Search This Blog

Sunday, May 10, 2009

‘Saya tidak akan berterima kasih’

Salam,

Saya sebenarnya berhasrat hendak menjadikan hari Minggu adalah hari rehat, tanpa 'blogging'. Rasanya, sudah banyak kali hari minggu berlalu tanpa tulisan baru. Namun, berita yang saya terbaca ini sangat menarik perhatian. Sayang rasanya untuk dilepaskan.

Tanpa ulasan, saya tinggalkan untuk para pembaca budiman blog ini, mentafsir berita ini. Terima kasih.

‘Saya tidak akan berterima kasih’

TAIPING 9 Mei – ‘‘Minta maaf, saya tidak akan berterima kasih kepada kerajaan,’’ kata pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar (gambar) sebaik dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting di sini, hari ini.

Beliau yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak Disember 2007 mendakwa, penahanannya di bawah akta itu dibuat tidak mengikut undang-undang.

Sehubungan itu, dakwa penasihat undang-undang pertubuhan haram itu, tiada sebab dia perlu berterima kasih kerana tidak melakukan kesalahan.

“Saya berterima kasih kepada penyokong-penyokong dan isteri saya tapi minta maaf, saya tidak akan berterima kasih kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita yang telah menunggunya sejak pukul 11 pagi di Kem Tahanan Kamunting dekat sini hari ini.

Berbeza dengan dua lagi pemimpin Hindraf yang turut dibebaskan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Shah Alam, M. Manoharan, 48 dan K. Vasantha Kumar, 36, keadaan Uthayakumar kelihatan tidak terurus.

Ditanya keadaannya itu, Uthayakumar berkata, beliau sengaja tidak menyikat rambut dan janggut serta dibiarkan panjang sebagai tanda protes terhadap ISA.

Sementara itu, Uthayakumar mendakwa, pihak polis bertindak kasar terhadapnya apabila beliau menolak untuk menandatangani surat yang mengandungi syarat-syarat pembebasan.

Saturday, May 9, 2009

Cubalah Menjadi Rasional!

Selepas selesai bersidang, songkok semua letak tepi...

Salam,


Mahkamah hanya akan memutuskan MB Perak yang sebenar hari Isnin nanti. Dari sudut perundangan, sehingga Isnin ini belum pasti siapakah MB Perak ketika ini.


Namun, dari segi hukum demokrasi yang kita pegang selama ini, MB Perak ialah DS Zambry Kadir. Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan pandangan ini tetapi inilah realiti politik. Inilah hakikat demokrasi yang kita iktiraf selama ini. Melainkan kita bersetuju membakul sampahkan demokrasi!


Mengikut peraturan demokrasi, parti yang memiliki majoriti berhak membentuk kerajaan. 28 kerusi dimiliki BN disokong 3 kerusi bebas menjadikan BN mempunyai majoriti mudah dan tentulah BN berhak membentuk kerajaan Perak. Berbanding 28 kerusi dimiliki PR.


Mungkin ada polemik bagaimana BN mendapatkan sokongan 3 ADUN Bebas, mungkin perbuatan melompat parti boleh dikatakan tidak bermoral, atau apa sahaja tanggapan yang wujud, namun selagi ia masih dalam lingkungan Perlembagaan, apa masalahnya? Setakat soal moral, ada banyak lagi yang tidak bermoral terus dipertahankan.


Ketidak fahaman ke atas prinsip demokrasi yang diagungkan selama ini, ego kerana tidak dapat menerima realiti dan sikap tidak endah terhadap 'peraturan' yang dirasa tidak memihak kepada pihak sendiri, disertai sikap hanya sendiri yang betul, orang lain salah, menyebabkan adengan yang tidak ingin kita lihat berlaku di Perak semalam.


Cubalah kita menjadi rasional...mengambil sikap berlapang dada. Menghormati 'aturan' yang kita iktiraf sebelum ini. BN ketika tewas dalam PRU12 dan kehilangan kuasa, terkejut tetapi tidak berdiam diri, bangkit menyusun strategi dan terbukti ia berhasil. Malanglah jika Pakatan Rakyat mengambil tindakan semberono, asyik berpolitik dan tidak belajar daripada apa yang berlaku.


Bukankah elok jika kita mengurangkan seketika suhu panas politik negara. Tidak puashati ? Tunggulah PRU13 membuat perhitungan. Jika benar 3 PRK yang dimenangi oleh PR berbanding 1 oleh BN sebelum ini adalah petunjuk jelas rakyat bersama PR, bersabarlah. Pasti kuasa yang dikejar selama ini - sehingga terpaksa berjanji 16 September tarikh peralihan - akan menjelma jua.


Rasanya, jika semua bersikap rasional, menerima hakikat dan dapat bersabar, pasti Perak akan terus harmonis, tidak terusik oleh gangguan yang tidak perlu. Dan kejadian memalukan dan mencatat sejarah baru negara semalam, tentulah dapat dielak.


Sayangnya...banyak pihak yang kelihatan gagal mengawal diri!


Thursday, May 7, 2009

Peraduan Bual Bicara

Apabila Raja Dr Nazrin Shah berangkat masuk kemudiannya, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammed Nizar Jamaluddin, serta semua ahli dewan daripada pembangkang berdiri di bahagian tengah Dewan sambil menghadap baginda.

Nizar (Pas-Pasir Panjang) kemudian kedengaran menyatakan sesuatu kepada Raja Dr Nazrin Shah, dan Pemangku Raja Perak menitahkan supaya Nizar dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Setiawan) supaya menghampiri baginda. Kedua-duanya naik ke pentas diraja sebelum Raja Dr Nazrin Shah dilihat berbicara sesuatu kepada mereka.

Nizar dan Ngeh kemudian turun dan meminta semua ahli Dewan daripada pembangkang mengambil tempat masing-masing bagi membolehkan istiadat perasmian berlangsung.


Sempena Sidang DUN Perak yang mencatat sejarah 'baru' hari ini, selepas bersidang di bawah pokok, satu peraduan Bual Bicara diadakan. Jika ada kelapangan, silalah sertai.
Hadiah utama : Minum teh dengan Sivakumar, bekas Speaker Perak!


Berdasarkan gambar di atas, agak-agak apalah isi perbualan antara Raja Nazrin kepada dua orang ni?


Raja Nazrin :_______________________

DS Nizar :_________________________

DS Ngeh : _________________________


********

P/S : Baca tulisan ini sebagai satu hiburan semata-mata, jangan lebih!


&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&&


Dikemas Kini


Perbualan sebenar dalam gambar di atas, boleh lihat di sini. Terima Kasih.



Drama Bakal Bermula...


Salam,


Hari ni 7hb Mei, apakah yang menarik hari ini? Tiada yang istimewa dengan tarikh ini. Cuma hari-hari biasa, seperti hari lain juga.


Cuma mungkin yang akan bakal menjadi tumpuan ramai hari ni tentulah persidangan DUN Perak. Apa yang menarik? Persidangan ini adalah yang pertama selepas kerajaan Perak bertukar tangan Februari lalu.


Semenjak Februari lalu, pelbagai aksi drama sudah dilakonkan oleh para 'pelakon' di negeri Perak. Ketika mahkamah masih belum membuat keputusan siapakah yang menjadi MB yang sah - fakta menunjukkan MB ialah DS Zambry, fakta yang cuba dinafikan sebilangan orang.


DUN pula kena bersidang sebelum 13 Mei kerana tarikh tersebut adalah hari terakhir yang jika sidang tidak diadakan akan menyebabkan DUN terbubar. Situasi yang mungkin tidak perlu ketika kerajaan sah sudah pun terbentuk.


Beberapa hari ini, pelbagai gossip sudah pun tersebar. Nampak gayanya, kita akan sekali lagi dipaksa 'menonton' aksi drama di Perak. Petanda awal aksi ini sudah pun kelihatan bila sudah ada seruan memakai baju hitam dan berhimpun, malah munajat perdana sudah pun dirancang rapi.


Apa yang pasti, drama yang bakal dipentaskan ini tentulah akan mengembalikan zaman kegemilangan studio Jalan Ampas. Menampilkan barisan Melayu sebagai taruhan menarik penonton, sedang krew bukan Melayu lebih selesa di balik tabir. Maka bertarunglah hero dan samseng Melayu dan Islam, sedang krew bertepuk tangan!


Agak-agak, siapa pengarahnya? Pasti bukan Director Ahmad Nisfu...


Wednesday, May 6, 2009

Tahniah...


Salam,


Sekalung tahniah dititipkan untuk Majlis Daerah Beaufort yang bertindak proaktif mengambil respon terhadap aduan.


Sebelum ini, blog ini pernah menegur iklan amaran MDB yang menggunakan bahasa yang salah. Selain blog ini, difahamkan ramai individu yang prihatin dan cintakan bahasa yang betul juga menegur kesalahan tersebut.


Tindakan MDB ini memang wajar dipuji, betulkan apa yang memang ternyata satu kesilapan adalah tindakan berani dan mulia. Hanya sedikit yang mampu melakukannya, ramai yang bersikap langsung tidak boleh dijentik!


Terima kasih kepada MDB yang telah membetulkan kesalahan bahasa tersebut. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sewajarnya dimuliakan, ditinggikan kedudukannya dan dipastikan tidak berlaku kesilapan.


Cuma mungkin penguatkuasaan kepada amaran tersebut sahaja yang perlu diperketatkan. Denda sahaja pembuang sampah yang degil!


Lembutnya Lidah Berkata-kata...


Salam,

Bertahun, mungkin berpuluh tahun, Umno menjadi mangsa menanggung beban tohmahan.

Kerajaan BN pimpinan Umno digelar kerajaan thagut kerana membiarkan 'kemungkaran' berlaku dalam negara. Umno ditohmah tidak bertindak dan menutup mata ke atas pelbagai perkara yang bertentangan dengan Islam.

Antara 'kesalahan' besar Umno ialah membiarkan kilang arak beroperasi di negara ini. Sekalipun sudah dijelaskan bahawa keperluan penduduk bukan Islam harus diambil kira, tetapi kerana penerangan itu datang dari Umno ia tidak pernah diendahkan.

Hakikat bahawa negara ini dihuni oleh pelbagai kaum dan agama dengan pelbagai keperluan dan kehendak tidak pernah dipedulikan. Apalagi kerana perkara tersebut dibiarkan, maka sewenang-wenang Umno ditohmah memimpin kerajaan taghut!

Bagaimana pula dengan pengakuan ini? Pas Selangor akui gagal penuhi tuntutan ahli.

Nampaknya mungkin yang sesuai dengan pengakuan ini ialah peribahasa : Kokok berdegar-degar, ekor bergelumang tahi! Cakap memang mudah...Lidah memang tidak bertulang!

Dengan pengakuan ini, bolehkah kita katakan bahawa PAS juga bersekongkol dengan kerajaan thagut? Atau ada alasan lain untuk mewajarkan 'kemungkaran' ini!

Biasalah... atas nama PR, semuanya suci bersih.

Monday, May 4, 2009

SELAMAT DATANG!

Salam,

Diucapkan Selamat Datang Ke Negeri Di Bawah Bayu kepada Perdana Menteri Malaysia Ke 6, Datuk Seri Najib Tun Razak. Orang Sabah berganding bahu, sederap kaki, satu suara mengucapkannya...

Datuk Seri bukan kali pertama datang ke Sabah. Mungkin tidak terkira berapa kali Datuk ke mari. Namun sebagai PM, rasanya inilah yang pertama. Sempena kehadiran pertama kali Datuk ke bumi bertuah ini dititipkan beberapa perkara, semoga Datuk dapat memberikan sentuhan.

Sabah seperti Terengganu dan Sarawak, negeri pengeluar minyak. Mendapat royalti 5 peratus. Dengan 'kekayaan' yang dimiliki, mungkin sewajarnya Sabah - dan 2 negeri ini - tidak terlalu jauh dari arus pembangunan negara.

Tanpa menafikan begitu banyak kemajuan yang telah dikecapi, masih banyak pula ruang untuk dibangunkan. Apa yang kelihatan jurang perbezaan kemajuan antara bandar dan luar bandar masih ketara. Kadar kemiskinan pula masih tinggi di kalangan penduduk.

Penduduk luar bandar amat berharap komitmen kerajaan pimpinan Datuk mengatasi pelbagai hambatan yang wujud di persekitaran mereka. Infrastruktur tidak sempurna, peluang pekerjaan semakin mengecil dan harga barang tinggi yang menghimpit.

Di bidang pendidikan pula, diharapkan Datuk dapat memberikan perhatian peribadi terhadap usaha menyediakan suasana kondusif di bidang ini. Kami amat yakin, pendidikan yang sempurna mampu merubah nasib sesebuah bangsa. Namun kami juga percaya perubahan ini tidak akan tercapai tanpa kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang selesa.

Satu isu yang menghantui kami sekian lama dan berharap Datuk dapat memperlihatkan komitmen jitu menyelesaikan masalah kebanjiran Pendatang Tanpa Izin di negeri ini. Selagi masalah ini belum menemui noktahnya, selagi itulah kebimbangan kami berterusan. Privasi hidup di negeri ini nampaknya terpaksa dikongsi dengan PTI.

Mungkin kedatangan Datuk sebagai PM membawa lembaran baru terhadap segala harapan kami. Semoga Datuk dapat memberi lebih sedikit perhatian kepada negeri ini.

Katakan Benar Kepada Kebenaran!


Salam,


Apabila saya 'mengusik' tindakan kerajaan Sabah dalam soal pembelian kereta Volvo dan membandingkannya dengan keputusan kerajaan Kedah mengekalkan Proton Perdana V6, ia menimbulkan reaksi daripada beberapa orang sahabat.


Sebahagian meninggalkan komen tanpa nama, sebahagian pula menghantar sms dan membuat panggilan telefon. Mesej mereka sama, tulisan itu memburukkan imej kerajaan pimpinan Umno dan seperti menyokong PR!


Saya mentafsirkan reaksi sahabat ini sebagai kurang matang. Saya percaya sahabat-sahabat ini adalah ahli atau penyokong Umno. Jika pendirian begini diteruskan, nampaknya malanglah nasib Umno. Bolehkah bangkai gajah ditutup dengan nyiru? Kalaupun boleh, pasti bau busuknya dihidu jua!


Katakan benar kepada kebenaran. Ya blog ini akan terus menyatakan kebenaran, memuji yang terbaik dan menegur yang jelik. Jika kebaikan itu datang di pihak 'lawan', adakah kita mahu menafikannya?


Demikian juga, perkara yang jelik yang dilakukan oleh Umno dan pimpinannya wajib untuk seluruh ahli Umno menyatakan kejelikannya. Bukankah begitu teladan yang sudah ditunjukkan oleh Tun M, mantan PM dan Presiden Umno?


Lagipun, jika kita cuma rasa selesa apabila yang 'manis-manis' disebut, dikhuatiri kita sebenarnya sokong yang membawa rebah. Kematangan dalam soal ini harus menjadi prioriti, sesuai dengan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


Memang sukar menerima hakikat, apalagi untuk menyatakan kebenaran kerana ia sangat pahit. Tetapi ia jauh lebih mulia daripada berdiam diri dan membiarkan sahaja tanpa menegur kerana sikap bacul dan dayus, apa lagi kerana ada kepentingan peribadi!


Dibimbangi, kesilapan berulang yang dilakukan hari ini - tanpa mengambil iktibar kesilapan lalu - akan menyebabkan kemusnahan yang lebih besar. Saat itu, segala penyesalan tidak akan berguna lagi...


Dan saya tidak mahu terlibat sama memusnahkannya!

Saturday, May 2, 2009

V6 di Kedah, Volvo di Sabah: Antara Dua Darjat.

Salam,

Kerajaan Kedah akhirnya memilih untuk terus menggunakan Proton Perdana V6, selepas berunding dengan CEO Proton Edar Sdn Bhd Disember lepas. Demikian dilaporkan oleh Berita Harian.

Sebelum ini dilaporkan Kerajaan Kedah berhasrat menggantikan Perdana V6 dengan jenama lain jika keadaan kewangan mengizinkan. Tidak pula dapat dipastikan sama ada keadaan kewangan menjadi sebab utama keputusan kerajaan Kedah ini.

Namun satu yang pasti, kerajaan Kedah telah membuktikan satu perkara. Mereka menghargai jenama buatan Malaysia - dalam 1001 kekurangannya. Mereka sudah menunjukkan kepimpinan melalui teladan, pemimpin berkereta sederhana bukan mewah di depan rakyat Kedah yang majoritinya susah.

Berbeza dengan kerajaan Sabah. Membeli Volvo jenama mewah, bukan jenama nasional. Untuk apa?

Berbanding Kedah, Sabah adalah negeri kedua termiskin di atas sedikit daripada negeri Kelantan. Tetap memilih kereta mewah sebagai kenderaan rasmi untuk para pembesar. Mungkin Sabah punya banyak duit berbanding Kedah.

Pada ketika yang sama, banyak prasarana terutama jalanraya antara kampung dan bandar yang memerlukan bukan sedikit perhatian untuk dibaiki. Jalanraya antara kampung pula amat kontras dengan kenderaan mewah yang dibeli oleh kerajaan negeri Sabah.

1Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, mungkin tindakan pembelian kereta mewah ini tidak menggambarkan slogan yang diwar-warkan oleh PM DS Najib ini. Nampak keselesaan para pembesar negeri pula yang didahulukan, rakyat dikemudiankan.

Mungkin pembelian ini sudah terlanjur, adalah tidak praktikal untuk menjualnya semula. Namun, apa yang diharapkan ialah pihak kerajaan Sabah lebih berhati-hati membuat sebarang keputusan selepas ini, terutama apabila ia berkaitan dengan aspek kewangan.

Sewajarnya kebajikan rakyat kebanyakan menjadi keutamaan!

Friday, May 1, 2009

Krisis Identiti di RTM

Salam,

Statik tidak berubah tidak baik juga, tiada perkembangan. Terlalu banyak perubahan pun susah juga, buat pening kepala. Kalau perubahan itu membawa impak yang baik, bolehlah diterima. Bagaimana kalau perubahan itu tidak menambah kebaikan, malah membawa penurunan jumlah penonton?

Situasi inilah yang berlaku kepada TV RTM, saluran nasional, warta kerajaan. Dahulu dikenali RTM 1 dan RTM 2, kemudian diubah TV 1 dan TV 2. Belum pun fasih lidah menyebut, sudah pun berubah kembali kepada sebutan lama, RTM 1 dan RTM 2. Ini zaman DS Zainuddin Maidin.

Begitu juga, waktu siaran berita RTM. Selepas sekian lama berita perdana berbahasa kebangsaan diingati pada jam 8 malam, tiba-tiba diubah ke jam 9. Jam 8 berita tamil dan 8.30 malam pula berita mandarin. Ini zaman DS Ahmad Shabery Cheek.

Datang DS Rais Yatim, baru beberapa hari dilantik Menteri Penerangan, perubahan pertama dilakukan waktu siaran berita. Baguslah, berita perdana kembali ke jam 8 malam di RTM 1. Berita Tamil dan Mandarin pula di RTM 2.

Ingatkan inilah kemuncak segala perubahan, rupanya tidak!

Diumumkan waktu siaran berita Tamil dan Mandarin berubah lagi di RTM 2. Berita Inggeris jam 7, Tamil 7.30 dan Mandarin 8 malam. Ertinya, semasa berita perdana disiarkan jam 8 malam di RTM 1, ada berita Mandarin di RTM 2. Penonton RTM masih dipisahkan mengikut kaum.

Padanlah kalau ada segelintir rakyat Malaysia tidak fasih berbahasa kebangsaan!

Peliknya, siaran Buletin Utama sejak dulu jam 8 dan Nightline jam 12.00, tetap mendapat rating tertinggi, walaupun hari ini sudah ada pelbagai saluran lain yang bersaing. RTM ?...masih lagi mencari identiti!

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin