
Berjumpa seorang kawan lama dari sebuah daerah di Pantai Timur Sabah baru-baru ini. Terima kasih kepada Facebook yang menemukan kami selepas lebih sepuluh tahun terputus hubungan. Kerana lama tidak berjumpa, banyak cerita dibualkan. Macam-macam...
Yang menarik hati bila kawan ni mengajukan soalan : Bila Pilihanraya Umum?
Saya jawab: sepatutnya penggal ke-12 ini akan berakhir pada Mac 2013. Yang pasti pilihanraya akan berlangsung di Kerdau dan Merlimau. PRU DUN Sarawak pula saya kata akan diadakan sebelum bulan Julai ini. Bila tarikhnya, tiada siapa pun tahu.
Kawan ni kata, pilihanraya umum hampir tiba. Makin dekat sudah katanya. Saya tanya, macamana kau tau?
Kawan ni kata: Sekarang ni para pemimpin termasuk para YB rajin masuk kawasan. Banyak acara diadakan di sana-sini. Boleh katakan setiap hujung minggu, pasti ada sahaja acara dilakukan. Memang nampak sibuk, memang meriah. Bagai tak cukup muka surat akhbar melaporkan aktiviti ni.
Saya jawab: Ini bukan petanda yang jelas pilihanraya akan tiba. Pemimpin yang bertanggungjawab memang begitu, akan berusaha mendekati rakyat sepanjang masa, tanpa mengira pilihanraya dekat atau lama lagi. Lagi pun saya kata, baguslah kalau banyak acara diadakan. Mudahlah rakyat dan wakil rakyat berdamping dan saling berhubung. Banyak masalah boleh diselesaikan.
Kawan ni tetap tidak puashati. Dia tetap menekankan yang pilihanraya ni memang sudah dekat. Katanya, silap-silap tahun ni juga. Saya kata, mana mungkin tahun ni....mustahil.
Cuba bayangkan, kata kawan ni. Kalau acara peringkat kampung secara kecil-kecilan, yang tidak melibatkan orang kenamaan, malah tidak menjemput YB pun disinggahi YB, bukan itu tanda pilihanraya sudah dekat? Acara ni katanya setiap tahun diadakan, tidak pernah ada YB singgah pun...
Biasanya, kata kawan ni, kalau YB baik semacam ja, mesti pilihanraya hampir tiba. Adalah maksudnya tiba-tiba ja rajin singgah. Dulu macam tidak pernah nampak pun.
Saya kata baguslah YB singgah. Nanti dia tidak singgah, kau mengata juga... Saya menasihatkan dia melupakan perkara tersebut. Tunggu ja bila tarikh pilihanraya. Bila sudah sampai, jangan lupa pergi mengundi.
Kepada jentera pilihanraya BN dan PAS di Kerdau dan Merlimau, jadikan PRK ini sebagai proses demokrasi yang mesti dihormati. Selamat berkempen!