mencacatkan kemenangan bergaya BN. Politik janji bulan bintang dan permusuhan yang dipelopori pembangkang tidak akan berkesan di Sarawak.

Sama seperti Sabah, rakyat Sarawak dahagakan pembangunan. Masih banyak lagi prasarana asas yang ditagih. Bekalan air, elektrik dan kemudahan pendidikan adalah keperluan utama bagi penduduk pedalaman. Dan kemudahan ini hanya akan mampu disediakan oleh kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin dengan nasib rakyat.

Kemampuan dan tanggungjawab ini semacam tidak dapat dilaksanakan oleh pakatan pembangkang untuk mengambil alih teraju pemerintahan. Apalagi melihat senario yang ada sekarang, dengan PKR umpamanya ibarat sebuah kapal yang sedang 'rabak' menunggu karam. Bayangkan bagaimana PKR mahu fokus untuk memerintah Sarawak ketika pergolakan dalaman parti pun tidak dapat diatasi?

Malah bagaimana pula nak menerajui pemerintahan negeri dan menguasai Putrajaya sebagaimana yang digembar-gemburkan, jika pemimpinnya asyik terpalit dengan dakwaan seks sepanjang masa? Nak bagi DNA pun takut pulak tu...

Kita percaya dengan kemampuan rakyat Sarawak berfikir dan menilai untuk membezakan antara kaca dan permata. Pasti rakyat tidak akan terkeliru dan terpesona dengan kaca berwarna 'jingga' yang belum pasti menjanjikan apa-apa, berbanding begitu banyak 'permata' yang telah diberikan kepada negeri Sarawak selama ini.

Namun begitu, jentera BN tidak boleh berasa selesa. Usaha mendekati rakyat harus diteruskan. Mana yang keliru mesti disedarkan. Biar mereka tidak dilamun mimpi dan berpijak di bumi nyata, memilih BN untuk meneruskan kesinambungan pembangunan negeri sarawak!

Friday, March 11, 2011

Premium insurans tak masuk akal !


Salam,

Kita menyokong penuh suara para wakil rakyat sama ada dari daripada kerajaan dan pembangkang yang bersatu membantah tindakan syarikat insurans 'mencekik darah' pengguna kereta lama berusia lebih 10 tahun. Suara bantahan yang diutarakan mereka memang berasas. Ramai pengguna mengeluh dan tertekan dengan situasi yang berlaku.

Namun, di pihak pengguna kereta lama dan yang ingin mengambil insurans pihak ketiga, tiada pilihan lain. Tidak mengambil insurans yang ditawarkan oleh syarikat pencekik darah ini bererti cukai jalan kereta tidak dapat diperbaharui. Inilah dilema yang dihadapi, yang akhirnya memaksa pengguna terpaksa membayar insurans yang lebih mahal berbanding dahulu.

Insurans kereta baru lebih murah berbanding dengan insurans pihak ketiga. Malah membeli insurans pihak ketiga lebih mahal daripada insurans 'first party'. Peliknya pemilik kereta lama - yang membeli insurans sekadar untuk memperbaharui cukai jalan - tidak pula dibenarkan membeli insurans 'first party'. Alasan syarikat insurans ialah kereta lama ini berisiko tinggi.

Situasi ini makin menyusahkan rakyat, ditambah pula dengan karenah bengkel panel yang dilantik syarikat insurans, jika kereta mengalami kemalangan. Penipuan bengkel panel ini memang berleluasa, alag ganti tiruan, mutu kerja yang rendah dan tempoh menunggu yang lama adalah sebahagian karenah yang terpaksa dihadapi pengguna. Tuntutan yang keterlaluan, diluluskan pula oleh syarikat insurans.

Diharapkan suara para wakil rakyat ini didengar oleh Bank Negara Malaysia. Biar ada tindakan susulan yang lebih bernas dan adil untuk kepentingan pengguna kereta.

Monday, March 7, 2011

PBBS MEMACU PROSES TRANFORMASI


BEAUFORT: Hampir seribu orang terdiri daripada perwakilan dan pemerhati Persatuan Biasya Bersatu Sabah (PBBS) dari seluruh daerah di negeri ini akan menghadiri mesyuarat agung kali ke 20 yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mac ini bertempat di Dewan Masyarakat Baru Beaufort.

Setiausaha Agung (PBBS) Awang Anak Abd Sani (gambar) berkata dari jumlah tersebut sebanyak 514 orang perwakilan dari 257 buah cawangan akan menghantar pewakilannya ke mesyuarat agung kali ini dan selebihnya merupakan permerhati dari cawangan cawangan (PBBS)

Menurut Awang Anak Presiden (PBBS) yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Janang Gayuh Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin ( gambar) dijangka akan melakukan upacara perasmian mesyuarat agung kali ini.

Tambahnya empat perkara akan di sentuh dalam ucapan dasar presiden kali ini yang menyentuh soal pendidikan, ekonomi,sosial dan agama

“ Empat perkara yang akan disentuh dalam ucapan dasar persiden kali ini merupakan asas bagi menjayakan matlamat mentranformasikan (PBBS) dalam menyokong Gagasan 1 Malaysia bagi memacu anjakan paradigma masyarakat biaya menghadapi cabaran di alap baru khususnya dalam mengisi keperluan pembangunan sebagai sebuah negara maju menjelang 2020” katanya ketika ditemui di sini pagi kemarin.

Menurut Awang Anak ucapan dasar ini akan dibahaskan oleh para perwakilan yang hadir bagi mencari resolasi yang terbaik dalam menjayakan proses tranformasi tersebut dan ianya akan turut di gulung oleh Timbalan dan Naib-Naib Presiden diakhir persidangan.

Sehubungan dengan itu Awang Anak turut mengingatkan agar para perwakilan yang hadir ke mesyuarat agung kali ini memanafaatkanya sebagai wadah untuk bertukar tukar pandangan disamping mengemukan idea dan pandangan khususnya untuk memperkasakan lagi hala tuju perjuangan (PBBS) bagi menghadapi cabaran mendatang.

Dalam perkembangan lain Awang Anak juga meminta agar cawangan cawangan yang belum lagi menghantar senarai perwakilan,permerhati serta laporan mesyuarat agung di cawangan masing-masing agar dapat mengemukanya secepat mugkin kepada urussetia persidangan di ibu Pejabat (PBBS) bagi memudahkan pihak pengurusan menyediakan segala keperluan bagi mempestikan persidangan kali ini berjalan dengan baik dan teratur.

Sumber: mpbeaufort.blogspot

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin