Search This Blog

Monday, June 22, 2009

Kerajaan Perpaduan : Apa isunya?


Salam,


Kerajaan Perpaduan, cetusan idea Presiden PAS terus menjadi polemik berpanjangan. Walaupun bagaimana bentuk cadangan ini masih kabur, bualan tentangnya terus menarik perhatian.


Bahana idea ini terkena Tim. Presiden Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang ditempelak oleh Mursyidul Am PAS supaya menyertai Umno dan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok. Begitu marahnya mereka dengan idea ini!


Tidak terkecuali, Umno juga menjadi bahan cemuhan dek kerana cadangan ini. Umno dituduh terhegeh-hegeh dan berniat menjadikan idea Kerajaan Perpaduan ini sebagai talian hayat. Dikatakan riwayat Umno sebagai parti tulang belakang kerjaan Persekutuan akan berakhir pada PRU13.


Hairannya, bagaimana Umno hendak dipersalahkan dalam isu Kerajaan Perpaduan ini kerana idea ini dicetuskan oleh orang No.1 PAS. Atas sifat seagama dan sebangsa, rasanya tidak salah bagi Umno untuk menyokong dan bersama-sama menjadikan cadangan ini satu realiti.


Rasanya atas nama persaudaraan seagama bukankah lebih elok Umno dan PAS bekerjasama demi kepentingan bersama. Tidak boleh kita lupakan sejenak sengketa dan perseteruan politik selama ini, demi memastikan Islam dan Melayu terus didaulatkan, demi memastikan keharmonian yang dinikmati selama ini kekal terpelihara.


Tanpa mengenepikan hak dan peranan kaum serta agama lain, perpaduan di kalangan umat Islam - melalui dua parti yang dominannya dikuasai orang Islam - pasti akan menguntungkan, bukan sahaja umat Islam malah negara ini keseluruhannya. Sebagai penduduk majoriti, perpaduan di kalangan umat Islam memungkinkan kemajuan negara dapat dipacu dengan lebih cemerlang.


Rasanya PAS tidak akan membiarkan, demi kepentingan politik sempit, nasib umat Islam dan orang Melayu di negara ini tergadai. Kerana kerakusan merebut kuasa, sanggup dibiarkan kerjasama umat dipinggirkan! Kalau MCA pun sokong Kerajaan Perpaduan, apa masalahnya dengan segelintir penyokong PAS yang nampak semacam keliru.


Bukankah lebih elok idea ini dibincangkan bagaimana ia hendak direalisasikan. Umno dan PAS duduk semeja mencari formula terbaik, demi kepentingan negara. Rakyat pun sudah semakin muak dengan gelagat ahli politik yang tidak pernah 'berehat' asyik bertelagah.


Satu yang jelas, jika PAS boleh mengetepikan dasar perjuangannya dan menjalin kerjasama dengan parti yang terang-terang menolak kedaulatan Islam, bukankah jauh lebih mulia kerjasama dengan Umno yang ahlinya adalah sama-sama menyembah Allah yang satu - sama seperti ahli PAS?

4 comments:

orangkuale said...

SAYA betul-betul sudah penat dengan keadaan orang Melayu Malaysia sekarang ini. Tidak kiralah dari barisan atau pakatan. Susah sangatkah hendak duduk bermuzakarah. Tidak kiralah UMNO, Pas atau pun Melayu PKR. Tidak habis-habis.

Baru-baru ini pula YB Nizar buat kecoh dalam dewan mulia Parlimen. Sudah-sudahlah tu YB. Kami semua orang Melayu sudah bosan.

Jangan jadi mangsa mainan politik parti bangsa lain dalam pakatan saudara itu. Saudarakan mewakili parti Pas. Parti berlandaskan imej Islam. Saya yang orang Islam ini pun sudah malu sangat dengan ahli-ahli politik berlandaskan Islam ini.

Kepada YB Hadi, tolonglah nasihatkan anak-anak buah di dalam Pas. Kalau nasihat pemimpin sendiri pun tidak boleh dengar, inikan pula kalau satu hari nanti memerintah negara. Aduhai.

Wahai YB Anwar Ibrahim. Saya ini sebenarnya penyokong Barisan Nasional tapi sebagai orang Melayu, saya bangga juga sebab ada pemimpin macam saudara. Kita tolaklah pasal masalah sosial saudara, secara jujurnya Malaysia masih memerlukan saudara sebagai wakil parti bangsa Melayu. Saya merayu, tolonglah fikir-fikirkan macam mana hendak kembalikan kestabilan Tanah Melayu kita ini.

Tidak salah rasanya kalau saudara duduk semeja dengan YB Najib, YB Muhyiddin dan YB Hadi, macam mana mahu kembalikan kegemilangan Melayu di negara ini. Tolonglah, kami semua rakyat Melayu sudah bosan.

Apabila Melayu makin lemah, makin senanglah bangsa-bangsa lain tidak kiralah dari Barisan atau Pakatan hendak tunjuk kepala.

Hendak minta macam-macam. Saya pun ada ramai kawan-kawan bangsa lain. Dia orang semua pun sudah bosan dengan negara kita sekarang ini. Dulu masa zaman Tun Mahathir, bangganya aku apabila aku sebut aku tinggal di bumi Malaysia.

Sudah sampai masanya kita semua Melayu sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang duduk semeja membincangkan masalah-masalah mereka. Tidak kira dari segi masalah sosial, ekonomi, sahsiah atau kerohanian.

Kalau kita terus bermain politik, saya bimbang anak-anak cucu Melayu kita di masa depan akan terus tenggelam dalam dunia khayalan. Silap-silap orang Melayu negara kita akan menimpa nasib yang sama seperti nasib Melayu Singapura.

Akhir sekali, saya betul-betul merayu kepada YB Najib, YB Muhyiddin, YB Hadi, YB Nasarudin dan YB Anwar, duduklah bermuzakarah. Bincanglah seikhlas-ikhlasnya atas dasar cinta dan sayangkan bangsa Melayu kita.

Tolaklah perbezaan pendapat dalam politik. Tolak tepilah pihak-pihak yang membantah permuafakatan ini seperti YB Nik Aziz dengan tentangan beliau daripada mengganggu niat mulia ini demi keutuhan bumi Melayu.

Datu Sulaiman said...

Bagi saya kita ketepikan saja isu kerajaan perpaduan ini. Lupakan saja dan tidak perlu ada kerajaan perpaduan. Biarkan UMNO dan BN memerintah dan PAS biarlah menjadi pembangkang. Keadaan sekarang sudah cukup seimbang dan menguntungkan rakyat...Saya percaya apa yang ditimbulkan oleh Hj.Hadi sebagai kerajaan perpaduan ini hanyalah untuk menggertak DAP supaya jangan memandang sepi PAS sekalipun parti ini mempunyai bilangan kerusi yang majoriti dalam pakatan pembangkang..Kita kena menerima hakikat bahawa tidak ada istilah perpaduan dalam politik..Biarkan UMNO dengan BN nya dan biarkan PAS dengan PR nya..

kifli said...

TERKINI : Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno/Barisan Nasional yang disifatkan suatu fitnah dan tindakan untuk menggugat kekuatan mereka.

Dalam satu kenyataan media yang diedarkan di Parlimen sebentar tadi, ia menyifatkan idea itu sebagai fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, ia menyatakan Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan BN bagi membincangkan isu yang membabitkan kepentingan negara.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan," menurut kenyataan yang ditandatangani pemimpin tiga parti terbabit iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul hadi Awang dan Lim Kit Siang.

Nurimo said...

Salam,

Anda dijemput untuk bagi idea/komen dalam blogs.
Walaupun fahaman berbeza tidak mengapa.
Idea/komen anda sangat saya hargai.


http://kuberharap.blogspot.com

Selamatkan Palestin

Selamatkan Palestin
Jahanam Israel!

Cerita Berkaitan

Blog Widget by LinkWithin