
KUALA LUMPUR 25 Jun – Seramai 40 orang terdiri daripada ulama muda dari seluruh negara hari ini menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penyerahan borang keahlian dilakukan di hadapan Galeri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO bermula.
Ia turut disaksikan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli MT yang juga bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Wakil kumpulan ulama itu, Dr. Fadlan Mohd. Othman, 35, berkata, penyertaan mereka bertujuan untuk bekerjasama dengan parti itu dalam perkara yang berkaitan keagamaan dan kerohanian.
“Banyak perbincangan telah dibuat (mengenai persetujuan untuk menyertai UMNO), cuma kita berharap penyertaan ini akan dapat menyemarakkan lagi usaha-usaha keagamaan yang sedia ada dalam parti.
“Kemasukan ini bukan berlandaskan politik dan bukan bertujuan untuk melaga-lagakan mana-mana pihak.
“Kami optimis terhadap ruang-ruang yang boleh dilaksanakan untuk mendekati dan membina jati diri golongan muda,” kata Fadlan yang juga pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan borang itu.
Kita tunggu komen pihak sebelah sana...habislah durang ni kena belasah!