Setakat hari ini, semenjak persidangan cawangan Umno berjalan dari 17hb Julai lalu, pelbagai peristiwa dan kejadian yang berlaku. Ada yang lucu, pelik, aneh, menghairankan malahan membuat kita pemerhati politik teruja, untuk mengikuti setiap perkembangan di seluruh negara.
Dicatatkan, di bahagian tertentu, ada penyandang jawatan yang dengan rela hati melepaskan jawatan yang dipegang kepada muka baru. Alasan diberi untuk memberi peluang kepada pemimpin muda menerajui parti.
Ada juga penyandang jawatan mungkin terpaksa melepaskan jawatan dengan berat hati sebab pencalonan tidak mencukupi. Situasi berlaku akibat cawangan-cawangan tidak lagi mencadangkan namanya, berubah angin kepada calon baru.
Terdapat juga pemimpin cawangan yang dengan berat hati terpaksa melepaskan kepimpinan kepada orang baru kerana tewas dalam pertandingan. Yang tidak seronok, ada yang tidak dapat menerima kekalahan lalu mengajak pihak yang menang beradu kekuatan.
Wujud juga kepimpinan yang melepaskan jawatan tetapi menaja pengganti. Situasi tidak sihat berlaku hingga menyebabkan berlaku sikap bias, memihak kepada kumpulan tertentu.
Dikhabarkan juga, ada pemimpin yang menawarkan bertanding di peringkat bahagian, tetapi tewas di peringkat cawangan. Camna la tu agaknya?
Malahan, ada juga kumpulan tertentu yang seperti takut bayang-bayang sendiri. Membolot pencalonan kumpulan sendiri dengan cuba menghalang kumpulan lain yang menawarkan diri mendapat pencalonan, secara tidak demokratik.
Macam-macam ada... yang pasti demokrasi terus berjalan. Janganlah hendaknya dicacatkan proses demokrasi yang berlangsung ini dengan tindakan yang tidak demokratik. Jika dapat dirundingi, dipersetujui semua, eloklah jangan berlaku pertandingan. Namun, jika pertandingan tidak dapat dielakkan, biarlah ia berlaku dalam suasana yang sihat dan dalam semangat kekeluargaan. Ada ka?
No comments:
Post a Comment