Salam,Pada mulanya TS Muhyiddin Yasin, TPM & Menteri Pelajaran mengumumkan selepas ini pelajar yang menduduki SPM tidak lagi boleh mengambil lebih 10 subjek. Alasan diberi, supaya pelajar tidak terlalu menumpukan bidang akademik semata-mata dan mengabaikan bidang lain.
Pengumuman ini mendapat reaksi yang pelbagai. Mungkin benar juga, akibat terlalu mengejar kecemerlangan akademik, sahsiah pelajar kita semakin jatuh merudum. Dari sehari ke sehari, ada sahaja laporan berkaitan masalah displin pelajar didedahkan.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan pula bahawa subjek teras yang kini 6 subjek ( B.Malaysia, B.Inggeris, Pendidikan Islam / Moral, Sejarah, Matematik, Sains dan Sejarah ) ‘berkemungkinan’ akan dikurangkan menjadi 4 subjek. Keputusan berkaitan cadangan ini akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.
Harapan kita supaya apabila Kementerian Pelajaran berbincang dan membuat keputusan nanti, hendaknya janganlah dikorbankan subjek Sejarah. Nampak daripada 6 subjek teras tersebut, subjek Sejarah adalah yang paling tiada nilai pasaran, dan berkemungkinan akan tercicir!
Kita khuatir jika subjek ini digugurkan keadaan akan menjadi semakin parah, terutama di kalangan pelajar dan belia lepasan sekolah. Sedangkan ketika ini, subjek sejarah wajib dipelajari pun anak-anak muda kita agak ‘keliru’ dengan sejarah negara, apalagi jika ia menjadi subjek elektif? Mungkin ramai pelajar akan menggugurkannya dari senarai pilihan!
Ketika subjek Sejarah masih wajib dipelajari ketika ini, timbul persoalan semangat patriotisme di kalangan segelintir anak-anak muda kita – termasuk orang tua -, bagaimanakah pula situasinya apabila sejarah pembentukan negara ini, di mana kita bermula dan ke mana hala tuju kita, tidak lagi dipelajari di sekolah?
Kita bimbang apabila senarionya nanti semakin ramai yang melihat Chen Ping sebagai wira dan ikon perjuangan, tanpa melihat pengorbanan anggota keselamatan kita. Mengapa ini berlaku? Akibat ‘buta’ sejarah!
Subjek Sejarah mungkin tiada nilai pasaran, tidak menarik untuk dipelajari dan tidak glamour, tetapi daripada Subjek inilah nilai dan maruah kita dapat ditanamkan di peringkat sekolah. Soalnya, jika bukan subjek Sejarah, subjek apa pula yang akan terkorban? Rasanya tidak mungkin subjek Pend Islam / Moral.
Kementerian Pelajaran wajar berhati-hati dalam membuat keputusan. Satu kesilapan berlaku, pelajarlah yang akan menjadi mangsanya.




