Search This Blog

Monday, February 28, 2011

PRU13 sudah hampir tiba...


Salam,

Berjumpa seorang kawan lama dari sebuah daerah di Pantai Timur Sabah baru-baru ini. Terima kasih kepada Facebook yang menemukan kami selepas lebih sepuluh tahun terputus hubungan. Kerana lama tidak berjumpa, banyak cerita dibualkan. Macam-macam...

Yang menarik hati bila kawan ni mengajukan soalan : Bila Pilihanraya Umum?

Saya jawab: sepatutnya penggal ke-12 ini akan berakhir pada Mac 2013. Yang pasti pilihanraya akan berlangsung di Kerdau dan Merlimau. PRU DUN Sarawak pula saya kata akan diadakan sebelum bulan Julai ini. Bila tarikhnya, tiada siapa pun tahu.

Kawan ni kata, pilihanraya umum hampir tiba. Makin dekat sudah katanya. Saya tanya, macamana kau tau?

Kawan ni kata: Sekarang ni para pemimpin termasuk para YB rajin masuk kawasan. Banyak acara diadakan di sana-sini. Boleh katakan setiap hujung minggu, pasti ada sahaja acara dilakukan. Memang nampak sibuk, memang meriah. Bagai tak cukup muka surat akhbar melaporkan aktiviti ni.

Saya jawab: Ini bukan petanda yang jelas pilihanraya akan tiba. Pemimpin yang bertanggungjawab memang begitu, akan berusaha mendekati rakyat sepanjang masa, tanpa mengira pilihanraya dekat atau lama lagi. Lagi pun saya kata, baguslah kalau banyak acara diadakan. Mudahlah rakyat dan wakil rakyat berdamping dan saling berhubung. Banyak masalah boleh diselesaikan.

Kawan ni tetap tidak puashati. Dia tetap menekankan yang pilihanraya ni memang sudah dekat. Katanya, silap-silap tahun ni juga. Saya kata, mana mungkin tahun ni....mustahil.

Cuba bayangkan, kata kawan ni. Kalau acara peringkat kampung secara kecil-kecilan, yang tidak melibatkan orang kenamaan, malah tidak menjemput YB pun disinggahi YB, bukan itu tanda pilihanraya sudah dekat? Acara ni katanya setiap tahun diadakan, tidak pernah ada YB singgah pun...

Biasanya, kata kawan ni, kalau YB baik semacam ja, mesti pilihanraya hampir tiba. Adalah maksudnya tiba-tiba ja rajin singgah. Dulu macam tidak pernah nampak pun.

Saya kata baguslah YB singgah. Nanti dia tidak singgah, kau mengata juga... Saya menasihatkan dia melupakan perkara tersebut. Tunggu ja bila tarikh pilihanraya. Bila sudah sampai, jangan lupa pergi mengundi.

Kepada jentera pilihanraya BN dan PAS di Kerdau dan Merlimau, jadikan PRK ini sebagai proses demokrasi yang mesti dihormati. Selamat berkempen!

Tuesday, February 22, 2011

20 Tahun UMNO di Sabah...


Salam,

Pagi ini menerima sms seorang saudara yang mengingatkan rupanya hari ini adalah ulangtahun ke-20 Umno melebarkan sayapnya ke Sabah. Ibarat seorang anak, usia Umno di Sabah sudah meningkat dewasa.

Bermula sebagai pembangkang, bermula tahun 1994 Umno di Sabah hari ini, sudah menerajui kerajaan negeri. Sejak 16 tahun lalu menjadi parti pemerintah, banyak perkembangan dan kemajuan yang telah dibawa oleh Umno. Politik pembangunan yang diamalkan oleh Umno dan Barisan Nasional dalam konteks Sabah banyak memberi menfaat kepada negeri ini.

Banyak bukti yang terbentang di depan mata tentang kisah kejayaan kesan kemasukan Umno ke Sabah. Pembangunan, kestabilan politik, kemakmuran dan sebut apa sahaja, tentu ada peranan Umno di sana. Paling ketara tentulah sumbangan Umno Sabah – dan BN Sabah – mempertahankan kerajaan BN untuk terus berkuasa selepas PRU 2008.

Walaupun ada suara sinis yang memperkecilkan kewibawaan pemimpin Umno Sabah, tentang kepimpinan Umno Sabah yang tidak ‘bebas’ membuat keputusan sendiri, wajib merujuk ke KL / Putrajaya berbanding pada era USNO, Berjaya dan PBS, di mana kepimpinan bebas membuat keputusan.

Namun ia bukanlah penghalang kepada kepimpinan untuk membuat keputusan yang terbaik kepada rakyat. Rakyat pula selesa dengan senario sedia ada, dan sokongan rakyat ini diterjemah melalui kemenangan cemerlang Umno dalam setiap pilihanraya – kecuali 1994. Diharapkan sokongan padu ini akan berterusan pada PRU yang akan datang demi menjamin kesinambungan pembangunan dan kemakmuran negeri untuk terus dinikmati generasi mendatang.

Sempena 20 tahun Umno di Sabah, sewajarnya pemimpin dan ahli Umno di Sabah terus menginsafi bahawa ‘kuasa’ yang sedang dinikmati kini tidak akan kekal lama malah boleh terlepas ke tangan orang lain, jika perangai buruk seperti cantas-mencantas, hasad dengki dan amalan berpuak-puak tidak dihindari.

Banyak catatan sejarah di serata dunia untuk diambil iktibar, apabila rakyat sudah jemu dan bosan dengan sesebuah parti yang lebih banyak bermain retorik daripada tindakan dan pemimpinnya pula ‘memekakkan telinga dan membutakan mata’ terhadap rintihan rakyat, akan tiba masanya rakyat bangkit memberi pengajaran.

USNO, Berjaya dan PBS tumbang buka kerana kegagalan parti tetapi tersungkur akibat kelalaian pemimpin yang sudah mabuk kuasa dan kualiti ahli yang semakin merudum. Inilah yang harus dipelajari oleh sekalian pemimpin dan ahli Umno di Sabah…

Friday, February 18, 2011

Apa Khabar 'Sultan Sulu'?


Salam,

Seorang werganegara Malaysia, orang Sabah, mengaku menjadi Sultan Sulu. Upacara pertabalan Sultan tersebut diadakan di Kg Likas, Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini. Datuk Akjan Ali Muhamad menggelar dirinya sebagai Sultan Shariful-Hashim II.

Datu Akjan, seorang ahli perniagaan, memiliki beberapa syarikat. Menjadi Pengerusi PEKIDA cawangan Sabah dan AMT PEKIDA Kebangsaan. Aktif dalam politik dan pernah ditahan ISA kerana terlibat dengan Kad Pengenalan palsu.

Jelas tindakan beliau ini salah, timbul persoalan bagaimana seorang werganegara boleh mengisytihar diri sebagai Sultan Sulu - entah wujudkah lagi kesultanan ini?

Sewajarnya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada individu ini. Perbuatan yang dilakukan, bersama beberapa orang pengikutnya telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam masyarakat. Keharmonian hidup masyarakat terganggu dengan kehadiran seorang 'Sultan' yang tidak perlu pun.

Perbuatan beliau juga boleh menimbulkan ancaman keselamatan. Dikhuatiri banyak pula implikasi buruk boleh berlaku kesan daripada tindakannya menjadi sultan. Bimbang nanti dia menuntut pula menjadi Yang DiPertuan Agong.

Harapan kita, pihak berkuasa bertindak segera. Takkanlah untuk menyiasat kes begini sampai sebulan lamanya. Hish....

Monday, February 14, 2011

Transformasi Politik Pemuda Umno...


Salam,

Sebahagian daripada usaha transformasi politik Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno ialah berjumpa semua Ketua Bahagian Umno dari seluruh negara Sabtu lalu. Pertemuan ini sebagai susulan pertemuan dengan Ahli Parlimen dan ADUN Sarawak baru-baru ini.

Dilaporkan Najib antara lain meminta Ketua Umno Bahagian meleraikan kekusutan di bahagian masing-masing, mengurangkan masalah dalaman parti, termasuk amalan cantas-mencantas. Najib juga meminta supaya parti terus mendekati pengundi muda agar terus menyokong parti.

Malangnya, di peringkat Pemuda Umno Bahagian khususnya di Sipitang, seruan Presiden parti ini bagai tidak diendahkan. Malam Sabtu lalu juga, dillaporkan Ketua Pemuda Sipitang melakukan kejutan yang langsung tidak disangka. Tiga orang pemegang jawatan utama parti: Penolong Setiausaha, Penolong Bendahari dan Ketua Penerangan telah dipecat!

Tanpa penjelasan lanjut, tindakan pemecatan ini dilakukan dalam satu mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian. Tiada sebab diberikan kenapa tindakan drastik ini dilakukan. Bagai satu tradisi - seperti juga 'rejim' Ketua Pemuda yang lalu - Ketua Pemuda Bahagian meneruskan tindakan melakukan pemecatan sesuka hati.

Seakan hilang arah dan mabuk kuasa, Ketua Pemuda Umno Sipitang nampak gayanya sudah 'beraja di mata, bersultan di hati'. Mungkinkah atas dasar sebagai anak pembesar negeri, seorang Ketua Pemuda boleh melakukan apa sahaja? Mengurus parti seperti mengurus syarikat sendiri? Ramai ahli parti tertanya-tanya...

Jika beginilah caranya seorang Ketua mentadbir parti, lagaknya seperti seorang CEO syarikat sdn bhd memecat ahli lembaga pengarah, maka tidak hairanlah jika setahun lalu pengerusi Tetap Pemuda Umno Bahagian bersama Ketua Pemuda Cawangan yang merupakan penyokong kuat beliau, bertindak nekad keluar parti dan menyertai pembangkang. Malah tidaklah pula menghairankan jika pemuda di peringkat bawah, terus bersikap sinis kepada parti keseluruhannya.

Sebelum nanah menjadi barah, kita berharap kepimpinan parti di peringkat bahagian dan negeri bertindak berani, melakukan sesuatu agar imej Umno tidak tercemar, gara-gara tindakan seorang pemimpin yang mengamalkan konsep 'ikut suka aku'. Sudahlah tiada usaha dilakukan menarik pengundi muda yang sepatutnya digerakkan pemuda, imej parti pula hendak dirosakkan.

Agaknya, beginikah caranya apabila seorang ahli bisnes bermain politik?

Tuesday, February 8, 2011

Hargai Dengan Ucapan Terima Kasih!

Salam,

Alhamdulilah, usaha membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir berjalan lancar. Malah sebahagian pelajar sudah pun dibawa ke tanahair.

Usaha murni kerajaan yang bertindak pantas membawa pulang pelajar dari kawasan krisis sewajarnya dipuji dan dihargai. Kos yang tinggi bukanlah taruhan terhadap nyawa dan keselamatan rakyat Malaysia terutama pelajar di luar negara.

Walaupun operasi ini diselubungi dengan pelbagai cabaran yang bukan sedikit termasuk fitnah dan khabar angin yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, namun dengan kerjasama semua pihak yang bertungkus lumus, akhirnya kejayaan membuahkan hasil.

Apa yang diharapkan, usaha baik kerajaan ini akan dihargai oleh semua pihak. Walaupun perkara ini memang tanggungjawab kerajaan memastikan rakyatnya selamat di mana sahaja berada, sekurang-kurangnya ucapan terima kasih tidaklah terlalu sukar untuk dilafazkan.

Mungkin ada hikmah tersebunyi di sebalik krisis di Mesir ini. Paling kurang memperlihatkan keprihatinan kerajaan yang mendahulukan rakyat dalam tindakan berbanding mereka yang lebih suka beretorik dengan pelbagai janji manis!

Harap rakyat dan pelajar Malaysia yang terlibat tidak keliru dalam memilih kerajaan yang mana lebih sesuai memerintah negara.

Monday, January 31, 2011

Teruskan Gerak Kerja Menjelang PRU 13!

Salam,

Tahniah diucapkan kepada YB baru DUN Tenang, Azahar Ibrahim yang menang bergaya. Majoriti bertambah berbanding PRU 2008 lalu. Petanda yang cukup baik untuk BN menghadapi PRU yang akan datang.

Kejayaan ini tentulah hasil usaha gigih seluruh jentera, daripada pekerja parti yang bertungkus lumus mahu pun oleh mereka yang bukan pekerja parti tetapi bekerja demi memastikan kelangsungan momentum kemenangan BN. Penghargaan untuk mereka ini wajar jangan dilupakan.

Berdasarkan kemenangan ini, sewajarnya BN boleh melangkah lebih yakin menghadapi PRK Merlimau, seterusnya menghadapi asakan pembangkang pada PRU 13 nanti. Gerak kerja ke arah itu harus diteruskan, malah harus dilipatgandakan.

Elakkan sama sekali sikap alpa. Jauhi sikap lupa diri. Penyakit utama BN selama ini ialah sikap lupa diri. Pantang dapat menang bergaya, selalunya habis semua lupa. Buktinya 2008. Mentang-mentang menang besar PRU 2004, main belasah ja menghadapi PRU 12. 'Tunggul kayu' pun diletak jadi calon. Dengan kepercayaan, asal logo BN pengundi pangkah.

Syukurlah di bawah kepimpinan Datuk Najib, dengan usaha gigihnya selama ini, nampaknya kesedaran rakyat mulai ketara. Harap momentum ini berterusan. Formula meletakkan calon yang boleh menang mesti diteruskan, demi kemenangan.

Tahniah BN, tahniah Tok Ai!

Wednesday, January 26, 2011

PKR Akan Jadi Seperti Semangat 46!

Salam,

Daripada 30 individu penting mengasaskan PKR, cuma tinggal tiga nama sahaja : Azizah, Tian Chua dan Badrol Amin. 90% daripadanya sudah pun keluar parti. Terbaru, seorang lagi pengasas parti Ng Lum Yong sudah pun angkat kaki.

Ini yang didedahkan oleh Ezam Mohd Nor di Labis semasa pengumuman Ng keluar parti dan menyertai MCA. Melihat senarai panjang pemimpin yang sudah keluar PKR termasuk 13 orang bergelar YB, pasti timbul tanda tanya, mampukah lagi PKR 'hidup' dalam PRU13 nanti?

Di Sabah, penggerak kuat PKR seperti Dr Jeffrey sudah pun angkat kaki. Malah dia sudah pun menubuhkan UBF yang akan bertanding pada PRU akan datang. Di Sarawak pula, ramai pemimpin PKR 'lari' menyertai SNAP menjelang PRU negeri yang bakal diadakan tahun ini.

Hish...melihat apa yang berlaku kepada PKR sekarang ini, macam ada harapan parti ini menjadi seperti parti Semangat 46 dulu. Lepas ditubuhkan, boleh dapat kerusi. Sempat bertahan dua tiga kali PRU lepas tu hilang pengaruh. Antara sebabnya, pemimpin angkat kaki.

Sekarang parti Semangat 46 tinggal jadi sejarah. Cuma bekas pemimpin parti termasuk pengasasnya yang masih ada. Adakah PKR juga akan mengikut jejak Semangat 46?

Thursday, January 13, 2011

Harimau Malaysia...Jangan Lupa Diri!


Salam,

Beruntung menjadi sebahagian anggota pasukan bolasepak kebangsaan. Ganjaran yang diumumkan PM dalam majlis meraikan kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF baru-baru ini memang cukup lumayan. Wang tunai, saham amanah ASW 2020 dan bantuan untuk latihan di luar negara berbaloi dengan kesungguhan mereka.

Diharapkan ganjaran lumayan ini tidak akan melalaikan mereka dengan misi yang jauh lebih penting selepas ini. Seharusnya, pasukan kebangsaan kena bertapak ke peringkat yang lebih tinggi daripada ASEAN. Sasaran wajar tentulah bermula mempertahankan emas Sukan Sea, melayakkan diri ke Piala Asia empat tahun akan datang. Diikuti dengan sasaran melayakkan diri ke Piala Dunia tentunya.

Sedih juga melihat tiada kelibat pasukan kebangsaan malah ketiadaan negara Asia Tenggara dalam keriuhan Piala Asia yang sedang berlangsung di Qatar. Berdasarkan perkembangan ini, kita boleh menginsafi nilai kejuaraan Piala AFF. Janganlah hendaknya kita cuma mampu juara di kalangan pasukan corot di peringkat Asia.

Kita sangat berharap ganjaran dari kerajaan ini akan terus menyuntik semangat dan komitmen para pemain untuk terus menjulang nama negara. Jika negara seperti Korea Utara mampu beraksi di peringkat Asia dan Piala Dunia, apa kurangnya dengan pasukan kita?

Mungkin nama gelaran pasukan kebangsaan – Harimau Malaya – yang tidak menggambarkan nama negara menjadi badi kepada pasukan kita. Justeru, eloklah rasanya nama tersebut segera diubah. Kita gunakan nama yang lebih menggambarkan nama Malaysia. Mungkin Harimau Malaysia…

Lagipun, nama yang diguna sekarang mengelirukan, terutama di kalangan generasi muda. Anak-anak bertanya, sejak bila pula negara kita bernama Malaya?

Monday, January 10, 2011

BN Menipu, PR Strategi...


Salam,

"Cara begini bukan kekuatan, menipu ini satu kelemahan, tindakan tidak bijak dan tidak pandai.""Dan sekarang mereka tunjuk lagi perangai itu," katanya.

Begitulah ucapan Presiden PAS, merujuk kejatuhan kerajaan PR di Perak dan kemelut perlantikan SUK Selangor, dalam satu majlis di Shah Alam.

Alahai kasihan Datuk Haji Hadi ni. Sudah masuk tahun 2011 pun masih berfikir cara zaman purba. Politik zaman dulu, ya memang betul begitu. Asal lawan semua jahat. Bila BN buat dikata menipu, bila Pakatan buat penipuan dikata strategi...

Bangun datuk oi... ini dah masuk tahun baru la. Kalau cara berfikir masih ditakuk lama, bagi aja la Presiden PAS kepada orang lain.....

Ini bukan soal siapa menipu siapa, ini perkiraan politik siapa yang lebih bijak, siapa yang lebih cerdik guna strategi. Nasib la kalau tumpas sebab strategi salah. Janganlah salah pihak lawan kalau sudah macam tu, tapi muhasabahlah sebab apa jadi begitu...baru betul!

Thursday, January 6, 2011

Apa Sudah jadi???


Gambar : Senjaliza

Salam,

Apa nak jadi...apa dah jadi...hai, apalah nak jadi?

Lagu Tan Sri SM Salim ditujukan khas untuk pendokong PKR Sabah. Selepas Dr Jeffrey, khabarnya akan ada lagi pemimpin peringkat cabang yang angkat kaki.

Akhiri dengan lagu, kesian dia...kesian dia!

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin