BAJET 2009
Kelmarin, PM kita selaku Menteri Kewangan telah membentangkan Bajet 2009 di Dewan Rakyat. Bertemakan Kerajaan Prihatin, Bajet kali ini menumpukan tiga strategi : Menjamin kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan berkualiti dan memperkukuhkan daya tahan negara.
Dalam bajet itu juga, pelbagai insentif telah diumumkan, dengan kebanyakannya memberi fokus membantu rakyat dalam berhadapan kenaikan kos sara hidup. Umpamanya, bil elektrik RM20 ke bawah sebulan, selepas ini tidak perlu dibayar lagi. Cuma yang tidak sedap dalam bajet ini ialah bagi perokok, selepas ini harga rokok akan naik lagi.
Bagi rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, bajet kali ini juga membawa rahmat besar apabila Sabah diperuntukkan sejumlah 3 bilion dan Sarawak 3.3 bilion, bagi melaksanakan projek infrastruktur termasuk jalanraya.
Di akhir pembentangan, PM telah mengajak semua segenap rakyat Malaysia di semua peringkat untuk membangunkan negara, mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara. Kita juga bertanggungjawab membina negara yang aman, damai, teguh lagi bersatu. Rakyat tidak akan dimakmurkan dan negara tidak akan dibangunkan hanya dengan retorik politik, malah budaya berpolitik keterlaluan merugikan rakyat dan menjejaskan kemakmuran negara.
MERDEKA 2009
(SEKILAS BICARA : PEMUDA UMNO & 31 OGOS )
31 Ogos setiap tahun adalah tarikh keramat negara kita kerana pada tarikh tersebut negara kita menyambut ulangtahun kemerdekaan. Pada tahun ini, negara kita sekali lagi menyambutnya buat kali ke-49.
Tahun silih berganti, tarikh keramat ini tetap datang dan pergi. Bagi generasi emas yang pernah mengecapi zaman penjajahan, seterusnya merasai detik gemilang perisytiharan kemerdekaan, tarikh ini pasti bermakna. Bagi generasi muda terutama pemuda yang belum lahir pada tarikh ini pada tahun 1957, apakah signifikan tarikh ini bagi kita ?
Kemuliaan sesuatu bangsa berkait rapat dengan kemerdekaan. Bangsa yang merdeka adalah bangsa yang bermaruah, sebaliknya bangsa yang terjajah adalah bangsa yang hina. Banyak contoh seantero dunia menunjukkan bagaimana bangsa yang tidak merdeka, maruah mereka dinjak-injak. Di Palestin umpamanya, nasib bangsa Arab ditentukan oleh tangan Yahudi Israel.
Di Malaysia, kita sangat bertuah. Perjuangan UMNO sebagai kesinambungan perjuangan para pahlawan terdahulu - dibantu oleh akan daripada kaum lain - membolehkan negara kita merdeka. UMNO mempelopori perjuangan kemerdekaan dan hari ini UMNO terus mempelopori perjuangan mengisi kemerdekaan.
Bagi kita Pemuda UMNO, berbangga sahaja dengan kejayaan UMNO memperjuangkan kemerdekaan, tidak memadai. Melalui wadah UMNO kita mesti mengorak langkah maju ke hadapan sebagai generasi muda pelapis berwibawa - dengan jiwa dan minda 'merdeka'. Kita wajib berusaha memerdekakan diri kita dengan menggembleng tenaga melakukan usaha-usaha positif meningkatkan potensi dan nilai diri. Walau apapun metodnya, matlamat hendaklah jelas - mengangkat mertabat diri dan bangsa!
Selain itu, pemuda yang merdeka adalah pemuda yang bebas daripada gejala yang tidak sihat. Pemuda yang merdeka tidak terkongkong oleh kepompong persekitaran yang boleh merosakkan masa depannya. Pemuda yang merdeka adalah pemuda yang menjauhi najis dadah, mengelakkan gejala negatif, menghindari budaya hedonisme yang berlebihan dan sebagainya.
31 OGOS 2006 - pada tarikh keramat kali ini, ayuh para pemuda kita sahut cabaran Pak Lah, Perdana Menteri yang kita sanjungi. Kita jadikan hari ini sebagai hari mula perjuangan kita - membina diri, menghiasi peribadi, kita buktikan bahawa kita adalah pemuda UMNO - pemuda generasi baru - pemuda cemerlang, pemuda gemilang dan pemuda terbilang!!!! Wassalam.
@ tulisan ini adalah nukilan saya dan dimuatkan dalam buku cenderamata Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Sipitang pada 27 Ogos 2006.
No comments:
Post a Comment