Bagi generasi baru yang tidak merasai keperitan hidup zaman darurat, apalagi generasi yang lahir selepas merdeka, pastilah tidak mengenali siapa Chin Peng. Wajah dan cerita tentangnya hanya dibaca di buku sejarah.
Namun kisah kekejamannya bersama Bintang Tiga terhadap penduduk Persekutuan Tanah Melayu tetap tersimpan rapi di ingatan. Terutama bagi pihak yang terlibat, keluarga askar yang terkorban dan penduduk awam yang menjadi mangsa. Bukan mudah menghilangkan parut luka ‘kejahatan’ komunis pada zaman itu.
Chin Peng mengetuai Parti Komunis Malaya, awalnya menentang penjajahan British. Selepas British keluar, PKM terus berjuang secara kekerasan menentang kerajaan yang sah ketika itu. Catatan sejarah membuktikan, kekejaman PKM menyebabkan kematian 2,461 penduduk awam dan 1,851 anggota keselamatan maut, selain 1,383 penduduk cedera serta 807 orang hilang.
Selepas PKM akhirnya dibubarkan, Chin Peng dan ahli PKM lain dibenarkan menetap di Selatan Thailand. Dia berusaha untuk kembali ke tanahair tetapi sehingga 30hb April lalu, harapannya berkubur apabila mahkamah memutuskan dia dilarang masuk ke Malaysia.
Ramai yang simpati dengan Chin Peng atas dasar kemanusiaan, mengapa tidak dibenarkan saja Chin Peng kembali? Kata mereka, bukankah perjuangan PKM sudah berkubur? Bukankah Chin Peng sudah berusia 85 tahun dan apa lagi ancaman keselamatan yang boleh dilakukannya dalam usia itu?
Termasuk parti Gerakan, yang meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia. Alasan diberi Chin Peng bukan lagi ancaman keselamatan negara.
Malangnya, para simpati Chin Peng ini termasuk pemimpin Gerakan gagal melihat kesan sejarah yang telah dicatatkan dengan tinta merah berdakwat darah, oleh komunis Bintang Tiga. Bagaimana perasaan keluarga mangsa PKM ini melihat wajah sebenar Chin Peng tersenyum di sebuah Kedai Kopi di Sitiawan Perak, umpamanya?
Peliknya, tiada pula kata-kata simpati dilafazkan kepada keluarga mangsa kekejaman Chin Peng ini. Bukankah para pejuang, askar dan polis yang terkorban itu lebih wajar diberikan penghargaan?
Entahlah…dalam banyak perkara yang mahu diperjuangkan, Gerakan memilih Chin Peng sebagai ikon untuk diberikan ‘keistimewaan’!
