Search This Blog

Thursday, October 27, 2011

Alfatihah Untuk Muammar Gaddafi...

salam,

Selepas beberapa hari dijadikan bahan pameran, akhirnya mayat Allahyarham Muammar Gaddafi dikebumikan. Begitu marahnya rakyat Libya dengan Gaddafi sehingga jasad yang sudah tidak bernyawa pun 'dimalukan' sedemikian rupa.

Buat sementara waktu, rakyat Libya bersorak gembira meraikan kemenangan selepas berbulan-bulan berperang. Sorak-sorai gembira kedengaran di seluruh Libya kerana akhirnya 'musuh' yang paling dibenci tewas. Bukan sahaja berjaya dijatuhkan, malah berjaya dibunuh dan dimalukan.

Seperti di Iraq dan Afghanistan, 'diktator' diturunkan dari takhta kuasa oleh rakyat dengan bantuan PBB dan NATO. PBB sebagai badan pengawal dunia nampaknya begitu peka dengan nasib rakyat di Libya yang katanya ditindas. PBB begitu cekap membela nasib rakyat yang tertindas. Sayang, kecekapan PBB tidak pula terpakai dalam membela nasib rakyat Palestin yang sudah sekian lama tertindas dan dijajah.

Sampai bilakah kegembiraan rakyat Libya menyambut kemerdekaan mereka? Hanya masa yang akan menentukan. Masa depan Libya di era tiada Gaddafi belum dapat dipastikan. Namun berdasarkan pengalaman rakyat Iraq yang juga gembira selepas Saddam Hussein dijatuhkan, bayangan suram pasti menanti Libya.

Seperti yang diketahui umum, Barat dengan menggunakan PBB dan NATO sebenarnya lebih berminat dengan minyak Libya, di sebalik tuntutan demokrasi yang dilaungkan. Ditambah pula dengan kelantangan Gaddafi menempelak ego Barat dan menyokong perjuangan rakyat Palestin, maka semakin membara hasrat menjatuhkan Gaddafi.

Persoalan, siapa dan negara mana pula selepas ini? Soalan lain, mungkinkah Malaysia juga boleh menjadi sasaran? Tiada yang mustahil, apalagi dengan kemampuan negara kita membangun dan menjadi lambang kemakmuran di kalangan negara. Apatah lagi dengan wujudnya pemimpin dalan negara kita yang cenderung berpaling ke Barat untuk meminta ' bantuan '!

Alfatihah untuk Allahyarham Muammar Gaddafi....

Friday, October 21, 2011

Menyokong HIMPUN!


Salam,

Atas rasa kesedaran, blog ini menyokong Himpunan Sejuta Umat ( HIMPUN ) yang dianjurkan oleh gabungan NGO Islam esok di Stadium Shah Alam. Walaupun tidak dapat hadir dalam himpunan ini, namun semangat sebagai saudara Islam tetap bersama roh perjuangan saudara seagama.

Himpunan yang dianjurkan wajar disokong sebagai tanda keprihatinan umat Islam terhadap percubaan golongan tidak bertanggungjawab yang cuba mencabar perkara yang sudah termaktub dalam perlembagaan bahawa sebarang usaha untuk menarik umat Islam keluar agama adalah satu kesalahan.

Seharusnya peluang berhimpun ini digunakan oleh NGO Islam untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan umat Islam tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik, di samping meneruskan hubungan harmoni dengan kaum dan penganut agama lain. Hubungan baik yang sedia terjalin selama ini harus dikekalkan demi masa depan rakyat Malaysia.

Oleh sebab itu, sebarang percubaan untuk mengganggu-gugat keharmonian hubungan di antara penganut pelbagai agama di negara ini harus ditolak. Pihak penganjur sewajarnya memastikan tiada tindakan atau kata-kata provokatif dilakukan sepanjang perhimpunan ini.

