Search This Blog

Tuesday, November 29, 2011

Selamat Bersidang Perwakilan Umno....

Salam,

Bermula hari ini, maka Perhimpunan Agung Umno membuka tirainya dengan perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh YAB Tim. Presiden Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Perhimpunan Agung Umno kali ini bukan sekadar perhimpunan tahunan atau memenuhi keperluan undang-undang asas sesebuah pertubuhan, malah jauh daripada itu perhimpunan kali ini mempunyai signifikan tersendiri.

Dikatakan perhimpunan ini adalah yang terakhir sebelum Umno dan Barisan Nasional berdepan pakatan pembangkang yang mempunyai keyakinan tinggi dalam PRU13. Perhimpunan ini akan menjadi kayu ukur kesediaan Umno dalam 'perang' memenangi hati rakyat.

Maka sebab itu, perwakilan dan pemerhati Umno dari seluruh pelosok negara sewajarnya menjadikan inspirasi perhimpunan ini untuk terus merencanakan perancangan, menyiapkan diri dalam usaha melaksanakan gerak kerja dan bangkit daripada pengalaman pahit dilambung ombak tsunami 2008.

Bukan sahaja ahli Umno, malah rakyat keseluruhannya akan mengikuti perkembangan daripada perhimpunan ini. Rakyat akan memerhati dan mendengar bagaimana nanti ucapan dasar Presiden, ucapan Tim. Presiden, ucapan Ketua Sayap dan perbahasan perwakilan. Sudah tentu ahli Umno dan rakyat akan menolak retorik dan puji-memuji serta perbahasan yang hanya penuh dengan agenda bodek-membodek.

Adalah diharapkan perhimpunan kali ini akan menghasilkan natijah yang baik bukannya medan menampilkan gaya mewah, berbaju linen dan berselendang sutera. Bukannya medan menampilkan jam tangan berjenama mahal, perhiasan terkini buatan luar negeri atau medan menghimpit pemimpin besar parti menghambat projek.

Kita jadikan perhimpunan ini sebagai medan memperkemaskan kesiap-siagaan menghadapi asakan pakatan pembangkang yang bercita-cita menguasai Putrajaya. Justeru, pemimpin yang menjadikan perhimpunan ini sebagai medan mempersiapkan diri untuk kepentingan peribadi atas apa jua alasan wajib kita tolak. 

Khabarnya, ada pemimpin menjadikan perhimpunan kali ini sebagai langkah mempersiapkan diri bukan berdepan pakatan pembangkang tetapi mempersiapkan diri menjelang pemilihan parti yang pasti akan berlangsung selepas pilihanraya akan datang. Ada pemimpin pemuda 'menerbangkan' sebilangan besar ketua pemuda cawangan ke perhimpunan kali ini, mungkin untuk melatih mereka berdepan pembangkang!

Akhirnya diucapkan selamat bersidang!

No comments:

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin