
Salam,
'Berita angin' yang berlegar kononnya kasino akan dibina di Sabah sebagai satu tarikan pelancongan bukanlah satu cadangan. Biarlah kekal menjadi berita angin yang tidak berkesudahan.
Kita berharap apa yang disuarakan oleh Datuk Abd Rahman Dahlan, yang menyifatkan berita angin ini sebagai satu pembohongan dan tuduhan melulu adalah benar, bukan setakat penafian dan berdolak-dalik.
Bukan apa, berita angin ini yang belum diketahui kesahihannya, memang merisaukan kita. Sebab pada tahun 2000, idea membina kasino memang pernah disuarakan oleh seorang pembesar negeri. Walaupun tidak menjadi kenyataan,tiada kasino dibina tetapi amalan perjudian di kelab-kelab sudah menjadi perkara biasa di Sabah.
Bukan setakat kasino, perjudian haram yang sangat berleluasa hingga melibatkan kanak-kanak di bawah umur di setiap daerah di Sabah juga seharusnya diambil tindakan tegas. Gejala berjudi ini sudah semakin membarah di kalangan rakyat, termasuk di kalangan umat Islam.