Pada masa sama, cadangan memperkenalkan Akta Murtad yang dibuat sebelum ini wajar dijadikan kenyataan demi melindungi akidah umat Islam. Pihak berkuasa yang berkaitan seperti Pusat Zakat atau Baitulmal pula wajar bertindak proaktif membantu umat Islam yang susah, jika benar kebajikan menjadi senjata aktiviti memesongkan akidah umat ini.

Didoakan semoga objektif HIMPUN esok akan tercapai dan perhimpunan umat Islam ini dirahmati Allah.

Monday, October 10, 2011

Bajet 2012: Terima Kasih PM Najib...suara belia!

Terima kasih PM Najib...

Syukur Alhamdulilah, belum terlambat rasanya mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan khususnya PM Najib di atas bajet 2012, yang cukup menggembirakan kepada seluruh lapisan masyarakat. Seluruh rakyat mendapat nikmat daripada bajet kali ini, terutama rakyat bawahan. Bajet yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Cuma mungkin yang tidak gembira dengan bajet kali ini tentulah pihak pembangkang. Pembangkang hampir check-mate dengan pembentangan bajet kali ini. Bagaimana lagi pembangkang hendak menidakkan nikmat bajet ini? 

Selaku pemimpin belia di peringkat pedalaman, bajet kali ini sesungguhnya mencakupi apa yang diharapkan oleh belia. Keprihatinan kerajaan dalam membantu belia dalam pembentangan bajet ini amat mengembirakan belia. Mewakili belia di luar bandar, sokongan kerajaan dengan peruntukan yang begitu banyak untuk belia menggerakkan aktiviti sangat dialu-alukan, dan diucapkan terima kasih.

Namun begitu, satu perkara yang wajar diberi perhatian oleh pihak yang berkenaan terutama di negeri Sabah ialah hambatan bagi persatuan belia di negeri Sabah untuk mendapatkan bantuan daripada agensi persekutuan seperti Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan. Alasan diberikan ialah pihak berkuasa negeri Sabah tidak menerima Pendaftar Pertubuhan Belia ( ROY ). Akibat hambatan ini, persatuan belia menjadi mangsa tidak mendapat bantuan kewangan untuk menggerakkan persatuan.

Diharapkan apa yang diumumkan oleh PM Najib akan turut dinikmati oleh belia di Sabah, khususnya persatuan belia. Walaupun, pihak kerajaan negeri melalui Kementerian Belia dan Sukan, sentiasa membantu persatuan belia, namun alangkah eloknya jika persatuan belia mendapat bantuan daripada dua sumber - negeri dan persekutuan. 

Semoga keprihatinan PM Najib melalui pembentangan bajet kali ini akan lebih menyedarkan para belia bahawa sebenarnya kerajaan tidak pernah mengabaikan belia. Diharapkan sokongan para belia kepada PM Najib akan berterusan dan diterjemahkan di peti undi pada PRU13 nanti!

Monday, September 19, 2011

Sekatang kIta lebih selamat - Ku Li.

Sekarang rasa kita lebih selamat, kita lebih terjamin maka tak perlu lagi diadakan undang-undang yang menekan kepada kehidupan kita, kita mahu bebas bukan sahaja bebas merdeka, bebas berfikir, bergerak, berpersatuan, mengeluarkan pandangan dan sebagainya disamping supaya kita terlibat secara langsung ataupun secara tidak langsung dalam pembentukan masyarakat yang diidamkan oleh kita selama ini untuk masa hadapan,”

Salam,

Tiba-tiba selepas PM Najib umumkan pemansuhan ISA dua hari lalu, Tengku Razaleigh kata sekarang kita rasa lebih selamat. Ohhh, rupanya zaman ada ISA sebelum ni, Ku Li rasa tidak selamat.

Soalnya, siapa dan kenapa rasa tidak selamat? Orang yang rasa tidak selamat selama ini takut dicekup tanpa bicara ialah mereka yang bermulut mulut celupar dan berindak mengikut nafsu. Rasanya, tidak pernah rakyat kita yang baik dan jujur ditahan di bawah ISA. Mereka yang ditahan ialah mereka yang mengganggu keselamatan dan keharmonian negara.

Dengan adanya ISA, keganasan, tindakaln radikal dan pelampau dapat dikawal. Mereka yang cuba tunjuk hero ditahan ISA sebagai pencegahan sebelum melarat nanah menjadi barah. Sebab itu, rakyat Malaysia yang tidak pernah terfikir untuk melakukan huru-hara tidak pernah takut dengan ISA.

Apa yang ditakuti dengan ISA kala tidak membuat salah, tidak berniat membuat onar menghancurkan negara. Jika sudah berani mengocak ketenangan dan keharmonian penduduk negara ini, kenapa pulak takut dengan tindakan pihak berkuasa. Kebebasan yang disuarakan dan dituntut oleh rakyat kononnya, adakah kebebasan tanpa had? Semua orang bebas melakukan apa sahaja sehingga tergamak menghina pasukan Polis dalam peristiwa Bkit Kepong dan menyanjung komunis sebagai pejuang, atau mereka menggelar azan sebagai salakan anjing pada waktu subuh.

Sebab itu, kita berharap apa jua undang-undang yang menggantikan ISA selepas ini wajar mengambilkira pola penduduk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Wednesday, September 14, 2011

Mat Sabu vs Mat Indera : Siapa Wira?

" Berdasarkan rekod kita, selepas tiupan trompet kali kedua Mat Indera telah keluar dan meminta polis menyerah diri dengan menggunakan pembesar suara. Orang kata Mat Indera wira, itu saya tidak tahu tetapi setahu saya dia merupakan salah seorang daripada 180 pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong. Mat Indera beri arahan kepada polis supaya serah diri. Nampaknya Mat Indera ada kuasa seolah-olah seperti pemimpin. Terpulang kepada rakyat untuk membuat pertimbangan. Saya hanya mengemukakan fakta. "

Salam,

Mat Sabu kata Mat Indera adalah Hero Malaya dalam peristiwa Bukit Kepong. Walaupun Mat Indera bersama pasukan komunis menyerang balai polis berkenaan, Mat Sabu kata dia tetap pejuang kemerdekaan. Beratus laporan polis ke atas Mat Sabu atas kenyataan tidak bertanggungjawab dia memperlekeh pasukan keselamatan yang mempertahan balai polis Bukit Kepong sebagai simbol kuasa. Mereka bukan sahaja mati mempertahan balai tersebut, tapi gugur mempertahan maruah bangsa dan agama.

Selain sejarawan, orang yang paling tepat memberikan fakta tentang sesuatu peritiwa yang lama sudah berlaku tentulah saksi yang ada semasa kejadian tersebut. Terima kasih kepada Mingguan Malaysia yang berjaya menjejaki Datuk Seri JJ Raj, Ketua Polis Daerah Pagoh ketika itu. Diharapkan polemik siapa wira dalam peristiwa tersebut dapat dileraikan melalui wawancara tersebut. BACA SINI.

Kalau berasaskan fakta dikemukakan oleh JJ Raj, memang ketara Mat Sabu bukanlah wira, tapi kaki auta. Fakta sejarah jika dibiarkan di tangan ahli politik kacau-bilau jadinya. Apalagi ahli politik terdesak kemaruk kuasa macam Mat Sabu....habis diubah fakta sejarah demi menagih sokongan.

Monday, August 15, 2011

Pemain Bola Kena Belajar Dengan Chong Wei...

Salam,

Hanya kerana satu mata berharga, Datuk Lee Chong Wei terpaksa menerima hakikat bahawa dia kena menunggu dua tahun lagi untuk merealisasikan impian bergelar Juara Dunia. Chong Wei kena akur Lin Dan sebagai seteru utama dunia badminton sekarang masih liat untuk ditewaskan.

Namun Chong Wei tidak harus kecewa. Biarpun kalah dalama percubaan kali yang keenam ini, kekalahan ini adalah kekalahan yang bermaruah. Tiada apa yang dimalukan dengan kekalahan di final, dengan pemain hebat seperti Super Dan.

Yang cuma boleh membuat kita rasa kecewa ialah apabila kalah kepada pasukan seperti Singapura dalam kelayakan Piala Dunia baru-baru ini. Kalah-menang adat biasa dalam sukan, tapi kalah ketika kita memiliki peluang untuk menang memang memeritkan. Berbanding Singapura, rasanya kita memiliki himpunan pilihan pemain yang jauh lebih banyak untuk diketengahkan.

Malangnya, jurulatih kita Datuk Rajagobal lebih banyak membuat eksperimen. Meletak pemain seperti Ismail Faruqi dalam satu perlawanan besar seperti itu bukanlah tindakan yang betul. Melakukan eksperimen ketika perlawanan persahabatan masih boleh diterima, tetapi masih bereksperimen dalam perlawanan sebenar memang melucukan.

Peminat seperti diberi harapan palsu dengan pasukan kebangsaan yang digembar-gembur dengan kilauan bergemerlapan, dengan persediaan hingga ke Asia Barat dan melayan kunjungan kelab ternama Inggeris. Namun akhirnya hampa dengan kekalahan yang memalukan.

Atas sebab itu, pasukan bola kebangsaan kena belajar dengan Datuk Lee Chong Wei yang mempamer semangat juang yang tinggi untuk terus bergelar juara...walaupun Juara Dunia belum kesampaian.

Monday, August 1, 2011

Salam Ramadhan...

Salam,

SyukurbAlhamdulilah, masih diberi kesempatan waktu dan ruang oleh Allah SWT untuk terus bertemu bulan penuh rahmat dan berkah, Ramadhan kali ini. Semoga ruang yang diberi kali ini kita gunakan untuk melipatgandakan amal ibadah dan kerja kebajikan sepanjang bulan Ramadhan ini.

Di samping mengelak daripada kealpaan melakukan perkara jahat dan keji, bukan sahaja sesama manusia malah kepada makhluk lain sekalipun. Marilah kita penuhi bulan mulia dengan penghayatan kepada amar ma'rif nahi munkar.

Bersesuaian pula bulan Ramadhan kali ini seiring dengan bulan Kemerdekaan yang sambutannya hanya akan dibuat 16 September, maka eloklah kita eratkan perpaduan dan kukuhkan silaturrahim sesama kita, rakyat Malaysia. Semoga dengan menjiwai semangat kemerdekaan dan menghayati Ramadhan akan menjadikan kita insan yang lebih baik, lebih patriotik berbanding sebelum ini...

Selamat Berpuasa kepada seluruh umat Islam di mana sahaja berada....

Saturday, July 23, 2011

ADAU JANANG GAYUH 2011: SATU PANDANGAN

( Tulisan ini disiarkan bagi membetulkan beberapa salah tanggapan terhadap sambutan Adau Janang Gayuh di kalangan masyarakat Bisaya. Diharapkan pandangan ini sedikit sebanyak dapat meleraikan kekeliruan. Mohon maaf jika ada kesilapan )

Salam, terdapat beberapa salah tanggapan terhadap Perayaan Adau Janang Gayuh yang diraikan oleh masyarakat Bisaya di Daerah Beaufort, yang bermula pada hari ini hingga 24 Julai ini.

1. Penganjur
- Pada tahun-tahun sebelum ini, Perayaan AJG dianjurkan oleh Persatuan Bisaya Bersatu Sabah. Bermula tahun ini, perayaan ini dianjurkan bersama dengan agensi kerajaan lain seperti Pejabat Daerah Beaufort dan Kementerian Pelancongan Sabah, selepas perayaan ini disenaraikan dalam kalendar pelancongan Negeri Sabah. Walau bagaimanapun, PBBS tetap menjadi tunjang utama dalam penganjuran AJG. Bukankah satu perkembangan yang menarik apabila AJG diiktiraf sebagai satu perayaan untuk masyarakat Bisaya oleh kerajaan Negeri Sabah, dengan penyenaraian AJG dalam kalendar pelancongan?

2. Nama perayaan 'Adau Janang Gayuh'
- Nama Janang Gayuh yang dipilih untuk perayaan ini dikaitkan dengan DSP Lajim Ukin, yang menjadi Presiden PBBS ketika ini. Maka kerana itu, perayaan AJG ditohmah sebagai perayaan 'merayakan' DSP Lajim. Satu persepsi yang cetek dan dangkal, sedangkan difahami gelaran Janang Gayuh merupakan penghormatan kepada 'orang besar' masyarakat Bisaya, sama seperti Hugoun Siou dalam masyarakat Kadazan Dusun atau Tajagoh Gayoh dalam masyarakat Sungai. Kebetulan ketika ini Presiden PBBS ialah DSP Lajim Ukin, maka dialah yang diiktiraf Janang Gayuh. Jika pun selepas ini Presiden PBBS adalah orang lain - bukan DSP Lajim - maka orang tersebutlah yang akan bergelar Janang Gayuh, dan perayaan AJG juga akan terus dirayakan walau siapa pun 'orang besar' Bisaya, dengan nama sama - Perayaan Adau Janang Gayuh!

3. Relevan perayaan AJG
- Ada juga yang bertanya apakah relevannya perayaan ini kepada masyarakat Bisaya? Apa hasilnya perayaan ini kepada masyarakat Bisaya? Kepada mereka yang bertanya soalan sebegini, jawapannya mudah sahaja. Sebagai contoh, apakah relevannya sambutan Kaamatan kepada masyarakat Kadazan Dusun? Jika kita menilai hasil sesuatu sambutan atau perayaan seperti Kaamatan - apalagi AJG yang masuk tahun ke 9 - dengan nilai seperti wang ringgit, maka kita tidak akan dapat melihat berapa juta wang masuk dan diterima oleh sesuatu masyarakat. Namun, siapakah pula yang boleh menilai relevan perayaan AJG dari segi penonjolan seni budaya masyarakat Bisaya umpamanya?

4. Kepentingan perayaan AJG
- Sama seperti perayaan suku kaum atau di peringkat daerah lain, seperti GATA di Sipitang dan Pesta Rumbia di Kuala Penyu, tentu sahaja objektifnya - di samping pelbagai objektif lain - menonjolkan kebudayaan sesuatu kaum dan mempromosikan potensi pelancongan di sesuatu daerah. Begitu juga dengan perayaan AJG. Pentingnya perayaan ini sebagai satu medium menonjolkan budaya masyarakat Bisaya dan mempromosi potensi daerah Beaufort sebagai satu lokasi pelancongan penting. Bagaimana pentingnya mengekalkan kebudayaan dan pelancongan sebagai sumber ekonomi, rasanya tidak perlu dibahaskan.

Sebenarnya, jika kita mahu menghitung apa sahaja yang buruk tentang sesuatu sambutan atau perayaan, maka kita akan berjumpa dengan 1001 keburukan. Namun, bukankah lebih elok selain mencari keburukan, kita senaraikan juga kebaikan daripada program seperti ini. Rasanya, pasti terselit banyak perkara baik yang dapat diambil daripada perayaan AJG ini.

Memetik kata keramat Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas PM kita : Tiada agenda yang sempurna, tetapi agenda yang paling tidak sempurna ialah agenda sempurna yang tidak disempurnakan! Jalan sebaiknya dalam menyempurnakan agenda Adau Janang Gayuh ini - atau apa sahaja agenda berkaitan masyarakat Bisaya - tentulah dengan bermuafakat. Tidak salah rasanya untuk kita saling berhubung untuk mencari kebaikan, itu pun kalau pintu perhubungan untuk bermuafakat belum kita tutup rapat!

Pandangan Md Said Ag Damit
AMT PBBS.

Wednesday, June 29, 2011

Mengalu-alukan Lawatan PM ke Sabah.

Salam,

Bermula hari ini, sekali lagi PM datang ke Sabah melakukan lawatan. Difahamkan daerah pedalaman yang akan menjadi tumpuan kali ini, bertemu masyarakat bumiputera dan komuniti belia.

Sungguhpun ini bukanlah kali pertama PM datang ke Sabah, keterujaan dengan lawatan PM sentiasa tersemat di hati orang Sabah, terutama di kawasan yang belum beliau dilawati. Keterujaan ini berasas. Sebagai negeri penyumbang kemenangan yang diiktiraf fixed deposit, sudah tentu orang Sabah berharap mendapat perhatian yang lebih daripada pemimpin nombor satu negara.

Diharapkan lawatan PM ke daerah pedalaman akan membolehkan beliau melihat dan merasai sendiri jerih payah penduduk pedalaman meniti kehidupan, dalam banyak kekurangan. Pembangunan prasarana yang belum dinikmati, kemudahan yang belum sampai ke kawasan pedalaman dan kos hidup yang menghimpit.

Diakui di bawah pimpinan PM Najib, banyak perkembangan yang sudah berlaku. Banyak pembangunan dan kemudahan yang sudah disediakan. Harga barang keperluan seperti beras, gula dan petrol juga sudah diselaraskan. Memang tidak dapat dinafikan di bawah kepimpinan PM Najib, banyak keperluan rakyat di luar bandar sudah dipenuhi.

Bagi komuniti belia, keprihatinan kerajaan dan komitmen PM terserlah melalui pelbagai program yang sudah diatur untuk dilaksanakan. Malah pelbagai aktiviti pembangunan belia sudah pun terlaksana. Komitmen PM dengan slogan rakyat didahulukan, pencapaian dilaksanakan memang terserlah, khususnya dalam usaha mendekati belia.

Apa yang diharapkan, kehadiran PM kali ini akan menyuntik semangat baru di kalangan rakyat dan komuniti belia, khususnya di pedalaman. Semangat untuk terus maju dan meningkatkan diri, seiring dengan pelan tranformasi yang dilaksanakan kerajaan dalam pelbagai bidang.

Terima kasih PM Najib!

Tuesday, June 21, 2011

Bersatu Hentikan BERSIH!

Salam,

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian, elok rasanya kita bersatu untuk menghentikan cadangan perarakan yang dianjurkan BERSIH pada 9 Julai ini. Tindakan bermotif politik disebalik agenda kononnya menuntut pilihanraya bersih dan adil, mesti dihentikan sebelum ia berlaku.

Sebagaimana perarakan yang pernah dibuat sebelum ini, ternyata ia cuma menyusahkan ramai orang demi memenuhi cita-cita segelintir yang teringin berkuasa. Jika benar menuntut pilihanraya yang adil, mengapa perlu ke jalanraya? Bukankah ada banyak cara lain, seperti berunding dengan pihak berkuasa termasuk SPR. Melainkan niat perarakan ini cuma untuk mengheret rakyat dalam agenda peribadi para pemimpin BERSIH.

Untuk kali ini, sewajarnya pihak polis tidak lagi sekadar memberikan amaran kosong. Jika amaran pihak berkuasa tidak diendahkan, wajar tindakan yang tegas dan berkesan dikenakan kepada para pemimpin yang degil. Jika perlu ISA yang tujuannya untuk mencegah ancaman keselamatan sebelum berlaku, mengapa tidak?

Sebagai rakyat pula, kita juga wajar meluahkan perasaan kita. Jika Bersih hendak menuntut itu ini, kita juga berhak menyatakan perasaan kita yang tidak setuju dengan hasrat Bersih. Perlukah kita ke jalanraya? Jika ini sesuai untuk meluahkan perasaan, mengapa tidak?

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin